Wednesday, 24 January 2018
Cinta Mamat sandwich - Bab 1
DIA memandang bias tubuhnya di hadapan
cermin. Terselit rasa bangga dengan penampilannya malam
ini. Dia yakin dress kembang paras lutut dengan bahagian
dada yang terdedah mampu membuatkan mana-mana lelaki
menelan liur; setiap mata nakal mereka tidak beralih daripada
memandangnya.
Senyuman nakal terbit di bibir. Kebanggaan
yang melahirkan riak dalam hati. Ah! Bukan dia riak, tapi
mengagumi anugerah Allah. Jangan pernah bazirkan
kecantikan yang dianugerahkan; begitulah mentaliti seorang
Adhia Adamia.
Dia mendekatkan wajah putihnya ke hadapan cermin.
Setelah berpuas hati dengan mekap dan lipstik, dibuka pili air
untuk membasuh tangan. Padahal dia sengaja melengahkan
niat hati untuk keluar dari tandas apabila telinga menangkap
suara sumbang beberapa orang perempuan yang mungkin
juga sedang meneliti mekap di wajah mereka.
Ada dia kisah dengan apa yang diperkatakan? Tidak
sama sekali! Sempat dijeling ke arah perempuan di sebelah
seraya menghadiahkan senyuman sinis. Kepala dipusing ke
hadapan sehingga rambutnya yang separas bahu beralun.
Sengaja hendak membakar.
‘Nasib koranglah kalau cemburu dengan aku.
Memang aku takkan biarkan sesiapa melebihi kecantikan aku
malam ni.’
Dengan keyakinan, dia melangkah penuh gaya
memasuki dewan. Inilah kali pertama dia menghadirkan diri
ke majlis reunion sekolah menengahnya. Dan inilah juga kali
pertama dia memunculkan diri setelah lama menghilang;
menghapuskan kewujudan diri kerana terpaksa.
Huh! Kali ini dia kembali dengan satu misi. Misi
yang akan dia lakukan dengan jayanya walaupun terpaksa
bergadai nyawa. Senyuman penuh makna terukir di bibir.
Apa yang hilang dulu harus ditebus. Hutang yang tertinggal
harus dikutip kembali. Bersedialah semua!
Itu hanyalah rancangannya. Tanpa dia sedar, Allah
juga merancang. Dan sebaik-baik perancang ialah Allah
SWT. Sesungguhnya Allah lebih tahu apa yang terbaik buat
hamba-Nya. Pemegang kunci langit dan bumi.
Langkah kaki dihentikan di tengah-tengah dewan.
Dia mengitari sekeliling. Dalam hati dia mengulum senyum.
Rata-rata mata lelaki buntang ke arahnya tanpa berkelip. Ah!
Mata siapakah yang tidak akan berkelip melihat perempuan
yang jalannya mengalahkan lenggok model? Disertakan
pandangan manja menggoda. Dengan senyuman bisa
membuatkan yang melihat nanar tidur malamnya. Bisakah
lelaki-lelaki buaya itu menolak jika ini yang dihidangkan si
gadis?
“Hai Rizki,” tegur Adhia. Lenggok suara sengaja
dimanjakan. Senyuman manis masih setia di bibirnya. Tiket
untuk dia mengikat hati semua orang.
“Errr, hai.” Tergagap-gagap Rizki. Barangkali
tidak menyangka yang si gadis manis menggoda itu akan
menegurnya.
Adhia menghulurkan tangan untuk bersalaman. Apa
lagi, mat romeo seperti Rizki pantas saja menyambut. Kekura
tangan Adhia dikucup lembut.
Adhia tersenyum manis. Hai, nampaknya jerat sudah
mengena. Senang saja dia mengikat Rizki. Lelaki itu, dari
dulu sampai sekarang masih dengan sikap gatalnya. Sebelum
membuat keputusan untuk menghadirkan diri ke majlis
ini, Adhia sudah mencari dan meneliti setiap latar belakang
‘sahabat-sahabat’ lamanya ini.
“Auch, seganlah saya...” Adhia tutup mulutnya
dengan tangan kiri. Dia tertawa halus.
“Selayaknya gadis manis seperti awak dilayan
sebegitu.”
Wah! Manis sungguh ayat romeo Rizki.
Adhia mengangguk. Tangannya ditarik lembut
daripada genggaman Rizki. ‘Hai, tak payahlah nak pegang
lama-lama. Haus nanti tangan aku ni...’
Matanya masih mencari-cari bayang seseorang.
Seseorang yang amat ‘bermakna’ dalam hidupnya. Menjadi
nadi dalam hidupnya yang tersembunyi selama dia
menghilangkan diri.
“Tapi kan, kita berdua kenal ke?” soal Rizki.
Adhia berpaling ke arah Rizki kembali. Wajahnya
dimaniskan. Lengan Rizki dipaut manja, memaksa lelaki itu
mengikut langkahnya ke meja makan. Penat pula berdiri
lama.
Matanya tetap melilau ke kiri dan kanan. Dia perasan
ada mata-mata gadis yang memandang sinis ke arahnya. Dan
ada setengahnya dia kenal sangat. Namun, malas dia hendak
menegur dan mengenalkan diri. Maka didiamkan saja. Biarlah
mereka memandang sinis, malas dia hendak layan!
Adhia dan Rizki duduk di meja makan.
“Awak masih belum jawab soalan saya. Kita kenal
ke?” ulang Rizki.
Adhia menepuk dada Rizki manja. Senyuman
menggoda diukir. Tubuh sudah meliuk menggedik.
Rizki tersengih nakal.
“Sampai hati Riz tak kenal Dhia...” lirih suara Adhia.
Muncung ditarik.
Melopong Rizki. Dhia? Hanya seorang saja Dhia yang
dia kenal dalam hidupnya. Apakah ini Dhia yang sama? Tapi,
Dhia yang di hadapannya ini jauh bezanya.
‘Apa yang kau nak hairankan Riz, 10 tahun dia
menghilang. Mana pernah kau jumpa dia selama ni,’ ujar
hatinya.
“Serius? Betul ke awak Adhia Adamia?” Jelas riak
tidak percaya di wajah Rizki.
Adhia hanya mengangguk. Apa yang susah sangat
nak percaya yang dia ini Adhia Adamia?
“Tapi awak betul-betul nampak... lain.” Rizki geleng
kepala beberapa kali. Kagum dan terpesona dalam masa yang
sama.
“Okey. Saya faham maksud gelengan tu. Riz tak
suka ke jumpa Dhia?” Adhia mengutil kukunya. Kepala
ditundukkan. Sendu suaranya.
“Eh, bukan macam tu. Riz suka. Teramat suka.”
Tangan Adhia diraih. Dicium sekali lagi kekura tangan gadis
itu.
Adhia angkat wajah. Senyuman manis dipamerkan.
‘Hahaha, kau masih sama Rizki. Sikit pun kau tak berubah.’
“Wah, lihat siapa ni!” sinis suara itu.
Adhia berpaling ke kirinya. Dia kenal sangat pemilik
suara itu. Perempuan yang berhutang sesuatu berharga
dengannya. Wajahnya dimaniskan. Rasa memberontak
disimpan jauh. Sekarang bukan masa yang sesuai untuk
dilunaskan rasa hati.
Tanpa rasa tergugat, Adhia bangun daripada
duduknya. Tangan dihulurkan untuk bersalaman namun
tidak bersambut. Baru saja Adhia mahu menjatuhkan tangan,
terasa hangat tangannya disambut seseorang. Matanya
memanah pemilik tangan itu.
“Awak rakan sekelas kami ke? Tak pernah nampak
awak selama ni,” ujar Tariq sebaik saja genggaman tangan
Adhia dilepaskan.
Adhia perasan muka kelat Talia. Huh! Ada dia kisah
dengan muka kelat tu. Seposen pun dia tak hairan. Asalkan
apa yang dia hendak tercapai.’
“Weh, bro! Kau pun tak kenal Dhia ni?” Rizki
bersuara sebelum Adhia sempat menjawab.
Alahai... dia baru hendak buka skil untuk menggoda
Tariq, namun cepat pula dicantas Rizki. Wajahnya cuba
dimaniskan juga.
“Hah! Adhia Adamia?” Buntang mata Tariq.
Adhia tersenyum manis.
“Yup bro,” ujar Rizki meyakinkan Tariq.
“You look so gorgeous.” Anak mata nakal Tariq
memandang Adhia atas bawah.
Talia kacip gigi. Sakit hati melihat tunangnya yang
terang-terang depan mata menunjukkan minat terhadap
perempuan lain.
“Huh! Mana hilang parut kau tu?” Kasar soalan Talia.
Adhia telan liur. Bukan kerana gugup, tetapi
kerana peritnya dia menahan rasa dalam hati. Ikutkan rasa,
di sini juga lunyai digulaikan Talia. Dia tahu Talia sengaja
membangkitkan hal itu kerana ingin membakar hatinya.
Talia, gadis yang tidak pernah sebulu dengannya.
Kerana gadis ini dia kehilangan kekasih hati. Kerana
mulut gadis inilah dirinya menjadi bahan umpatan keji
rakan sekampus. Pelbagai racun dilemparkan kepadanya.
Wajahnya yang berparut sering kali dijadikan bahan ejekan.
Dia dikatakan sial. Kerana dia, ibu bapanya meninggal dalam
kemalangan itu. Malahan datuknya hampir terkena serangan
jantung kerana Talia. Gadis itu meracun fikiran datuknya
dengan kata-kata nista sehingga dia dibuang keluarga.
“Haah, betul tu Dhia. Mana hilangnya parut awak
tu?” soal Rizki pula.
“Bertahun-tahun kau menghilang, mesti kau buat
pembedahan plastik, kan?” teka Talia sebelum sempat Adhia
menjawab. Sinis bunyinya.
“Serius Dhia?” soal Rizki lagi.
Aduhai, kepochi sungguh mamat ni!
“Helo guys, apa kelas surgery ni. Tak original tau.
Saya guna ubatan kampung. Setakat parut macam tu, apalah
sangat. Hahaha... saya ni bukan macam orang tu, dah hilang
originalitynya. Sana sini cucuk.” Adhia tersenyum sinis. Puas
hatinya dapat menyakitkan hati Talia. Perasan sangat dia
dengan wajah berang itu.
“Okeylah guys, saya nak ke sana kejap. Perut saya ni
dah lapar sangat.” Adhia menggosok lembut perutnya dengan
lagak menggoda.
Rizki dan Tariq menelan liur. Fuh! Iman sudahlah
di hujung kelengkeng. Pergh, memang jauh beza sungguh
Adhia Adamia dulu dan sekarang. Transformasi yang
memberangsangkan!
No comments:
Post a Comment