Sunday, 22 July 2018

Chinta Airis - Bab 5

AIRIS dan Dani duduk melepak di Dataran
Merdeka sambil menikmati aiskrim. Dani tersenyum kecil
melihat Airis yang ralit menjilat aiskrim perisa vanila sambil
mata jauh memandang ke hadapan. Dia tahu yang fikiran
Airis telah jauh melayang.
“Kau ni, makan pun comot.” Dani mengesat hujung
bibir Airis.
Terhinggut bahu Airis apabila Dani tiba-tiba
menyentuhnya. Terkejut. Dani menunjuk tisu kesan aiskrim.
Airis mengambil tisu di tangan Dani dan mengesat mulutnya
semula.
“Lelaki tu ke yang papa kau nak kenenkan tu?”
“Yalah. Tapi rasanya lepas ni aku tak nak jumpa
dengan dia lagi.”
“Kenapa? Handsome aje aku tengok dia tu. Kau
pun memang suka dengan orang handsome, kan?” Dani
tersenyum sinis.
“Kau ni nak cakap aku gatal ke apa?” Airis
mencerlungkan matanya ke arah Dani.
“Tak. Mana ada aku cakap kau gatal.” Dani menafikan.
Airis merengus dalam diam.
“Pandailah kau! Tapi aku harap lepas ni papa takkan
paksa aku lagi. Benci tau setiap kali papa paksa aku macam
ni.”
“Kau pernah jumpa dengan Reeza sebelum ni?” soal
Dani lagi.
“Tak.” Airis geleng. Lampu-lampu yang bersinar
cantik menjadi tatapan matanya.
“Tapi apasal mamat tu cakap macam tu? Seriau bulu
roma aku dengar tadi.” Dani mengusap lengannya.
Airis tergelak kecil.
“Entah. Putus fius agaknya,” ujar Airis. “Yang kau
mengigau datang cari aku ni apasal? Cakap nak tengok
bola.” Airis menjeling Dani. Tadi dia bersyukur apabila Dani
tiba-tiba muncul untuk menolong, tapi apabila diingatkan
semula alasan Dani, rasa sebal pula perasaannya.
“Aku gurau ajelah tadi. Kau ni sensitif sangat.”
“Banyaklah kau punya sensitif. Dah orang tak nak
tolong, aku nak cakap apa lagi?” cebik Airis.
“Alah kau ni Airis... aku gurau ajelah. Nak usik sikit
pun dah tak boleh. Kau ni tak rocklah ngek.”
“Ah... rock tak rock. Kalau kau nak rock sangat, kau
pergi kawan dengan Ella, bukan dengan aku,” balas Airis
geram. Bahu Dani ditampar kuat.
“Aduh kau ni... sakit, tahu tak!” Dani mengengsot
menjauhi Airis dan tangannya sibuk menggosok bahu.
“Macam mana kau tahu aku ada kat sana tadi? Aku
tak ada cakap pun, kan?”
“Kau tak cakap pun aku boleh tahu. Kan aku ada
pasang GPS kat badan kau tu.” Dani sudah mengekek ketawa.
Airis menjuihkan bibir.
“Sengal! Banyaklah kau punya GPS.” Airis tergelak
kecil.
“Hari Sabtu, Ahad dan Isnin ni kau free tak?” soal
Dani tiba-tiba.
Airis mengangkat muka daripada menghadap
aiskrim di tangan. Wajah Dani dipandang.
“Aku kerjalah Isnin. Tapi kenapa?”
“Macam ni, kelab motor aku ada join misi bantuan
kemanusiaan dengan Kelab Mitsubishi Pajero (KMP) untuk
tolong mangsa banjir kat Pantai Timur. Kita orang tengah
cari sukarelawan. Kau nak ikut?” soal Dani.
“Ramai ke yang pergi?” soal Airis. Soalan Dani masih
tidak berjawab.
“Setakat ni dah 30 orang rasanya. Macam mana, nak
ikut?” tanya Dani semula.
“Hmmm...” Airis diam, berfikir. Mencongak jika ada
aktiviti yang telah dirancang hujung minggu nanti.
“Kau tak nak ajak Aleeya dengan Fareez sekali ke?”
“Tak. Diaorang sibuk. Banyak hal yang diaorang
kena settlekan,” jawab Dani.
“Okeylah, aku join.” Akhirnya Airis setuju. Hari Isnin
dia boleh minta cuti.
Dani menarik sengih.
“Okey. Nanti aku masukkan nama kau. Kau
preparelah apa yang patut selama 3 hari kat sana nanti.”
“Okey. Eh... kalau ada apa-apa, kau roger aku tau,”
pesan Airis.
Dani tersengih dan mengangkat ibu jari.
“Dah lewat ni. Esok kerja. Aku pergi dulu ya?”
Airis bangun dan mengambil kertas pembalut aiskrim dan
membuangnya ke dalam tong sampah.
Dani turut melihat jam di tangan. Sudah menginjak
ke pukul 12.15 pagi. Matanya pun sudah mula terasa kelat.
Mengantuk.
“Nak aku escort kau balik ke?” Dani berdiri di sebelah
kereta Airis.
Airis menggeleng. Pintu kereta sudah dibuka.
“Tak payahlah. Aku okey. Jumpa kau nanti.” Airis
mengangkat tangan dan terus masuk ke dalam kereta.
“Okey.” Tangan naik melambai Airis. Apabila kelibat
kereta Airis tidak kelihatan, barulah Dani beransur pulang.

AIRIS BERTELEKU seketika di dalam kereta sebelum keluar.
Badannya benar-benar penat hari ini. Kawasan sekeliling
kelihatan sunyi. Kereta papanya sudah berada di bawah garaj.
Tadi semasa dia keluar untuk bertemu dengan Reeza, papanya
keluar dengan ibu tirinya, Marina.
Memikirkan soal Marina, mood Airis terus berubah.
Entah, dia pun tidak tahu apa yang menyebabkan dia tidak
menyukai ibu tirinya itu.
“Bilalah aku boleh balik kondo sendiri ni?”
rungutnya. Seksanya rasa terpaksa tinggal sebumbung
dengan orang yang dia benci. Ini pun dia terpaksa kerana
kondominiumnya sedang diselenggarakan.
Airis menutup perlahan pintu rumah. Keadaan di
dalam rumah suram tanpa cahaya. Hanya beberapa tempat
sahaja lampu dipasang. Dia mengurut perlahan bahunya.
Lenguh.
“Baru balik, Chinta?”
Langkah Airis terhenti. Tanpa melihat pun dia sudah
tahu siapakah yang menegurnya. Dia mendengus marah. Ini
yang dia tidak suka apabila pulang ke vila ini.
“Chinta dah makan? Kalau belum, mama panaskan
lauk,” sekali lagi Marina bertanya.
“Tak payah. Aku dah makan.” Kasar Airis menjawab
dan dia cepat-cepat memanjat tangga.
Marina hanya sekadar melihat batang tubuh Airis
menghilang ke tingkat atas. Dadanya mula sebak menerima
layanan dingin anak tirinya. Bukan sehari dua Airis
berperangai seperti itu. Hampir 10 tahun.
Bum!!! Bunyi hentakan pintu jelas kedengaran.
Marina mengeluh perlahan.

AWAL PAGI lagi Airis sudah sampai di pejabat A&S Holdings.
Ralit dia membuat kerja tanpa sedar jam semakin bergerak
menghampiri waktu makan tengah hari. Tengah hari itu dia
keluar makan bersama Rachel sahaja kerana staf yang lain
awal-awal lagi telah keluar.
Kembali semula ke pejabat, Airis mendapati ada
sejambak bunga ros merah di atas mejanya. Dia membelek
bunga itu. Kemudian, matanya tertancap pada sekeping kad
kecil yang diselitkan bersama.
Hope you like it.
~Reeza~
Airis garu kepala. Cepat betul Reeza bertindak.
Jambangan bunga ditolak ke tepi dan dia kembali
menyambung kerja yang tertangguh. Namun hanya sekejap
sahaja tumpuannya. Perhatiannya mula teralih pada bunga
itu semula. Tangannya mencapai jambangan bunga itu. Tanpa
sedar, dia mendekatkan bunga itu ke hidungnya.
“Hmmm... wangi,” ujarnya seketika sebelum dia
menjauhkan bunga itu daripada hidungnya semula.
“But not my favourite flower actually.” Jambangan
itu kembali diletakkan. Fail yang perlu diberi perhatian
kembali ditarik. Tiada masa untuk dia terus mengelamun.
Banyak lagi kerja yang perlu diselesaikan.

No comments:

Post a Comment