Monday, 14 January 2019

Bisikan Rindu Semalam - Bab 7

SUARA cengkerik malam bernyanyi nyaring di
cuping telinga. Gemeresik dan mempesonakan. Bayu malam
pula bertiup lembut menyapa kulit. Segar dan dingin. Arissa
tersenyum senang. Matanya memandang lurus ke dada langit
yang terang dihiasi taburan bintang. Rembulan juga tidak
mahu kalah. Cahayanya begitu indah menyimbah bumi.
Subhanallah... cantiknya alam ciptaan Tuhan ini.
Semuanya Dia bagi dengan percuma sahaja. Tetapi kita
sebagai hamba selalu sangat alpa dengan nikmat yang
percuma ini. Jarang sangat nak bersyukur.
Arissa sebak. Entah mengapa, sejak akhir-akhir ini
hatinya mudah benar tersentuh. Lebih-lebih lagi apabila
teringatkan Dia Yang Satu. Terasa banyak benar dosa yang
telah dicipta. Terampunkah semua dosanya?
“Cinta.”
Lembut suara menyapa. Terus kepala Arissa tertoleh.
Sekuntum senyuman manis sudah terukir di bibir. Wajah
mama kesayangannya sudah menjadi tamu di matanya saat
ini.
“Buat apa duduk termenung di anjung rumah
malam-malam macam ni? Patutlah dari tadi mama tak
nampak Cinta. Dekat sini rupanya.” Puan Raziah melabuhkan
duduknya di kerusi meja rehat yang diletakkan di anjung
rumah. Tempat mereka duduk bersantai dan minum kopi
pada waktu petang.
Pandangan Puan Raziah jatuh lurus pada wajah
Arissa. Semenjak dua menjak ini, dia perasan ada perubahan
besar yang berlaku kepada anak gadisnya itu. Arissa lebih
pendiam. Sepatah ditanya, sepatah juga dijawab. Kalau dia
membebel pun, Arissa hanya diam tidak melawan. Pelik
sungguh! Jangan-jangan anak dia sakit tak?
“Eh, mama! Hmm... saja ambil angin malam.
Kebetulan bulan terang malam ni. Bintang pun banyak.”
Senyuman nipis terlorek di bibir Arissa.
“Cinta okey ke?” Dahi Puan Raziah nampak berkerut.
Jelas riak risau terbias pada wajah tuanya. Manalah dia tidak
risau, Arissalah satu-satunya anak yang dia ada. Harta dunia
dan akhiratnya.
Arissa tergelak halus. Mata menyorot tepat pada
wajah mamanya.
“Mama kenapa cemas sangat ni? Cinta okeylah,
ma...”
“Manalah mama tak cemas. Perangai Cinta sejak
akhir-akhir ni pelik sangat. Mama risau tahu tak?” Kening
Puan Raziah sudah teduh.
“Apa yang peliknya, mama?”
“Yalah, biasanya kalau mama membebel sepatah,
sepuluh patah Cinta balas. Mulut tu pulak, tak reti nak
senyap. Pot pet 24 jam. Tapi sejak akhir-akhir ni senyap aje.”
Sekali lagi gelak Arissa terlepas.
“Mama ni macam-macamlah. Bila Cinta tak melawan,
mama risau. Bila Cinta melawan cakap mama, mama bising.
Mana satu yang mama nak ni?”
“Allah... tak kisahlah mana-mana pun. Tapi hati
mama ni tetap rasa tak sedap. Mama yang lahirkan Cinta.
Mama boleh rasa kalau ada yang tak kena dengan anak mama
ni,” Puan Raziah masih belum mahu mengalah.
Nafas panjang Arissa lepaskan. Bibir melorek
senyum. Tangan mamanya digapai dan digenggam kemas.
Lama anak matanya singgah ke mata mamanya.
“Mama... Cinta okey. Mama janganlah risau yang
bukan-bukan. Fikiran mama, kata-kata mama itu satu doa
tau. So, jangan fikir yang buruk-buruk. Baik mama doakan
yang baik-baik aje untuk Cinta.”
Hati Puan Raziah tersentuh. Apabila Arissa bercakap
baik-baik begini, dia terasa lain pula.
“Mama tahu. Tapi biasalah, sebagai manusia dan
sebagai ibu, hati mama ni memang tak boleh nak lari daripada
berprasangka,” lemah suara Puan Raziah.
“Ma... fikirkan yang baik-baik. Insya-Allah, semuanya
akan jadi baik.”
“Hmm... insya-Allah. Tapi Cinta tu, janganlah
rahsiakan apa-apa daripada mama. Ada masalah, kongsi saja
dengan mama. Kita kan bff forever. Kalau Cinta diam macam
ni yang membuatkan mama berfikir yang bukan-bukan.”
Genggaman tangan Arissa dibalas kemas. Mata redup
menyuluh ke mata anak gadisnya. Biar sekeras mana pun
Arissa menafikan, hati tuanya tetap rasa ada yang tidak kena.
“Betul. Cinta tak ada apa-apa masalah pun. Cuma
sejak akhir-akhir ni rasa resah gelisah sikit.”
“Resah? Resah kenapa ni? Cinta ada masalah ke?
Tolong jangan buat mama risau.” Bulat mata Puan Raziah
merenung Arissa. Dalam hati, sempat lagi dia titipkan doa.
‘Ya Allah, Engkau lindungilah dia daripada segala keburukan.’
Arissa tergelak halus. Gelak yang dibuat-buat
sebenarnya bagi menutup segala perasaan gusar di hati
mamanya. Dia tidak akan bercerita apa-apa pun pasal sejarah
silam itu kepada mamanya. Tidak sama sekali! Buat apa dia
hendak bercerita kalau nanti akan melukakan hati seorang
ibu. Tambahan pula, mesti mamanya akan memandang serong
kepada Hariz nanti. Dia tidak mahu begitu. Bukan salah Hariz
seorang. Mereka sama-sama alpa. Sama-sama hanyut dengan
godaan makhluk ketiga. Nasib baiklah mereka cepat tersedar.
Apa pun, kenangan itu tetap sukar untuk dilupakan.
“Mama kenapa serius sangat ni? Cinta okeylah.
Mungkin Cinta resah sebab selama ni Cinta dah banyak buat
salah pada mama. Selalu lawan cakap mama. Tiba-tiba hati ni
rasa lain.” Senyuman sehabis manis diukir buat mamanya.
Berharap sangat Puan Raziah dapat menerima alasannya.
“Ini yang membuatkan mama bertambah-tambah
pelik ni. Cinta, apa sebenarnya yang tak kena ni? Cuba jujur
dengan mama. Selama ni, mama tak pernah simpan dalam
hati. Cinta satu-satunya anak mama. Degil Cinta tu taklah
sampai menyusahkan mama.” Makin resah perasaan Puan
Raziah. Bayu yang bertiup lembut saat ini tidak lagi sedamai
tadi.
“Betul, mama. Tak ada apa-apa. Cuma semenjak
Izzara selalu sangat panggil Cinta dengan panggilan ‘mama’,
hati Cinta rasa lain macam sangat. Susahlah nak terangkan.”
Arissa palingkan wajahnya ke arah lain. Cahaya bulan yang
bersinar terang itu jelas menampakkan daun kelapa yang
terbuai lembut disapa bayu. Senyum di bibir terukir tanpa
paksa.
Puan Raziah menarik nafas lega. Kali ini barulah
senyuman terlakar di bibir tuanya. Rupanya hal itu yang
mengganggu fikiran Arissa sejak kebelakangan ini. Tapi
betullah, semenjak Hariz pulang ke tanah air, Arissa memang
banyak berubah. Nampak lebih pendiam dan suka termenung.
“Cinta, banyak cara boleh hilangkan resah di hati kita
ni sebenarnya. Antaranya solat. Sentiasa pelihara solat kita.
Berdoa agar Allah lapangkan hati dan jiwa kita. Rajinkan diri
untuk bersolat pada awal waktu, bersolat di tengah malam.
Waktu itulah kita paling dekat dengan Pencipta.”
Arissa mengangguk perlahan.
“Selain daripada solat, rajinkan juga diri kita untuk
membasahkan lidah dengan kalam Allah. Al-Quran tu bila
dibaca, dapat menyejukkan hati. Boleh leburkan segala
emosi dan amarah. Mampu mendamaikan kita dan memberi
ketenangan yang sukar untuk digambarkan dengan tutur
kata. Zikir juga salah satu makanan rohani yang mampu
melegakan resah gelisah di hati kita.” Puan Raziah tersenyum
lembut.
Arissa mengangguk lagi.
‘Allah, betapa selama ini aku lalai dalam
mengenal-Mu. Masih terbukakah pintu keampunan-Mu
untukku?’ hati Arissa berbisik sendiri. Sungguh, dia berasa
begitu kerdil saat ini. Lebih-lebih lagi saat dia mendongak ke
dada langit. Besar sungguh nikmat yang telah Allah berikan
selama ini.
“Cinta, kenapa hati mama ni rasa lain macam saja?
Mama rasa macam Cinta ada sembunyikan sesuatu daripada
mama. Perubahan Cinta ni ada kaitan dengan Hariz, kan?”
Pertanyaan spontan Puan Raziah mengundang
debar di hati Arissa. Terus wajahnya terasa panas. Ya! Hati
seorang ibu memang sentiasa mampu membaca setiap apa
yang tersirat di hati anaknya. Itulah keistimewaan yang Allah
berikan kepada seorang wanita bergelar ibu. Tapi, dia tidak
akan buka mulut. Sesekali tidak!
“Apa pulak kaitannya dengan Abang Hariz? Mama ni
ada-ada sajalah.” Arissa ketawa kecil. Sedaya yang mungkin
dia berlagak tenang.
“Cinta dengan Hariz pernah bercinta ke sebelum
ni?”
Terus mata Arissa bulat.
“Mama ni mengarutlah! Bila masanya pula Cinta
bercinta dengan Abang Hariz tu? Dia dekat luar negara tu 7
tahun, ma. Sekarang dia dah ada anak pun,” Arissa menafikan
sekerasnya. Tapi, betullah, mereka mana pernah bercinta.
Memang mereka pernah rapat. Macam belangkas. Walaupun
jarak usia mereka agak jauh, itu semua tidak pernah
menghalang mereka untuk menjadi rapat.
Pernah juga Hariz bergurau mahu menjadikannya
isteri pada suatu masa nanti. Waktu itu dia hanya tersenyum
malu. Maklumlah, zaman budak-budak. Apalah sangat yang
mereka faham tentang cinta dan perkahwinan. Dia memang
sukakan Hariz. Dia sayangkan abang sepupunya itu kerana
Hariz selalu melayannya dengan baik. Selalu melindunginya
sehinggalah pada hari peristiwa hitam itu berlaku. Semuanya
tiba-tiba sahaja dan dia tidak tahu mahu menyalahkan siapa.
“Cinta?”
Diam.
“Hesy, Cinta! Boleh pula dia berangan.” Puan Raziah
menepuk kuat tangan anak gadisnya.
Arissa tersentak.
“Ya, mama. Apa mama tanya tadi?” Terkebil-kebil
mata menyorot wajah mama kesayangannya.
“Hmm... itulah, berangan tak habis-habis! Mama
tanya, mana ibu kandung Izzara tu? Kenapa Hariz tak bawa
balik ke sini?”
“Owh... ibu kandung dia dah meninggal masa
lahirkan dia. Takkan mak ngah tak pernah bercerita dengan
mama?”
“Tak ada pula. Kesian Izzara. Mesti dia tak faham
apa-apa, kan?”
“Nasib kami sama, ma. Nasib Cinta pun sama macam
Izzara. Cuma kisahnya saja yang berbeza. Sekurang-kurangnya
kita tahu ibu kandung Izzara dah meninggal. Tapi Cinta ni,
masih tertanya-tanya... siapakah ayah kandung Cinta?”
Gulp!!! Puan Raziah telan liur. Kesat. Riak wajahnya
terus berubah keruh. Wajahnya dilarikan daripada terus
menjadi mangsa renungan Arissa.
“Mama, Cinta dah dewasa, ma. Andai kata suatu masa
nanti Cinta nak berkahwin, kita kena juga cari ayah kandung
Cinta. Cakaplah, ma. Siapa ayah kandung Cinta? Di mana dia
sekarang ni? Tolonglah jangan terus membisu macam ni,”
rayu Arissa dengan suara bergetar.
Puan Raziah kesat tubir mata. Senyuman kelat
diukir dalam kepayahan.
“Belum tiba masanya lagi. Cinta sabarlah. Mama
minta sikit saja lagi masa.”
Arissa melepaskan keluhan kasar. Itulah saja jawapan
yang diberikan oleh mamanya setiap kali dia bertanyakan
tentang ayah kandungnya. Tunggu, tunggu dan tunggu!
Sumpah! Hati dia rasa sakit.
“Hmm... minggu depan mama nak ke Kuala Lumpur.
Cinta kena tinggal dengan wan dalam sehari dua tu.”
Arissa kerut dahi.
“Kuala Lumpur? Kenapa tiba-tiba saja ni? Mama nak
buat apa dekat sana? Kalau macam tu, bolehlah Cinta ikut.
Kebetulan Amira ada minta resume daripada Cinta. Katanya
tempat kerja dia sekarang ni ada jawatan kosong. Boleh Cinta
jumpa dia terus.”
“Tak boleh! Mama ada hal lain yang nak diuruskan.
Kalau Cinta nak kirimkan resume tu, mama boleh tolong
bagi pada dia. Tapi Cinta tak boleh ikut!” tegas Puan Raziah.
Matanya jatuh lurus ke mata Arissa. Riak wajahnya juga
nampak serius benar.
“Kenapa ma?” Arissa tidak berpuas hati. Kenapa
dengan mama dia ni? Selalu tak pernah pun nak tinggalkan
dia. Pergi ke mana-mana pun mesti ajak dia sekali. Tapi kali
ni...
“Sebab tak boleh! Cinta tinggal di rumah wan
sepanjang mama dekat sana nanti. Selesai saja kerja mama,
mama balik.” Puan Raziah angkat punggung dan menapak
laju ke dalam rumah. Bimbang pula kalau dia masih
berlama-lama di situ, dia akan buka mulut dan bercerita.
Arissa makin bingung.
“Ya Allah, kenapa dengan mama ni?” Keningnya
semakin teduh. Kusut dan serabut.

No comments:

Post a Comment