Sunday, 24 March 2019

Lelaki Terakhir Untukku - Bab 10

“TOLONG jadi isteri I.”
Terngiang-ngiang permintaannya di telinga.
Walaupun saat sudah berganti minit, aku masih terkelu. Tak
sangka dia sanggup ambil keputusan drastik hanya kerana
anaknya. Itu boleh dianggap lamaran ke? Dari rumusan
yang mampu aku buat, sebaris ayat itu boleh diklasifikasikan
sebagai lamaran.
“Encik Erfan dah habis fikir?” Bimbang jika Erfan
buat keputusan tanpa berfikir panjang. Kerana itu aku
mahukan kepastian.
Dia sangkut punggungnya di birai meja dengan mata
menala ke arahku yang masih terkejut disapa permintaannya
itu.
“Be my wife.” Sekali lagi Erfan mengulangi
kata-katanya dengan tenang. Tapi kali ini versi bahasa Inggeris
pula dia guna untuk fahamkan aku dengan lebih jelas.
Otak seakan sukar menerima permintaan Erfan
dalam keadaan kami yang baru saja berkenalan. Sukar untuk
aku menunaskan kepercayaan dengan permintaan Erfan
yang tak pernah aku jangka. Macam tak percaya pula lelaki
di hadapan aku ini sedang melamar aku berkahwin walaupun
antara kami masih baharu. Hanya bekerja di bawah bumbung
yang sama saja tidak membolehkan dia membuat keputusan
sebegitu mendadak.
“Saya rasa dengan berkahwin takkan dapat
menyelesaikan masalah.” Aku cuba keluarkan pendapat aku
pula. Takkan semudah itu saja dia mahu aku berkahwin
dengan dia?
Melihat dia membisu, aku mengambil keputusan
untuk beredar. Mahu duduk bersama Fateh yang nampak
sedih itu. Namun langkahan kaki aku terbantut apabila lengan
aku dilelar lembut dengan jemari kasar Erfan. Pantas anak
mata kami beradu. Terkesima saat kulit kasarnya menyentuh
lenganku. Walaupun masih berlapik dengan baju kurung, tapi
hangat tangannya meresap ke seluruh pembuluh darahku.
“I maksudkan apa yang I katakan. Fateh perlukan
seorang ibu dan hanya you saja yang sesuai jadi ibu dia...
bersama dia...”
Kepala aku geleng tak percaya. Sukar untuk aku
terima. Takkan semudah itu dia mahu melamar aku menjadi
isterinya? Baru sahaja kenal, itu bukan tiket untuk dia
memerangkap aku dalam hidupnya. Lebih-lebih lagi dia
menggunakan Fateh sebagai alasan.
“Kerana alasan anak Encik Erfan paksa saya kahwin?”
Aku tayang wajah tak berperasaan. Sepertinya dia sedang
memperlekehkan maruah aku sebagai seorang wanita.
“Apa yang you nak? Duit? Pangkat? Cakap aje dan I
akan bagi apa saja yang you minta.”
Nampak sangat dia sangat terdesak sampai sanggup
menggunakan duit untuk mengaburi mataku.
Aku geleng kepala tak percaya dengan apa yang
Erfan katakan. Apa dia fikir aku seorang perempuan mata
duitan? Walaupun aku tak berharta, tapi aku sedar di mana
kedudukan aku. Takkan sesekali aku mengemis untuk
menjadi kaya dalam masa yang singkat.
“Jadi, Encik Erfan nak saya jadi isteri Encik Erfan
hanya untuk penuhi permintaan Fateh?” Sakit, tapi itulah
kenyataan yang aku harus terima.
Dia melamar bukan seperti pasangan yang lain,
yang diiringi dengan perasaan cinta dan kasih sayang. Dia
melamar aku sekarang untuk Fateh. Bukan untuk dicintai
dan mencintai. Perlukah aku terima dengan lapang dada?
Sebodoh itukah aku hingga sanggup melemparkan hidup aku
dalam hidup lelaki yang tak sepenuhnya aku kenali?
Erfan nampak teragak-agak nak buka mulut. Lebih
menambahkan keyakinan aku bahawa dia melamar aku
semata-mata kerana Fateh. Sudah terang, buat apa aku nak
ragu-ragu lagi?
“Saya tak boleh terima.” Aku menolak penuh yakin.
Cepat-cepat aku beredar dan melangkah merapati Fateh yang
tenggelam dalam dunianya sendiri. Melabuhkan duduk, anak
kecil itu masih menunduk dengan mata menala pada kertas
lukisan. Air mukanya nampak keruh. Dalam matanya sedang
menampung beban yang bila-bila masa saja bakal melimpah.
“Fateh dah makan?” Sengaja aku buka peluang untuk
berbual tapi malangnya Fateh seperti tidak berminat. Hanya
beku dengan mata tidak berganjak dari kertas lukisannya.
Aku garu pipi apabila terasa Fateh tidak mahu
melayaniku. Membetulkan duduk, aku berdeham
mengosongkan kerongkong. Badan aku condongkan sedikit,
agar aku mampu mengintai wajah monyok Fateh.
“Tadi Fateh cakap nak bagi Aunty Tia lukisan tu,
kan?”
Mendengar ayat aku, tumpuan Fateh akhirnya
beralih arah. Bibirnya laju saja mengukir senyum. Tak perlu
dipaksa, kertas lukisan itu berpindah tangan. Letak duduknya
diubah menghadap aku. Dan tanpa kata, pipi aku dikucup
sekilas lalu.
“Aik? Aunty Tia minta lukisan aje. Dapat kiss sekali?
Untunglah Aunty Tia kalau macam ni.” Tawa nipis aku
meletus bergabung dengan ketawa Fateh. Automatik tangan
naik mengusap rambut yang ditrim nipis itu. Terhibur
melihat keceriaan yang melata di wajah Fateh.
“Kalau mama nak kiss, mama cakap aje. Nanti Fateh
bagi. Papa pun boleh bagi. Dulu-dulu mama selalu suruh papa
kiss.” Laju saja mulut Fateh berceloteh. Bercerita mengenai
kisah lalu yang dia fikirkan adalah aku.
“Mama?” Dilayan saja rentak Fateh. Tidak mahu
melihat keceriaan di wajah itu pudar.
“Haah. Mama dengan papa selalu kiss dekat sini.”
Jari telunjuk Fateh melekat di bibirnya.
Serta-merta mata aku membuntang. Terus aku
peluk dia dan usap-usap kepalanya. Terkelu sebenarnya
apabila budak berumur 7 tahun sudah pandai mengatakan
hal sensitif seperti itu.
“Isy, Fateh cakap apa ni?” Aku ketawa canggung.
Kulit pipiku terasa panas. Pastilah Fateh nampak Erfan
bersama isterinya sedang bercium. Adatlah suami isteri, kan?
Tapi kenapa aku pula rasa malu tak bertempat? Bukannya aku
yang dimaksudkan Fateh pun.
“Mama suruh papa kiss...” Cepat-cepat aku tekup
bibir dia, menghentikan bicara selanjutnya. Malu sangat dah
ni.
“Nanti bolehlah papa minta mama kiss papa lagi.”
Tiba-tiba ada satu suara menyapa dan spontan aku kalih
muka ke arah datangnya suara itu.
Membahang kulit mukaku saat beradu pandang
dengan Erfan. Liur diteguk dalam gementar. Ternampak
senyuman Erfan bertukar lain macam, aku terus putuskan
tautan mata kami. Terus aku duduk betul dan kepala diangkat
memandang ke hadapan.
“Kenapa pipi mama merah? Mama tak sihat ke?”
Dan soalan Fateh itu buat aku semakin disimbah
perasaan malu. Takut aku nak buka mulut apatah lagi hendak
bergerak. Sungguhlah aku sedang diuji jiwa dan raga!
“Fateh dah sarapan ke belum?” Erfan menyoal Fateh
dan laju saja si anak menggeleng.
“Pergi makan.” Erfan berikan arahan seraya
kaki melangkah mendekat. Duduk dilabuhkan di kerusi
berhadapan aku dan Fateh. Secara tak langsung, anak mata
aku melekat di wajah Erfan.
“Papa, Fateh nak makan dengan mama boleh?”
lembut Fateh membuat permintaan. Jelas nadanya seakan
berharap si ayah menunaikan permintaannya.
Aku yang diam saja hanya memerhati tingkah dua
beranak ini. Tak nak ikut campur dalam perbualan mereka.
Melihat hubungan mereka yang kurang mesra seperti ayah
dengan anak, aku dapat rasa sedikit sebanyak Fateh berasa
sunyi.
“Boleh mama?”
Terasa tangan aku digoncang membuatkan lamunan
singkat aku berkecai. Pantas aku membuang pandangan ke
wajah penuh berharap Fateh. Sesaat aku mengerling Erfan
yang turut menanti kata putus daripadaku.
“Assalamualaikum.”
Tak sempat aku bagi jawapan, suara orang melaung
memberi salam kedengaran. Tak lama kemudian, muncul
seorang wanita yang kelihatan sudah berumur. Dek terkejut,
pantas aku bangun dan berdiri sambil mempamerkan
senyum.
“Maaf, mak cik tak tahu Tuan Erfan ada tetamu.”
Kelihatan wanita itu sedikit gemuruh menyedari kehadiran
aku.
Sesaat aku mengilas ke arah Erfan. Ternyata
kedudukan Erfan boleh dikategorikan mempunyai pengaruh
besar di sini. Lihat saja cara wanita itu menghormati Erfan.
Ditambah lagi pangkal nama Erfan yang digunakan. Tuan
Erfan. Bukankah menunjukkan dirinya mempunyai pangkat
besar?
“Tak apa, mak cik.” Erfan menarik senyum dan aku
terpanar sesaat ketika menangkap senyuman di pinggir bibir
lelaki itu.
Serius! Jantung aku dah nak tergolek jatuh. Tak
sangka aku bila dia senyum dia nampak sangat hot! Okey,
Tia. Jangan tunjuk sangat tahap teruja kau. Cepat-cepat aku
berpaling memandang wanita yang berdiri di pintu. Melihat
wanita itu pegun memandang aku, hati mula dicuit rasa tak
enak. Pandangan mata dia seolah-olah ada sesuatu yang mahu
dikatakan. Lambat-lambat aku mendekat. Menghulur tangan
untuk bersalam. Tapi wanita itu pula nampak terperanjat
dan terus menundukkan separuh tubuhnya pada aku. Dahi
aku berlapis dengan kerutan. Pelik tengok tingkah mak cik
tersebut yang nampak seperti ketakutan.
“Eh... mak cik, tak payahlah tunduk pula.” Laju saja
aku menegah. Pantas aku memaksa wanita itu berdiri tegak.
Namun wanita itu masih tidak berganjak dari posisinya.
“Oyang ni mamalah.” Tiba-tiba Fateh mencelah di
antara kami. Tangan aku dicapai dan Fateh turut melakukan
hal yang sama. Spontan wanita itu mengangkat wajah
merenung aku.
“Betul ke ni Puan Har?”
Terus aku tergemap beberapa saat apabila nama itu
kembali mengetuk cuping telinga. Terperanjat mendengar
wanita itu memanggil aku dengan nama yang sama Erfan
pernah panggil dulu. Sekali lagi aku dilanda tanda tanya.
Siapa Har tu? Adik perempuan Erfan? Arwah isteri
Erfan? Walaupun beribu kali aku menyoal, jawapan tetap saja
tak ada, melainkan Erfan yang berikan jawapan.
“Mak cik, tolong sediakan sarapan untuk kami ya?”
Suasana janggal menghilang pergi ketika Erfan
bersuara memberi arahan kepada wanita itu. Lama wanita
itu memandang aku sebelum bergerak pergi setelah meminta
izin untuk berlalu. Tubuh wanita itu aku pandang dengan
perasaan bercampur baur.
“Siapa Har?” Penat mencari jawapan, aku terus
bertanya kepada Erfan. Mahu dia berikan jawapan untuk
tanda tanya dalam benak aku.
Namun malangnya, Erfan cuma diam mengunci
bibir. Dia lebih selesa membiarkan aku digantung dengan
persoalan. Baru nak bertanya sekali lagi, Fateh pula bersuara
menggencatkan aku untuk buka mulut.
“Mama sarapan dengan Fateh ke hari ini?”
Terkelip-kelip kelopak mata Fateh memandang aku.
Lambat-lambat aku angguk kepala. Dah tak ada cara nak
mengelak. Lagi pula tak salah aku tunaikan permintaan anak
kecil ini. Tak menjadi satu masalah pun.
“Malam ni?” Fateh menyoal lagi.
“Hah?” Tiba-tiba lidah aku terasa hilang deria rasa.
“Kalau boleh, Fateh nak makan hari-hari dengan
mama.” Jelas dari air muka anak kecil itu, dia memerlukan
perhatian seorang ibu. Memerlukan seorang ibu untuk diajak
berbual.
Spontan aku mengalih pandang ke arah Erfan. Lelaki
itu hanya jongket bahu tanda tidak tahu. Dan aku pula rasa
macam diheret ke dalam lembah masalah. Jalan untuk aku
lari seakan tertutup. Nak atau tak nak, aku perlu humban diri
dulu untuk bertemu jalan pulang.


***AKAN BERADA DIPASARAN, KELUARAN APRIL 2019***  

No comments:

Post a Comment