Monday, 14 January 2019

Walimatulurus Aku & Dia - Bab 8

Sisir rambut dengan sikat,
Ambil getah ikat erat;
Jauhi diri dari maksiat,
Kelak seksa di akhirat.

SURAYA mengajak aku singgah di Magnum
Café. Katanya mengidam aiskrim Magnum. Aku pun ikutkan
saja kehendaknya. Dapat juga merehatkan kaki sambil
membentuk kembali lemak-lemak tepu yang hampir cair
setelah sejam mengelilingi Mid Valley Megamall ini.
“Tak sangka aku, kau boleh berjumpa semula dengan
Mr. Crush kau tu,” komen Suraya sambil melabuh duduk.
Riak pada wajah masih jelas menunjukkan rasa tidak percaya.
Bibirku membentuk senyum. Memang sengaja aku
buka cerita tentang kejadian di kampung pada minggu lepas
dekat dia sementara menunggu aiskrim Magnum kami siap
tadi.
“Ex-Mr. Crush. Sebut tu tolong bagi tepat ya, Puan
Suraya Tarmizi.” Sensitif betul aku kalau perkataan itu
sekarang salah disebut.
“Whatever! Anyway, sampai sekarang Zarr masih tak
tahu ke kau pernah suka dia?”
“Ikutkan sampai bila-bila dia takkan tahu. Tapi,
Abang Dika...” Tak sempat habis cakap, Suraya dah mencantas.
“Hah, biar aku teka! Dia bocorkan rahsia kau?”
Kepalaku mengangguk. Nafas terlepas deras. Apa
lagi? Suraya terus ketawa terbahak-bahak.
Aiskrim Red Velvet yang ditambah dengan chocolate
brownie dip, white chocolate, dan pistachio nuts aku ambil
dan ngap rakus. Sejuk sikit rasa hati yang panas ni. Dengar
Suraya gelak, terus terngiang-ngiang di telingaku tawa
Donald Duck Abang Dika.
“Wah! Semakin menarik ni. Jadi bila Zarr dah tahu,
dia cakap apa pada kau?” Suraya nampak panasaran.
“Dia cakap I love you.”
Batang aiskrim Suraya aku lihat hampir-hampir
nak terlepas dari tangannya. Melopong mulut dia.
Unsangkarablelah tu!
“Zarr kata, kalau kalau tiga perkataan simple tu
aku cakap dekat dia dulu, mungkin keadaan aku dengan dia
sekarang berbeza.” Aku tambah lagi.
“Oh my goodness! He said that?” Biji mata Suraya
membesar.
Aku angguk lambat-lambat dengan mata terpejam.
“Maksudnya Zarr ada angan juga tu nak bercinta
dengan kau. Boleh jadi, dia ada cita-cita nak buat kau jadi
bini! Wah... tak sangka aku dia semudah tu. Rugi kau tak
berterus terang dengan dia dulu, beb!”
“Huh, sekarang cakap bolehlah. Cuba kalau 7
tahun lepas aku luahkan perasaan pada dia, mahu tak cukup
tanah dia larikan diri.” Bibirku tarik senyum senget ke atas
membayangkan keadaan itu.
“Haah, ya tak ya juga, kan? Sebab dulu mike
sememeh. Muka berminyak! Jerawat batu berketul-ketul
akibat stres belajar. Tak cukup tidur nak siapkan final project.
Itulah, inilah. Macam zombi!” Suraya ketawa. Manakala aku
sudah mengetap rapat gigi atas dan bawah.
Amboi, amboi... jujur betul sahabat yang seorang ni.
Zombi dikatanya aku!
“Tak serupa sekarang ni. Kau cun, beb... Flawless!
Kalau sesiapa ambil kau jadi model tudung mesti meletup
punya!”
Begitukah? Tersenyum-senyum pula aku bila dengar
ayat terakhirnya itu. Sambil muka sendiri diraba-raba.
“Cukup, jangan nak kembang sangat. Teman lagi
cantik daripada mike!” kata Suraya, tak mahu kalah. Aku
terus tarik muka. Tak kasi can langsung dia ni.
“Kau cakap pada aku tadi, dia akan berkahwin
hujung bulan depan kan?”
Aku jatuhkan sedikit kepala. “Dan majlis dia
seminggu selepas majlis aku.”
“Pergh, merah inai di jari kau pergi ke majlis dia
nanti. Siapa bakal isteri Dr. Zarr Iskandar yang bertuah tu?
Pensyarah macam dia juga ke?”
“Tak, peguam. Seingat aku, Kak Naura ada cakap
perempuan tu pilihan keluarga. Agaknya Zarr jenis tak reti
nak berkawan mesra dengan perempuan kut. Kes tulah
keluarga dia yang tolong carikan.”
Mulut Suraya membentuk ‘O’. Kepala pula
terangguk-angguk macam hudhud.
“Oh ya, aku lupa nak tanya kau. Minggu lepas,
Faiz ada pergi outstation mana-mana tak?” ajuku seketika
kemudian.
“Ada. Dia ke Terengganu. Empat hari dekat sana.”
Aku menggerak-gerakkan bibir ke kiri dan ke kanan.
Terengganu di sebelah timur sana. Kiranya di hentian rehat
dan rawat arah selatan yang aku nampak tu bukan Faizlah
kut.
“Ngaper mike tanya?” Suraya beriak hairan. Aku
geleng kepala laju-laju.
“Sebab masa nak balik sini hari tu, aku ada
ternampak seorang lelaki ni dekat R&R. Muka dia saling tak
tumpah macam husband kau.”
“Suami aku? Entah-entah pelanduk dua serupa kut.
Orang kata dalam dunia ni kan ada tujuh manusia sama muka
dengan kita tau!”
“Kan? Harap macam tulah,” kata aku perlahan.
Senyum separuh hati. Tak pula beritahu dia yang aku nampak
lelaki yang serupa Faiz itu sedang berjalan berpelukan dengan
seorang perempuan.
Seusai makan aiskrim, aku terus mengelap tangan
menggunakan tisu. Sebuah buku yang baru beli di MPH tadi
dibawa keluar dari plastik dan menyelak sehelai demi sehelai
lembaran sementara menunggu Suraya menghabiskan
aiskrimnya.
“Tak pernah-pernah aku tengok kau baca buku
macam tu selama ni. Tiba-tiba aje kau gigih beli. Nak buat
apa?”
Tak sempat aku nak balas, dia sendiri yang jawab.
“Oh, aku tahu! Ini mesti kau dah mula sedar diri
nak belajar masak, kan? Elok juga tu. Elok untuk rumah
tangga kau nanti. Tak adalah bila dah berkahwin, Haidar tu
kena hadap mi segera, nasi goreng bodoh dan your specialty,
Spaghetti Carbonara tu hari-hari.”
“Sebab itulah aku beli buku 40 Resipi Masakan
Kampung ni, Puan Suraya oi. Nak pilih resipi-resipi menu
yang best sikit untuk masak dekat rumah Tengku Sarah
malam nanti.”
“Eh, dah kenapa kau nak pergi masak dekat sana?
Nak kata dah rasmi jadi isteri atau menantu belum lagi. Apa?
Tak cukup jadi bos di butik, kau buat kerja part time jadi
tukang masak ke sekarang ni?”
“Haidar... dia teringin nak makan masakan kampung.
Tak nak maid yang masakkan. Dia nak aku juga. Mengalahkan
orang mengandung yang mengidam. Macam kau!”
“Haidar dah balik dari Paris?”
“Hmm, semalam sampai Malaysia. Haidar nak aku
masakkan untuk dia tu hanya alasan aje. Aku tahu, sebetulnya
dia nak jumpa dengan aku. Aku pun setuju aje. Lagipun,
macam dah lama tak melawat bakal MIL kesayangan aku tu.”
“Bakal MIL kesayangan? Sayang ke beb?” Suraya
gelak berdekah-dekah.
Aku putarkan biji mata ke atas. Perlilah tu!

NAK KATA biasa dengan rumah ni tak adalah sangat.
Entahlah. Setiap kali datang ke sini aje tempat aku lebih
banyak di dapur. Mungkin sebab aku rasa lebih selesa dan
kamceng dengan bibik-bibik daripada tuan rumah sendiri
kut.
Tapi, elok juga dekat sini. Kalau pilih duduk goyang
kaki dengan Tengku Sarah dekat depan tu bukannya dia nak
layan aku pun. Dia lebih rela layan ikan-ikan flower horn
dalam akuarium sana. Bagi makan ikan. Lepas tu cakap-cakap
dengan ikan. Buat aku ni tak ubah seperti bunian! Bertuah
lagi jadi ikan tu, kan?
Sekali-sekali terfikir juga otak aku ni; waras ke tidak
Tengku Sarah tu? Kut-kut ada kat mana-mana urat terputus
dalam kepala dia yang aku tak tahu. Senang cakap, gila!
Hesy, jahat betul pemikiran aku ni. Cubalah fikir
yang baik-baik Dinda oi. Dah, dah... jom mula masak!
Satu jam bertungkus-lumus dengan bantuan bibik,
beberapa jenis masakan dah pun siap. Tinggal ikan pekasam
aje belum digoreng lagi. Lalu, bawang besar yang siap dihiris
bibik, aku campak ke dalam kuali layaknya seorang cef.
Kacau-kacau, lepas tu campak cili api pula. Pergh, berasap!
Goreng-goreng sampai garing dan... siap!
“Sedap sekali ni non!” kata bibik sambil tangannya
lurus menghulur sebiji piring seramik kepadaku. Macam
tahu-tahu aje aku nak minta.
“Terima kasih, bik!”
Lalu, dalam panas-panas aku membawanya menuju
ruang makan dan letak di atas meja. Tak sia-sia tok bekalkan
ikan pekasam ni masa aku balik kampung tempoh hari.
Haidar mesti suka.
Kemudian aku cantumkan kedua belah tapak tangan
dan bawa rapat ke tengah dada. Bibir tersenyum-senyum
melihat semua menu yang sudah siap dihidang. Terkelip-kelip
mata, puas hati dengan hasil air tangan sendiri.
“Bik!!!”
Senyum tiba-tiba mengecut mendengar suara kuat
itu. Terus tegak badanku berdiri macam tentera nak berkawad.
Aku melihat Tengku Sarah berjalan masuk ke ruang ini
sambil mengepit hidung sendiri dengan jari. Sebelah tangan
lagi melibas-libas depan muka seperti menghalau sesuatu.
Matanya pula liar mencari wajah pembantu rumah.
Aku? Sikit pun tak dipandangnya. Selamba saja dia
melintas di depan.
Aku menoleh pada bibik yang sedang menghidangkan
mangkuk nasi. Tangannya mula naik menggaru-garu
kepala. Memandang aku di sini dan majikannya yang sedang
menghampiri.
“Lauk apa yang bibik masak ni?” soal Tengku Sarah.
Tegas suaranya melantun pada wanita 30-an itu.
“Waduh... Bukan bibik yang masak, Tengku. Bibik
cuma bantuin non Dinda masak aja.”
Tengku Sarah menoleh. Mata itu menjelingku
sekilas. La, rupanya dia. Tadi sikit pun tak pandang. Buat
macam aku ni tak wujud aje dekat sini.
Tak kata apa-apa kepadaku, Tengku Sarah menunduk.
Wajahnya bergerak menganalisis lauk-pauk yang ada di atas
meja.
“Oh, jadi kaulah yang masak semua lauk yang entah
hape-hape ni?” Hidung yang dikepit masih tak dilepaskannya.
Sengau macam kartun Squidward Tentacles pula aku
mendengar suara dia.
“Ini bukan lauk yang entah hape-hape, mami. Ini
asam pedas ayam, gulai nanas ikan masin, sayur goreng,
sambal tumis petai dan ikan bilis. Paling istimewa, ikan sepat
pekasam Tok Suri. Jauh mai ni. Dari Kedah nuh!” beritahu
aku seraya tangan menunjuk satu per satu hidangan yang
terhidang di atas meja.
Mami?
Janganlah salah faham. Selepas bertunang dengan
Haidar memang aku diminta memanggilnya seperti itu. Eh,
bukan Tengku Sarah yang minta, tapi anak lelaki dia yang
minta. Kata Haidar; supaya aku dapat biasakan diri dan
menjadi lebih rapat dengan maminya.
Jadi lebih rapat?
Dah jelas-jelas tak ada bunganya. Apa yang aku
perasan selama hampir setahun aku dan Haidar bertunang
makin teruk lagi adalah! Rasa serupa aku seorang ni saja yang
terhegeh-hegeh nak buat baik dan ambil hati dia. Tapi, dia...
tak ada! Sikit pun tak pernah nak berusaha menjaga hati aku.
Memanglah aku ni hanya bakal menantu. Tapi, bakal
menantu bukan manusia juga ke? Apa, aku ni tak ada hati dan
perasaan? Tolonglah... Yang tua tahu nak dihormati saja ke?
Habis tu yang muda tak perlu disayangi?
Betullah kata orang; kita ni kalau dah tak suka pada
seseorang tu, dia buat baik macam mana pun, memang kita
akan sentiasa mencari silapnya. Sebab tu, selama ni apa saja
yang aku buat, sikit pun tak dihargai oleh Tengku Sarah.
“Ikan sepat pekasam? I love it.”
Tubuhku tersentak. Terkesiap dengan bisikan itu.
Bila ditoleh ke belakang, aku lihat Haidar melukis senyum
sebelum menarik kerusi dan menjejakkan punggungnya di
situ.
“Yeah. I know you do,” balasku berserta satu
kenyitan. Serentak itu juga aku melihat Tengku Sarah ikut
ekor mata. Biji matanya sudah menjuling memutih ke atas.
Sakit hatilah tu bila dengar anak dia cakap suka ikan pekasam.
“Busuklah benda ni,” kata Tengku Sarah. Diluah
perlahan, tapi sudah cukup untuk menyagat hatiku. Lagi sakit
rasanya saat dia sengaja buat-buat mual sambil menolak jauh
piring ikan pekasam tersebut sebelum melabuhkan duduk.
Aku pejam mata. Nafas ditarik dalam-dalam. Sabar,
Dinda... Sabar! Dah besar tuah kiranya ni Tengku Sarah tu
tak minta bibik dia pergi buang semua lauk-pauk ni ke dalam
tong sampah.
“Sedapnya bau!”
Aku mencelik mata. Melemparkan pandangan kepada
anak perempuan Tengku Sarah. Hasil perkahwinannya yang
kedua.
“Tak sabarnya Hanna nak makan. Cepat bik, cepat!
Sendukkan nasi,” pinta Hanna, tak sabar-sabar buat aku
tersenyum dengan tingkahnya.
“Awak... kenapa tak duduk?” tegur Haidar dan aku
cepat-cepat mengambil tempat di sebelahnya.
Selesai bibik menyenduk nasi untuk kami semua,
aku perasan Tengku Sarah hanya menyudu kuah asam pedas
ayam sahaja. Itu pun bukan main teruk dia kerutkan muka
saat mengena lidahnya.
Errr, teruk sangat ke rasa? Maklum sajalah inikan
kali pertama aku masak menu-menu tu semua. Tapi, bibik
cakap dah okey masa dia mencecap tadi. Dah sedap katanya.
Lagipun, bukan aku bodoh sangat nak main taram masak aje.
Mestilah aku ikut resipi betul-betul.
“Haidar, mami dah mula risau ni. Nanti kalau you
kahwin dengan dia takkan setiap hari nak hadap masakan
kampung? Semua ni, bukannya sedap pun,” ujarnya terus
terang seperti diriku tiada di sini.
Tak sedap? Amboi, kut ya betul sekalipun aku masak
tak kena dengan selera dia, cakap tu biarlah berlapik sikit.
Apa, ingat aku tak pandai nak masak masakan lain? Zaman
sekarang ni bukannya payah. Semua benda di hujung jari.
Nak atau tak nak belajar aje.
Hesy, geram! Ada juga mulut yang kena seterika
dengan aku karang!
“It’s okay, mami. Haidar yang minta Dinda datang
masak masakan kampung malam ni. Sedap aje rasanya. Lepas
kahwin, kalau Dinda nak masak semua ni hari-hari pun
tak apa. Haidar lagi suka. Mesti perut ni boroi nanti. Kan,
sayang?” Haidar memandangku.
Aku balas dengan senyuman terharu. Mujur saja
Haidar ni masih belum halal untuk aku. Kalau tidak, rasa nak
aje aku peluk dan hadiahkan satu ciuman di pipi dia tu.
Aku toleh melihat Tengku Sarah. Dia di sana sudah
melopong mulut memandang Haidar. Mungkin tak dapat nak
menelan tiap-tiap patah bicara anak lelakinya yang jelas-jelas
telah memihak kepadaku.
1-0
“Hanna pun suka, mami. Sedap sangat! Tak sangka
Kak Dinda pandai masak. Hanna ni nak goreng telur pun
tak reti lagi. Nanti Hanna nak belajar masak dengan Kak
Dindalah.” Mata Hanna melekat di wajahku.
“Boleh tak, ka...”
“Kamu tu diam, Hanna! Makan!”
Hanna terus senyap. Kemudian, dia memuncungkan
mulutnya ketika menerima jegilan mata daripada Tengku
Sarah. Kasihan Hanna. Orang tua ni pun, agak-agaklah sikit.
Tak cukup dengan menyindir aku, depan-depan rezeki ni juga
nak ditengkingnya budak tu. Apa pun...
2-0.
Kasihan Tengku Sarah. Ternyata orang-orang di
dalam rumah ni tiada seorang pun yang memihak kepadanya.
namun ‘kemenangan’ ini langsung tidak menyurutkan
rasa kebimbangan aku yang kian menebal. Nak-nak tarikh
pernikahan kami semakin mendekat.
Bila direnungkan kembali, tak layak sangatkah aku
menjadi isteri Haidar, sampaikan ke hari ni ada saja akalnya
mahu menyakitkan hatiku? Ya Allah, bukakanlah pintu hati
bakal mak mentua aku ni.

AKU MINTA diri untuk pulang. Tangan Tengku Sarah
dikucup penuh hormat. Duduk di sini lama-lama, ada dia
macam tak ada aje. Khusyuk sungguh dengan majalahnya.
Paling tak tahan, sampai ke paras muka dia angkat Majalah
InTrend keluaran terbaharu itu. Macamlah aku tak tahu, yang
dia sengaja nak sakitkan hati aku dengan menayang wajah
Olivia yang menghias kulit majalah tersebut.
Dan ya, dia berjaya. Memang hati ni rasa sakit sangat
selama di sini!
“Bye, Kak Dinda!” Hanna melambai dan aku
membalas.
“Bye!”
Mujur ada bakal adik ipar yang sporting. Boleh juga
jadi teman untuk berbual dan bergosip mengenai fesyen tadi.
Tak adalah tertidur aku di ruang tamu ni didodoi kebosanan
tahap tak hengat!
Nak sembang dengan Haidar? Dari tadi, apa yang
aku cakap, dia hanya balas dengan senyuman, angguk dan
gelengan. Mata sibuk duk kelebek telefon saja.
Tak apalah. Aku faham dia sibuk waktu ni. Dah sedia
maklum dari dua bulan lepas lagi. Balik saja dari Paris, Haidar
perlu siap sedia melaburkan tenaga serta masanya bagi
menjayakan projek yang diberi nama I’M YOURS itu.
Dan menurut apa yang telah Haidar jelaskan
kepadaku dulu, motif projek tersebut diadakan untuk mencari
duta koleksi jenama pakaian ready-to-wear yang terbaharu.
Yakni, I’M YOURS by Hai’Dar.
Harapnya selepas kami berkahwin tak beginilah
keadaannya. Nanti bimbang keliru pula sama ada aku
bersuamikan dinding atau manusia.
“Saya minta maaf kalau ada kata-kata dan perbuatan
mami buat awak terasa hati pada malam ni,” ucap Haidar
sambil mengiringiku ke kereta. Nada suaranya terdengar
begitu prihatin dengan perasaan aku.
“Tak apa, jangan bimbang. Saya okey aje.”
Diam. Haidar tak ungkit apa-apa lagi. Agaknya dia
anggap aku ni dah lali dengan sikap dan kata-kata pedas
daripada mami dia tu.
“Oh ya, pasal Via yang akan terlibat sama dalam
projek I’M YOURS dengan saya tu, awak betul-betul okey ke?
Bukan apa, saya cuma perlukan kepastian sekali lagi. Sebab
saya tak nak nanti awak fikir yang bukan-bukan. Lepas tu
wujud salah faham antara kita,” suaranya lagi.
“Okey! Lagipun, projek tu memang perlukan
kepakaran top model macam Via untuk jadi juri penasihat
utama awak, kan? Barulah nanti awak dapat pilih duta yang
terbaik.”
Haidar mengangguk. Kemudian tersenyum senang.
Aku pula kemam mulut menahan pelbagai rasa di jiwa.
Mungkin dia tak pernah tahu; andai wanita menjawab ‘okey’
bermakna ‘semuanya tak okey’.
Tapi, aku tak sanggup nak kata tak okey. Tak juga
mahu dilabel sebagai tunang yang mengongkong. Bukankah
ini demi kejayaannya? Jadi mahu atau tidak, selain harus
meletakkan kepercayaan di tahap tertinggi pada dia, aku juga
harus bersikap profesional.
“Kejap!” Tahan Haidar tiba-tiba buat sebelah kaki
aku yang sudah diangkat masuk dalam kereta spontan ditarik
keluar semula.
Berdiri berhadapan dengannya, dahiku berlipat
melihat kepala dia bergerak ke kiri, kanan dan belakang.
“Kenapa?”
Kembali menghadapku, tangan Haidar luas
didepakan. “Hug me. I miss you so bad.”
Aku tayang muka blur. Mencerna permintaannya.
“Please... sekali aje.” Dia buat muka comel dan
aku terus menyedut kuat nafas. Mengumpul oksigen dalam
paru-paru. Melepaskannya deras, jari telunjukku naik
bergerak-gerak memanggilnya.
“Aa... are you serious?”
Mesti Haidar tak sangka sekali minta terus aku kasi.
Yalah, tak pernah-pernah dia minta ‘benda’ cenggitu. Pegang
tangan pun tak, inikan pula nak peluk? Gila apa!
“Yup, deadly serious. Cepatlah. Nak hug ke tak ni?”
“Gila tak nak, sayang!” Sebaik saja dia
menghampiriku...
Bush! Masa itu juga tanganku yang dah lama siap
dibuku menuju tepat ke perutnya.
“Arghhh!”
Fuh, fuh! Aku meniup tangan sendiri. Acah-acah ada
asap berkepul-kepul keluar selepas melepaskan tumbukan
padu itu.
Bagus! Dahlah hati masih membengkak dengan
sikap bakal mak mentua. Kena pada masa sangatlah dia cari
pasal. Ada juga tempat untuk aku melampiaskan rasa tu.
“Retak six bar chocolate saya, awak... Uhuk! Uhuk!”
Tertunduk Haidar sambil menekan-nekan perutnya. Eleh,
drama aje lebih. Bukan aku tumbuk kuat sangat pun.
“Suit yourself! Itulah, berani lagi minta yang
bukan-bukan pada saya. Cubalah bawa-bawa bersabar sikit.
Tak lama dah pun!”
“Sorrylah, sayang.”
Aku menggelengkan tanda kecewa. Satu jari diangkat
lurus depan muka dia yang kini sudah tegak berdiri. Gayaku
tak ubah seperti mak-mak nak bagi peringatan pada si anak.
“Lain kali jangan buat macam tu lagi. Kita ni orang
Islam. Bertunang bukan tiket untuk menghalalkan apa yang
haram. Lebih baik awak pergi tusuk kepala tu dengan batang
besi daripada awak nak sentuh saya. Itu bukan saya kata,
Rasulullah yang kata!”
“Saya cuma nak usik aje. Janganlah marah.” Dia
tunjuk muka minta simpati.
“Yalah tu!” tekan aku. Kurang percaya sebab dia
nampak serius saja masa minta peluk tadi.
Haidar senyap.
Aku memutarkan biji mata ke atas. Dan pada saat itu
pandanganku melekat tepat pada figura Tengku Sarah. Dia
sedang berdiri di balkoni bilik sambil tangan bergerak laju
mengipas-ngipas kipas nyonyanya.
Aku menelan liur. Bila masa pula dia naik ke atas
ni? Dah habis baca majalah ke? Merenung pada mata
tajamnya yang masih memaku ke mukaku. Adakah Tengku
Sarah nampak aku bagi penumbuk dekat perut anak lelaki
kesayangannya tadi? Hujung bibir aku gigit-gigit. Wajah
menunduk dan berpaling kepada Haidar.
“Errr, I’ve to go now. Bye!”
Terkocoh-kocoh saja aku melangkah masuk ke
dalam kereta. Enjin kuhidupkan dan terus memandu keluar
dari rumah mewah itu.
Haidar memanggil-manggil namaku. Namun, aku
buat tak peduli.

No comments:

Post a Comment