Friday, 5 October 2018

Encik Nakal vs Cik Keliru - Bab 3

AHAD itu sekali lagi Rayyan mengheret Alia
keluar bersama. Ketika itu Alia baru sahaja pulang daripada
berkursus di Sarawak dan baru sempat berehat selama
4 jam. Kata Rayyan, kali ini mereka akan ke Mid Valley
untuk makan tengah hari, menonton wayang dan ke pesta
buku yang diadakan di Mid Valley Convention Centre. Alia
tergoda dengan pelawaan itu kerana pesta buku itu menarik
perhatiannya.
“Dah macam pergi fashion show.” Rayyan tersenyum
apabila melihat Alia kelihatan sungguh bergaya pagi itu.
“Kau rasa aku patut ke tukar baju lain? Pakai T-shirt
dan jean?” Alia berasa ragu-ragu dengan penampilan sendiri.
Rayyan pantas menghalang.
“Eh, jangan tukar apa-apa. Ini memang dah okey.”
Alia kembali masuk ke dalam bilik untuk mendandan
rambutnya.
Sementara Alia sibuk bersiap, Rayyan terus
mencapai sebuah buku lukisan yang terletak di atas meja.
Dia benar-benar ingin tahu isi di dalamnya lalu dia membelek
halaman demi halaman. Rupa-rupanya buku itu dipenuhi
dengan pelbagai rekaan pakaian yang dilukis oleh adiknya
itu. Entah bila Alia mula berminat dengan fesyen, dia sendiri
tidak pasti.
Matanya terus beralih ke skrin telefon bimbit Alia
yang berbunyi. Nama ‘Encik Zaidi Manager’ jelas tertera di
skrin. Dia mengagak panggilan itu disebabkan hal kerja.
“Alia, handphone kau bunyi!” laung Rayyan.
“Tolong angkatkan. Aku dalam bilik air ni!” balas
Alia.
Rayyan mengerutkan dahinya. Bila pula Alia masuk
ke dalam bilik air?
“Helo.” Rayyan memulakan bicara.
“Helo. Ini nombor Natalia Emilyn ke?”
“Ini memang nombor handphone dia. Dia kat dalam
bilik air. Encik ni siapa?”
“Saya Zaidi, rakan sekerja dari Bolsen.”
“Oh! Encik nak pesan apa-apa kat Alia?”
“Tak apa, saya akan call lain kali.”
Sebaik berkata demikian, Zaidi terus sahaja
mematikan talian. Rayyan juga enggan memanjangkan cerita
lalu meletakkan telefon itu ke atas meja semula.
Wajah Alia terjengul di muka pintu.
“Siapa yang call?”
“Encik Zaidi Manager.”
Berkerut dahi Alia apabila mendengar nama Zaidi
disebut. Kenapa tiba-tiba sahaja lelaki itu menelefonnya?
“Dia ada pesan apa-apa?”
“Tak ada. Dia akan call lain kali.”
“Harap tak ada benda urgent. Kita pun dah nak
keluar,” balas Alia seraya memasukkan barang peribadi ke
dalam tas tangan.
“Kau ni memang diskriminasi dengan aku. Kau bagi
dia nama ‘Encik Zaidi Manager’. Tapi kau bagi nama aku
‘Rayyan Gila’,” rungut Rayyan.
Alia terus menyentuh jari-jemarinya di telefon
bimbit miliknya. Nama ‘Rayyan Gila’ terus diubah.
“Nah, nama baharu kau. Jangan nak kompelin lagi.”
Berbunga hati Rayyan apabila melihat nama
baharunya; ‘Rayyan Kacak Tersayang.’
“Puas hati, kan?”
Rayyan terus sahaja mengangguk laju. Dia tidak
mahu merungut lagi. Takut nanti lagi dahsyat nama yang
akan diberikan oleh adiknya itu.
“Kenapa tak ajak Kak Yana sekali? Dia kan suka
buku,” ujar Alia.
“Dia tengah kursus di Kuantan,” balas Rayyan.
Awal-awal lagi Dayana sudah memberikannya senarai buku
yang perlu dibeli kerana sebaik saja habis berkursus, pesta
buku itu sudah berakhir.
“Okeylah kalau macam tu.”
“Kita tak pergi berdua tau. Kita pergi bertiga.”
Waktu itu mereka berada di depan lif. Sebaik sahaja
pintu lif terbuka, Rayyan terus menarik tangan Alia masuk
ke dalam lif kerana bimbang gadis itu akan menukar fikiran.
“Dengan siapa?” Alia berasa tidak sabar ingin tahu.
“Member lelaki aku,” balas Rayyan.
Berkerut dahi Alia memandang lelaki itu.
“Lelaki mana pula ni?”
“Rahsialah. Yang pasti dia lelaki tulen.”
“Ada ke aku tanya tulen ke tak?” balas Alia kurang
senang.
“Aku cuma terangkan secara baik supaya kau tak
salah faham. Handsome tau orangnya. Baik dan berbudi
pekerti pula tu.”
Alia membalas dengan jelingan. Kalau memuji
orang lain, memang nombor satu. Tapi adik sendiri, bukan
main lagi mengutuk.
“Dia bawa girlfriend ke?” Alia sekadar ingin tahu.
Rayyan hanya berdiam diri, sengaja enggan
menjawab soalan itu. Biarlah Alia melihat dengan kedua-dua
biji matanya sendiri.
Sebaik sahaja keluar dari pintu lif, mereka terus
menuju ke tempat parkir kereta. Sempat dia memandang
kereta Proton Inspira putih yang terparkir elok di tempatnya.
Sudah berhabuk kerana tuannya terlalu sibuk. Dia bercadang
hendak pergi membasuhnya selepas pulang daripada kerja
esok.
“Parkir kat mana?” soal Alia. Dia tidak perasan pula
di mana kereta Rayyan.
“Kat luar,” jawab Rayyan.
Berkerut dahi Alia mendengar jawapan itu.
“Kenapa jauh sangat?”
“Hari ni aku tak drive. Kita naik kereta dia.”
Berderau darah Alia apabila mendengar jawapan itu.
Jantungnya mula berdegup kencang. Tambahan lagi apabila
mereka melangkah ke arah sebuah kereta yang terletak di
suatu sudut. Dia kenal benar pemilik kereta Audi A6 berwarna
hitam itu.
Saat akal dan hati Alia berperang sesama sendiri,
pemilik kereta itu keluar dari perut kereta lalu memandang
ke arah mereka. Senyuman kelihatan terukir di bibir lelaki
itu tatkala pandangan mereka bertaut.
“Hai, Alia. Lama kita tak jumpa.”
Alia membalas dengan senyuman. Dia sendiri tidak
pasti bagaimana rupa senyumannya saat ini. Apa yang dia
pasti, dia berasa kekok dengan apa yang berlaku.

AWAL-AWAL LAGI Rayyan sudah mengambil tempat di kerusi
belakang. Manakala Alia disuruh supaya duduk bersebelahan
dengan lelaki bernama Neil Zafran itu. Alia berasa kurang
selesa dengan keadaan itu. Tapi dia tiada pilihan lain.
“Alia nampak cantik,” Neil memuji ikhlas.
Alia tidak membalas. Hatinya langsung tidak terusik
mendengar pujian itu.
“Tentu Alia tak sangka abang datang,” ujar Neil.
“Ya. Memang surprise.” Alia pura-pura ceria. ‘Kan
elok kalau abang tak ikut sekali.’ Ayat itu hanya terdengar
dalam hati Alia. Dia benar-benar tersepit dengan situasi yang
ada.
“Masa Rayyan call tadi, Alia tengah buat apa?” Neil
bertanya lembut.
“Oh, tadi tengah tidur,” jawab Alia.
Neil tersenyum mendengar jawapan itu. Jika gadis
lain tentu memberi jawapan lebih feminin.
“Patutlah Rayyan merungut call banyak kali tak
angkat.”
Ayat yang baru keluar daripada bibir Neil
membuatkan Alia berpaling ke belakang. Rayyan hanya
mempamer wajah selamba tatkala memandangnya.
“Siapa suruh dia call pagi-pagi? Mujurlah Alia
masih ada rasa kasihan lagi. Kalau tak, biar lebam tangan dia
mendail.”
“Orang call dah pukul 9, tahu tak? Anak dara, mana
elok bangun lambat,” balas Rayyan tidak puas hati.
Alia mendengus keras.
“Biarlah. Bukannya susahkan sesiapa pun.”
“Memanglah tak susahkan sesiapa. Tapi tak elok.
Dahlah bendul mengaku tengah sedap tidur. Bagilah jawapan
lebih senonoh sikit!”
“Memang tengah tidur, takkan nak cakap tengah
korek hidung atau tengah buang air besar.”
“Mulut tu langsung tak bertapis!” rungut Rayyan.
Neil hanya ketawa mendengarnya. Dia tidak
berasa pelik kerana Alia memang seorang gadis yang jujur.
Disebabkan sikap gadis itulah hatinya semakin terpaut.

TANGAN ALIA sudah penuh dengan beberapa buah novel
cinta dan thriller yang dibeli daripada penerbit yang berlainan.
Rayyan dan Neil pula membeli beberapa buah buku yang
sesuai dengan bidang kerja masing-masing. Manakala untuk
Dayana, Rayyan membelikan pelbagai jenis buku mengikut
senarai yang diberikan.
Neil terus mencapai beg kertas dan beg plastik yang
dipegang oleh Alia.
“Biar abang yang pegangkan. Berat tu,” ujar Neil
apabila Alia cuba menegah.
Alia tidak lagi membantah lalu mengucapkan terima
kasih. Memang berat buku yang dibawanya. Mujurlah ada
yang membantu.
Ketika Neil sedang leka memerhati Alia memilih
buku, dia terdengar suara yang dikenali menegurnya. Dia
terus berpaling. Ternyata memang Irfan. Hairi turut ada
sama.
“Apa kau berdua buat kat sini?” soal Neil.
“Aku datang dengan Mila. Beli buku untuk Sofea.
Hairi ni pula temankan Emelda,” jawab Irfan bagi pihak
mereka.
“Mana Mila dengan Emelda?” soal Neil.
“Shopping sama. Tinggalkan kami berdua,” balas
Hairi.
Neil tergelak mendengarnya. Memang tidak pelik
mereka ditinggalkan kerana mereka tidak arif dalam memilih
buku.
“Kau pula kenapa kat sini? Bosan kat rumah?” Irfan
mengusik Neil.
“Aku rasa dia bosan. Maklumlah tak ada bini, tak ada
girlfriend. Cara dia borong buku, nampak sangat nak pujuk
hati,” usik Hairi.
“Itu yang kau berdua fikir tentang aku? Cubalah
positif sikit,” rungut Neil.
“Masalahnya kau dah lama single. Mujurlah bekas
girlfriend kau nak juga datang lawat kau. Kalau tak, memang
mati kebosananlah kau.” Hairi terus ketawa.
Belum sempat Neil membalas, Alia menghampiri
mereka membuatkan Irfan dan Hairi terpegun
memandangnya.
“Dah siap shopping ke?” soal Neil.
“Dah. Abang ada nampak Rayyan?”
“Rasanya Rayyan tengah cari buku architecture,”
balas Neil.
Mata Alia beralih kepada Irfan dan Hairi.
“Hai, lama kita tak jumpa.”
“Alia apa khabar? Datang dengan Neil ke?” Irfan
menyapa.
“Alia sihat. Memang datang dengan Abang Neil.”
Irfan dan Hairi saling berpandangan. Masing-masing
ingin bertanya, tapi lidah mereka kelu pula. Belum sempat
berbuat apa-apa, Alia meminta diri untuk berlalu. Neil pula
terus mengekori Alia meninggalkan Irfan dan Hairi yang
masih terpinga-pinga, tidak sempat mendapat sebarang
penjelasan.

SELEPAS PUAS memborong buku, mereka singgah di
sebuah restoran untuk mengisi perut. Neil keluar sebentar
meninggalkan pasangan kembar itu kerana ada hal.
“Kau memang sengaja tinggalkan aku dengan dia,
kan? Lain kali kita keluar berdua aje. Tak payah dengan dia,”
tegas Alia.
“Apa salahnya? Bukannya kau tak kenal dia pun.”
“Aku tak selesa. Kalau kita keluar berdua, tak boleh
ke?” soal Alia.
“Mana seronok kalau keluar berdua aje.”
“Macamlah aku tak tahu niat kau. Boleh tak jangan
peningkan kepala aku?”
“Bagilah dia peluang. Dia teringin sangat nak jumpa
dengan kau. Selama ni kau asyik tolak bila dia nak ajak jumpa.
Jadi aku terpaksa buat macam ni.”
Alia terus mencecap minumannya, enggan lagi
melayani Rayyan.
“Fikir diri sendiri sikit. Sampai bila nak hidup
macam ni? Sekurang-kurangnya aku ni dah kahwin dan
hidup bahagia. Tapi kau tu masih kat takuk lama, tak ada
kemajuan!”
Ayat yang baru keluar daripada mulut Rayyan
membuatkan hati Alia rasa terluka.
“Memang aku tak ada kemajuan. Tapi aku tak kacau
pun hidup kau. Kau yang kononnya hidup bahagia tu yang
selalu cari aku. Macam tak ada kerja, asyik kacau aku aje!”
Rayyan mengeluh kesal. Dia baru sedar bahawa dia
keterlaluan menyindir Alia.
“Aku rasa lebih baik aku balik.” Alia terus bangun
daripada kerusi.
“Alia, duduklah dulu. Aku tahu kau marah, tapi aku
cuma buat apa yang terbaik untuk kau sebab aku ni abang
kau.”
“Aku peduli apa kau tu abang aku! Kalau kau rasa
kau bagus sangat, jangan cari aku lagi. Aku tak hadaplah nak
keluar dengan kau setakat nak dengar kau hina aku!”
“Okey, aku minta maaf. Aku betul-betul tak sengaja,”
ujar Rayyan.
“Tak payah nak jelaskan apa-apa. Aku cuma nak
ingatkan kau... kau dengan hidup kau, aku dengan hidup aku.
Aku tak nak ada kena-mengena dengan rancangan kau ni.
Pergi suruh Abang Neil tu cari perempuan lain asalkan dia
tak kacau aku lagi!”
Waktu yang sama, Neil mendapatkan mereka semula
bersama sejambak bunga di tangan. Dia berasa pelik apabila
melihat Alia sedang memarahi Rayyan.
“Kenapa ni? Apa yang terjadi?” soal Neil.
Alia berpaling ke arah Neil.
“Tanyalah Rayyan. Alia balik dulu. Selamat tinggal.”
“Alia, tunggu dulu. Kenapa ni?” Neil terkejut melihat
Alia tiba-tiba berlalu pergi. Namun Alia terus melangkah, lalu
masuk ke dalam lif, meninggalkan mereka tanpa memberi
peluang kepada mereka berkata apa-apa lagi.
Sampai sahaja di rumah, Alia terus membasahkan
wajahnya. Hatinya yang terluka, tiada siapa yang mengerti.
Biarlah mereka dengan andaian mereka sendiri kerana dia
lebih tahu apa yang terpaksa dilaluinya.

No comments:

Post a Comment