MENYINGA wajahnya tatkala melihat wajah kecil comel di sisi lelaki
yang sedang duduk sambil menyilang kaki di hadapannya sekarang. Masih terngiang
kata-kata lelaki itu sebentar tadi. Malah kata-kata itulah yang membuatkan marahnya
membara walaupun wajah kecil itu nampak tidak bersalah dan polos sahaja.
“You tak bergurau?” soalnya yang
masih mengawal nada suara. Enggan memperlihatkan emosinya yang sudah pun
melayang entah ke mana.
“Buat apa I nak bergurau?” soal
lelaki itu kembali, seolah-olah tiada perasaan lagaknya.
“Habis tu you nak I buat apa?”
“Mulai hari ni, dia akan tinggal
dengan kita.”
“You ni dah gila agaknya. You bawak
balik anak perempuan lain, you nak suruh dia tinggal dalam rumah ni?”
“Dia bukan anak perempuan lain. Dia
anak I, anak madu you.” Lelaki itu membetulkan.
“Anak haram! Anak tak sah taraf! Anak
perempuan simpanan you!” Sinis nada sang isteri. Walaupun tadi suaminya sudah
beritahu tentang perkahwinan keduanya yang dirahsiakan selama ini.
“Mala, jaga mulut you!” Hilang
sabarnya tatkala taraf anak kecil yang tidak bersalah itu dibangkitkan di
hadapannya.
Nirmala mendengus. Mudah betul
Muktasim buat keputusan tanpa perlu bertanya pendapatnya terlebih dahulu. Jika
hendak difikirkan perasaannya, memang dia rasa hendak tetak sahaja kepala
suaminya yang merahsiakan semua itu dari pengetahuannya namun segala emosinya
harus ditolak ke tepi dahulu. Nasi sudah menjadi bubur. Ada isu yang lebih
besar dalam perbincangan mereka tika itu. Isu tentang budak kecil yang dibawa
pulang suaminya untuk tinggal dengan keluarganya mulai saat itu.
“Sim, I tak nak orang sekeliling
mengata. Kisah you kahwin senyap-senyap tiada siapa yang tahu. Kalau ada yang
bertanya dari mana datang budak ni, apa yang I nak jawab?” balas Nirmala, cuba
bersikap rasional walaupun sebenarnya emosinya sudah bercelaru. Kalaulah
Muktasim fikir dia akan terima tanpa banyak soal, menerima budak asing itu
dalam hidup mereka, suaminya memang silap. Dia bukan perempuan kolot, yang
angguk dan geleng sahaja dengan keputusan sang suami.
“Kalau Awin masih hidup, I takkan bawak
dia ke sini Mala. Ni sebab Awin dah mati. Sebab tu I ambil keputusan untuk
dia tinggal dengan kita. You jangan persoalkan keputusan I. Kalau you bantah...
I akan ceraikan you!” putus Muktasim sehingga membuatkan wajah Nirmala pucat.
Itu sahaja yang boleh dia fikirkan saat itu. Takkan dia hendak menurut emosi
Nirmala yang sedang marah. Ke mana hendak dibuang Haydar. Anak kecil itu tetap
anaknya walaupun isterinya tidak dapat menerima hakikat itu.
Awin? Jadi itulah nama madunya.
Perempuan yang berjaya merampas kasih sayang suaminya terhadap keluarga.
Patutlah selama 6 tahun kebelakangan ini, lain macam saja sibuk suaminya. Outstation
tidak kira masa. Belum masuk lagi bertugas di luar negara. Sangkanya memang
Muktasim benar-benar sibuk dengan tugas pejabat, rupa-rupanya lelaki itu sibuk
dengan ‘hal’ lain.
“I tak akan setuju Sim, dia bukan
anak I!”
“Kalau macam tu, I akan ceraikan
you.” Terang dan jelas maksud Muktasim. Dia bukan main-main dan Nirmala harus
tahu itu! Memang dia silap. Silap kerana menyembunyikan perkahwinannya dengan
ibu Haydar dahulu. Malah bukan itu sahaja, dia turut menyembunyikan
perkahwinannya daripada pengetahuan semua orang.
Hampir menitik air mata Nirmala
tatkala Muktasim ucapkan begitu. Ke mana dia hendak pergi? Dia bukannya ada
saudara-mara yang lain... dan bagaimana pula dengan Harraz, anak kecilnya baru
berusia 3 tahun. Hendak ditinggal serasa tidak sanggup, hendak dibawa lari
pula, ke mana arah tuju mereka nanti. Dia tidak mahu hidup merempat bersama
anaknya. Perbuatan suaminya yang menyembunyikan kebenaran daripadanya
benar-benar membuatkan hatinya luluh. Dan tidak dapat tidak, wajah kecil yang
sejak tadi berada di sisi Muktasim membuatkan hatinya membuak-buak dengan rasa
marah yang meluap.
Sementara anak kecil di sebelah
Muktasim terkebil-kebil menyaksikan pergaduhan itu, tidak faham apa yang sedang
berlaku namun dia tahu perkataan ‘anak haram’ yang terlantun dari bibir
perempuan itu ditujukan buatnya. Kata-kata itulah yang sering dia dengar
daripada jiran-jiran ibunya dahulu.
“Jom Haydar, papa bawak ke
bilik Dar,” ajak Muktasim tatkala wajah kecil itu beralih memandangnya. Ah...
simpati sungguh dia pada mata sayu yang terpaksa menangisi satu
kehilangan. Kini terpaksa pula
ditinggalkan di rumah yang cukup asing bagi kanak-kanak yang baru mencecah usia
4 tahun ini.
“You jangan nak lari, kita belum
habis!” Nirmala yang tidak berpuas hati terus memaut lengan suaminya dengan
kasar sehingga langkah lelaki itu terhenti.
“You jangan harap! I takkan bagi
budak ni hak yang sama dengan Harraz. Kalau itu niat you, I takkan akur. Budak
tu tak layak dapat hak dalam rumah ni!” hambur Nirmala lagi yang sudah gagal
mengawal emosi. Ditujah-tujah jari telunjuknya ke wajah budak lelaki yang sudah
dipimpin Muktasim. Terasa bergetar suaranya saat marah dan egonya rasa tercabar
dek tingkah sang suami.
“I rasa you masih tak faham maksud I
Mala. I tak minta persetujuan you. Dalam rumah ni, I yang buat peraturan. You
sebagai isteri turut saja.” Sambung lelaki tu seraya bangun namun belum sempat
dia melangkah jauh, sekali lagi lengannya dipaut oleh sang isteri. Kalau dia
tidak bertegas mempertahankan hak Haydar, dia tahu Nirmala akan terus
mendesaknya supaya membuang Haydar.
“I tak akan setuju!” tegas perempuan
itu menyatakan pendiriannya.
Lelaki itu hanya menjeling lengannya
yang dipaut kasar oleh Nirmala. Dia tidak mahu bergaduh tetapi tindakan isterinya
benar-benar menaikkan amarahnya. Direntap tangan sang isteri lalu merenung
tajam wajah itu.
“Kalau macam tu, you boleh packing
barang, get the hell out of here!” tegasnya lalu terus memimpin
tangan Haydar.
“Kak Nona, sediakan minuman. Lepas
Haydar mandi, saya nak dia minum,” pesan lelaki itu apabila wajah
terpinga-pinga pembantu rumah yang baru keluar dari bilik menyapa wajahnya.
Sementara Nirmala sudah terduduk.
Sampainya hati suaminya. Sudahlah baru diberitahu tentang dirinya yang
dimadukan, kini Muktasim pula membawa anak madunya untuk tinggal bersama.
Beritahu
dia, perempuan manakah yang akan bertabah? Perempuan manakah yang tidak marah?
No comments:
Post a Comment