Wednesday, 24 January 2018

Calon Untuk Pengantin - Bab 5

IDHAM membuka mata bila mendengar telefonnya
berdering. Dia mendengus perlahan. Serba salah dibuatnya.
Dia bangun dari sofa dan menuju ke balkoni.
“Ada apa, Tyka?” Tanpa salam, terus Atikah diterjah.
“You sihat? Suara macam lemah aje ni?” Suara
Atikah lembut membuatkan Idham terdiam.
“I sihat. Apa hal you call I, kalau setakat nak tanya
khabar I, tak payahlah you nak risau.” Tutur Idham sambil
mengetap bibir.
“I call ni sebab I rindukan you.” Atikah tetap bersuara
lembut.
Idham tergelak. “Rindu? You merepek apa ni?”
Perasaan marah tiba-tiba membuak di dada.
“Betul, Am. I memang rindukan you. Setiap malam I
teringatkan you.” Tutur Atikah dengan nada sayu.
“Tak payahlah nak merepek. I tak ada masa nak
dengar. I sibuk sekarang.” Idham mendengus kasar.
“Sibuk? Sibuk dengan persiapan kahwin?” Suara
Atikah jadi keras. Agaknya dia tersentap dengan jawapan
Idham.
“Ya, I sibuk buat persiapan kahwin.” Balas Idham
selamba.
“Am, you memang serius nak kahwin bulan depan
ke?” Suara Atikah benar-benar gelabah dan sayu. Dia
memang tak menyangka yang Idham betul-betul nekad mahu
meneruskan perkahwinannya.
Idham pejam mata sambil tarik nafas panjang.
“Ya.” Ada rasa berat saat dia mengiakan kata-kata
Atikah. Terasa seperti dia seorang pembohong sedangkan
dia tak ada niat nak membohongi Atikah tapi demi
mempertahankan maruahnya, dia terpaksa.
“Am, you dah jumpa calonnya?” Makin sayu suara
Atikah menerpa telinga Idham membuatkan Idham makin
rasa serba salah.
Jeda.
“Am, you betul-betul dah jumpa pengganti I?” Sekali
lagi Atikah cuba mendapatkan kepastian.
“Ya,” Idham tetap memberi jawapan sama.
“Am...” Suara Atikah makin sayu. Ada kedengaran
esakan halus di hujungnya.
“Sudahlah Tyka. I betul-betul sibuk sekarang. Tak
ada masa nak layan you.” Idham meraup mukanya dengan
tangan kiri.
“You tak nak jemput I datang ke majlis kahwin you?”
“I rasa tak perlu kut sebab I tak nak ada sebarang
kaitan lagi dengan you. Sorry, Tyka. I terpaksa letak telefon
ni dan...”
“Dan apa, Am?” Atikah tak sabar nak tahu.
“Tolong jangan hubungi I lagi. I nak cuba bina hidup
baru tanpa you.” Terus talian dimatikan.
Idham melepas keluhan berat. Dia cuba
menghilangkan bayangan Atikah. Dia tidak mahu mengenang
dan mengingatkan wajah Atikah lagi. Dia mahu lupakan
Atikah. Atikah sudah tiada kaitan dengannya lagi.
“Bos, makanan dah siap.” Jamal menyapa sebaik
sahaja Idham melangkah ke ruang tadi.
“Hmm...” Idham melangkah ke meja makan. Ada
bubur nasi dan secawan Milo panas. Roti bakar juga ada.
“Jemput makan, encik. Lepas makan bubur ni, encik
makan ubat. Kemudian terus berehat supaya badan cepat
sihat.” Nurul muncul di hadapan Idham yang sudah melabuh
punggung di kerusi.
Jamal turut berada di situ. Masih tegak berdiri.
“Jamal, awak dah sarapan? Kalau belum sarapan,
temankan saya di sini.”
“Saya dah sarapan tapi saya teringin nak makan
roti bakar buatan Cik Nurul, nampak macam sedap.” Jamal
menghadiahkan senyuman buat Nurul.
“Kalau encik nak apa-apa, encik panggil saya. Saya
nak siapkan makan tengah hari. Pakaian kotor semua saya
dah masukkan dalam mesin basuh. Sebelum balik nanti, saya
siapkan semuanya.” Nurul terus beredar tanpa mendapat
sebarang kata dari Idham.
“Hmm... sedap.” Puji Jamal sambil mengunyah roti
bakar.
Idham segera melempar jelingan.
“Bukan main ramah lagi awak berborak dengan
perempuan tu.”
Jamal angkat keningnya sambil memandang ke arah
Idham.
“Bukan ramah mana pun, borak biasa saja.
Bosan saya kalau asyik duduk tanpa buat apa-apa.” Jamal
menghadiahkan senyuman.
“Lepas habiskan roti tu, awak pergi duduk kat sofa
sana, tak payah nak tunggu saya makan.” Idham memberi
arahan dengan muka masam.
Senyuman Jamal terus mati. Cepat-cepat dia
habiskan roti dan segelas air sebelum beredar.
Idham menyuap lambat bubur nasi. Matanya sesekali
melilau ke ruang dapur melihat Nurul membuat kerja. Dalam
diam, dia memuji hasil kerja gadis itu. Walaupun masih
muda, tapi cekap buat kerja. Kalau dia kena beri markah, dia
akan beri markah penuh.
“Am, you dah jumpa calonnya?” Tiba-tiba pertanyaan
Atikah menerpa di ingatannya.
“Calon?” Terus terhenti suapannya. Dia masih
punya tempoh dua minggu untuk mencari calon isteri bagi
meneruskan majlis perkahwinannya. Di manakah harus dia
cari calon itu? Idham mula buntu.
“Encik,” Tiba-tiba dia disapa Nurul.
Saat itu juga matanya terpaku menatap wajah Nurul
di hadapannya.

DATIN SUHANI menjenguk ke penthouse Idham setelah
mendapat tahu Idham tidak sihat. Sudah dua hari anaknya itu
cuti. Ini penyebab utama Datin Suhani berkunjung ke sini.
“Macam mana, Am dah sihat?” Datin Suhani
merenung wajah anak kesayangannya itu.
“Dah. Am dah sihat. Esok dah boleh kerja.” Idham
masih sibuk menatap komputer ribanya tanpa memandang
wajah mummynya. Nampak sangat yang dia sibuk dengan
kerja walaupun tidak ke pejabat.
“Hmm... bersih. Kemas.” Datin Suhani tiba-tiba
memuji bila memeriksa keadaan penthouse milik anaknya,
Idham.
Idham mengangkat mukanya.
“Ryzal beritahu mummy, Am dah ada pengganti Mak
Cik Mimah. Betul ke?” Mata Datin Suhani masih lagi meneliti
segenap ruang penginapan Idham.
Idham tarik nafas. Sungguhlah si Ryzal ni. Semua
benda dia nak report dekat mummynya. Itu sebabnya dia tak
beritahu kenapa dia memilih Atikah dulu. Kalau dia beritahu,
pasti Ryzal akan ceritakan pada wanita ini.
“Haah, baru dua kali dia datang bersihkan. Am tak
larat nak buat sendiri.” Idham memandang seketika wajah
mummynya sebelum kembali menatap komputer ribanya. Ada
beberapa perkara yang perlu dia buat untuk pembentangan
mesyuarat esok.
“Umur macam Am ni dah lama patut kahwin. Kalau
nak harapkan si Atikah tu, sampai bila-bila pun Am tak
kahwin. Nasib baiklah Am putuskan pertunangan Am dengan
dia.” Komen Datin Suhani memikirkan hubungan Idham dan
Atikah sebelum ini.
“Mummy, hal Atikah tu tak payahlah mummy nak
ungkit lagi. Am pun dah cuba lupakannya.” Idham mendengus
kasar.
Datin Suhani melabuhkan punggungnya ke sofa
bertentangan dengan Idham.
“Itulah, mummy nak jodohkan Am dengan Emilia,
Am tolak. Nak juga kahwin dengan si Tyka tu, macam nilah
jadinya. Sampai sekarang terus membujang. Tengok Ryzal,
umur sebaya Am, anak dah masuk dua.” Datin Suhani mula
membebel. Anak bujang tunggalnya ini sudah berusia 32
tahun tapi sampai sekarang belum berumah tangga. Asyik
tangguh saja majlis kahwinnya. Kalaulah Idham terima
Emillia dulu, pasti dia dah mempunyai cucu.
“Mummy, kalau Am tak suka mummy sebut nama
Atikah, Am juga tak suka mummy sebut nama Emilia.
Emilia tu memang tak sesuai dengan Am.” Idham menutup
komputer ribanya. Dia dah tak boleh nak fokus pada kerja
kalau mummynya dah mula membebel.
“Apa kurangnya Emilia tu? Kerja elok, anak orang
berada, pandai hormat orang tua, bertudung lagi. Itukan ciriciri
perempuan baik untuk dijadikan isteri.” Datin Suhani
masih lagi mempertahankan calon menantu pilihannya.
“Nampak baik pada pandangan mummy, tak
semestinya baik pada pandangan Am. Mummy tak kenal pun
siapa sebenarnya Emilia tu.” Idham memandang wajah Datin
Suhani.
“Mummy kenal. Dah banyak kali jumpa dia. Dia baik,
hormatkan mummy, bukan macam Atikah tu. Berlagak lebih
macam diva.” Datin Suhani mendengus kasar.
Idham menggeleng kepala.
“Baiklah. Kalau mummy betul-betul nak kenal calon
pilihan mummy tu, Am nak tunjukkan sesuatu yang mungkin
mummy belum kenal tentang perempuan tu.” Idham hilang
ke biliknya dan dia muncul semula dengan membawa satu
sampul surat.
“Mummy tengok apa dalam tu dan mummy
buat kesimpulan, siapa sebenarnya Emilia.” Sampul surat
itu diletakkan di hadapan mummynya. Matanya terus
memandang wajah Datin Suhani.
Laju tangan Datin Suhani mencapai sampul surat
itu. Lama matanya terpaku menatap beberapa keping gambar
yang dikeluarkan dari sampul surat itu.
Idham nampak mummynya menelan liur. Agaknya
terkejut dan tidak sangka dengan apa yang dilihatnya.
“Sekarang, mummy boleh cakap yang Emilia tu
calon menantu yang baik?” Kali ini Idham menyerang
mummynya.
“Mummy... mummy tak sangka pula yang Emilia...”
Datin Suhani menarik nafas panjang. Rasa semput dadanya
menatap gambar tidak senonoh Emilia dengan seorang lelaki.
Hilang terus rasa hormatnya pada gadis bertudung itu.
Bila Datin Suhani asyik mendesak dia menerima
dengan mengatakan perempuan itu calon yang terbaik
sedangkan hati kecilnya menidakkannya. Kerana itu juga dia
telah mengupah Badri, seorang penyiasat untuk menyiasat
berkenaan Emilia kerana dia yakin bahawa Emilia bukan
sebaik yang Datin Suhani sangkakan. Pernah beberapa kali
dia melihat Emilia bersama seorang lelaki dalam keadaan
yang mencurigakan. Dan setiap kali dia diketemukan dengan
perempuan itu, lagaknya cukup merimaskan Idham.
“Mummy, bertudung tu tak semestinya dia
perempuan yang baik. Ada yang bertudung sekadar
untuk mengaburi mata umum. Am tak tuduh semua tapi
sebahagian kecil itulah yang merosakkan imej orang lain. Am
tak kata yang Atikah tu perempuan yang terbaik. Jadi, Am
tak menyesal pun dengan keputusan yang Am buat. Am yakin
bahawa jodoh Am bukan dengan Atikah.”
“Habis tu, Am kata Am nak teruskan majlis kahwin
Am dua minggu lagi. Am dah jumpa calonnya?” Kali ini Datin
Suhani mula rasa simpati dengan Idham. Dia tahu anaknya
cukup kecewa dengan sikap Atikah yang lebih mementingkan
kerjaya sehingga Idham nekad memutuskan hubungan
mereka.
Sebagai ibu, dia sangat menyokong keputusan
Idham kerana sejak awal lagi dia tidak menyukai Atikah, dia
sendiri tidak tahu kenapa. Perasaan suka itu tidak wujud
untuk Atikah walaupun Atikah cuba berbaik-baik dengannya.
Sekarang, ternyata dia tidak salah berperasaan begitu kerana
gadis itu benar-benar mengecewakan anaknya. Bukan sekali
tapi sudah berkali-kali.
Idham mengetap bibir. Memang berat untuk
mengakui bahawa dia masih belum menemui sesiapa sebagai
calon isterinya. Takkanlah nak main cekup sahaja manamana
perempuan yang lalu depan mata.
“Am,” Suara Datin Suhani mematikan lamunan
Idham.
“Dah. Am dah jumpa.” Idham segera menjawab
dengan penuh yakin. Sekadar mahu menyedapkan hati
mummynya.
“Am dah jumpa? Siapa? Mummy kenal ke?” Datin
Suhani kalut menyelidik.
“Tak. Am pun baru kenal dia. Nanti Am kenalkan dia
dengan mummy dalam sehari dua lagi.” Idham menyambung
penipuannya.
Datin Suhani hanya diam. Dia tak tahu apa yang
harus dikatakan lagi. Selama ini dia terlalu mendesak Idham
sampaikan adakalanya anaknya itu merajuk sampaikan
berminggu-minggu tak balik rumah. Sekarang, dia mahu
menyerahkan segalanya kepada Idham dan mengharapkan
keputusan Idham kali ini adalah yang terbaik walaupun
dalam keadaan tergesa-gesa.
“Baiklah. Mummy pun nak kenal orangnya sebelum
dia jadi isteri Am. Tambahan pula, banyak perkara yang
perlu kita uruskan sebelum majlis kahwin. Masa dah suntuk.
Kita kena berjumpa dan berbincang dengan orang tuanya
secepat mungkin. Mummy tak kisah siapa orangnya, status
keluarganya. Asalkan Am suka, mummy terima. Cuma soal
nikah kahwin ni tak boleh dibuat main-main kerana ini
melibatkan masa depan banyak pihak.”
“Tapi kalau Am tak bersedia nak kahwin atau belum
jumpa calon yang sesuai, Am tangguhkanlah dulu. Mummy
dah tak rasa apa-apa kalau Am tangguhkan sekali lagi majlis
kahwin tu sebab mummy dah lali.” Kali ini Datin Suhani
mula pasrah. Dia tidak mahu memaksa Idham lagi dalam soal
ini. Dia tak mahu pentingkan diri sendiri. Biarlah apa kata
sanak saudaranya. Kebahagiaan Idham adalah keutamaannya.
Idham mengukir senyum. Jauh di sudut hati dia lega
kerana mummynya dapat menerima perkara ini dengan baik.
Wanita itu tidak lagi merungut seperti biasa, mungkin dia
sudah tidak mahu memberi tekanan untuknya lagi. Saat ini
hanya satu nama yang terpahat dalam mindanya dan hanya
satu bayangan yang muncul dalam benak fikirannya.

No comments:

Post a Comment