Wednesday, 24 January 2018

Cinta Mamat sandwich - Bab 5

ADIF mengiring ke kiri. Lepas itu ke kanan.
Malam yang panjang dan resah buatnya. Sekejap-sekejap
dia menggeleng kepala. Malam ini dia tidak buka kedai
burger. Penat melayan otaknya yang makin biul agaknya. Dia
bukanlah seorang lelaki yang suka masa lapangnya terbuang
begitu saja. Disebabkan itulah setiap masa lapangnya pasti
akan dipenuhi dengan kerja yang berfaedah.
Dia bingkas bangun dari perbaringan. Rambutnya
dikusutkan dengan tangan. Stres!
‘Dah kenapa dengan kepala aku ni? Asyik fikirkan
minah tu kenapa? Takde benda lain ke kau nak fikirkan?’
Kunci motor diambil. Baik keluar daripada duduk di
rumah. Buat kepalanya semak saja.
“Kau nak pergi mana?” soal Aiman.
“Keluar.”
Aiman jongket kening. Tadi baru dia dengar yang
Adif hendak berehat. Penat katanya. Alih-alih nak keluar pula.
“Kau nak pergi mana? Nak ikut!” Aiman menyengih.
“Isy, kau ni... nak membuntut aku aje kerja kau ek.”
“Alaa, kau kan boyfriend aku.” Aiman letakkan
tangannya ke bahu Adif.
“Eiii, meremang aku dengar perkataan boyfriend tu.
Nak ikut, jom. Tak payah nak tayang muka gedik.”
Aiman buat muka teruja, namun hanya seketika.
Dia memandang Adif yang sedang menghidupkan motor
kapcai eksotik yang layak masuk muzium itu. Nafas lemah
dihembus kasar.
Adif simpan senyum. Tahu sangat Aiman akan tarik
muncung. Sibuk sangat nak ikut. Padan muka!
“Cepatlah. Tadi nak ikut,” gesa Adif. Pura-pura tidak
nampak wajah cemberut Aiman. Kalah perempuan merajuk.
“Alaa, motor kau yang besar gedabak tu ada, kenapa
tak naik?” ujar Aiman.
“Ikut suka aku ar. Kau nak ikut, naik. Tak nak, syuh...
syuh... masuk duduk kat dalam rumah diam-diam,” ujar Adif
yang sudah sedia mahu menggerakkan motornya.
“Weh, tunggulah. Hesy, susah dapat kawan kedekut
tahi hidung masin ni,” rungut Aiman. Tapi kakinya tetap
membawa dirinya membonceng di belakang Adif.
Setelah lama berjalan, Aiman mengeluh. Punyalah
perlahan motor itu bergerak. Ini kalau dia nak tidur pun
sempat. Pinggang pun dah sakit. Si Adif ni nak ke mana
sebenarnya? Berpusing-pusing dari tadi, tapi berhentinya
tidak. Menyesal pula dia ikut.
Adif menghirup udara malam yang menyegarkan.
Sengaja dia berpusing-pusing untuk menikmati suasana
malam yang indah ini. Dia sedar yang Aiman keresahan di
belakang, namun tidak dipedulikan. Siapa suruh nak ikut
sangat?
Fikiran yang berserabut memikirkan Adhia perlu
ditenangkan. Dia sebenarnya hairan, gadis yang hanya dikenali
secara kebetulan itu amat mengganggu ketenangannya. Di
mana-mana saja dia nampak bayangan gadis itu. Kenapa?
Takkanlah hatinya sudah terpikat dengan gadis yang...
berpakaian tak cukup kain itu?
‘Adhia, gadis yang cantik. Tapi sayang... kalaulah
kau datang sebagai Muslimah yang ‘bertutup’, pasti aku yang
mengejar kau,’ monolog hati Adif.
“Kau nak pergi mana ni? Pinggang aku dah berlipat
tau. Sudahlah lajunya, hai... jalan kaki lagi laju daripada
kapcai kau ni tau,” bebel Aiman. Geram.
“Hahaha, jangan nak merungut. Kau yang sibuk nak
ikut, kan?”
“Tahulah. Takkanlah kita nak berpusing-pusing
sampai pagi?”
“Yalah... jom kita lepak kedai sana.” Adif
memberhentikan motornya.
Buntang mata Aiman melihat restoran yang
ditunjukkan oleh Adif. Rezekinya malam ini dapat makan di
restoran mewah. Tambahan pula perutnya bergendang sejak
tadi.
“Jomlah,” ajak Adif.
“Eh, betul ke kau nak belanja aku makan kat sini?”
Macam tak percaya Aiman, Adif hendak makan di restoran
mewah? Selalunya mamat ni suka makan di gerai tepi jalan
saja. Bukannya tidak ada duit, tapi sengaja. Katanya, makan
di mana-mana pun tidak kisah. Janji perut kenyang. Dan
makanan tu halal.
“Betullah. Kalau kau tak nak, kita baliklah.” Adif
mengacah tolak kapcainya.
“Eh, nak... nak. Gila tak nak. Kau bukan senang nak
belanja makan mahal-mahal macam ni.” Laju saja Aiman
melangkah masuk ke dalam restoran. Ditinggalkan Adif
sendirian.
Adif geleng kepala. Huh! Laju saja langkah Aiman.
Sahabatnya nan seorang itu memang susah hendak dikawal.
Demand.
Selesai mengunci kapcai, dia menyusuli Aiman.
Walaupun kapcai, dia tetap sayang. Motor antiknya banyak
berjasa. Gila tak sayang!
Kaki Adif kaku melihat kemesraan pasangan di salah
sebuah meja yang berhampiran. Tangan lelaki itu menyentuh
bibir si gadis.
Penumbuk dikepal. Mahu saja dia menghentak
kepala kedua-duanya. Bengong! Panas hatinya. Matanya
mencerun merenung dua orang makhluk itu. Si gadis itu
pula boleh biarkan saja. Macam tiada maruah diri! Biarkan
saja tangan gatal itu meliar di tubuhnya.
‘Dah kenapa dengan kau ni Adif? Gadis tu bukan
sesiapa pun. Bukan ahli keluarga kau mahupun kekasih kau
yang perlu kau marah, yang perlu kau naik angin.’ Tiba-tiba
ada satu suara berbisik mengejek.
“Woi, sinilah!” panggil Aiman kuat sehingga
membuatkan pasangan tadi berpaling.
Mata Adif dan mata si gadis beradu seketika. Hatinya
makin sakit dengan riak selamba si gadis. Dengan laju dia
mengatur langkah ke meja Aiman. Semasa melintasi meja
pasangan itu, dia langsung tidak berpaling ke arah gadis itu.
‘Konon sukakan aku, tapi menggatal dengan lelaki
lain kat belakang aku!’ cemuh Adif.
Lawak sungguh! Dia juga yang menolak Adhia,
sekarang bercakap macamlah dia syok dengan Adhia. Aduhai!
Adhia kulum senyum kemenangan. Bukannya
dia tidak perasan mata tajam Adif yang menikam matanya.
Cemburulah tu. Dia nak mengurat, Adif yang jual mahal
sangat.
Tidak senang duduk Adif. Jarak antara meja mereka
tidaklah jauh. Setiap butir bicara si gadis dan si jejaka
masih mampu didengari. Dan itu membuatkan telinganya
berbulu. Nada manja si gadis dan ayat manis bergula si jejaka
membuatkan dia hendak muntah. Kalau ikutkan hati, hendak
saja dia angkat kaki dan pergi dari situ. Tapi mengingatkan
yang sekarang dia bersama Aiman, dibatalkan saja niat
hatinya. Mahu nanti dia disoal Aiman. Paling tidak sanggup,
kena bahan dengan sahabat baiknya itu.
Usai memesan makanan, Adif membelek handphone
dengan niat menukar fokusnya. Telinga yang kian berasap
dipekakkan. Mulut yang gedik hendak menyergah digigit
kuat supaya tidak terlepas bicara.
Tiba-tiba, satu WhatsApp masuk. Daripada nombor
yang tidak dikenali. Berkerut keningnya. Siapa pula?
Dipandang Aiman yang sedang ralit dengan game.
“Apa?” soal Aiman pelik.
“Takde apa-apalah.” Takkanlah dia nak tanya Aiman
pula. Dibuatnya Aiman tidak terlibat, bagaimana? Tapi...
bukan boleh kira Aiman ni. Pemurah sangat. Pantang orang
minta nombor telefon, ringan saja tangannya memberi.
Marah?
Makin berkerut kening Adif. Siapakah yang sesat ini?
Sombong!
Awak siapa hah? Suka hati cakap
saya sombong. Gila ke?
Saya pencinta setia awak.
Adif bengang. Telefon Samsung Galaxy Note 8
miliknya dilemparkan ke atas meja. Sudahlah hati tengah
menahan amarah, datang pula WhatsApp meroyan begitu.
“Kau ni kenapa?” soal Aiman terkejut.
“Takde apa-apa.”
“Ya ke takde apa-apa? Muka kau tu, mengalahkan
orang sembelit. Berkerut! Telefon mahal ni main campak aje.
Cuba kau cerita, kenapa?”
“Takde apa-apa. Aku...” Adif tidak jadi meneruskan
kata-kata apabila telefonnya menyala lagi. Tanda ada
WhatsApp masuk.
Marahkan nyamuk, jangan dibakar
kelambunya. Marahkan saya, jangan
dibaling telefon tu. Bukan dapat apa
pun. Mmmmuah!
Pantas kepala Adif berpusing ke kiri dan kanan.
Errkk, macam mana penghantar WhatsApp itu tahu dia
baling telefon? Seram sejuk pula dia rasa.
“Aiman, jom balik!” putus Adif lalu bangun
meninggalkan meja makan. Sempat dijeling meja di mana
Adhia berada sebentar tadi, tapi gadis itu tiada. Dah balik ke?
Kelam-kabut Aiman bangun mengikut langkah Adif.
Apa pula yang tak kena ni?
Bingung. Bengang. Lapar. Itulah perasaan Aiman
ketika ini. Tapi kerana menumpang, kaki digagahkan juga
mengikut.
“Hai,” sapa satu suara sebaik saja Adif hendak
menyarungkan helmet. Suara yang sudah dia cam. Erkk,
baru kenal pagi tadi, dah cam suara?
“Hai,” sahut Aiman.
“Eh, dah nak balik ke? Bukan ke baru sampai?” soal
Adhia. Dia yang baru keluar dari tandas ternampak kelibat
Adif terus mendekat.
“Hurmm... itulah pasal. Ni haa, mamat ni... entah
apa meroyan, makanan belum sampai dah ajak balik.”
Muncung Aiman memandang Adif.
Adif buat bodoh. Malas nak layan dua orang makhluk
itu.
“Adif...” Manja suara Adhia.
“Sayang.”
Belum sempat Adif menjawab, sudah ada suara
sumbang yang memanggil Adhia. 3 pasang mata memandang
ke arah suara itu.
Adhia masih beriak biasa. Tidak terkejut mahupun
gelisah. Luqman mendekat, lalu pinggang Adhia dipeluk
kemas. Ternganga mulut Aiman. Selamba habis mamat ni
peluk anak dara orang.
“Siapa ni?” soal lelaki itu lagi. Kedengaran agak
dingin.
“Ooo, ini kawan I. Yang tu... Adif, dan yang ni...
Aiman.” Adhia memperkenalkan.
Aiman menghulurkan tangannya, langsung tidak
disambut lelaki itu.
“I tak sangka sayang ada kawan naik motor cabuk
macam ni,” ujar lelaki itu sinis.
Berasap telinga Adif. Hai, mamat ni memang nak
kena ni! Gigi diketap rapat. Bergerak-gerak rahang Adif
menahan rasa. Suka hati saja nak mengutuk motornya. Lelaki
itu tak tahu, motor itu sudah banyak berjasa kepadanya.
Dengan motor inilah dia mencari rezeki yang halal.
Seram sejuk tubuh Aiman melihat rahang Adif
yang bergerak-gerak. Tanda sahabatnya itu sedang menahan
amarah. Apa nak buat ni? Habislah kalau Adif naik angin.
Mahu lembik mamat kerek ini dikerjakan sahabatnya itu
nanti.
“Apa salahnya dengan motor cabuk? Jangan pandang
rendah pada orang, Luqman...” tegur Adhia. Dia tidak suka
sikap Luqman yang memperkecil orang lain.
“Whatever! Jomlah masuk dalam. Dah sejuk
makanan tu.” Luqman menjeling Adif dan Aiman sekilas.
Ikutkan hati, tak ingin dia hendak bertegur sapa. Dia datang
di situ pun setelah dilihat Adhia berada di situ.
Adif menarik nafas dalam. Jelingan lelaki itu
mencabar maruahnya. Pandangan lelaki itu kepada mereka
berdua, seolah-olah dia dan Aiman makhluk yang menjijikkan.
Weh, setakat nak berlagak dengan BMW ansuran tu, dia pun
boleh. Huh, berlagak tapi hutang sekeliling pinggang!
Bibir Adif bergerak-gerak untuk berkata-kata, tapi
tidak jadi apabila Adhia bersuara.
“No! Kau kecewakan aku, Luqman. Kalau kau tak
boleh terima kawan aku, sama seperti kau tak boleh terima
aku. Jom, Adif.” Adhia mencapai helmet di dalam raga motor
lalu mengambil tempat di tempat duduk belakang.
“Cepatlah!” arahnya.
Adif yang terkejut hanya mengikut. Tangan Adhia
yang kemas memeluk pinggangnya terasa... bagaikan seluruh
tubuhnya dipenuhi dengan cas elektrik. Keras tubuh Adif.
Ini kali pertama dia dipeluk perempuan selain ibunya. Kalau
ibunya tahu ni, mesti dia kena hambat dengan penyapu lidi
keliling kampung.
Melopong Aiman melihat kapcai Adif yang menderu
meninggalkan kawasan restoran itu. Lepas tu, dia nak balik
dengan apa? Aduhai, apalah nasib badan. Jawabnya dia kena
minta tolong Syiralah. Bikin malu saja.
Luqman mendengus. Marah. Tercabar egonya
sebagai lelaki. Dia kalah dengan lelaki yang hanya ada kapcai!
Siapakah lelaki itu pada Adhia? Mesti ada hubungan istimewa
sehinggakan Adhia sanggup membelanya. Takkanlah teman
lelaki Adhia? Kalau teman lelaki, kenapa Adhia terima ajakan
makan malamnya ini? Ataukah Adhia sengaja hendak sakitkan
hatinya?

PINGGANGNYA YANG tegak dari tadi mula terasa lenguh. Apa
tidaknya, dari tadi lagi Adhia tidak lepas memeluknya. Hendak
menegur, lidahnya kelu. Daripada cara Adhia memeluknya,
membuktikan yang gadis itu tidak pernah menaiki motosikal.
Peluk pinggangnya macamlah dia memecut 120km/j. Kapcai
aje kut!
“Janganlah peluk kuat sangat. Sakit pinggang aku
ni.” Adif menampar tangan Adhia apabila dia mula terasa
sesak nafas. Makin lama, makin kuat pelukan gadis itu.
“Ikut suka aku ar. Jatuh aku nanti, kau nak tanggung?”
Adhia tak nak mengalah. Makin dieratkan pelukannya. Dia
tersenyum apabila mendengar Adif merengus.
‘Marahlah tu. Ada aku kisah dia marah ke tak? Janji
aku tak jatuh.’
Yalah sangat si Adhia ni takut jatuh. Sebenarnya
lebih kepada ambil kesempatan!
“Rumah kau kat mana?”
“Takkan dah lupa? Jalan ajelah. Nanti aku tunjuk.”
Adhia meletakkan dagunya di bahu Adif. Secara tidak
langsung tubuh mereka melekat. Rapat.
Bertambah kaku Adif dibuatnya. Serta-merta
motornya dibrek.
“Kenapa?” marah Adhia. Gila tak marah, dia hampir
tersembam ke depan kerana Adif melarikan tubuhnya. Tak
gentleman langsung!
Adif turun dari motor. Dia mundar-mandir di tepi
jalan. Nafasnya turun naik. ‘Adeh, gila... gila! Ini semua salah
minah ni. Sibuk nak naik motor aku.’
“Kau ni kenapa?” soal Adhia lagi.
Tajam pandangan Adif menikam pandangan Adhia.
‘Boleh dia tanya kenapa? Arghh!!!’
Geram.
Cuak.
“Kau naik motor dengan aku, sila jarakkan
duduk kau. Jangan dekat! Jangan peluk!” keras suara Adif
mengingatkan. Muka serius gila.
“Tapi...”
“Atau kau nak balik jalan kaki? Aku rasa kat sini dah
takde teksi.”
Adhia hentak kaki. Mahu ataupun tidak, dia harus
ikut kata-kata lelaki itu. Dengan kasar dia menghempas
punggung di atas pelana motor.
Adif geleng kepala. Tahu sangat yang gadis itu marah.
Tapi itu sajalah jalan yang dia nampak untuk mengelak
terjadinya sesuatu yang tidak elok.
Sampai saja di rumah Adhia, tanpa pamitan gadis itu
terus berjalan masuk.
“Adhia Adamia,” panggil Adif. Rasa bersalah kerana
berkeras dengan gadis itu tadi. Sebenarnya boleh saja dia
cakap elok-elok. Tapi entahlah, lidahnya hendak saja terus
menyergah.
Langkah Adhia terhenti. Statik. Dia tidak menoleh
ke belakang walaupun sekilas. Rasa terhina dengan tindakan
lelaki itu. Terasa dirinya ditolak.
“Aku minta maaf sebab tinggikan suara kat kau
tadi. Tapi kau kena faham, antara kita ada yang ketiga. Dan
aku lelaki yang normal, Adhia. Yang punya nafsu. Ingatlah,
lelaki dan perempuan dijadikan saling tertarik. Aku tak mahu
kerana nafsu, aku menyakiti kau. Kau perempuan yang perlu
aku lindungi sebagai seorang lelaki yang dijadikan sifatnya
untuk melindungi. Maafkan aku. Assalamualaikum.” Usai
berkata-kata, Adif memecut motornya meninggalkan Adhia
yang masih terpaku di situ.
Saat motor Adif menjauh, barulah Adhia berpaling.
Sungguh hatinya tersentuh dengan apa yang dikatakan Adif
tadi. Satu kenyataan yang membuatkan dia rasa dihargai.
Dilindungi. Perlahan-lahan kakinya melangkah masuk ke
dalam rumah.
Nasihatilah wanita itu dengan kebaikan
kerana perempuan dicipta daripada tulang
rusuk. Jika tulang rusuk itu diluruskan
secara paksa, maka ia akan patah. Namun
jika dibiarkan, ia akan tetap bengkok.
Nasihatlah wanita dengan baik.
(Riwayat Imam Al-Bukhari dan Muslim)

No comments:

Post a Comment