Tuesday, 27 November 2018

Cinta Adik Manja - Bab 3

NUR pandang jari manisnya. Sebentuk cincin
emas belah rotan yang tersarung di situ, diputar-putarkan.
Huruf NH yang terukir di situ dipandang lama. Dia suka
melihat dan bermain dengan cincin ini apabila hatinya
gelisah. Memutar, tarik keluar dan disarung kembali cincin di
jari manis ini. Pergerakan itu diulang berkali-kali. Bagaikan
terapi untuk jiwanya.
Cincin yang umi berikan ketika dia berusia 15
tahun itu jarang sangat ditanggalkan kecuali apabila pergi ke
sekolah. Rasa macam jarinya kosong apabila cincin itu tiada
di situ. Cincin yang mulanya terasa longgar, kini mula selesa
melekat di jarinya.
Imbas kembali...
“AMBIL NI. Dah lama umi simpan. Adik pun dah besar, dah
boleh pakai dah cincin ni.”
Umi menghulurkan sebuah bekas kecil berbaldu
merah kepadanya. Teragak-agak Nur mahu mengambilnya,
lalu kotak itu dibuka.
“Cincin apa ni, umi?” Dahi Nur berkerut.
“Ada orang bagi kat abah. Lama dah dulu. Abah
suruh umi simpan. Umi terus lupa. Pagi tadi masa tengah
berkemas, umi jumpa terus teringat. Sebab tulah umi bagi
adik ni.”
“Tapi mana boleh pakai kat sekolah. Nanti cikgu
rampas. Umi simpanlah.” Nur menghulurkan semula kepada
uminya. Dia masih sekolah lagi, takkanlah nak pakai pula.
Tapi cincin ni kelihatan cantik walaupun cincin belah rotan
biasa saja. Ada huruf NH terukir di sekelilingnya.
Umi geleng kepala.
“Adik pakailah masa kat rumah. Nak pergi sekolah
adik buka, simpan. Sayang kalau tak pakai, lama-lama nanti
ketat pulak.”
“Longgarlah umi. Jatuh karang,” balas Nur. Dia
merebahkan kepalanya di bahu umi.
“Tapi cantiklah umi. Pandai abah belikan,” pujinya.
“Bukan abah. Ada orang bagi,” jawab umi penuh
rahsia. Ada segaris senyuman dikulum di bibirnya. Perlahan
ubun-ubun anak bongsunya dikucup. Inilah satu-satunya
anak yang masih tinggal di rumah ini.
“Baik hati orang tu bagi kat abah cincin emas ni,”
bebel Nur polos. “Tahu-tahu je dia nama adik Nur Hasyifa.
NH...” sambungnya lagi.
‘Mestilah tahu, Nur-Hisyam. NH juga, sayang.’ Bisik
Zulaikha dalam hatinya sahaja.
Sejak hari itu, Nur suka pakai cincin ini. Suka
putar-putarkan di jari manisnya. Terasa dekat dengan si
pemberi cincin itu kepadanya. Tapi siapakah?
PAP!
“Oh, Abang Syam balik, Abang Syam jahat! Oh mak
kau Abang Syam munafik! Oh cincin!” latahnya. Pucat muka
Nur.
Intan dan Fatihah ketawa berdekah-dekah. Seronok
dapat menyakat kawannya itu. Nur ketap bibir. Wajahnya
mula membera merah teringat latahnya tadi. Malu.
“Abang Syam tu siapa?” Intan dah jadi agen risikan.
Dia menarik kerusi di meja belajarnya yang terletak di sebelah
meja Nur.
“Tak ada siapalah. Sibuklah kau ni. Dahlah
terkejutkan aku. Semput melatah ni, tahu tak?”
Intan geleng kepala. Dia tersengih. Sikit pun tak ada
rasa bersalah sebab bukan selalu Nur melatah bila disergah.
Biasanya kawannya itu akan melatah apabila dia mengelamun
atau sedang berfikir tentang sesuatu.
Fatihah cemik bibir. Dijulingkan matanya. Dia
menghempaskan tubuh di atas katil. Penat.
“Kalau bukan sesiapa, kau takkan melatahlah. Kau
tengah fikir tentang Abang Syam, eh? Pakwe kau, ek?” Intan
terus berkata. Meneka dan cuba mengorek rahsia.
“Dia tu abang Nisa. Nak balik Selasa ni. Aku terfikir
pasal dia sebab mereka sibuk bergosip pasal Abang Syam
dalam group tu,” jelas Nur. Geram bila tengok muka Intan
yang tersengih-sengih, seolah-olah apa yang dia cakap itu
betul.
“Balik? Dia pergi mana? Handsome tak?” Bertambah
rasa ingin tahunya. Intan melihat sekeping gambar lima
sekawan di atas meja belajar Nur. Biarpun Nisa dan Misah
muda setahun daripada mereka, tapi mereka adalah sahabat
baik Nur di kampung. Nisa cantik orangnya. Mesti abang dia
pun kacak.
“Mesir. Dia belajar kat sana,” balas Nur sambil lewa.
Saat matanya terpandangkan Fatihah, entah kenapa hatinya
rasa tidak enak. Rakan sebiliknya yang ini cantik, tapi satu
saja sikap yang Nur tak berapa berkenan; kerek dan perasan
cantik sehinggakan semua lelaki sukakan dia.
“Abam ustazlah ni? Ada gambar tak? Aku nak tengok.”
Intan semakin teruja. Ingin tahu sangat rupa Hisyam itu. Dia
terus mencapai telefon Nur di atas meja.
“Hei!” Nur cuba merampas kembali telefon
kepunyaannya.
Tapi Intan sempat melarikan tangannya. Dia pantas
membuka grup WhatsApp Geng Gadis Pingitan Kg. Berangan.
Terbuntang luas mata Intan melihat gambar Hisyam.
Mulutnya terbuka. Terkaku sebelum...
“Wow... gila kacak!” Dia menjerit.
Di kesempatan itu Nur terus merampas telefon
pintarnya. Gambar Hisyam segera dipadamkan.
“Mana? Mana? Aku nak tengok juga.” Fatihah
menyelit. Dia merampas telefon pintar Nur dengan agak
kasar. Nur tak mampu berbuat apa. Intan pula melopong
dengan tindakan kasar Fatihah itu.
“Mana?”
“Aku dah padam!” jawab Nur.
“Bodoh!” Fatihah terus melempar telefon milik Nur
ke atas meja.
“Weh, kau gila ke? Rosak telefon aku tu kau ganti!
Hantu punya manusia!” jerit Nur marah.
Tak pasal-pasal telefonnya jadi mangsa. Dia
mengambil telefon dan memeriksanya. Nasib baik berfungsi
dengan elok lagi. Wajahnya masam dan geram. Tapi
disabarkan hatinya. Tanpa menunggu lama, disambar tuala
yang tersangkut di pintu almari. Peralatan mandi juga
diambil dan dia terus keluar.
“Apasal kau biadab sangat!” Hati Intan membara.
Dia bercekak pinggang di depan Fatihah.
“Boleh tak kau minta elok-elok?” bebel Intan.
Fatihah buat muka, membeliakkan mata dan
kerutkan hidungnya. Sikit pun dia tak hairan.
“Eleh, kau rampas boleh pulak. Jangan nak mengata
oranglah Intan kalau perangai kau pun sama!” balas Fatihah
tak mahu kalah.

“ABANG RASA nak cepatkan pernikahan adik.” Kata-kata
yang keluar dari bibir suaminya mematikan tangan Zulaikha
yang sedang melipat pakaian. Dia pandang suaminya sejenak.
“Adik baru 19 tahun, abang. Muda lagi,” balasnya.
“Awak pun umur 19 tahun masa kita kahwin dulu.
Lagipun saya yakin Hisyam boleh jaga adik dengan baik.” Haji
Yusuf menghela nafas. Peristiwa diserang sakit jantung secara
tiba-tiba membuatkan dia berfikir panjang. Angah lelaki, tak
dirisaukan sangat. Tapi adik ni perlukan jagaan seseorang jika
apa-apa jadi padanya. Walaupun dia tahu anak-anaknya boleh
saling menjaga antara satu sama lain.
Zulaikha diam berfikir. Dia memandang suaminya
seketika sebelum tangan kembali lincah melipat kain.
Hati tak berapa bersetuju, tapi dia faham dengan perangai
suaminya. Apabila Haji Yusuf membuat keputusan, tiada
sesiapa pun boleh mengubahnya. Namun Zulaikha tetap
mahu mencuba. Sayang mahu dilepaskan adik lagi, terasa
yang anak bongsunya itu masih kecil.
“Angah pun patutnya dah kahwin. Nanti awak
carikan calon. Risik mana-mana anak dara dalam kampung
ni. Kalau boleh sebelum tutup mata, abang nak tengok
semua anak-anak kita dah kahwin,” sambung Haji Yusuf
lagi. Sebelum pergi dia mahu melihat kesemua anaknya
berkahwin, barulah matanya boleh tertutup rapat.
“Biarlah angah tu cari sendiri, bang. Lagipun
kerjanya bukan macam orang lain. Tiga bulan di laut, sebulan
di darat. Takut nanti ada yang tak boleh tahan kena tinggal
selalu.” Soal jodoh anak-anak ni Zulaikha lebih suka mereka
cari sendiri. Hasni dan Hafizah pun bernikah dengan pilihan
mereka sendiri.
“Abang tu kena jaga diri. Dengar nasihat kak long.
Makan kena pantang. Saya masih nak hidup lama dengan
abang lagi. Selalu berdoa abang panjang umur,” sambung
Zulaikha lagi.
“Hidup mati ni bukan soal jaga diri baik ke tak.
Soalnya dah sampai masanya setakat itu saja nyawa kita
dipinjamkan. Mana boleh nak ditangguhkan lagi. Bila
anak-anak semua dah lepas, tenang hati saya ni,” jawab Haji
Yusuf.
“Ya, saya tahu. Tapi Allah menggalakkan hamba-Nya
berusaha menjaga kesihatan dengan baik dan berdoa
dipanjangkan umur. Kalau tak jaga kesihatan diri, hanya
mengharapkan doa memang sia-sia je. Nasihat yang baik
daripada anak-anak abang patut sesekali dengar.” Zulaikha
suarakan pendapatnya.
“Huh! Abang tahulah jaga diri abang. Awak tak
payah risau pasal tu. Kita ni bercakap soal anak-anak kita,
bukan soal abang,” balas Haji Yusuf. Dia tidak suka isterinya
bercakap pasal kesihatannya. Pandai-pandailah dia jaga diri
sendiri.
Zulaikha geleng kepala. Keras batu.
“Adik dan Hisyam tu bertunang dah lama, tak boleh
nak tangguhkan lagi. Selepas habis matriks nanti abang nak
buat majlis.”
“Lagi 3 bulan?” Zulaikha mencongak sendiri. Sempat
ke nak buat persiapan nanti?
Haji Yusuf angguk.
“Nak ke adik? Budak tu selepas Hisyam tak
menghubunginya, langsung tak bercakap pasal dia. Dengar
nama Hisyam pun dah lari.”
“Lepas kahwin nanti pandailah Hisyam pujuk,” balas
Haji Yusuf ambil mudah.
“Masalahnya adik tu pun tak tahu mereka dah
bertunang selama ini. Tak ke mengamuk budak tu nanti?
Bukannya abang tak tahu perangai dia. Sebiji ikut perangai
abang!” tempelak Zulaikha. “Tunggulah 2 3 tahun lagi, abang.
Biar mereka kawan balik perlahan-lahan.”
Haji Yusuf geleng kepala.
“Abang tak suka anak-anak bebas ke sana sini tanpa
ikatan. Biar kahwin dulu. Lagipun Hisyam ni ustaz, kena jaga
maruah diri dia juga. Anak kita tu perempuan, lagilah kita
kena jaga.”
Terdiam Zulaikha dibuatnya. “Ikut abanglah. Saya
ikut mana yang baik.”

No comments:

Post a Comment