Thursday, 20 September 2018

TQ Kapten! - Bab 10

MIKAYLA keluar dari kawasan dorm menuju
ke padang kawad. Meninggalkan Elda yang sedang berbual
dan beramah mesra dengan beberapa askar-askar wanita.
Dia hanya mahu menenangkan fikirannya yang sedikit
berserabut.
Ibu baru sahaja membuat panggilan telefon
kepadanya sebentar tadi. Memaklumkan mengenai ayah.
Bukan Ayah Nahlan yang kini merangkap ayah tirinya, tetapi
ayah kandungnya, Ayah Mirza yang telah lama menghilangkan
diri tanpa khabar berita.
Seingatnya, kali terakhir dia bertemu dengan
ayahnya ketika usianya 9 tahun. Sudah terlalu lama dia tidak
bertemu dengan ayah kandungnya itu. Yang hilang begitu
sahaja tanpa berhubung dengannya sejak peristiwa ‘malang’
itu.
Sejak itu, janji ayah untuk pulang pada hari jadinya
yang ke-10 hanya tinggal janji. Berhari-hari Mikayla murung
dan jatuh sakit merindui seorang lelaki yang dipanggil ayah
yang meninggalkannya tanpa ucapan selamat tinggal apatah
lagi kucupan akhir seperti yang selalu dilakukan oleh ayahnya.
Air mata dikesat perlahan apabila teringatkan
memori indah bersama ayah. Entah mengapa air matanya
semakin laju dan seakan tidak mahu berhenti. Hati Mikayla
sakit mengenangkan bagaimana seorang ayah sanggup
mengabaikan anak kandungnya sendiri.
Ayah Nahlan yang langsung tidak mempunyai
hubungan darah dengan dia pun melayannya sama seperti
Naura dan Naufal. Walaupun dia sekadar anak tiri sahaja
kepada lelaki itu, namun kasih sayangnya tidak pernah
berkira apatah lagi berkurang. Sedangkan ayah kandungnya
sendiri?
Mikayla masih ingat lagi hari terakhir dia bersama
dengan ayah kandungnya. Basikal baru yang dibelikan ayah
mengundang seribu satu emosi yang begitu mengujakan bagi
kanak-kanak sepertinya yang berusia 9 tahun. Dia masih ingat
pada hari itu, pagi yang begitu indah sewaktu dia berbasikal
dengan ayah di kawasan taman perumahan.
Waktu itu, ayah dan ibu sudah tidak lagi bersama.
Ada masanya ayah akan datang berjumpa dengannya dan
meluangkan waktu bersama dengannya berhari-hari lamanya.
Dan ada masanya ayah menghilang tanpa khabar berbulan
lamanya. Dan momen terakhir bersama dengan ayah adalah
sewaktu dia berbasikal dengan ayah.
Mikayla berbasikal dengan gembira sekali ditemani
ayah yang turut berbasikal juga. Dan, kerana kecuaian
Mikayla sendiri, dia telah terlibat dalam kemalangan apabila
dirinya dirempuh sebuah kereta sewaktu menaiki basikal
tersebut. Bayangan terakhir yang dia ingat tentang ayah
adalah bagaimana lelaki itu memangku tubuhnya dan
meraung sekuat hati menjerit namanya.
Sewaktu dia terlantar di hospital, tidak sekali pun
ayah menjenguk dirinya. Berhari-hari dia menanggung rindu
pada lelaki yang bergelar ayah. Ingin sekali dia mengadu
tentang suntikan doktor yang begitu menyakitkan, luka di
tubuh yang ditanggung berhari-hari lamanya dengan pedih
dan bisa yang tidak tertanggung dan juga ubat-ubatan yang
sungguh memualkan. Namun, ayah tiada untuk mendengar
segala cerita sedih itu.
Keadaannya semakin memburuk apabila dia mula
mengalami kemurungan. Tidak mahu bercakap. Malah, lebih
teruk lagi menolak segala jenis makanan yang diberikan.
Sehinggalah tiba hari itu. Itulah harinya. Hari dia
dapat mendengar suara yang begitu dirindu saban hari. Itu
pun hanya melalui panggilan telefon. Kata ayah, jika mahu
ayah pulang, dia perlu kembali sihat secepat mungkin.
Ayah tidak mahukan Mikayla versi begini; lemah dan tidak
berdaya. Ayah janji akan pulang untuk bertemu dengan anak
kesayangannya ini. Satu-satunya darah daging Ayah Mirza di
muka bumi ini.
Dek patuh dengan permintaan ayahnya, dia kembali
sihat dan dibenarkan keluar dari hospital setelah kembali
pulih sepenuhnya. Dan, sejak itu khabar ayah langsung hilang
begitu sahaja. Namun, Mikayla masih menanti ayahnya itu
sehingga ke hari ini. Buat pertama kalinya, pada hari ini ayah
menghubungi ibu. Bertanyakan tentang dia.
Air matanya dikesat lagi. Cuba untuk menenangkan
dirinya. Dia mendongak dan melihat bintang-bintang yang
bertaburan di langit yang luas terbentang. Setiap satunya
berkilauan dan kelihatan indah terletak di antara satu sama
lain.
Mikayla mencuba untuk melupakan kisah ayah
yang hilang bertahun-tahun lamanya dan kini tiba-tiba
muncul bertanyakan tentang dirinya. Namun, gagal. Dia
tertanya-tanya apa khabar dengan ayahnya? Masih segakkah
seperti dahulu? Adakah kemunculannya hanya untuk
bertanyakan tentang dirinya?
Mikayla akan pastikan lelaki bergelar ayah itu akan
terus merindui dirinya. Dia tidak akan sesekali mencari
ayahnya dan dia akan pastikan lelaki itu sendiri yang datang
kepadanya, seperti yang pernah dijanjikannya dahulu.
Sudah dipesannya kepada ibu, agar jangan sekali-kali
meminta nombor telefon lelaki itu. Jangan sesekali diberitahu
apa sahaja maklumat mengenai dirinya kepada ayah. Dia
mahu lelaki itu mencari anak kandungnya sendiri dengan
segala upayanya sendiri sebagai seorang ayah.
Hidup dan mati Mikayla, biarkan lelaki bernama
Mirza itu mengambil tahu dengan caranya sendiri. Seperti
sepatutnya seorang ayah lakukan sejak dahulu.
Tiba-tiba kedengaran suara dari walkie-talkie.
Bayangan ayah segera menghilang dari ruangan mata.
Mikayla cepat-cepat mencari dari mana arahnya suara
itu. Kelihatan Dihya’ yang sedang duduk selamba sedang
menjawab panggilan dari walkie-talkie miliknya sambil mata
tidak lepas memandang ke arahnya.
Mikayla mengesat air matanya kering-kering. Tidak
mahu lelaki itu melihat wajahnya yang sudah sembap dek air
mata.
“Dah okey?” soal Dihya’ yang bangun daripada
duduknya. Kemudian langkahnya mula mendekati Mikayla.
“Dah. Paramedik ada bagi ubat tadi. Saya dah okey
dah.” Mikayla menjawab sambil menundukkan wajahnya.
“Maksud saya, saya tanya awak dah habis menangis
ke belum?” Dihya’ bertanya lagi tanpa berselindung atau
berkias.
Mikayla masih seperti tadi. Diam dan hanya
menundukkan wajahnya.
“Mana ada saya menangis.” Perlahan saja suara
Mikayla menjawab.
“Cuba tengok wajah saya yang handsome ni bila
bercakap.” Dihya’ cuba mengusik gadis di hadapannya.
Mikayla cuba untuk menenangkan emosinya.
Sebaknya masih bersisa. Air matanya masih lagi mengalir
perlahan. Degil dan tidak mahu berhenti.
Kali ini, berkali-kali dia mengesat air matanya.
Tetap basah kelopak matanya. Wajah ayah kandungnya
begitu mengganggu fikirannya malam ini. Tahukah lelaki
itu bahawa dia terlalu merindui seorang lelaki bergelar ayah?
Begitu mudah dirinya dilupakan oleh ayah.
“Kay, kalau awak masih menangis begini, silap-silap
malam ni jugak saya hantar awak balik Cameron Highlands.
Lupakan aje kerja awak kat sini, kita balik Cameron Highlands,
okey? Saya tak senang hatilah tengok awak macam ni.”
Mendengar sahaja kata-kata Dihya’, tiba-tiba darah
Mikayla seakan menggelegak.
“Saya akan habiskan kerja saya walau macam mana
sekalipun keadaan saya. Awak atau sesiapa pun takkan boleh
halang saya!”
Mikayla bersuara garang walaupun diselangi dengan
sedu yang tak dapat ditahan. Waktu begini, dia sendiri dapat
merasakan yang dirinya sudah menyerupai perangai kapten
di hadapannya itu. Kerja nombor satu!
“Then, stop crying like a baby. The other side of you,
it’s just too cute to handle.” Dihya’ bersuara lagi.
Mikayla memandang wajah Dihya’. Renungan begitu
lagi yang lelaki solja itu pamerkan. Dia tidak dapat lari
daripada membalas renungan Dihya’ yang sedang mengukir
senyum kepadanya. Dia turut tersenyum. Senyuman lelaki
itu bagaikan ubat penenang. Meresap jauh ke dalam hati dan
menenangkan perasaannya yang berkecamuk.
Dikesat air matanya yang bersisa. Entah bagaimana
dia boleh terpujuk dengan Dihya’ dalam sekelip mata.
Perasaannya tidak begitu menyeksa seperti tadi. Tidak
terbayang kapten segarang itu boleh menjadi sebegini
gentleman dengannya. The other side of him, that no one
knows. Too sweet to handle!
“Thanks. Saya rasa saya dah betul-betul ‘okey’,
kapten. Layanan first class betul di sini. Menangis pun ada
orang pujuk,” ujar Mikayla.
Cubaan untuk bergurau atau cubaan untuk
bermanja?
“Well, ibu awak yang call saya tadi suruh
tengok-tengokkan awak.”
Mikayla memandang Dihya’. ‘What??? Mana datang
Puan Maria antara kita berdua ni, Kapten Dihya’ oii...’
“Ibu? Ibu call awak? Then, awak ada kat sini bukan
sebab nak pujuk saya? Sebab ibu saya yang suruh?” Mikayla
menyoal. Tajam pandangannya merenung anak mata lelaki
itu.
“Eh, saya pujuk awak? Oh, awak boleh anggap begitu
kalau itu buat awak rasa lebih baik dari tadi. Tapi, memang
ibu awak ada call saya tadi. Dia risaukan awak.”
Mikayla cuba menahan malu. Tak boleh ke dia
berlagak sweet sikit? Oh, my! Kenapa dia boleh jatuh cinta
dengan lelaki sebegini? Kenapa?
“Beribu-ribu terima kasih atas kerisauan ibu yang
membawa awak ke sini, Kapten Dihya’.” Mikayla berlalu
meninggalkan Dihya’ di belakangnya. Lelaki solja itu
mengejar langkahnya dan berjalan di sebelahnya melalui
padang kawad yang begitu luas itu.
“Lega saya tengok awak dah okey. I mean, okey dari
peristiwa petang tadi dan okey untuk sekarang. Kalau tak,
satu kem nanti tak tidur malam penangan Double M yang
tiba-tiba kena hantar balik Cameron Highlands.”
Mikayla tergelak kecil.
“Takkanlah sampai macam tu sekali.”
“Kalau bukan sebab Double M, tak adalah Jamal
dengan Joe jadi bodyguard awak dari pagi sampai petang.
Dewan makan tu sampai senyap sunyi dibuatnya sebab semua
sibuk nak tengok awak dari nak makan nasi sebenarnya.
Masa kawad kaki, berapa ramai yang buat-buat silap step
semata-mata nak cover awak, Cik Double M.”
Mikayla cuba mengingati semula peristiwa sepanjang
hari ini. Ya ke?
“Tak baik tau awak cakap macam tu. Anak-anak
buah awak semuanya baik-baik belaka. Awak tu yang garang
macam bapak singa. Sikit-sikit jerit nama saya. Telinga saya
ni, naik bingit dengar suara awak. Kay! Macam mak nenek
kau berjalan! Lepas tu, awak denda saya macam-macam. Buat
lompat bintang. Lompat katak. Tak baik tau!”
Tenang sahaja Dihya’ mendengar Mikayla mengadu
itu dan ini. Dia membiarkan gadis itu terus mengadu dan
bersuara kepadanya. Biar lega perasaan Mikayla. Biar lupa
sebentar pada masalah yang membelenggu.
Panggilan daripada Puan Maria memang tidak
dijangka Dihya’. Panggilan yang meminta dia untuk melihat
keadaan Mikayla yang tiba-tiba memutuskan panggilan tanpa
diketahui atas sebab apa. Hanya dinyatakan urusan keluarga
yang agak serius melibatkan Mikayla dan ayah kandungnya.
Sememangnya dia berhubung dengan Puan Maria
sejak hari pertama gadis itu menjejaki kakinya di kem ini. Nak
diharap gadis kepala batu itu untuk menghubungi ibunya?
Mimpilah sampai tahun depan! Baru second date, dah kena
tinggal dengan Mikayla. Memang gadis hati kering!
“Kalau awak nak tengok saya versi yang tak garang
dan tak pernah awak tengok, kahwin ajelah dengan saya.
Lepas tu, hari-hari awak boleh tengok muka saya yang
handsome ni.” Dihya’ cucuk jarum lagi. Bukan senang dapat
berbual begini dengan gadis itu. Ah, Mikayla... suka benar
hatinya apabila gadis itu berada dekat begini dengannya.
“Boleh kenyang ke setakat tengok muka awak yang
handsome tu?”
Dihya’ membesarkan matanya sambil bercekak
pinggang.
“Awak nak cakap gaji saya kecil dan tak mampu nak
tanggung perempuan high maintenance macam awak ke?”
Mikayla tersenyum sinis memandang Dihya’. Kelakar
melihat reaksi lelaki solja itu. Berkerut-kerut wajah lelaki itu
memandangnya. Geram sangatlah tu.
“Mana ada saya cakap macam tu. Saya bukan
perempuan tipikal yang menunggu lelaki datang meminang
dan sediakan segalanya untuk saya.”
Dihya’ tersenyum mendengar kata-kata Mikayla.
“So, awak jenis perempuan yang macam mana?”
Dihya’ menyoal Mikayla. Kembali berjalan sambil tangannya
menyeluk ke dalam poket.
“Awak suka perempuan yang macam mana?” Mikayla
tidak menjawab soalan. Sebaliknya menyoal Dihya’ kembali
dengan soalan nakal.
“Kalau boleh nak yang manja-manja macam
Anzalna.”
Anzalna? Selebriti jelita yang terkenal dengan dress
perkahwinannya yang cantik. Memang cantik dan manja.
Mikayla buat muka. Menyampahnya dengar statement lelaki
begini. Manja-manja? Oh, my!
“Manja-manja macam mana?” soal Mikayla dengan
muka terkejut. Tiba-tiba rasa nak tahu.
Dihya’ semakin teruja melihat wajah Mikayla.
Kelakar dia melihat wajah comel itu berkerut-kerut cuba
memahami kata-katanya.
“Sibuk aje nak tahu. Kata tak suka lelaki macam
kita.” Dihya’ mengusik. Suka benar dia melihat riak wajah
Mikayla yang boleh berubah 360 darjah hanya dengan
mengusik emosinya sahaja.
Mikayla kehilangan kata-kata. Dia melajukan
langkahnya. Malu. Tak tahu nak letak di mana wajahnya saat
ini.
“Oi, cik kak! Nak pergi mana tu?” Suara Dihya’
menyoal dari belakang.
“Balik biliklah!”
Mikayla menjawab tanpa memalingkan wajahnya.
Jalan terus laju-laju tidak mahu menyambung perbualannya
lagi dengan lelaki solja itu.
“Itu nak menuju ke dorm lelaki. Bilik awak sebelah
sana.”
Dihya’ sudah menahan senyum melihat Mikayla
yang berjalan seperti gaya berkawad saja rupanya.
Mikayla menghentikan langkahnya. Dia membelok
kiri laju-laju. Tidak mahu melihat ke belakang lagi. Pasti
seronok Dihya’ mentertawakannya kali ini. Ah, kenapa lelaki
solja itu harus muncul di saat-saat begini? Sabar sajalah!
Dihya’ tersenyum bahagia, melihat gelagat Mikayla
yang tak tentu arah. Kalau benar gadis itu juga menyukainya,
sudah lama disuntingnya gadis itu menjadi isterinya.
Teringin diluahkan hasrat hati, namun dia tidak
yakin Mikayla punya rasa yang sama sepertinya. Mampukah
Mikayla bertahan dengan lelaki solja seperti dia?
Ah, malas mahu berfikir terlalu banyak. Ada jodoh,
adalah nanti. Tak mahu dikejar sangat. Nanti dia juga yang
malu.

Di sini aku melihat
Masa bahagia kita berdua
Kau dan aku
Bercinta menyimpul asmara
Mungkinkah kau juga
Merasakannya seperti aku
Terlalu cintakan kamu
Rindu yang terlerai
Setiap kalinya senyum manismu terukir indah
Jangan pergi lagi sayang
Bimbang aku engkau tiada
Menjalani hari tanpa kamu
Hanya engkau yang layak
Genggam hati yang sepi ini.
..

*** AKAN BERADA DIPASARAN UNTUK KELUARAN OGOS 2018**   

2 comments:

  1. Replies
    1. Hi dear, kalau berminat nak beli novel ini boleh hubungi no ini ya 019-3729676 (Cik Shida). tq

      Delete