TIARA membuka pintu biliknya. Terjengul wajah
Mek Yah di luar pintu bilik. Setiap kali ada masa lapang,
memang dia akan datang ke rumah Tiara. Mereka berjiran
sejak kecil dan berkawan dari umur mereka enam tahun.
Sebab tu kalau bergaduh kemudian berbaik semula tu
memang dah jadi perkara biasa.
Tanpa disuruh, Mek Yah terus menapak masuk ke
dalam bilik Tiara. Membaringkan badan ke atas katil milik
gadis itu.
“Eh, kau beritahu aku beberapa bulan lepas kalau
result kau okey, kau nak apply biasiswa untuk sambung
master, kan?” Mek Yah angkat kening ulang-ulang kepada
Tiara. Dia senyum-senyum.
“Kau dah kenapa senyum macam tu? Geli-geleman
aku tengok.”
“Eleh, geli konon. Aku tanya tadi. Kau nak sambung
master ke?”
“Ya. Kalau mama dengan papa aku bagi. Aku memang
nak sambung.”
“Nak ikut.”
“Hah?” Tiara terus pandang Mek Yah. Dia tercengang.
Tak sangka itu yang akan diberitahu kawannya.
“Kau serius ke ni?”
“Yalah. Pointer aku lepas apa. Boleh kut ikut kau
sambung pergi UMS juga. Aku pun nak kenal tempat orang.
Lagipun kalau biasiswa aku lulus, rasanya parents aku tak
halang.”
“Kau pun nak apply biasiswa jugalah ni? Nak ikut
aku dah kenapa?”
“Saja.” Selamba jawapan Mek Yah.
Tiara kerutkan kening. Tak puas hati dengan jawapan
yang diterima. “Ermm... suka hati kaulah Mek Yah.”
“Macam tak suka je aku ikut kau.”
“Aku okey je. Buat jelah apa-apa yang buat hati kau
senang. Kalau dapat study kat tempat sama pun okey. Aku
sakit kau boleh tengok. Kau sakit aku pun boleh tengok.”
“Baguslah. Tapi aku nak tanya sikit boleh?” Sekali
lagi dia pandang kawannya itu dengan jelingan.
“Kau ni, pantang jumpa aku kan? Ada je soalan.”
Mek Yah sengih panjang. Dia muncungkan mulut
pada Tiara. Gadis itu menggeleng.
“Aku perasan kau dah lain sejak kita habis study hari
tu. Kau nak berubah ke?”
“Apa maksud kau?”
“Tu...”
Mek Yah muncungkan bibir pada sesuatu yang berada
di atas meja kecil di dalam bilik Tiara. Tiara menghalakan
pandangannya ke arah apa yang ditunjukkan kepadanya. Dia
faham maksud Mek Yah.
“Maksud kau buku ni?” Tiara mengambil buku
panduan solat yang berada tidak jauh daripadanya.
“Ya.”
“Tak salah kan kalau nak berubah ke arah yang lebih
baik. Aku dah lama tinggalkan solat. Seingat aku, kali terakhir
aku solat masa sekolah rendah. Masa tu umur belum baligh
pun lagi. Baru sebelas, dua belas tahun. Sekarang ni dah dua
puluh empat tahun. Kalau aku tak berusaha untuk berubah
dari sekarang, bila lagi? Lagipun mati tu tak pernah tunggu
kita untuk bertaubat. Aku dah jauh sangat. Jahil sangat bab
agama. Dunia semata-mata saja yang aku kejar selama ni. Tak
pernah kisah bila aku sakitkan hati orang lain.”
Mek Yah terdiam. Dia bangun. Tidak lagi berbaring
seperti tadi. Ada kerutan di dahinya. Dia sedikit sentap dengan
apa yang didengar. Dia juga sama seperti Tiara. Lebih kurang
saja perangai masing-masing. Bezanya, Allah masih tak jentik
hatinya sama seperti Allah jentik hati Tiara. Dia menunduk
seketika. Turut sama merenung diri.
“Kau nak masuk syurga sorang-sorang ke? Kenapa
tak nak bawa aku sekali?”
Tiara terpanar dengan soalan itu.
“Aku...”
“Kalau nak berubah, kenapa tak ajak aku sekali?”
Tiara mendekat pada Mek Yah. Dia pegang tangan
kawannya. Nada sayu yang keluar dari bibir perempuan
itu bukan nada yang bergurau. Dia tahu yang Mek Yah
menuturkan kata-kata itu dengan hati yang tulus.
“Aku tak ajak sebab aku takut kau ketawakan aku.”
“Sekarang ni aku ketawa ke?”
Tiara menggeleng. Dia senyum. “Kalau aku tahu
macam ni penerimaan kau, aku dah ajak kau pergi beli buku
ni sama-sama. Kita belajar slow-slow.”
“Mama dengan papa kau tahu?”
“Belum. Aku tak tahu macam mana nak cakap.
Nanti-nantilah. Tunggu aku betul-betul bersedia.”
Mek Yah angguk. Dia setuju. Mungkin Tiara mahu
memberi kejutan kepada kedua orang tuanya.
“Nanti kau nak apply biasiswa dan nak sambung
master tu, kau ajak aku juga tahu. Aku nak ikut.”
Tiara mengangguk.
“Terima kasih. Kaulah kawan aku dunia akhirat.”
Tiara membawa tubuh Mek Yah rapat ke badannya.
Tangannya memeluk tubuh itu. Mereka berbalas senyum.
TIARA MENGUNYAH perlahan nasi di dalam mulutnya.
Dia pandang ke arah mama dan papanya silih berganti. Nak
mulakan, dia tidak dapat nak mencari ayat yang tepat.
“Ara, kenapa?” Puan Maida memandang tepat kepada
Tiara yang menunjukkan rupa kelat. Nasi di dalam mulutnya
seperti payah untuk ditelan.
“Hah? Apa ma?”
“Ara tu kenapa? Macam ada yang tak kena je.
“Tak ada apa yang tak kena pun. Cuma Ara ada nak
beritahu something pada mama dengan papa.”
“Hmm, apa?” Encik Amir pula bertanya. Dia juga
sama seperti isterinya. Memberikan sepenuh perhatian
kepada Tiara.
“Ara nak minta restu mama dengan papa.”
“Restu? Nak kahwin ke?”
“Hesy, bukanlah pa. Kahwin mendenya. Ara mana
ada pakwe pun.”
“Boleh percaya ke tak ada pakwe? Sebelum ni ramai
je rasanya.”
“Tu dulu. Sekarang ni dah insaf.” Tiara menyengih.
Mengenyitkan mata kepada kedua-dua orang tuanya. Dia
menerima jelingan daripada mereka berdua.
“Dah tu nak minta restu apa? Ke nak mama tiri? Nak
suruh papa bagi madu kat mama?”
Encik Amir mengaduh apabila menerima cubitan
kasar daripada isterinya. Muncung Puan Maida sudah boleh
dibuat penyangkut baju.
“Gatal! Tak sedar diri isi perut tu dah berlipat.
Berkedut!”
“Abang gurau pun tak boleh. Sensitif betul. Kalah
anak dara.” Encik Amir membalas. Tiara menggelengkan
kepala melihat keletah mama dan papanya.
“Ara nak sambung study.”
Kedua-dua pasang mata itu memandangnya secara
drastik. Tak jadi nak bergaduh.
“Nak sambung?”
“Ya. Nak ambil master.”
“Bidang sama ke?”
“Tak pa, bidang lain. Ara rasa dah cukup pro dengan
Multimedia kut. Kali ni Ara nak ambil course yang berkaitan
dengan penulisan. Tapi kat U lain.”
“Kat mana?”
“UMS.”
“Jauhnya tu. Mama tak bagi!” Puan Maida segera
menyampuk. Dia sudah memberi amaran.
“Alah, ma... bukannya jauh mana. Untuk master,
kelas cuma dua sem je. Lepas tu tesis dua sem. Kejap je tu
ma. Time tesis tu, kalau tak stay sana pun okey sebab tak ada
kelas. Boleh je nanti Ara balik sini. Bolehlah ma... Lagipun
Mek Yah pun ada dengan Ara. Dia pun nak apply U sana juga
nanti.”
“Ni memandai buat keputusan sendiri ni siapa yang
izinkan? Ara dah apply semua ke? Dah register dah?” Encik
Amir menyampuk. Dia dan isterinya saling berpandangan.
“Belum. Ara nak minta izin dengan mama dan papa
dulu. Lagipun lepas konvo nanti baru dapat apply untuk
sambung master. Ara nak apply biasiswa sekali. Mek Yah pun
sama.”
“Jadi dah buat perancangan dengan Mek Yahlah ni?”
Tiara melihat ke arah mama dan papanya silih
berganti. Dia membuat muka seperti meminta simpati.
Berwajah sayu. Mohon dalam diam supaya kedua-dua orang
tuanya mengizinkan.
“Kalau mama dengan papa izinkan, Ara memang nak
sambung kat sana. Nak sangat sambung kat sana.”
“Kalau Ara nak sambung, sambung je kat UTHM!”
“Maa...”
Puan Maida bangun. Mengangkat pinggan ke singki.
“Please paa...” Tiara cuba meraih simpati papanya.
Encik Amir mengeluh. Lama-lama dia mengangguk.
Bersetuju dalam diam tanpa pengetahuan isterinya. Tiara
mengambil tangan itu dan meramasnya lembut. Bersyukur.
“Papa pujuk mama ya nanti.” Dia berbisik perlahan.
Encik Amir mengangguk. “So, lepas grad nanti Ara
apply ya?”
Tiara mengangguk.
“Okey. Buat je dulu. Nanti papa akan cakap dengan
mama kalau Ara lulus untuk sambung.”
“Thanks pa! Sayang papa sangat. Terima kasih sebab
selalu faham Ara.”
“Mana boleh tak faham. Ara tu banyak ikut perangai
papa.”
Mereka ketawa perlahan. Tidak mahu didengari oleh
Puan Maida.
“Tak payah nak berbisik. Mama tak izinkan. Jangan
duk nak bodek papa. Mama tetap dengan keputusan mama!”
Puan Maida berjalan melintasi mereka. Naik ke tingkat atas.
“Hmm... teruk perangai.”
“Bini papalah tu.”
Mereka ketawa lagi. Tiara melafazkan syukur di dalam
hati. Sebelah kakinya sudah dalam reda. Yang sebelah lagi,
tunggu papanya pula yang memainkan peranan. Mamanya itu
perlu dipujuk dengan cara yang betul. Biasanya papanya tak
pernah gagal kalau bab memujuk insan yang dicintainya itu.
Sekali lagi Tiara tayang gigi.
No comments:
Post a Comment