BELUM pun tiba hari raya, dek dihambat
kegembiraan yang memenuhi setiap ruang dada, lagu Suasana
Hari Raya nyanyian Elina dan Anuar Zain berdendang sayang
di hatiku.
Izzah oo Izzah, wake up please! Belum raya tau. Hai,
inilah bahana orang tak pernah kenal kampung.
Kampung Paya Lintah, tidak pernah aku tahu
kewujudannya. Siapa sangka, setelah berpuluh kali dipelawa
oleh umi, tahun ini aku sampai juga di sini. Tiada sesal di
hati. Malah, aku begitu gembira dengan penerimaan baik ahli
keluarga umi.
Rumah papan yang agak luas ini begitu padat sejak
kami sampai petang semalam. Sanak saudara pulang ke desa,
mahu bersama menyambut hari yang diberkati.
Aku menjengah di jendela tatkala bunyi bising cucu
dan cicit opah berlari keriangan di halaman. Semerbak, bau
haruman rendang hinggap ke hidung. Wah, wangiannya
sudah membuatkan perutku berkeroncong. Acara membakar
lemang di bawah pohon rambutan itu sudah bermula sedari
jam 3 petang tadi.
Aku terpandangkan Aza, anak saudara umi yang
sedang duduk tidak jauh dari situ, memerhatikan Hisham,
si suami yang sibuk mengacau rendang di dalam kuali besar.
Dia sedikit kemengahan. Bebola mataku jatuh pada perutnya
yang membulat.
Kata umi, kecilnya dunia. Dia bertemu anak
saudaranya dalam puluhan manusia di R & R Tapah. Kata
aku, sempitnya dunia, wanita mengandung yang aku temui
di R & R Tapah itu rupanya dia, Aza atau nama panjangnya
Azahirah.
Dan ermm... mengingati wanita mengandung itu,
fikiranku tidak dapat lari daripada...
Iskandar. Namanya Iskandar!
Aku mengalihkan pandangan ke arah dia yang sibuk
menghidupkan dapur kayu. Lelaki bert-shirt ungu yang aku
sangkakan suami Aza itu rupanya orang sini juga. Rumahnya
di sebelah rumah opah. Dekatnya jarak rumah mereka,
bercakap dari jendela pun boleh. Buka sahaja pintu rumah,
segera mata menangkap kelibat jiran sebelah. Pelik juga
aku melihat keadaan ini. Agaknya kerana kehidupanku di
Kuala Lumpur, walaupun rumah jiran sebelah-menyebelah,
bertegur sapa jauh sekali. Keluar rumah pagi hari, pulang
setelah bulan dan bintang menghiasi langit. Bersua muka
dalam setahun pun boleh dikira dengan jari, apatah lagi
bermesra di balik pintu.
Aku terkenangkan kejadian petang semalam, setelah
kereta Unser yang dinaiki anak saudara umi dan Rush milik
Pak Cik Ishak terparkir di halaman rumah opah.
“Aza, ini Izzah, anak kawan umi. Tahun ni, umi ajak
dia beraya di sini.” Dahiku nyata berkerut melihat wanita yang
diperkenalkan kepadaku. Bukankah dia? Salamku bersambut
dengan senyuman mesra meskipun Aza tampak kepenatan.
“Ini suami saya, Hisham.”
Oh, lelaki berkumis nipis itu.
“Iskandar!” Sepatah sahaja dia melafazkan.
Pemilik T-shirt ungu muda itu mengorak langkah
tanpa sempat aku membalas atau sekadar mengangguk,
tanda menghormati. Iskandar terus melangkah ke bonet
dan mengambil beg pakaian. Aku agak tercengang-cengang.
Sombong, getus hatiku.
“Boleh ke tak? Dari tadi aku tengok kau tiup aje.
Apinya tak muncul-muncul. Muka dah naik hitam. Skill mana
skill?” Lamunanku mati tatkala telinga tersapa sergahan
Hisham pada Iskandar.
“Sabarlah. Skill dah hilang.”
“Bukan hilang, tapi memang tak pernah ada,” giat
Aza dalam tawa.
“Hesy... hilanglah... fade off...”
“Macam mana tak hilang, balik kampung setahun
sekali.” Opah menyindir membuatkan ketawa lelaki itu
berbunyi perlahan.
“Sham tak macam dia, kan opah?” Hisham tersengih.
“Kome semua same aje. Apa yang susahnya nak
hidupkan dapur kayu ni. Orang muda patutnya lebih kuat
daripada opah. Opah ni kubur dah kata mari.”
“Hesy, opah ni... janganlah pergi kubur lagi. Aza nak
berpantang dengan opah. Kalau nak pergi ziarah kubur, tak
apa. Aza boleh temankan opah.” Aza merengek manja. Dia
bangkit dan memeluk lengan opah. Dilentukkan kepala ke
bahu neneknya. Kemanjaan yang mengundang gelak Hisham.
“Pandai isteri abang gunakan opah.”
“Bukan gunakan opah, tapi bermanja. Opah, Aza nak
makan ketupat air tangan opah. Baby nak merasa.”
“Isteri kau ni, semua baby nak merasa, Sham. Aza,
guna taktik lainlah pulak. Papa nak merasa, boleh gitu?”
Iskandar tertawa.
“Oh, tidak! Tolonglah... tolong jangan gunakan nama
insan yang tak bersalah.”
“Hah, sudah! Sudah... layan kome ni, sampai sudah
dapur opah tak berasap.”
“Opah, Is tunggu Mi beli minyak gas. Err... tak dapat
nak hidupkanlah. Tiup-tiup air liur aje yang keluar.”
“Opah, dapur-dapur ni serahkan pada kita orang.
Opah pergi masuk, ketupat menanti di dalam.” Aza tak
habis-habis lagi dengan ketupat. Sudahnya, aku tengok opah
menggeleng-geleng dan bergerak masuk ke dalam rumah.
Opah, baik sekali ibu tunggal yang sudah berusia 67
tahun itu. Sungguh, aku kagum. Dia masih gagah dan kuat
ke sana ke mari. Kegembiraan menyambut anak menantu
menjelang hari raya terlukis di wajahnya.
Rumah papan yang agak luas ini memang padat
sejak petang kelmarin lagi. Masakan tidak, anak opah sahaja
sudah 10 orang. 5 lelaki, 5 perempuan. Umi merupakan anak
perempuan sulung opah.
“Mi ni pergi buat minyak gas agaknya. Sampai
ke esoklah aku tiup benda alah ni.” Iskandar buat-buat
mengeluh.
“Tadi berlagak. Konon terror sangat. Belum setengah
jam, dah give up.”
“Hah... cuba, cuba... kau cuba pulak!” Geram
agaknya kerana asyik diperli.
“Heh, tak mahu aku. Aku dan dapur kayu memang
bukan gabungan yang baik.” Hisham menjauh apabila
Iskandar seakan hendak mengejar. Mulanya acah-acah sahaja,
namun akhirnya dua lelaki itu berkejaran di sekeliling kuali
besar. Aza ketawa geli hati.
Di luar sedar, tawaku turut meletus. Kuat.
Err... serta-merta aku membisu. Kelu. Tiga pasang
mata menatapku dengan renungan yang cukup tajam. Pipiku
merona merah. Dapat aku tangkap pandangan pelik Iskandar.
Aku mengetap bibir. Padah ketawa kuat dan menghendap
orang.
“Hai, Izzah.” Aza menyeru namaku. Dia tersengih
bersahaja.
“Errr...”
“Izzah, kenapa mengintai kat situ? Sini, turun,
tolong umi asingkan buah-buahan ni.”
Hah! Entah dari mana umi muncul. Maluku kian
menebal. Tidak tahu hendak letak di mana wajah ini.
“Turun sini, sayang. Umi tengok kat atas tu dah
terlebih kemas dah,” usul umi lagi.
Aku segera turun ke bawah dan melemparkan
senyuman ke arah Aza, Hisham dan Iskandar. Namun,
Iskandar tidak memberi respons. Pandangannya dilarikan
ke arah unggunan api. Buat-buat sibuk membelek dapur
kayu yang tidak berasap. Aku merasa kurang senang. Apakah
Iskandar tidak suka akan kehadiranku di kampungnya ini?
Malas mahu mengusutkan fikiran, aku mula mengasingkan
buah rambutan dan duku ke dalam besen yang berlainan
mengikut arahan umi.
“Banyak betul buah kat kebun tu. Beruntung tahun
ni. Raya jatuh pada musim buah-buahan,” omel umi.
“Umi ke kebun ke? Patutlah Izzah cari tak ada.”
“Umi pergi dengan pak cik tadi. Lepas tu,
budak-budak kat depan tu nak ikut, muat satu kereta. Lain
kali umi bawa Izzah.”
“Eh, tak apalah umi, Izzah tanya aje.”
“Aza, mak kamu dah siap ke buat laksanya? Dah nak
masuk waktu asar ni?”
“Tadi dah nak selesai, umi.”
“Umi nak pergi tengok sekejap.”
Sepeninggalan umi, aku meneruskan tugas
mengasingkan buah-buahan. Terasa bagai diperhatikan,
serta-merta maluku bertamu lagi.
“Izzah, awak orang KL ya?”
Soalan Aza membuatkan aku berpaling.
“Ya, saya.” Perlahan. Janggal. Canggung. Aku tahu
ada dua pasang telinga lagi yang mendengar.
“Tak sempat nak bertemu masa dekat R & R Tapah
semalam.”
“Masa tu saya dekat kereta. Sebenarnya, memang
saya ada ternampak umi berbual dengan Aza. Tapi malu pula
nak pergi.”
Aza tertawa dengan kepolosanku berbicara.
“Kat sini, kalau nak berkawan atau berteman, tak
boleh malu-malu, nanti ketinggalan. Kan, abang?” Aza
merenung Hisham.
“Betul tu, Izzah. Welcome to the kampung. Saya
nampak awak macam teruja aje dengan kampung ni.”
Aduh, nampak sangat ke tingkah laku aku ini seperti
rusa masuk kampung? Errr... sesuai ke peribahasa tu ya?
“Ini memang kali pertama saya beraya di kampung.
Alhamdulillah, saya suka. Selama ni beraya di KL aje,”
jawabku jujur.
“Tak pernah hirup udara kampunglah ni. Esok saya
bawa awak jalan-jalan, kita beraya setiap rumah sampai awak
dah tak larat dan rasa nak balik KL sebab kaki nak patah.” Aza
tergelak.
“Jangan mengada-ada. Tak fasal nanti ada jugak yang
terberanak dalam rumah orang.” Hisham memberi arahan.
Aza segera merengus. Dan aku menangkap ketawa
kecil Iskandar.
“Amboi, suka ya kau Is dengan arahan Encik Hisham
ni.” Aza bengang melihat Iskandar yang seperti menyokong
arahan Hisham.
“Yalah, betul apa yang Hisham cakap tu. Berjalan
memang bagus untuk ibu mengandung, tapi melebih pun tak
boleh.”
“Eleh! Bercakap macam pernah mengandung aje.
Whatever!”
“Tak apalah Aza. Saya di rumah opah pun dah cukup
suka. Seronok jamu mata. Suasana sini tenang dan damai.
Tak macam di KL. Sibuk. Tapi itulah, musim raya macam ni
KL pun jadi lengang juga.”
“Abang Is, minyak gas!!!” Abang Mi muncul
berlenggang kangkung.
“Ingatkan tahun depan baru nak sampai minyak gas
ni Mi oi,” usik Hisham kepada Abang Mi, salah seorang cicit
opah.
“Ada kemalangan kat depan simpang sana tu, Abang
Sham. Nasib baik Mi pergi dengan motor, kalau tak memang
betul-betul tahun depanlah minyak gas ni sampai. Kak Aza
pun dah terberanak,” seloroh Abang Mi tak ingin kalah.
“Kak Aza, baby nangis,” Titi melaung dari dalam
rumah.
“Alamak, bangun dah budak tecik tu. Aza naik dulu,
bang. Izzah, saya naik kejap tau.”
“Sayang, naik perlahan-lahan. Hei, risaulah tengok
dia ni. Is, tolong kacau kejap.” Berkerut dahi Iskandar apabila
senduk kayu panjang itu ditolak ke dadanya.
Sejenak, ruang itu hanya ada aku dan dirinya.
Ditinggal berdua, anak mata kami tidak semena-mena
bersatu. Aku tersentak. Entah dari mana, ada goncangan
kuat yang memalu jantung hati. Detak kencang memanah
jiwa. Aku tidak keruan. Kulihat Iskandar turut melarikan
pandangan. Aku pula mula berkalih pada buah-buahan di
dalam besen. Tugasku belum sempurna.
Selang seminit dua, dari kerlingan ekor mata, aku
melihat lelaki itu sekali lagi menyusun kayu-kayu api yang
sudah bertimbun di bahagian dapur. Dengan bantuan minyak
gas, kerjanya menjadi lebih mudah. Mata ini tidak dapat tidak
singgah lagi ke tampang Iskandar. Lelaki ini, seperti punya
magnet, menarik-narik bebola mataku untuk terus menatap
seraut wajahnya yang cukup bersih pada pandanganku.
“Tampan dan manis!” simpulku. Dia tampak lebih
sempurna dengan kaca mata. Tubuh kekarnya hanya bersalut
T-shirt dan seluar jean yang dilipat paras betis.
Entah bagaimana aku tersedar, hatiku spontan
beristighfar. Zina mata. Bulan puasa begini, adalah lebih
sempurna amalan puasa jika menjaga mata, telinga dan hati.
Lelaki itu masih khusyuk mengawal api. Sabut dan
tempurung disusun elok di atas unggunan api. Aku hulurkan
sabut yang aku andaikan agak jauh daripada dirinya.
Dia menatapku.
“Terima kasih,” ujarnya sepatah sebelum kembali
ke depan. Melihat Iskandar yang diam, aku turut mati kata.
Dia tidak seperti Aza, Hisham, opah, Syaza atau mereka
yang lain. Apakah benar suara hatiku tadi? Kedatanganku ke
sini tidak disenangi Iskandar? Dia seperti tidak suka sahaja.
Mungkinkah aku yang keterlaluan membuat andaian?
“Perlu banyak lagi ke?” soalku merujuk pada sabut
kelapa.
“Hmm...” Oh, itu sahaja yang dijawabnya. Berat
sungguh mulutnya mahu berkata ya. Persepsi pertamaku
terhadapnya di R & R Tapah itu begitu baik sekali. Petang
semalam, hatiku menggelarnya sombong. Dan hari ini,
pandanganku tidak berubah. Agaknya, dia memang berat
mulut. Atau, akukah yang terlebih mesra? Rasanya tidak!
“Lagi,” pinta Iskandar lembut.
Lantas aku hulurkan sabut itu kepadanya. Aku
menjarakkan diri.
“Susahnya nak kena jaga api dapur ni,” rungutku di
luar sedar.
Iskandar memandangku sekilas.
“Tak juga. Nak kawal api ni senang aje kalau
barang-barang dah ada. Letak aje kayu api, sabut atau
tempurung kelapa. Benda-benda ni mudah terbakar. Jadi,
nyalaan api akan terkawal. Ermm, cuma untuk mula-mula
hidupkan api, bagi orang yang tak biasa macam saya, memang
susah,” ujarnya tanpa memandangku.
“Rasanya macam saya juga.”
Aku lihat ada senyum di pinggir bibirnya. Biarpun
kecil, sungguh menawan di mataku.
“Sama-samalah kita tak pandai hidupkan ni,” ujarku
lembut. “Sejak sampai petang kelmarin, saya sebenarnya
masih belum hilang rasa kagum pada keluarga umi. Semuanya
guna cara tradisional walaupun zaman dah bertukar moden.
Salah satu yang saya kagumi tentulah bab kayu dapur ni.”
Tiba-tiba Iskandar melarik senyum.
“Untuk orang KL seperti awak, pemikiran macam tu
tak mustahil sebab awak tak pernah terdedah dengan semua
ni. Tak pernah hidup susah.”
“Siapa kata saya tak pernah hidup susah?” soalku
tegas, kurang gemar akan bicaranya yang seperti menyindir
sahaja lagaknya.
“You look good and luxurious, Cik Izzah.” Halus
bisikan Iskandar membuatkan aku pegun sendiri. Aku
menelan liur. Mengapa bicara lelaki ini lembut dan membuai
hati? Aku cuba melindungi rasa hati dengan senyuman.
“Saya rasa Encik Is silap. Ermm, mungkin encik
perlu betulkan persepsi encik pada saya atau penduduk Kuala
Lumpur. Alaf moden ni, gaji 3000 masih diklasifikasikan
sebagai kelompok miskin terutamanya di KL.”
“Awak ni pandai berhujah macam peguam. Cik
Izzah bercita-cita nak jadi peguam ke?” soalnya serius. Aku
terpinga-pinga. Konar ke mana pula ni?
“Saya tak ada sebut fasal gaji pun, cik. No relation
at all. Kenapa sampai ke situ awak fikir? Awal tadi, awak juga
yang cakap awak tak biasa dengan semua ni. Mungkin salah
saya terlalu awal membuat kesimpulan, tapi awak pun tak
perlulah emosi semacam. Awak tak puasa ke?”
Hah? Aku terkedu dengan soalan yang meluncur
laju daripada dua ulas bibirnya. Terasa pipiku merona merah.
Kalut aku mengawal diri di hadapan Iskandar.
“Natural pink rosy cheeks. I like it.” Terasa mahu
pitam aku mendengar kata-kata Iskandar yang kemudiannya
selamba sahaja melintasiku dengan senyuman. Iskandar
berlalu meninggalkan aku terkulat-kulat di ruangan itu.
Pipi yang merah terasa mahu bertukar menjadi
hijau. Ya Allah, malunya aku! Aku menggaru-garu hujung
kening yang tidak gatal.
Malam itu, semua saudara-mara berkumpul.
Berbuka puasa bersama, hidangan lauk malam terakhir
berpuasa memang memenuhi satu meja besar. Kami bersila
di lantai. Perempuan diutamakan. Lelaki pula makan di luar
rumah. Pelbagai jenis juadah disediakan. Makanan yang
hendak disajikan esok pagi pun turut terhidang. Dalam
banyak-banyak makanan, aku tertarik melihat rendang tok
yang digembar-gemburkan oleh Syaza dari dalam kereta lagi.
Sememangnya tidak mengecewakan.
‘Tambah lagi, Izzah,” ujar anak ketiga opah
merangkap adik kepada umi, iaitu Mak Lang Zainab.
Anak-anaknya seramai 5 orang di sekelilingku tak sempat nak
pandang kiri kanan.
“Slow and steady betullah Kak Izzah makan. Cuba
jadi macam kita orang, ni dah masuk round ketiga tau.” Zullin
tersenyum mengusik dengan laksa penuh di dalam mulut.
“Perut dah ke depan sebab minum air. Ni Kak Min
punya fasallah. Siapa suruh buat air pelbagai jenis? Semua
sedap tau. Lepat, limas, belum try lagi tau.” Ecah menyalahkan
sepupunya. Di depan pinggan nasi Ecah, empat gelas plastik
tersusun elok. Ditegur opah minum air ketika makan tidak
elok untuk pencernaan, dia buat tak endah.
“Pak ucu buat roti canai dan teh tarik istimewa. Siapa
nak, kembangkan lubang hidung!!!” Tiba-tiba suara garau
lelaki muncul di jenang pintu. Lelaki yang berkain pelekat
dan berbaju Melayu itu tersengih. Cucu bongsu opah, masih
di tingkatan 6. Tawarannya mencetuskan gelak seisi rumah.
“Nak... pak cu. Adli nak!”
“Nak!
“Nak!!!”
Bertempik si anak kecil yang gemarkan roti canai.
Masing-masing mengangkat tangan.
“Bukan angkat tanganlah, kembangkan hidung...
macam niii...” Si cilik, Sharif buat gaya kembang hidung.
Sekali lagi, ruangan itu gegak-gempita dengan telatah Sharif.
Polos!
“Okey. Diam, diam semua. Abang Is, banyak lagi ke
roti canainya? Bawa masuk dalam. Jualan kita laku keras hari
ni.”
Dalam riuh suasana itu, aku terpandangkan opah.
Ironinya perempuan tua itu hanya menjamah nasi putih
berlaukkan udang semata. Selebihnya, dia tidak menang
tangan menambah lauk untuk anak menantu. Meriah sekali
rumah kampung ini dengan suara-suara asing yang baru aku
kenal tidak sampai 48 jam. Betapa unik sebuah kehidupan,
baru bersua sebentar cuma, aku sudah jatuh sayang. Walhal,
keluarga yang bertahun di sisi, terasa jauh sekali. Sekeping
hati tidak berjaya aku sentuh untuk menyayangi aku apa
adanya.
“Abang Is, reserve satu untuk ahli keluarga kita
yang baru ni. Kak Izzah, roti ni ucu buat sendiri tau. Tradisi
turun-temurun. Rasanya lain macam, makan sekali boleh
termimpi-mimpi.”
“Nah, untuk awak.”
Getaran ini kembali lagi. Pinggan berisi roti canai
bertukar tangan. Segera Iskandar berlalu tanpa sempat aku
mengungkapkan kata terima kasih.
Usai menjamu selera dan bersolat maghrib
berjemaah, para wanita mula bertungkus-lumus di dapur.
Semakin teruja untuk menyediakan hidangan pagi esok. Aku
juga tidak ketinggalan. Membantu apa yang perlu. Keramahan
umi dan opah membuatkan rasa janggalku beransur-ansur
hilang. Umi sibuk dengan dodol di luar rumah.
Keriuhan kami di dapur diselang-seli dengan bunyi
mercun yang mula melata di langit Ilahi. Terdengar keriuhan
suara anak-anak kecil bergembira menjelang hari yang
bahagia. Bergema pula takbir di malam raya, petanda tiba 1
Syawal. Telah berlalu Ramadan yang penuh keberkatan.
Sejenak, kesedihan menggigit hati. Entahkan tahun
depan, aku masih diberi peluang menyambut Ramadan.
Namun doaku dalam hati, agar aku diberi kesempatan
untuk melaksanakan ibadah puasa Ramadan tahun hadapan.
Insya-Allah.
“Bawa mi dan laksa ni ke depan, Izzah. Orang surau
dah nak datang tu.”
“Orang surau?” Aku kurang faham.
“Kat kampung ni, orang surau akan bertakbir di
setiap rumah. Kita pula sebagai tuan rumah biasanya akan
menjamu mereka makan, sekadarnya.”
Oh, banyak betul tradisi yang masih diamalkan. Aku
mengangguk mengerti.
No comments:
Post a Comment