Sunday, 22 July 2018

Mencintaimu Selamanya - Bab 6

ZULAIKHA menaikkan kening memberi isyarat
sebaik sahaja kedai mereka dikunjungi pelanggan. Aira
mendengus perlahan sambil menahan debar di dada saat
matanya memandang ke arah lelaki yang nampak begitu
segak melangkah ke arahnya. Hari ini dia mengenakan baju
kemeja lengan panjang berwarna biru dan bertali leher
bercorak abstrak. Cermin mata hitam yang terletak elok pada
wajahnya membuat lelaki itu tampak lagi kacak, bergaya dan
menawan.
“Hai, takkanlah siang-siang hari dah tersampuk
hantu?” Amar membuka mulut sebaik menghampiri Aira
yang sedang duduk di kaunter. Terlopong mulut gadis itu
memandang ke arah wajahnya.
“Memang pun saya tersampuk hantu.” Aira
membalas dengan acuh tak acuh sambil membelek nota
tempahan pelanggan.
“Hah?” Kali ini mulut Amar pula yang melopong.
“Ya, hantu mulut longkang!” Aira bersuara perlahan
namun masih dapat didengar oleh Amar dengan jelas.
“Kau sindir aku?” Amar merenung tajam muka Aira
yang turut memandang wajahnya.
‘Hai, baru dua hari tak pandang, nampak makin
comel pulak dia ni,’ detik Amar dalam hati.
“Encik terasa ke?” Aira kembali berpura-pura sibuk
membelek nota tempahan daripada pelanggan. Sengaja tak
mahu pedulikan Amar.
“Tak, sebab aku bukan spesies hantu. Spesies hantu
mana ada yang handsome macam aku!” Amar pamer senyum
sinis. Seronok dapat menyakitkan hati gadis itu.
Aira tergamam seketika.
Zulaikha yang menyaksikan perbualan mereka
hanya menggeleng perlahan. Sudah nampak bibit-bibit awal
pergaduhan bakal berlaku.
“Yalah, encik aje yang handsome, orang lain
semuanya buruk. Tapi encik ni bukan hanya setakat perasan,
tetapi riak!” Aira mula membidas sambil mencebik bibir.
Sekali lagi Amar pamer senyum sinis. Tak nak
mengaku kalah. Dia kan ego. Mana boleh tunjuk kelemahan
diri.
“Okey, saya tak nak panjang-panjangkan hal ni,
buang masa! Encik nak apa datang sini? Nak buat tempahan
bunga ke?” tanya Aira sambil tangannya segera mencapai
nota kosong dan sebatang pen untuk mencatat.
Amar hanya memandang tingkah laku Aira yang
menunggu untuk mencatat.
“Aku datang sini bukan nak buat tempahan bunga
atau nak beli bunga. Aku datang sini sebab nak jumpa kau.”
Amar berterus terang.
“Nak jumpa saya? Nak buat apa? Bukannya saya ada
kena-mengena pun dengan encik. Membazir masa saya aje
layan encik.” Dahi Aira mula berkerut. Buat-buat tak faham
maksud kedatangan lelaki itu.
“Aduh!” Aira mengaduh sakit apabila dahinya
diketuk dengan pen oleh Amar. Perlahan-lahan tangannya
menggosok-gosok dahinya sambil menahan marah atas
tindakan Amar tadi.
Memang kurang asam betul lelaki itu. Amar bukan
saja bersikap ego, sombong, bongkak, tapi lagi sadis lelaki
tu tak mempunyai adab langsung! Suka-suka hati saja ketuk
dahi dia dengan pen. Cakap pun main bahasakan kau aku
saja. Hesy, pantang betul aku dengan lelaki yang tak beradab
macam ni!
Kalau lelaki tu kawan rapat yang sebaya, tak apa juga
main panggil aku kau. Baru saja jumpa dua tiga minit dah
guna panggilan macam tu. Kali ini pun sama. Memang tak
ada kesedaran sivik! Masa di sekolah dulu tak belajar adab dan
akhlak agaknya. Mesti selalu ponteng kelas ni atau mak bapak
tak ajar kat rumah.
“Aku ketuk dahi kau sebab nak bagi kau ingat balik
apa yang aku dah cakap. Maksud aku, apa yang aku beritahu
kau dua hari lepas. Nasib baik aku ketuk dahi kau dengan
pen aje. Kalau aku ketuk dahi kau dengan tukul, lagi naya.
Memang kau hilang ingatan terus!” Amar betul-betul geram
apabila gadis di hadapannya buat-buat lupa apa yang pernah
dia cakapkan sebelum ini.
“Maaf, encik cakap pasal apa? Saya lupa. Lagipun
encik ni bukannya orang penting pun dalam hidup saya!”
Aira menggaru-garu kepala seolah-olah sedang mengingati
sesuatu. Sedangkan pada hakikatnya dia cuba mengenakan
lelaki itu. Nak tengok tindakan Amar sebenarnya.
“Kau ni sebenarnya jenis makhluk pelupa atau
pura-pura lupa?” marah Amar dengan suara kasar. Dia tahu
gadis itu sengaja mengenakannya. Geram betul! Dahlah dia
tengah terdesak sekarang. Mana dia nak cekup perempuan
dalam masa terdekat ni? Tinggal tiga hari saja lagi majlis
perkahwinannya akan berlangsung. Hati dia makin gusar.
Dilihat Aira sedang tayang sengih. Nampak sangat gadis itu
sengaja mahu kelentongnya.
“Hesy, kau memang sengaja nak sakitkan hati aku
kan!” Amar membentak sambil menghentak tangannya
di meja kaunter. Mulutnya diketap rapat. Rahangnya
bergerak-gerak.
“Encik, tak elok marah-marah. Nanti cepat naik
darah. Silap-silap dapat penyakit darah tinggi. Kesian encik,
muda-muda dah dapat penyakit berbahaya. Dahlah tak
kahwin lagi.” Aira menahan gelak.
Zulaikha yang turut mendengar perbualan mereka
berdua cepat-cepat menutup mulut bagi mengelak tawanya
terhambur. Memang dia tak tahan melihat wajah cemberut
Amar yang sedang menahan marah. Telinganya pun sudah
merah. Silap hari bulan boleh berasap.
“Okeylah. Encik sebenarnya nak jumpa saya sebab
apa? Takkanlah encik serius nak cakap dengan saya pasal
lamaran hari tu?”
Aira sudah tak mahu main tarik tali lagi. Kali ini dia
membetulkan duduknya. Matanya tunak memandang wajah
Amar dan pandangannya dibalas oleh lelaki itu. Amar turut
merenung tajam wajah Aira membuatkan hati Aira mula
gelisah dan berdebar-debar.
“Memang betul aku datang ni sebab nak tanyakan
pasal lamaran aku hari itu.” Amar pamer muka serius
membuatkan Aira menelan liur.
“Encik betul-betul serius ni atau sengaja nak
main-mainkan saya?” Aira seakan tak percaya.
“Eh, kau ingat aku ni main-main ke? Memang aku
seriuslah.” Amar masih cuba menahan sabar.
Aira mula beradu pandang dengan Zulaikha yang
turut terkejut mendengar kata-kata Amar. Nafas ditarik
dalam mahu menenangkan fikiran.
“Macam mana? Kau dah buat keputusan?” Amar
terus menggesa Aira dengan nada serius.
Aira tetap diam. Dia buntu untuk membuat
keputusan.
“I’m waiting!” Amar risau melihat wajah Aira yang
keliru dan resah. Namun hakikatnya, dia turut menahan
debar. Risau kalau gadis di hadapannya bertekad menolak
lamarannya tempoh hari. Sedangkan Airalah satu-satunya
sandaran yang terbaik buat dirinya.
“Boleh tak kalau saya nak cakap sesuatu sebelum
saya buat keputusan?” Aira memberanikan diri bersuara.
“Silakan.”
“Boleh tak encik tukar panggilan tu, tak payah guna
perkataan kau dan aku. Saya rasa terlalu kasar dan tak selesa.”
Aira menanti reaksi.
Amar menaikkan keningnya.
“Boleh ke? Sebab kadang-kadang cara panggilan
kita pada seseorang tu mencerminkan peribadi kita. Lagipun
saya rasa encik ni lebih berusia dari saya, lainlah kalau kita
ni sebaya dan berkawan rapat.” Entah kenapa dia berani nak
‘sound’ lelaki ini. Memang patut pun lelaki ini di‘sekolahkan’,
biar tahu adab!
Amar berdeham beberapa kali.
“Okay, as your wish!” Amar akur tanpa banyak soal.
Kalau dah terdesak, apa-apa syarat pun dia sanggup.
Aira ukir senyum. Lega.
“Sekarang, apa keputusan awak?” Amar bertanya
sambil merenung wajah Aira yang kembali resah apabila isu
itu dibangkitkan semula.
Aira berdeham beberapa kali. Otaknya ligat mencipta
ayat macam mana nak berhadapan dengan lelaki itu.
“Kenapa susah sangat awak nak buat keputusan? Ada
baiknya awak terima aje lamaran saya tu.” Amar bersuara lagi.
“Encik ni memang bukan jenis penyabar, kan?
Agaknya encik lupa bahawa sabar itu sebahagian daripada
iman.” Aira menggeleng kepala mengenangkan sikap Amar
itu.
Amar mendengus kasar.
“Isy, awak ni... tak sudah-sudah lagi ke nak
‘sekolahkan’ saya? Habis tu, bila awak nak bagi keputusan?
Asyik bertangguh aje dari tadi,” ujar Amar yang mula bosan
menunggu.
Sekali lagi Aira mengerling ke arah Zulaikha.
Dalam kata lain, cuba minta pendapat. Tapi nampaknya tiada
sebarang bantuan yang diberikan oleh wanita itu.
“Baiklah. Tapi sebelum saya bagi jawapan, sekali
lagi saya nak encik jujur dengan saya. Betul ke encik ikhlas
melamar saya untuk dijadikan isteri atau encik sekadar nak
main-mainkan saya?” Aira memandang wajah Amar. Kali ini
wajah Aira benar-benar serius.
“Kau ni ada masalah pendengaran dan daya ingatan
ke? Dah berapa kali aku tegaskan pada kau yang lamaran aku
tu bukannya perkara main-main.”
“Aku cepuk jugak budak ni karang! Saja nak naikkan
darah aku!” Amar kembali menengking.
Aira mendengus perlahan. Bila mengenangkan sikap
Amar, dia rasa nak lempang saja muka lelaki ini biar terteleng
40 hari. Dah tahu diri tu terdesak, cubalah bersikap elok sikit.
Memang betul-betul fail dalam berbudi bahasa!
Amar menarik nafas seketika. Dia tahu sikapnya
tadi pasti membuatkan Aira teragak-agak untuk menerima
lamarannya.
“Okey, macam ni. Awak nak saya jumpa dengan
orang yang jaga awak untuk menyatakan pasal lamaran ni
ke?” Amar merenung wajah resah Aira.
“Entahlah.” Aira mula bingung.
Memanglah kalau diikutkan adab, Amar sepatutnya
berjumpa dengan ibu dan ayahnya terlebih dahulu, tapi Aira
tak sanggup nak berdepan dengan ayah angkatnya itu. Hal
ini pun dia tak beritahu ibu sebab dia pasti Amar bukannya
serius. Kalaupun lelaki itu serius, Aira yakin Ayah Lajis tak
akan terima lamaran itu sepertimana dia menolak lamaran
Hadi dulu.
“Kalau awak nak saya jumpa mereka, saya boleh
jumpa. Sekarang pun boleh!” Tekad Amar dengan wajah serius
membuatkan Aira dan Zulaikha kembali berpandangan.
Aira diam seketika.
“Untuk kali yang terakhir, saya tetap nak tanya.
Encik betul-betul serius dengan keputusan encik nak jadikan
saya isteri?” Kali ini Aira benar-benar mahukan kepastian.
“Ya, saya betul-betul serius nak jadikan awak isteri
saya dan kerana itu jugak, selagi awak tak setuju, saya akan
terus tunggu awak di sini.”
Kata-kata Amar itu membuatkan air liur Aira
benar-benar tersekat di kerongkong.
“Macam inilah, saya bagi nombor telefon ibu saya,
encik cakaplah dengan dia. Apa saja keputusan ibu saya, saya
akan terima.” Aira memberi keputusan.
Amar mula ukir senyum.
“Okey, saya setuju. Awak bagi saya nombor telefon
ibu awak, biar saya cakap dengan dia.” Amar sudah rasa
lega. Dia meminta diri untuk beredar seketika setelah Aira
memberikan nombor telefon Halimah.
‘Hmm... apasal dia pergi jauh bila nak cakap dengan
ibu? Macamlah rahsia sangat sampaikan aku tak boleh nak
dengar!’ dengus Aira sendirian.

“OKAY, SETTLED!” Amar tayang senyum sebaik saja
mendekati Aira yang masih menunggu di kaunter.
“Settled? Maksud encik?” Dada Aira mula
berdebar-debar.
“Settle maksudnya ibu awak dah setuju saya nak
kahwin dengan awak dan itu jugak bermakna yang hujung
minggu ni awak akan jadi isteri saya.” Amar pamer muka
ceria. Senyuman manis sudah menghiasi wajah kacaknya.
“Hah, biar betul???” Mulut Aira ternganga luas.
Bukan saja mulut Aira, tapi mulut Zulaikha juga.
“Takkanlah. Kak Ika, tolong call ambulans.” Aira
membuka mulut.
“Kenapa Aira?” Zulaikha segera menghampiri Aira
dengan wajah kalut.
“Aira nak pengsan ni.” Mendengar jawapan lawak
Aira itu, Zulaikha segera menghambur tawa. Sementara
Amar pula mengetap bibir.
“Hai, kalau pengsan pun, buat apa nak call ambulans.
Bakal suami dah ada kat depan mata. Sure dia boleh bantu
Aira buat CPR atau dukung Aira ke hospital.” Zulaikha
mengusik bersama tawa yang masih bersisa.
Aira mengetap bibir. Dan kali ini, Amar tergelak
kecil. Pertama kali Aira dan Zulaikha mendengar tawa lelaki
itu membuatkan mereka saling berpandangan.
“What?” Amar mula kaget bila dua pasang mata ralit
memandang wajahnya.
“Kali pertama akak dengar Encik Amar gelak. Makin
handsome pulak akak tengok. Kalau macam ni selalu kan
elok!” komen Zulaikha membuatkan wajah Amar merona
merah.
Aira mula kawal senyum. Tak sangka, lelaki ego dan
sombong ni masih ada rasa malu bila dipuji. Ingatkan makin
meninggi diri.
“Encik.”
“Ya.” Pandangan Amar terus terpaku ke wajah Aira.
“Boleh saya tanya satu soalan?” Aira merenung
wajah lelaki kacak sombong di depannya dengan perasaan
teragak-agak.
“Satu aje? Sepuluh pun saya akan jawab.” Amar mula
tayang senyum.
“Satu pun belum tentu dapat jawapan yang ikhlas.
Kalau sepuluh, tahun depan gamaknya dapat jawapan. Huh!”
Geram betul Aira dengan perangai mamat berlagak ni.
“Cakap banyak betul awak ni.” Amar memang tak
suka mendengar rungutan.
“Huh!” Aira mula menjeling.
Zulaikha mula pening kepala mengenangkan gelagat
mereka berdua. Masing-masing tak nak mengalah.
“Saya nak tanya ni. Setahu saya, encik ni sebenarnya
dah bertunang dan akan berkahwin minggu ni jugak, kan?
Kenapa tiba-tiba ajak saya kahwin? Encik ni nak kahwin
dua sekali gus ke? Tak sangka, tamak betul encik ni.” Aira
mengeluh perlahan.
“Aduh!” Sekali lagi Aira mengaduh apabila kepalanya
diketuk dengan pembaris kayu berukuran 12 inci yang ada di
atas meja.
“Apa ni? Suka hati aje main ketuk kepala orang.
Ingat kepala saya ni tak bayar zakat ke? Karang saya ketuk
kepala encik baru tahu!” Aira melenting marah sambil
menggosok-gosok kepalanya.
“Kau tu, mulut macam nak minta cium aje. Karang
aku cium betul-betul baru kau tahu!” Amar mengusik
bersama senyuman sinis.
Nafas Aira mula semput dan Zulaikha sudah
mengurut dada mendengar butir perkataan yang keluar dari
mulut Amar.
“Ciumlah kalau berani. Nanti saya betul-betul
lempang muka encik sampai tercabut mulut!” Aira mengetap
bibir.
‘Hai, aku ni dah terikut-ikut dengan kata-kata Kak
Ika dekat Encik Danish tadi! Lagi satu, dia ni ikut sedap
mulut aje bahasakan diri sekejap kau aku, sekejap awak saya.
Pening aku!’
Amar mula melepas tawa. Bukan main beria-ia lagi
dia ketawa membuatkan hati Aira benar-benar rasa panas.
“Hai, berani ke awak nak lempang saya kalau saya
betul-betul cium awak?” Amar mendekatkan wajahnya
ke muka Aira menyebabkan gadis itu terpaksa melarikan
wajahnya.
“Cakap aje berani. Tengok, dah pucat muka awak
tu. Itu belum betul-betul kena cium lagi. Kalau kena cium,
memang confirm awak pengsan. Hahaha...” Amar makin
ketawa beria-ia. Entah kenapa dia benar-benar rasa gembira
dapat mengenakan Aira. Rasa begitu bahagia.
“Kak Ika, Aira nak keluarlah. Panas pulak kat dalam
ni. Air-cond macam tak berfungsi pulak!” Aira mencipta
alasan.
“Hei, tunggulah dulu!”
Tiba-tiba tangan Aira ditarik membuatkan dia
tersentak seperti terkena renjatan elektrik.
“Sorry.” Amar cepat-cepat mengangkat tangan
sebaik saja melihat pandangan maut daripada gadis itu.
“Okey, saya akan berterus terang.” Amar menarik
nafas seketika. Cuba menenangkan diri.
“Sebenarnya...” Sukar untuk Amar jelaskan
situasinya sekarang. Rasa malu dan segan pun ada bila
mengenangkan nasibnya.
“Sebenarnya apa?” Aira dah mula hangat.
“Err... memang betul saya pernah bertunang dan
akan melangsungkan perkahwinan minggu ni, tapi...”
Mulut Aira dah ternganga luas.
“Tapi apa Encik Amar?” Zulaikha tiba-tiba bersuara.
Dia turut berminat untuk mengetahui apa yang telah berlaku
kepada lelaki itu.
“Tapi, bakal isteri saya minta pertunangan kami
diputuskan atas sebab-sebab tertentu. Sebab tu tak payahlah
saya nak cerita.” Wajah ceria Amar sudah bertukar menjadi
keruh.
“Habis tu, apa yang buatkan Encik Amar memilih
saya? Kalau dah tak ada jodoh, biarkan saja. Takkanlah encik
terdesak nak kahwin sampaikan saya dijadikan mangsa?” Aira
mula menyindir.
“Senanglah awak cakap sebab awak bukan ada di
tempat saya. Awak tahu tak semua persiapan dah dibuat. Kad
pun dah diedarkan. Tiba-tiba majlis kahwin tak jadi. Mana
saya nak letak muka saya, harga diri saya? Keluarga saya jugak
dapat malu. Jadi, nak tak nak saya kena teruskan majlis tu. Itu
sebabnya saya pilih awak.” Amar memberi sebab kenapa Aira
diminta menjadi isterinya.
“Saya boleh faham keadaan encik, tapi masalahnya
sekarang, kenapa saya? Kita tak pernah kenal antara satu
sama lain. Encik ingat perkara nikah kahwin ni satu
sandiwara untuk menutup malu encik dan keluarga encik?
Takkanlah encik tak fikir perasaan saya? Kalaulah ditakdirkan
kita kahwin, encik rasa perkahwinan ini akan bertahan berapa
lama? Seminggu? Sebulan atau setahun?” soal Aira menahan
rasa.
“Maafkan saya Aira. Saya sebenarnya tak ada niat nak
menyusahkan awak atau menjadikan awak mangsa, tapi saya
memang tak ada pilihan lain. Fikiran saya tepu bila tunang
saya minta hubungan kami diputuskan. Beberapa hari lepas,
dia ada jumpa saya untuk sambung kembali hubungan kami,
tapi saya yang menolak.”
“Kenapa encik tolak kalau dia nak kembali semula
pada encik? Kan bagus kalau encik terima dia. Tak adalah
encik datang sini menghadap muka saya minta dijadikan
calon isteri.” Aira menatap wajah lelaki itu dengan perasaan
hairan.
“Saya tak akan terima perempuan yang telah
menyakiti hati saya. Dia dah tipu saya dan sebab itu dia tak
layak untuk terima cinta saya. Dan Aira, bila saya jumpa
awak hari tu, saya dapat rasakan awak boleh ganti tempat
bekas tunang saya tu dan perkahwinan saya boleh diteruskan
sebagaimana yang dirancangkan.”
Aira mengeluh perlahan.
“Awak, please... saya merayu pada awak, tolonglah
setuju untuk jadi isteri saya. Kalau awak nak saya melutut
pun saya sanggup. Memang saya betul-betul terdesak ni!”
Amar menagih simpati daripada Aira.
Aira menggaru kepala di balik tudung bawalnya.
“Encik, boleh tak encik beri saya masa untuk fikirkan
benda ni? Saya rasa ia terlalu mendadak untuk saya.” Aira
masih lagi kebingungan.
“Please, Aira. Saya dah tak ada masa. Tinggal tiga
hari saja lagi majlis perkahwinan tu. Saya sanggup bayar
berapa pun awak minta asalkan awak setuju. Saya janji, saya
akan jaga awak dengan baik sepanjang awak jadi isteri saya.”
Buat pertama kalinya Amar sanggup merayu
merendahkan ego dan maruah dirinya di hadapan seorang
perempuan. Dan perempuan itu adalah Aira!
“Encik, ini bukan soal duit. Ini soal maruah saya.
Saya tak boleh bagi keputusan sekarang. Saya kena tanya ibu
saya dulu.” Aira membuat alasan.
“Nah, awak cakap dengan ibu awak.” Amar segera
menghulur telefon bimbitnya.
Nak tak nak Aira terpaksa akur, apatah lagi apabila
Amar siap mendailkan lagi nombor telefon Halimah.
“Assalamualaikum ibu.”
“Waalaikumussalam. Ini Aira ya?”
“Ya, ibu. Ibu sihat?”
“Sihat, alhamdulillah. Macam mana dengan kerja
Aira?”
“Baik.”
“Baguslah. Lega ibu dengar.”
“Ibu, ada benda yang Aira nak cakap dengan ibu.”
“Ibu tahu, mesti pasal lelaki yang nak kahwin dengan
Aira, kan?”
“Ya. Aira tak tahu macam mana nak cakap. Aira
buntu sekarang.”
“Aira, ibu faham perasaan Aira dan ibu tahu perkara
ni terlalu mendadak untuk Aira, tapi ibu rasa ada baiknya Aira
terima lamaran Encik Amar tu. Ibu yakin dia boleh jaga Aira
dengan baik. Lagipun, dia dah janji dengan ibu akan bantu
Aira cari keluarga Aira bila ibu beritahu tujuan Aira ke sana.”
“Tapi ibu, Aira tak kenal pun siapa Encik Amar.
Takkanlah Aira nak terus terima dia?”
“Aira sayang, jodoh pertemuan tu di tangan Allah.
Kalau Allah dah tetapkan lelaki itu jodoh Aira. Aira kena
reda. Ibu percaya, dia ikhlas melamar Aira untuk dijadikan
isteri. Soal cinta, insya-Allah akan wujud di kemudian hari.”
Halimah memberi nasihat ikhlas.
Aira mendengus perlahan. Sempat matanya
berbalas pandang dengan Amar yang sedang memerhati dan
mendengar perbualannya dengan Halimah.
“Macam mana dengan Ayah Lajis? Takkanlah soal
nikah kahwin ni berjalan macam tu aje? Ibu tak nak jumpa
dengan Encik Amar dulu ke?” Aira rasa tak sedap hati.
Takkanlah terlalu mudah urusan untuk menikah.
“Aira, ibu rasa tak perlulah ibu jumpa dengan bakal
suami Aira tu. Aira pun tahu macam mana perangai suami
ibu. Ibu tak nak dia ambil kesempatan atas bakal suami Aira.
Ibu risau kalau tiba-tiba dia pergi KL cari Aira. Ibu tak nak dia
susahkan hidup Aira.”
“Ibu akan sentiasa doakan untuk Aira. Ibu doakan
Aira sentiasa hidup bahagia dan dapat berjumpa dengan orang
tua Aira secepat mungkin. Insya-Allah, jika ada kesempatan
kita boleh jumpa. Satu aje pesan ibu, sentiasa ingatkan Allah,
jangan tinggal solat dan jadilah seorang isteri yang terbaik.”
Perasaan Aira benar-benar sebak.
“Baiklah ibu. Aira akan sentiasa ingat kata-kata dan
pesan ibu. Terima kasih, ibu.” Aira diam seketika selepas
selesai bercakap dengan Halimah.
“Macam mana?” Amar sudah tidak sabar menanti
jawapan.
“Baiklah, saya setuju untuk jadi isteri encik.”
Akhirnya Aira membuat keputusan. Dia berharap keputusan
yang dibuat ini adalah keputusan yang terbaik untuk masa
depannya.
Amar tersenyum lebar dan tiba-tiba...
“Eh, eh, eh. Encik buat apa ni?” Aira kalut menolak
tubuh Amar yang sedang memeluk tubuhnya.
“Opss... sorry, sorry. Aku... err... saya betul-betul tak
sengaja. Sorry again. Aku... eh, silap. Saya terlalu excited bila
awak setuju untuk terima saya!” Amar tersengih malu atas
tindakan tanpa sedarnya. Cakap pun dah tergagap-gagap.
“Amboi Encik Amar, belum apa-apa lagi dah siap
peluk si Aira ni. Kalau nak peluk pun, tunggulah Encik Amar
berjabat tangan dengan tok imam dulu,” usik Zulaikha.
Wajah Amar makin merona merah. Aira turut
terkesan. Mukanya terasa panas. Masih lagi terasa kehangatan
tubuhnya dipeluk oleh Amar.
“Jom.” Tanpa berlengah, Amar terus menarik tangan
Aira membuatkan gadis itu terpinga-pinga.
“Eh, Encik Amar nak bawa Aira lari ke mana tu?”
Zulaikha menjerit akibat terkejut dengan tindakan lelaki itu.

No comments:

Post a Comment