Wednesday, 24 January 2018

Cinta Mamat sandwich - Bab 3

ADHIA ketuk stereng kereta. Geram dengan Adif.
Tanya nama pun susah nak jawab. Mujur ada Aiman yang sudi
menjawab. ‘Aku dah rendahkan diri aku tergedik-gedik dengan
dia, tapi boleh saja dia buat tak layan. Malah diceramahkan
lagi aku ni.’
“Kau ni perempuan, kan? Islam?” soal Adif.
“Ya.” Teragak-agak Adhia menjawab. Dahinya
berkerut. Kenapa soalan itu yang ditanya? Ada kaitan ke?
“Hmm, tapi kenapa aku tak nampak kau macam
perempuan Muslimah? Jauh sekali sebagai orang Islam.
Dengan pakaian dedah sana sini. Dengan rambut macam
rumput kena racun. Mekapnya, ya Allah! Kalau macam ni
cara kau, aku malu nak mengaku saudara sesama Islam. Kau
tak rasa malu ke bila orang tanya kau Islam ke tak? Nampak
sangat pakaian kau tak melambangkan darah Islam yang
mengalir dalam tubuh kau tu,” selar Adif lancang.
Adhia hentak kaki. Sakit hatinya.
“Tunggu, Adif. Kalau aku tak mampu buatkan kau
melutut di kaki aku, bukan Adhia Adamia namanya!”
Adif menjeling Adhia yang masih berada di dalam
kereta. Sangkanya gadis itu akan terus berlalu pergi. Dia
nampak wajah tegang Adhia yang sedang merenung tajam ke
arahnya. Nafas berat dilepaskan.
“Kau kasar sangat dengan dia, Dif. Tak baik kau
cakap macam tu. Kasihan dia,” omel Aiman.
“Aku kata apa?” Adif buat muka blur. Bonet kereta
ditutup. Bersedia untuk beredar. ‘Lantaklah minah tu nak
duduk kat situ sampai pagi esok pun. Tak kuasa aku nak
layan.’
Aiman jegil mata. Eh, ini betul ke kawan dia ni? Baru
tadi di‘sekolahkan’ minah tu, sekarang boleh pula dia buat
tanya ‘cakap apa?’.
“Woi, kau nak balik ke tak nak?” laung Adif dari
dalam kereta.
Terkocoh-kocoh Aiman masuk ke dalam perut
kereta. Dibuatnya Adif meroyan tinggalkan dia, niaya saja.
Sesekali Adif menjeling cermin pandang belakang.
Kereta Adhia masih di situ. Kenapa pelik sangat perempuan
itu? Mereka kenal pun baru hanya beberapa jam tadi, tapi
melekat dengannya bagaikan sudah bertahun kenal. Hai,
sudah macam perigi mencari timba!
Aiman mengerling Adif. Dia sempat menangkap
kelakuan sahabatnya itu.
“Cantik kan awek tadi.” Aiman bersuara memecah
kesunyian antara mereka.
Adif kerut kening.
“Awek mana?” soal Adif.
“Adhia.” Aiman sengih gatal.
Adif mencebik. Tak habis lagi dengan minah Adhia
tu.
“Kau jangan nak gatal sangat. Nanti aku repot kat
tunang kau, baru tahu!” ugut Adif.
“Woi, alaa... kau ni, aku gurau ajelah.” Aiman silang
tangan. Sikit-sikit nak ugut. Huh! Nak jual minyak sikit pun
tak boleh dengan Adif ni. Lurus orangnya.
Tiba-tiba telefon Adif berdering. Earphone
dimasukkan ke telinga sebelum menjawab panggilan
tersebut. Keselamatan perlu diutamakan selain mengelakkan
daripada disaman.
“Helo, yup. Okey, kau hantar alamat. Lepas zohor
aku ke sana,” putus Adif.
“Siapa?”
“Afiq. Ada pelanggan call beritahu air-cond yang dia
pasang minggu lepas buat hal. Dia suruh aku pergi sebab dia
ada kerja kat tempat lain.”
“Ooo. Maksyuk ke business korang?” soal Aiman lagi.
“Alhamdulillah.” Ringkas jawapan Adif. Berapa pun
rezeki yang masuk, yang mereka dapat, perlu disyukuri. Perlu
disudahi dengan lafaz pujian kepada Allah. Kerana rezeki
yang mereka dapat ini adalah kurniaan-Nya.

ADHIA MENGHEMPAS punggung ke sofa. Panas hati masih
tidak reda. Kerek punya lelaki! Dia punyalah tunjuk manja,
boleh pula Adif buat tak tahu. Buta hati ke apa? Si Luqman
tu, kalau dia buat suara lunak, terus jatuh terjunam. Huh!
“Kau ni kenapa? Muka bengang aje?” soal Dhira.
“Takde apalah. Eh, kau dah panggil orang tengokkan
air-cond tu?”
“Dah. Lepas zohor ni dia hantar orang tengok. Jadi,
macam mana dengan meeting tadi?”
“Macam biasa. Ala, kita bukannya tak pernah deal
dengan Amira tu, pasal harga masih sama. Cuma tadi kami
bincang pasal tempat nak shoot. Aku kalau boleh tak nak
tempat yang jauh-jauh. Area Shah Alam ni pun dah okey,”
jelas Adhia akan isi mesyuarat tadi.
“Okey. Eh, sebelum aku lupa, ada bunga untuk kau.”
Dhira bangun menuju ke meja makan. Dicapai ros merah tiga
kuntum itu lalu diserahkan kepada Adhia.
“Err, siapa yang bagi bunga ni?”
“Tengoklah. Ada kad tu.”
“Hah! Luqman?” Bulat mata Adhia memandang
bunga ros itu. Tidak sangka, secepat ini jeratnya mengena.
Mata Dhira turut sama membulat.
Kad yang bertulis tangan itu mereka baca bersama.
Dinner with me tonight.
-Luqman-
“Dia ajak kau dinner, babe.” Teruja suara Dhira.
Macamlah dia pula yang diajak makan malam.
Adhia sudah tersengih-sengih. Dalam kepala sedang
memasang agenda. Yang pasti, semua akalnya idea jahat.
“Eh, Luqman tu dah kahwin ke?”
“Entah. Aku tak tahu. Dan aku tak nak tahu. Yang
aku tahu, aku nak diaorang rasa apa yang aku rasa dulu.”
Senyum Adhia sinis.
Dhira mengeluh. Dia tidak menyokong apa yang
ingin dilakukan sahabatnya ini, cuma kerana tidak mahu
si sahabat terasa terasing, diikutkan saja. Dia bimbang jika
Adhia akan terluka kerana perbuatannya sendiri. Sudah
dinasihatkan, namun sahabatnya itu tetap nekad. Makanya
dia mengikut. Sekurang-kurangnya jika Adhia semakin
jauh, dia boleh tarik kembali agar sahabatnya itu kembali ke
landasan yang betul.

No comments:

Post a Comment