Sunday, 24 March 2019

7 Days Of Summer - Bab 3

NESSA berlari anak melintasi jalan raya yang
sedikit sesak dengan kenderaan dan juga pejalan kaki. Tote
bag yang tersangkut di bahu dipegang kemas agar tidak
melorot jatuh. Kaki terus dihalakan ke kedai buku yang
berdekatan. Ingin mencari bahan rujukan dan juga satu dua
buah novel sebagai simpanan. Sudah lama dia tidak membeli
novel dek kekangan masa sebagai pelajar.
Pintu kedai buku itu ditolak perlahan dan mata
Nessa mula melingas memandang sekitar. Tidak ramai
pengunjung membuatkan hati dia merasa lega. Senanglah
dia nak memilih buku nanti dan yang pasti, tak perlulah dia
beratur panjang semasa hendak membayarnya nanti.
Kaki dihalakan ke arah rak novel fiksyen terlebih
dahulu memandangkan ruangan itu berada tidak jauh dari
pintu masuk. Satu per satu novel dibelek dan dibaca sinopsis
di belakangnya. Setelah berkenan, Nessa berlalu ke arah rak
yang menempatkan buku-buku ilmiah pula. Baru beberapa
buah buku dibelek, hujung matanya menangkap susuk tubuh
yang sangat dia kenali berada di hujung tempat dia berdiri.
Nessa mula mencuri pandang.
Lelaki itu kelihatan bersahaja dengan jaket kulit
di luar dan T-shirt kelabu di dalam, membelek-belek buku
rujukan yang terdapat di situ. Di bahunya pula tersangkut
beg galas berwarna hitam. Tekun sepasang mata itu meneliti
buku yang dipegang, langsung tidak mempedulikan keadaan
sekeliling.
Mulut Nessa mula memuncung. Hatinya rasa serba
salah. Kata-kata Aimi seminggu yang lalu kembali menujah
gegendang.
“Kenapa you lari?” soal Aimi dengan kerutan.
“I tak kuatlah babe nak berdepan dengan dia.”
“Tapi kenapa?”
Nessa kemam bibir sambil berpeluk tubuh.
Kemudian dahi yang licin digaru dengan hujung jari.
“I malu.”
“Malu?”
Beria Nessa angguk.
“Bila nampak muka dia, I terus terbayang yang dia
peluk I hari tu. Kejap sangat, I malulah, Aimi.”
Tidak dapat menahan rasa geli hati, Aimi terus
melambakkan ketawa. “Dia yang peluk you, bukan you peluk
dia pun.”
“Tapi tetap memalukan, tahu tak?”
“Relaks. Dia pun tak berniat nak peluk you agaknya,
spontan. Tindakan refleks nak selamatkan you waktu tu. Tapi
Ness, you sepatutnya ucap terima kasih dekat dia tau...” Aimi
angkat kening ke arah Nessa. “Dia dah selamatkan you tau
babe, jangan lupa tu. Mesti dia akan fikir yang bukan-bukan
bila you asyik lari daripada dia macam ni.”
Semakin panjang muncung Nessa. Ada betulnya apa
yang Aimi katakan. Sudahlah tidak cakap terima kasih, lepas
tu asyik lari apabila terjumpa. Dah macam orang buat salah
pula. Padahal orang tu dah tolong selamatkan dia kut.
Mengikut kata hati dan fikiran yang waras, Nessa
berpaling. Baru sahaja dia membuka mulut, lelaki tersebut
sudah hilang. Bayang untuk dia jejaki pun tak ada. Belum
berputus asa, Nessa mula bergerak dari satu rak ke rak yang
lain. Panjang lehernya mencari lelaki yang dilihatnya itu tadi.
Tapi langsung tiada. Nafas dihela lemah.
“Memang takde rezeki agaknya nak bercakap dengan
dia. Ni kalau Aimi tahu mesti acik tu membebel lagi,” bisik
Nessa sendiri.
Buku di rak hadapan ditarik dengan kepala yang
tidak duduk diam, menoleh ke kiri dan kanan. Muncung tak
payah cakaplah, boleh simpul ikat mati. Saat dia kembali
memandang ke hadapan, matanya terus membulat.
“Cari saya?”
Gulp!
“Cik?”
“Err... err... Hai! Ya, I cari you.”
“Kenapa?” Arief tarik senyum. Mata tu tak boleh
bulat lagi ke?
Nessa pejam mata dan dalam satu nafas dia
menjawab.
“Terima kasih dah selamatkan I hari tu dan maaf
sebab I lari bila ternampak you. I can’t help it. I malu bila
nampak you. I asyik terkenang kejadian hari tu yang...”
Tiba-tiba Nessa terdiam dengan pipi yang berubah rona.
Dari senyuman di hujung bibir, Arief mula tersengih.
“Sebab tu cakap pun pejam mata? Malu dengan
saya?”
Mata kanan dibuka, mencuri pandang wajah
Arief yang berada di hadapannya. Kemudian Nessa tunduk
memandang hujung kasut sebelum kembali mengangkat
wajah dan membalas pandangan mata Arief.
“Ya.” Dibuang jauh rasa malu, dibuang jauh memori
dia dipeluk Arief dan dengan yakin dia menjawab. Kedua
belah tangan mula memeluk erat buku di tangan, cuba
menghilangkan debaran saat berhadapan begini dengan
lelaki yang tidak dikenali ini.
“Saya minta maaf sebab dah terpeluk awak hari
tu.” Arief tunduk sesaat tanda memohon maaf. Gaya lelaki
budiman.
Pipi Nessa semakin merah. Dia berusaha gigih nak
lupakan tapi lelaki di depan dia mengungkit semula. Rasa nak
sorok kepala celah rak buku saja!
“Jangan malu, cik. Saya yang terpeluk awak, bukan
awak peluk saya dan saya minta maaf.” Arief menunduk agar
wajahnya setara dengan wajah Nessa.
“Eh, tak apa.”
“Tak apa? Okey saya peluk awak?”
“Bukan...” Laju Nessa menggeleng. “Bukan itu
maksud I.”
Nessa mula menggelabah semula dan reaksinya itu
membuatkan Arief tertawa. Sengaja dia mahu mengusik
gadis pipi merah di hadapannya itu.
“Beli buku ke?” Mata Arief mencuri pandang ke arah
buku yang dipeluk kemas oleh Nessa.
“Ya, nak beli buku ni,” jawab Nessa yang masih
gugup setelah diusik oleh Arief tadi.
“Kalau macam tu, jomlah.”
Berkerut dahi Nessa dengan kata-kata Arief.
“Nak ke mana?”
“Bayar buku tu. Ke nak bawa balik macam tu aje?”
“Eh? Haahlah...” Serius rasa nak luku kepala
sendiri. Kenapa entah bila berdepan dengan lelaki ini mesti
gelabahlah, blurlah.
Senyum panjang Arief melihat gelagat Nessa.
Dalam diam dia mencuri pandang lagi wajah gadis itu. Arief
bergerak ke kaunter pembayaran dengan diikuti oleh Nessa di
belakang. Beria Nessa menolak apabila Arief ingin membayar
harga bukunya. Baru kenal kut, segan tak habis lagi ni.
“Err... I gerak dulu,” kata Nessa setelah mereka
keluar dari kedai buku tersebut.
Lambat-lambat Arief angguk. Sempat Nessa
menghadiahkan sekelumit senyuman buat dirinya sebelum
gadis itu berpaling untuk berlalu.
“Awak...” seru Arief saat Nessa mula melangkah.
Nessa berpaling dengan wajah yang penuh tanda
tanya.
“Ya?”
“Boleh saya tahu nama awak?”
Jeda.
“Nessa... Nessa Imani.” Nessa senyum di hujung kata
sebelum dia kembali melangkah. Tetapi sekali lagi langkahnya
terhenti apabila namanya diseru oleh Arief.
“Nessa Imani, teman saya minum sekejap. Boleh?”

“ARIEF AJE?”
Arief angguk sambil meneguk jus yang dibeli.
Cadangnya mahu membawa Nessa ke kafe, tetapi gadis itu
memilih untuk membeli jus dan bagel di tepi jalan sahaja.
Tanpa banyak soal dia terus mengajak Nessa ke Hyde Park
dan duduk makan di situ. Takkan nak makan sambil berjalan
pula, kan?
“Ya, Arief sahaja.”
“Nice, saya suka.”
“Saya?” Arief tekun memandang Nessa yang sedang
meneguk minumannya.
Botol jus ditutup dan Nessa tersenyum.
“Dari tadi awak guna ganti diri ‘saya’, segan pula nak
ber‘I-you’ dengan awak.”
Arief ikut senyum.
“Saya tak kisah pun, ikut keselesaan awak.”
“Saya selesa begini.”
Arief angguk faham dengan senyuman yang masih
bersisa.
“Tahun berapa?”
“Akhir. Awak?”
“Sama, tahun akhir juga.”
Nessa memandang lurus ke hadapan. Walaupun
matahari tegak saja di langit sana, masih ramai yang keluar
beriadah pada waktu begini kerana suhunya yang masih
dingin.
“Tak sabar nak habis belajar, kan?” Nessa menoleh,
mencari sisi wajah Arief. Lama ditenung sisi wajah itu. Sudah
tidak malu-malu seperti sewaktu di kedai buku tadi. Arief
yang sedang memandang ke hadapan memudahkan dia untuk
meneliti sisi wajah lelaki itu. Lelaki yang baru dikenalinya ini
bernama Arief.
Arief jongket bahu.
“Kenapa pandang saya macam tu?”
Erk! Tertangkap terang-terang. Pantas Nessa
melarikan wajah. Lipatan tudung di sebelah kanan
diperbetulkan. Muncung di atas ditarik-tarik supaya lebih
muncung sedangkan muncung tudungnya itu tidak pernah
terusik.
Arief memandang reaksi Nessa atas bawah.
Tanda-tanda Nessa sedang menahan rasa malu dan gelabah
adalah tangan gadis itu tidak duduk diam. Ada sahaja yang
hendak dicuitnya.
“Seronok tak belajar dekat sini?”
Soalan tiba-tiba daripada Arief membuatkan
pergerakan Nessa terhenti.
“Seronok dapat tengok tempat orang. Tapi masa
mula-mula datang sini dulu struggled jugalah nak biasakan
diri dekat tempat asing macam ni.”
“Itu perkara biasa bila kita beralih tempat. Kan?”
Nessa angguk mengiakan.
“Err... Arief...”
Arief menjongket kening.
“Terima kasih sekali lagi sebab dah selamatkan saya
hari tu.”
“Takde hal. Tapi lain kali hati-hati. Saya tak selalu
ada dengan awak untuk selamatkan awak, Nessa.”
Nessa senyum.
“Tak tahulah kenapa, tapi memang sejak dulu saya
memang macam tu. Kadang tu berjalan tanpa arah tujuan.
Tengok-tengok dah sampai mana entah.”
“Bahaya macam tu. Awak ni perlukan pembimbing
agaknya.”
“Pembimbing?”
“Ya. Yang boleh bimbing awak ke jalan yang lurus.”
“Amboi... baik punya perli.” Nessa ketawa dengan
kata-kata sendiri. “Kalau nakkan pembimbing, saya bukan
perlukan pembimbing atas dunia ini sahaja. Lengkap sampai
akhirat sanalah.”
“I can be one.”
Nessa terdiam. Tunak mata Arief memandang ke
arahnya membuatkan dia gemuruh.
“This is too soon, isn’t it?” soal Arief dengan sengihan.
“Ya, ya...” Beria Nessa angguk kemudian dia
ketawa. Arief yang memandang turut tergelak. Kemudian
masing-masing memandang lurus ke hadapan. Cuba
menenteramkan hati sendiri.
Arief rasa nak maki diri sendiri. Gelojoh! Tak
menyempat! Tapi hati dia ni meronta betul nak berterus
terang dengan Nessa sebab dia memang sejak awal menyukai
gadis ini. Belum pernah dia menyukai seseorang sebegini
rupa.
‘Terlalu awal Arief untuk kau luahkan semuanya. Too
soon! Silap hari bulan, Nessa terus mengelak daripada kau,
baru padan muka kau yang tak berapa nak kacak tu.’
Nessa menjeling jam di tangan, sudah hampir ke
petang. Dia bingkas bangun dari tempat duduknya dengan
tote bag disangkut ke bahu.
“Dah petang, Arief. Saya kena balik sekarang.”
“Nak saya hantarkan?” Arief turut bangun.
“Takpe, saya boleh balik sendiri. Terima kasih belanja
saya jus dan bagel tu tadi.”
Arief hanya senyum sebagai balasan.
Nessa berpaling dan mula melangkah. Namun sekali
lagi namanya diseru oleh Arief.
“Boleh kita jumpa lagi?”
Nessa diam buat beberapa ketika dan diam Nessa
itu membuatkan Arief berdebar. Takut untuk mendengar
jawapan daripada gadis itu.
“Boleh.”
Dan bibir Arief terus menguntum dengan senyuman.

ARIEF MENCECAP teh panas di dalam muk. Kemudian dia
tunduk memandang kertas yang bertaburan di atas meja.
Pen diputar gaya helikopter. Banyak lagi kerja yang belum
siap tapi malam ini nampaknya dia betul-betul tak boleh nak
fokus. Fikirannya asyik memikirkan tentang seseorang dan
seseorang itu sudah semestinya, Nessa.
“Can I have your number then?”
Nessa senyum.
“Apa kata kalau awak yang bagi nombor telefon awak
pada saya.”
Ah, dia main tarik tali pula. Belakang leher disuap.
Kemudian Arief melangkah merapati Nessa yang masih
tercegat di situ. Satu per satu nombornya dibaca di hadapan
Nessa.
“Tak simpan dalam telefon pun?”
“Tak apa, saya ingat.”
“Betul ke?” Serius dia ragu. Nessa ni macam
jinak-jinak merpati. Nampak senang didekati tetapi susah
untuk ditangkap.
“Ya, Arief. Kalau awak tak percaya, tunggu saya
hubungi awak nanti.” Melebar senyuman di wajah Nessa
sebelum dia berlalu meninggalkan Arief.
Nafas dihela lemah. Jujur dia tidak yakin yang Nessa
akan menghubunginya. Nampaknya, melepaslah dia kali ini.
Memang mereka tidak berjodoh agaknya.
“Tak elok mengeluh macam tu.”
Arief menoleh. Elok sahaja Faisal berbaring di atas
katil bujangnya dengan tangan yang sibuk bermain telefon.
“Kau dari mana?”
“Jumpa Abang Nuar.”
“Pasal persatuan?”
Faisal cuma angguk sebagai jawapan. Arief mengubah
posisi dan kembali memandang meja tulisnya.
“Sal, kau rasa ada tak orang yang suka hafal nombor
telefon zaman sekarang?”
“Ada aje. Budak mathlah selalunya macam tu. Mereka
kan jenis yang gila nombor. Math freak!” Faisal tergelak
dengan kata-kata sendiri. Matanya masih lagi melekat pada
skrin telefon di tangan. Sibuk bermain game di telefon. Indah
sungguh hidup, macam tiada kerja pula nak buat. Padahal
tugasan berlambak.
Betulkah Nessa hafal nombor telefon dia? Nessa tu,
gila nombor macam yang Faisal cakapkan ke? Ah, lupa pula
nak tanya dia ambil jurusan apa dekat universiti sana.
“Kenapa, bang?”
“Takde apa-apa.”
Tangan yang menegak memegang telefon jatuh
ke badan dan Faisal menoleh ke arah Arief. Memandang
belakang yang membongkok di meja tulis.
“Kau ada masalah ke bang?”
Arief berdecit.
“Bang... bang... Aku bang dekat tepi telinga kau
karang!”
Faisal meledakkan ketawa seraya bangun merapati
Arief.
“Kau dah bagi nombor telefon dekat budak
perempuan tu ya?”
“Kau ni, macam tahu pula.”
“Aku ni teman sejiwa kau, Rief. Aku tahu apa yang
ada dalam hati kau ni.” Tangan kirinya melekap di dada
kiri Arief. “Aku boleh baca apa yang ada dalam fikiran kau
juga.” Tangan kanan naik mengusap kepala Arief gaya bapak
mengusap kepala anak. “Aku tahu tentang isi hati kau,”
ucap Faisal dengan bangga sebelum melabuhkan duduk di
kerusinya.
“Kiranya kau sahabat sejati akulah ni? Tahu segalanya
tentang aku, luar dan dalam?”
“Tak ke? Selama ini... kumencari-cari... teman
yang sejati...” Terus lagu Teman Sejati nyanyian kumpulan
Brothers didendangkan.
“Suara kau tak sedap.”
Pecah ketawa Faisal mendengar komen jujur Arief.
“Jadinya, tengah risau fikirkan si dialah ni?”
“Tak pun.” Arief menidakkan. Cuba melindungi
rahsia hati sendiri walaupun Faisal ni dah macam tok nujum.
Tahu semua walaupun dia tidak cerita.
“Kau jangan risau, mate. Aku yakin nanti dia akan
hubungi kau juga. Positif mate, positif!” kata Faisal dengan
yakin sebelum berlalu meninggalkan Arief untuk ke bilik
mandi.
“Positif? Huh...” Arief ketawa sendiri. ‘Tak boleh nak
positif dah aku sekarang ni. Lupakan sajalah...’

No comments:

Post a Comment