Tuesday, 27 November 2018

Cinta Adik Manja - Bab 8

DUMM!!!
Pintu dihempas kuat. Tanpa menghiraukan kedua
lelaki itu, Nur terus meluru masuk ke dalam rumah. Beg
pakaiannya pun tak diambil. Biar saja angah yang angkut
masuk. Abah dan umi dicari.
Angah geleng kepala. Perangai kepala angin adik
bongsunya tak pernah berubah. Hairan. Apa yang dia
marahkan sangat, entah? Dikerling Hisyam yang baru keluar
dari kereta. Tentu lelaki itu terkejut. Dia pun terkejut juga.
“Mari masuk Syam, kita makan sekali. Abah dan umi
tengah tunggu kita ni,” ajak angah.
“Adik tengah marah ke tu?” tanya Hisyam. Boleh
tahan garang Nur sekarang. Terkejut juga dia tadi. Tapi lain
pula rasa hatinya. Jelingan tajam Nur nampak menggoda
tadi. Hailah hati... dah pandai macam-macam nampak.
Angah sengih.
“Kau tak payah ambil hati dengan adik aku tu. Nur
7 tahun lepas dan sekarang sama je. Marahnya kejap. Nanti
pandailah kau pujuk bagi baik balik. Lagipun salah kau, kan?”
sindir angah.
Dalam hatinya juga berharap adiknya dan Hisyam
akan berbaik seperti dulu. Melihat mereka berdua tadi,
hatinya macam digaru sesuatu. Ada yang tak beres di antara
Hisyam dan Nur. Lebih dari janji yang dimungkiri. Bahu
Hisyam ditepuk dan ditarik masuk.
Dalam segan Hisyam melangkah masuk juga.
Lagipun dia mahu berjumpa pak teh dan mak teh juga.
“Tapi hati aku ni nak tahu juga sebab sebenar kau tak
telefon.” Perlahan angah bisik di tepi telinganya.
Soalan itu merencatkan langkah Hisyam. Dia
pandang wajah selamba angah di sebelahnya. Wajahnya
berubah kelat seketika sebelum kembali tenang. Dalam masa
yang sama, mereka telah sampai di meja makan.
“Panjang umur Hisyam. Kami baru je bercakap
tentang kamu,” tegur Zulaikha apabila terlihat Hisyam dan
angah menghampiri meja makan.
Nur yang berada di situ, terus mati senyum. Tak
jadi tuang air teh ke dalam cawannya. Tanpa menegur atau
memandang mereka yang berada di situ, dia terus berlalu
menuju ke bilik.
“Adik... makan dulu, baru sambung tidur,” tegur kak
long.
“Tengok muka orang tak tahu malu tu, tak jadi
lapar!” Tanpa menoleh dia menjawab sebelum pintu bilik
dihempas kuat.
“Astaghfirullahalazim...” Mengucap Haji Yusuf.
Terkejut mendengar pintu dihempas kuat.
“Tadi pintu kereta, ni pintu bilik pulak. Boleh
roboh rumah ni kalau hari-hari macam ni,” omel angah. Dia
meletakkan plastik berisi nasi kerabu atas meja.
“Duduk Hisyam. Tak payah ambil hati dengan
perangai Nur tu,” sapa Zulaikha.
Hisyam mengangguk. Dia senyum faham. Dia sikit
pun tak ambil hati dengan kelakuan Nur itu.
“Duduk, Hisyam. Duduk,” ajak Haji Yusuf pula.
“Pasal Nur tu kita cerita kemudian. Pak teh
tahu dia marah sangat pasal kamu tak telefon. Lepas ni
pandai-pandailah pujuk dia semula.”
Angah dan kak long saling berpandangan. Angkat
kening menyoal dalam diam. Bahu kak long bergerak turun
naik, tanda tak tahu. Mereka menikmati hidangan nasi
kerabu, kuih-muih yang dibeli oleh angah tadi.
“Masa ambil adik tadi, ada kawan lelaki satu tempat
belajar teman adik. Rupanya saudara Syam juga,” cerita
angah.
“Boyfriend adik ke?” Kak long teruja. Wajahnya
bersinar ingin tahu.
“Entah. Kawan je kut. Tapi aku tengok budak tu
macam sukakan adik,” balas angah.
“Budak tu saudara belah siapa? Ayah kamu?” Mata
Haji Yusuf tertala kepada Hisyam.
Hisyam angguk.
“Ya, pak teh. Cucu Pak Itam, yang tinggal kat Kg.
Belukar tu.”
“Ooo... aku kenal dengan Pak Itam tu. Dia ada anak
yang tinggal di Putrajaya, kan?”
“Betul, pak teh. Tahun lepas mereka sekeluarga
menunaikan umrah. Saya yang jadi mutawif mereka.”
Pak teh angguk. “Jemput makan, Hisyam.”

PULANG DARI rumah pak teh, Hisyam terus masuk ke bilik.
Mahu tidur sekejap. Dia berbaring telentang memandang
siling. Tangan kanannya diletakkan di atas dahi. Wajah manis
masam Nur tadi mencuit tangkai hatinya. Marah Nur hanya
seketika mencalar hati. Selebihnya dia rela dimarahi ataupun
dimaki asalkan dapat melegakan kemarahan gadis itu.
Salahnya, memang dia akui. Berjanji sebelum pak teh datang
bersemuka dengannya. Akibatnya dia terpaksa memungkiri
janji terdahulu yang dibuat.
Kesannya bukan hanya pada Nur, tapi dia juga.
Peritnya dia menahan keinginan untuk mendengar suara
comel itu sepanjang 7 tahun ini. Peritnya dia terpaksa
berkorban kerana janji yang terpateri. Nur demam. Dia juga
demam. Dia yang mencadangkan jubahnya yang tersangkut
di dinding bilik diberikan sebagai ubat rindu Nur. Manakala
dia pula di sana terpaksa bergelut sendirian. Mujurlah setiap
kali dia menelefon kampung, ibunya tidak pernah lokek
bercerita tentang Nur. Biarlah Nisa menjadi penggantinya
sementara walaupun dia tahu Nur telah menyimpan dendam
dalam jiwanya.
Tok! Tok! Tok!
Terjongol kepala Nisa di celah pintu.
“Abang Syam buat apa? Tidur ke?” tegurnya. Pintu
bilik dibuka lebar.
“Tak lagi. Saja baring-baring kejap. Nak apa?”
Nisa sengih-sengih sambil menghampiri katil
abangnya. Matanya terpandang sebuah kotak di tepi almari
baju. Cuma kotak tersebut yang masih belum dibuka. Kata
Hisyam, kotak tu kawan dia punya.
Nisa melabuhkan duduknya di birai katil. “Nur balik
hari ni,” beritahu Nisa.
“Abang tahu. Tadi abang temankan angah pergi
ambil dia.” Hisyam bangkit dan duduk bersandar di kepala
katil. Adiknya dipandang.
Sengihan Nisa melebar.
“Amboi, tak sabar nak jumpa adik kesayangan
dia tu. Adik yang kat depan ni buat tak tahu je. Sooo...”
Nisa menjongket kening bertanya. Ada rasa teruja di hati.
Selama ini dia menjadi penyampai maklumat tak bertauliah
kepada abangnya. Padahal dulu dia cemburu sangat melihat
keakraban Nur dengan abangnya.
Nur yang selalu abangnya lebihkan. Tapi selepas
melanjutkan pelajaran ke Mesir, hubungan itu macam
terputus. Hisyam tidak lagi rapat dengan Nur. Sebaliknya,
Hisyam menggunakannya untuk mengutip maklumat
tentang Nur. Siap ada upah lumayan lagi untuknya asalkan
segala-galanya tentang Nur diceritakan.
Hisyam mengeluh. Teringat layanan dingin Nur tadi.
“Dia buat tak kenal abang. Marah-marah abang.”
Nisa terus ketawa. Kelakar tengok muka kecewa
abangnya. Padan muka!
“Abang yang cari pasal. Janji bagai nak rak. Tapi satu
pun abang tak buat. Padan muka!”
“Abang ada janji dengan pak teh juga. Terpaksalah
korbankan salah satu.”
“Janji apa?” soal Nisa pelik. Ini kali pertama Hisyam
bercerita.
“Nanti Nisa akan tahu juga,” balas Hisyam. Mahu
lagi berahsia.
Nisa mencemik bibirnya.
“Susah tak nak pujuk Nur kalau dia marah?” tanya
Hisyam tiba-tiba.
Nisa angkat bahu, tak tahu. Tak pernah lagi Nur
marah selama ini. Merajuk suka-suka tu adalah. Malah tak
pernah pun dia tengok kawannya itu marah. Nur tu lembut
dan manjalah. Mana reti marah.
“Nur mana reti marah. Merajuk tu banyak kalilah
juga. Tapi tak adalah merajuk teruk sangat,” balasnya.
“Betul ke Nur marah abang? Atau merajuk je?” Nisa
inginkan kepastian. Tak percaya ni. Julung kali dengar Nur
marah orang. Marahkan abangnya pula tu!
Hisyam mengangguk. Marah betul bukan
main-main. Kalau merajuk pun dia bukan reti nak pujuk
pun. Dia merindui Nur yang comel dulu. Nur versi dewasa ni
bukan comel lagi dah, tapi cantik dan manis. Walaupun muka
tu masam.
“Hmmm...” Nisa pandang abangnya yang larut dalam
perasaannya sendiri. Ada rindu dan kecewa terbias di wajah
itu. Membuatkan tanda soal di dalam kepalanya beranak
pinak dan semakin besar.
“Tapi kenapa abang nak sibuk-sibuk pasal Nur
pulak?” soalnya musykil.
Hisyam diam. Biarlah Nisa mengomel sendiri.
Esok-esok nanti dia akan tahu juga.

No comments:

Post a Comment