Sunday, 22 July 2018

Mencintaimu Selamanya - Bab 2

DUM!!!
Amar menghempas kuat pintu biliknya sebaik
masuk ke dalam biliknya. Memang saat ini hatinya panas
menggelegak. Kalau dia ada di kutub utara pun, belum pasti
hatinya yang panas menjadi sejuk. Tubuh dihempas kasar ke
atas tilam empuk. Matanya dipejam rapat. Cuba lenyapkan
dan menghilangkan apa yang berlaku sebentar tadi. Dia mahu
menganggap semua yang berlaku di restoran tadi hanyalah
mimpi.
Sudah setahun usia pertunangan mereka dan pada
minggu hadapan mereka akan disatukan dalam sebuah
perkahwinan. Tapi begitu tegar Tasya melepaskan ikatan
mereka dengan alasan mencintai lelaki lain. Malah Tasya dan
kekasihnya sudah terlanjur dan sedang mengandung. Cukup
sadis sekali!
Amar bangkit semula daripada perbaringan.
Tangannya meraup ke muka.
“Ya Allah, kenapa semua ni harus berlaku? Kenapa
aku yang jadi mangsa? Kenapa tidak orang lain, kenapa?”
Sekali lagi Amar meraup tangannya ke muka. Saat ini hatinya
cukup rapuh, matanya mula berkaca.
Di restoran tadi, dia cuba mengawal air matanya
sehabis baik. Malu babe kalau lelaki macho sepertinya
menangis kerana perempuan.
“Ah, aku tak akan menangis! Aku tak akan merayu
dekat perempuan tu. Tak akan! Aku mesti kuat!” Amar mula
nekad. Dia menarik nafas panjang. Cuba tenangkan hati. Air
matanya yang bergenang di kelopak mata disapu kasar.
Tok! Tok! Tok!
Tiba-tiba pintu biliknya diketuk.
“Siapa?”
“Mama ni. Boleh mama masuk?” Terdengar suara
Datin Noraidah di luar biliknya.
“Mama, masuklah. Pintu tak kunci.”
Nak tak nak saja Amar memberi kebenaran.
Hakikatnya, dia benar-benar tidak mahu diganggu saat ini.
Dia mahu bersendirian dan ingin menenangkan fikirannya
dan sabarkan hati yang sedang rusuh, pilu dan sayu.
Datin Noraidah melangkah masuk ke dalam bilik
anak bujangnya. Segera punggungnya dilabuh ke birai katil.
“Amar, kenapa ni? Mama nampak macam ada yang
tak kena aje.” Datin Noraidah merenung wajah Amar. Dia
nampak perubahan yang cukup ketara pada wajah anak
bujangnya itu sebaik melangkah masuk ke dalam banglo tadi.
“Tasya, mama.” Amar melepas helaan kasar.
Wajahnya bertukar tegang.
“Kenapa dengan dia?” Dahi Datin Noraidah mula
berkerut.
“Dia dah putuskan pertunangan kami.”
Nafas Datin Noraidah sudah mula tak stabil. Matanya
membulat.
“Kenapa sampai jadi macam tu?”
“Dia dah ada orang lain.” Selamba saja Amar memberi
jawapan membuatkan Datin Noraidah mendengus kasar. Dia
benar-benar rasa semput. Rasa nak pengsan pun ada.
“Apa? Dia dah ada orang lain? Habis tu, macam mana
dengan semua persiapan untuk majlis kahwin Amar minggu
depan? Boleh tak Amar bayangkan perasaan mama dan papa
bila majlis tu dibatalkan? Bagaimana kami nak berdepan
dengan saudara-mara dan kawan-kawan? Pening... pening...”
Datin Noraidah sudah bingung. Otaknya ligat
memikirkan natijahnya akibat majlis perkahwinan dibatalkan.
Dia mula berjalan mundar-mandir di hadapan Amar. Sudah
tak senang duduk.
“Habis tu Amar nak buat macam mana lagi? Mama
nak Amar merayu pada dia? Memang taklah! Mama tahu tak
yang sekarang ni dia tengah mengandungkan anak lelaki tu.”
Mata dan mulut Datin Noraidah sudah membulat.
Air liur yang ditelan terasa melekat di kerongkong.
“Astaghfirullahalazim. Apa nak jadi dengan budak
Tasya tu? Seminggu aje lagi kamu berdua nak kahwin, dia
tiba-tiba buat hal.” Datin Noraidah benar-benar bingung.
Kemudian wajah anaknya dipandang. Amar tidak memberi
sebarang reaksi. Hanya diam membisu.
Datin Noraidah menggeleng kepala. Dia cukup kesal
dan kecewa mengenangkan sikap Tasya itu.
“Tak apalah mama. Lebih baik dia beritahu sekarang
daripada dia beritahu lepas kahwin. Amar tak nak jadi pak
sanggup.” Amar mula pasrah.
“Itulah, dari dulu lagi mama tak suka Tasya tu jadi
pilihan hati Amar, tapi Amar yang degil!” Datin Noraidah
mula merungut menyalahkan anaknya membuatkan mata
Amar terus terpaku ke wajah mamanya.
“Eh, mama ni. Sesuka hati aje nak salahkan Amar.
Mama ingat Amar nak ke benda ni terjadi?” tempelak Amar
menahan geram. Dia menjeling tajam ke arah Datin Noraidah.
Geram betul mendengar rungutan mamanya itu.
Datin Noraidah diam seketika.
“Habis tu, mak ayah Tasya macam mana? Takkanlah
mereka nak diamkan aje perkara ni?”
“Lantak diaoranglah. Amar tak nak fikirkan pasal
dia lagi.” Amar sudah tiada idea untuk menyelesaikan
masalahnya itu.
“Kita boleh saman mereka sebab dah malukan kita.
Sepatutnya mak ayah dia datang jumpa mama dan papa,
minta maaf. Ini tak, diam aje! Mak, ayah dan anak sama saja!”
Datin Noraidah mendengus kesal.
“Dahlah mama. Kita bincang hal ni esok aje. Amar
dah penat. Amar nak berehat, nak tidur. Amar tak nak fikirkan
hal ni buat masa ni. Jadi, boleh tak mama keluar sekarang?”
Datin Noraidah mengetap bibir.
“Hesy, sekali fikir memang patut pun benda ni jadi
pada Amar. Degil, tak nak dengar cakap mama!” Memang jelas
Datin Noraidah menyalahkan Amar atas apa yang berlaku.
“Mama, dahlah tu! Kepala Amar dah serabut sangat
ni. Tak payahlah mama nak tambah lagi!” Amar mula
melenting.
“Yalah, mama keluar sekarang. Ingat, perkara ni
belum selesai. Mama nak kita bincangkan hal ni esok.” Datin
Noraidah memberi peringatan sebelum keluar dari bilik itu.
Sebaik saja wajah mamanya menghilang, Amar
melepaskan helaan panjang.
“Tasya, sampai satu saat you akan datang melutut di
kaki I!” Amar mengeluh kasar. Matanya dipejam rapat buat
seketika.
Semua gambar Tasya yang berada di dalam
simpanannya dikoyak sehingga menjadi cebisan kecil. Mulai
sekarang, dia mahu melupakan perempuan itu daripada
hidupnya. Dia masih lagi boleh meneruskan hidup tanpa
bekas tunangnya itu. Dan akan dibuktikan kepada Tasya yang
dia juga mampu hidup bahagia.

KHAIRUL MENGETUK pintu beberapa kali sebelum kakinya
melangkah masuk. Dahinya berkerut melihat figura yang
sedang berdiri di depan tingkap, merenung jauh pemandangan
di luar bangunan 11 tingkat itu.
“Ehem.” Khairul cuba mencuri perhatian lelaki yang
sedang termenung jauh itu.
“Eh, kau Rul. Bila kau masuk?”
Amar menoleh dan dia terkejut dengan kemunculan
tiba-tiba Khairul di biliknya.
“Baru aje. Aku dah ketuk pintu tapi tak ada jawapan.
So, aku masuk ajelah. Lagipun Sally cakap kau ada kat bilik.”
Khairul merenung wajah bosnya yang merangkap kawan
baiknya itu.
Amar mendengus perlahan. Kakinya menghala ke
kerusi dan terus dilabuhkan punggungnya di situ. Khairul
mengambil tempat di hadapan Amar walaupun tidak dipelawa.
Dah biasa buat macam bilik sendiri.
“Woi, apa kena dengan kau ni pagi-pagi? Moody
semacam aje atau kau berdebar nak tukar status? Entah-entah
duk fikir pasal malam pertama kut!”
Khairul mula mengusik sambil tergelak kecil.
Maklumlah, minggu depan Amar akan berkahwin dan
statusnya akan bertukar. Bukan bujang seperti dia lagi.
Usikan Khairul itu disambut dengan renungan tajam
oleh Amar.
“Tak payahlah kau nak buat lawak bodoh pagi-pagi ni.
Tak lucu tahu tak! Tambah berserabut kepala otak lagi ada!”
bentak Amar membuatkan dahi Khairul berkerut tiba-tiba.
“Weh, apa kena dengan kau ni? Kau ada masalah ya?
Cuba cerita dengan aku.” Khairul mula risau melihat wajah
cemberut Amar.
“Tasya.”
Dahi Khairul terangkat.
“Okey. Kenapa dengan Tasya?”
“Aku dan Tasya tak jadi kahwin minggu depan.”
Mendatar saja suara Amar macam orang tak ada perasaan.
“What? Serius?” Hampir terangkat punggung
Khairul mendengar berita yang baru disampaikan tadi.
“Habis, kau ingat muka aku sekarang ni macam
main-main ke?” Amar tiba-tiba berang.
“Eh, mana ada aku tuduh macam tu. Aku just tanya,
salah ke?”
Khairul kebingungan. Bercakap dengan Amar
kadang-kadang buatkan jantungnya berdegup tak seimbang.
Tekanan darahnya selalu tak stabil. Asyik semput saja. Silap
hari bulan boleh terkena serangan jantung juga dia nanti.
Amar menjeling tajam.
“Aku ni dahlah tengah berserabut. Kau ingat aku
buat lawak pulak? Aku cepuk jugak karang dahi kau!” Amar
merungut sambil mengetap bibir.
“Okey, cuba kau jelaskan perkara sebenar. Tak adalah
sakit kepala aku nak fikirkan masalah kau ni.” Khairul gelak
kecil. Sengaja buat lawak supaya perbualan mereka tidak
begitu serius.
“Eh, ada aku suruh kau fikirkan masalah aku?”
Tajam mata Amar memandang ke arah Khairul.
Khairul terkedu beberapa saat. Bulat matanya
memandang wajah Amar yang sudah masam mencuka.
“Masya-Allah. Kau ni, aku nak prihatin pun salah
ke? Kalau macam tu, baik aku keluar aje. Nanti kau kata aku
menyusahkan kau pulak!”
Khairul mula berjauh hati. Punggungnya terus
diangkat bersedia untuk beredar. Lagi lama dia duduk di
bilik kawan baiknya, boleh biul melayan kerenah Amar yang
sentiasa pasang surut.
“Eh, eh... bila masa pulak aku suruh kau keluar?
Duduk!” Amar memberi arahan membuatkan Khairul
kembali duduk.
“Dah tu, kau macam tak suka aje aku ada kat sini.
Baik aku blah aje!”
“Sorry. Aku minta maaf. Aku betul-betul minta
maaf.” Amar memejam mata seketika.
Khairul menarik nafas seketika sambil memandang
wajah kusut Amar.
“Okey, cuba kau cerita apa sebenarnya yang berlaku.
Mana tahu aku boleh tolong kau selesaikan masalah.” Khairul
tayang muka simpati. Memang dia simpati pun. Bukan
buat-buat ya!
Kali ini giliran Amar pula menarik nafas sambil
diperhatikan oleh Khairul. Tanpa berlengah dia menceritakan
tentang pertemuannya dengan Tasya tempoh hari dan turut
beritahu keputusan yang telah dibuat oleh Tasya terhadap
hubungan mereka.
“So, kau tak nak pujuk dia semula? Aku percaya kau
masih cintakan dia, kan?” Khairul cuba mendapatkan reaksi
Amar selepas lelaki itu menceritakan apa yang berlaku.
“Entahlah. Aku dah tawar hati. Kalau dia ikhlas
cintakan aku, kalau dia ikhlas dengan hubungan dan ikatan
kami, dia tak akan curang. Kau ingat aku akan merayu agar
dia balik semula pada aku? No! Tak akan! Aku tak akan sesekali
terima dia semula!”
“Aku dah minta parents aku jumpa orang tua dia
untuk putuskan hubungan kami secara rasmi. Aku nak
orang ingat aku yang putuskan hubungan dengan Tasya,
bukan Tasya yang putuskan hubungan kami,” terang Amar
sambil tangan memicit dahinya sekejap sambil diperhati oleh
Khairul.
“Aku ada maruah, bro. Aku tak akan sesekali biarkan
maruah aku dipijak. Aku tetap akan berkahwin minggu depan.
Aku nak buktikan pada dia yang aku dah tak perlukan dia lagi
dalam hidup aku! Dia ingat aku tak boleh hidup tanpa dia?
Boleh jalanlah!” Nekad Amar dengan keputusan yang dibuat.
“Habis tu, kau dah ada calon yang sesuai ke? Jasmine
mungkin. Kau pun tahu kan yang dia tu calon pilihan mama
kau sejak dulu.” Khairul mula terbayangkan wajah sepupu
Amar.
“Jasmine? No! Aku tak akan pilih dia walaupun aku
cukup terdesak. Kau ingat perempuan tu masih lagi ‘suci’ ke?
Aku rasa dia tu sama aje macam si Tasya!”
Amar tergelak seketika apabila membayangkan
wajah Jasmine. Jasmine memang menantu pilihan mamanya
tapi perempuan itu bukan pilihan hatinya.
“So, mana kau nak cari perempuan yang kau nak
jadikan isteri? Perempuan ‘suci’. Dalam lain perkataan, yang
mampu menggantikan tempat Tasya di hati kau dalam masa
terdekat ni.” Khairul sudah tak sabar nak tahu.
Amar terdiam. Dia hanya mampu mengangkat bahu.
Khairul menggeleng kepala perlahan. Faham sangat
dengan perangai kawannya. Amar mana nak kalah kepada
sesiapa. Amar yang dikenalinya terlalu ego, panas baran dan
kuat cemburu. Entah siapalah yang menjadi mangsa lelaki
itu untuk dijadikan isterinya minggu hadapan agaknya!

No comments:

Post a Comment