Sunday, 22 July 2018
Chinta Airis - Bab 1
Hello, it’s me
I was wondering if after all these years
You’d like to meet, to go over everything
They say that time’s supposed to heal ya
But I ain’t done much healing...
LAGU Adele sayup-sayup kedengaran. Lena
Airis terganggu. Tangan menggapai telefon yang terletak di
atas meja. Mata dicelikkan sedikit untuk melihat nama si
pemanggil. Dani!
“Hmmm...” gumam Airis. Kelopak mata digosok
perlahan. Masih tersisa rasa mengantuk. Sesekali dia
menguap besar.
“Sayang, kau tidur lagi ke?” soal Dani.
“Hmmm...” balas Airis. Masih mamai.
“Aku nak minta tolong sikit ni,” ujar Dani lagi.
“Apa dia?” tanya Airis sambil meraup rambut agar
kembali rapi.
“Nak pinjam kereta kau kejap. Boleh tak?”
“Kereta kau mana?”
“Sakit. Tiba-tiba dia buat gaya nazak pagi tadi. Aku
dah hantar kat Atan. Entah apa yang tak kena. Eh, boleh tak
aku nak pinjam ni? Urgent. Aku nak kena jemput famili aunty
aku kat airport lepas ni. Please...” rayu Dani. Ayahnya keluar.
Kalau tidak, bolehlah dia pinjam kereta ayahnya saja.
Airis membuka mata dan duduk menyandar pada
kepala katil. Mulutnya tidak berhenti menguap.
“Kau datanglah sini. Aku tak laratlah nak drive pergi
rumah kau.” Airis menjeling jam di dinding. Pukul 8.30 pagi.
Masih awal untuk dia bangun memandangkan hari ini hari
minggu.
“Alah, kaulah datang sini. Lagipun umi nak jumpa
dengan kau juga. Dia duk tanya aku kenapa kau dah lama tak
datang sini.”
“Alaa...” Airis tarik muncung. Bukan dia tak nak
jumpa dengan umi, tapi hari ini dia benar-benar penat.
Hendak berehat di rumah saja.
“Please Airis... kau datanglah. Kesian umi...”
Airis mengeluh panjang.
“Okeylah. Aku datang...” Airis mengalah.
“Datang tau. Aku tunggu kau.” Dani ketawa ceria.
“AIRIS, LAMBAT lagi ke? Aku dah bosanlah tunggu kau,”
rungut Dani sambil melirik jam di pergelangan tangannya.
Sudah hampir 1 jam lebih dia menunggu Airis, tetapi gadis
itu masih belum tiba juga. Padahal jarak masa untuk sampai
ke rumahnya cuma setengah jam saja.
“Kau reti sabar tak? Aku dahlah bengang dengan
jalan jam ni, kau jangan nak buat aku bengang dengan kau
pula!” marah Airis. Sejak tadi lagi Dani asyik menelefon.
Siapa yang tidak panas hati.
“Woo... cool okey. Aku minta maaf,” ujar Dani.
Bimbang kemarahan Airis makin meletus.
Airis mendengus.
“5 minit lagi aku sampai. Kau turun cepat sikit,” ujar
Airis sebelum talian dimatikan.
Dani memandang skrin telefon yang sudah gelap.
Sah, Airis tengah marah.
Dani cepat-cepat keluar apabila Kia Optima K5 warna
merah sudah berhenti di luar pagar rumahnya. Belum sempat
dia menyarung kasut, hon sudah bertalu-talu kedengaran.
Kelam-kabut Dani memakai kasutnya. Dia berkejar keluar.
Jarinya pantas mengisyaratkan agar Airis bersabar.
Airis tersenyum senget dan dia pantas keluar dari
perut kereta.
“Umi mana?” tanya Airis.
“Ada kat dalam.”
“Kalau macam tu, aku masuk temankan umi ajelah.
Jaga baik-baik Red Tiger aku tu,” pesan Airis.
Langkah Dani yang mahu menghampiri kereta Airis
terus terhenti.
“Eh! Aku baru nak ajak kau pergi sekali.”
“Nak buat apa? Tak naklah aku. Buat menyibuk aje
kalau aku pergi.” Airis kalih semula badannya.
“Alah, jomlah. Temankan aku,” pujuk Dani.
Airis geleng kepala.
“Tak naklah aku. Aku nak jumpa umi kejap.”
“Jumpa lepas inilah. Lagipun aku dah cakap dengan
umi yang aku nak ajak kau sekali pergi airport.”
“Err... Tak apa ke?”
“Tak ada hallah. Jom.” Dani menggamit Airis.
Airis akur. Dia melangkah laju ke tempat duduk
penumpang.
“Eh, aku baru bajet nak jadi tuan besar hari ni.”
“Tak payah nak berangan jadi tuan besarlah, Mr.
Danish Ryzal...” perli Airis sambil tersenyum sinis.
Wajah Dani berubah cemberut. Dia mengambil
tempat di kerusi pemandu.
“Tak nak jalan ke?” Airis pandang Dani sekilas
sebelum radio dipasang dan lagu daripada koleksi Adele
memenuhi ruang keretanya.
“Kau ni langsung tak nak pujuk aku, kan?” ujar Dani.
Gear dimasukkan dan kereta terus meluncur pergi.
Airis tergelak kecil. Wajah Dani dipandang.
“Kau merajuk ke?” tanya Airis. Bibirnya masih
tersenyum.
Dani menjeling sekilas.
“Kau rasa?”
“Entah. Malas aku nak rasa.” Serentak dengan itu,
Airis tergelak semula.
“Isy... kau ni!” Makin sakit hati melihatkan Airis
mentertawakannya. Panjang tangan Dani mencubit lengan
Airis.
“Wei, sakitlah!” Airis melarikan lengannya jauh
daripada jangkauan Dani. Dia menggosok lengannya yang
sakit. Kali ini Dani pula yang tersenyum.
“Padan dengan muka kau.”
“Nanti kau!” Airis ketap bibir dan laju dia membalas
serangan. Jari naik mencucuk pinggang Dani.
“Airis, aku tengah drive ni!” marah Dani. Stereng
kereta dipegang kejap dengan sebelah tangan dan sebelah lagi
sibuk menepis tangan Airis yang mencucuk pinggangnya.
“Fair enough, ha!” cebik Airis. Dia kembali
membetulkan duduk. Risau juga kalau bergurau
berlebih-lebihan pada waktu seperti ini.
“Jaga kau lepas ni!” Dani memberi amaran. Sekarang
bukan masa untuk dia membalas.
Airis hanya ketawa. Tidak takut dengan amaran Dani.
“Kau tidur rumah papa kau, eh?” soal Dani apabila
suasana sepi menyelubungi mereka.
Airis yang sedang memandang keluar terus
mengalihkan pandangan ke arah Dani.
“Hurm biasalah... weekend, kan.” Airis jongket
kening.
Dani angguk. Dia memang faham dengan rutin
hidup Airis. Setiap kali hujung minggu, gadis itu diwajibkan
oleh papanya untuk pulang ke Vila Puteri.
Tiba-tiba Airis menguap. Berair matanya menahan
kantuk. Dani yang sedang memandu terus menoleh ke tepi.
“Mengantuk ke?” soal Dani.
Airis angguk sebelum tangan naik menutup mulut
sekali lagi. Dia menggosok matanya yang mula terasa pedih.
“Penatlah. Aku tidur lewat semalam,” jawab Airis.
“Tidurlah. Nanti kalau sampai aku kejutkan kau.”
Kesian pula melihat Airis. Rasa bersalah mula menerpa
dirinya. Sedar yang dia sudah menyusahkan Airis.
“Aku tidur kejap. Nanti kau kejutkan aku ya.” Airis
memang betul-betul mengantuk. Matanya bagai digam.
Kerusi dilaraskan dan dia berbaring dengan selesa sebelum
melelapkan mata.
Sesekali Dani menjeling sekilas ke Airis. Dia
tersenyum kecil. Polos sekali melihat wajah itu yang sudah
terlena. Apabila kereta berhenti di persimpangan lampu
isyarat, dia pantas menarik pashmina Airis di kerusi belakang
dan menyelimutkan tubuh gadis itu.
No comments:
Post a Comment