Sunday, 30 June 2019

Gerhana Cinta Yana - Bab 5

SEPERTI yang dijanjikan, Haqimie datang
menjemput Yana selepas waktu zohor. Sewaktu dia menuruni
anak tangga, matanya sempat menangkap kelibat umi, walid
dan Haqimie yang sedang berbual di halaman rumah. Pasti
banyak pesanan yang dikirimkan oleh umi dan walid kepada
Haqimie. Yalah, pertama kali membiarkan anak dara mereka
keluar berdua dengan lelaki. Hati tua mana yang tidak risau?
“Hah, dah siap pun anak manja umi ni,” tegur
Puan Anisah sebaik sahaja terlihat figura Yana yang semakin
menghampiri.
“Anak manjalah sangat... Jom Abang Qimie,” ajak
Yana. Malu terasa apabila digelar anak manja di hadapan
Haqimie.
“Ingat pesan walid ya.” Encik Syukri mengingatkan
kembali.
Yana mengangguk sebelum tunduk menyalami
tangan walid dan uminya. Diikuti oleh Haqimie.
“Kami pergi dulu. Assalamualaikum.” Haqimie
meminta diri.
Berlapis-lapis kerutan muncul di dahi Yana
apabila melihat langkah Haqimie menuju ke tempat duduk
penumpang. Oh my! Jangan cakap yang Haqimie nak buka
pintu kereta untuk dia? Seronok juga dilayan seperti seorang
puteri.
Angan-angan Yana berkecai sebaik sahaja Haqimie
berpusing dan menyerahkan kunci kereta kepadanya.
Keningnya sedikit ternaik tanda meminta penjelasan daripada
Haqimie. Namun, tangannya menyambut juga huluran
daripada lelaki itu.
“Practice makes perfect, my dear...”
Perasaan tidak puas hati sedaya upaya cuba dipendam
Yana.
‘Ceh, aku ingat nak tolong bukak pintu kereta. Tak
gentleman langsung! Aku pulak yang kena drive? Kereta
mahal pulak tu. Honda Civic Type R kut! Kalau calar ni,
berapalah nak kena bayar?’ omel Yana dalam hati. Dia rela
dalam keterpaksaan.
Perjalanan yang sepatutnya mengambil masa
singkat menjadi panjang dek terlalu banyak teguran daripada
Haqimie. Ini tak boleh, itu tak boleh. Naik pening Yana
dibuatnya.
“Bawak perlahan sikit. Kan baru je dapat lesen. Tak
payah drive laju sangat.”
Apabila Yana mula memperlahankan pemanduan,
lain pula yang ditegur.
“Laju sikit Yana, ni dah macam kura-kura.”
Sebaik ternampak Yana memegang stereng kereta
dengan sebelah tangan sahaja, Haqimie pantas menegur lagi.
“Pegang stereng betul-betul. Guna dua tangan.”
Yang peliknya semasa Yana sedang fokus memandang
ke hadapan, pun ditegur juga!
“Jangan leka sangat, tengok side mirror tu.”
Pendek kata banyak yang tidak kena pada pandangan
mata Haqimie.
Tahap kesabaran yang semakin menipis membuatkan
Yana memberhentikan kereta secara tiba-tiba di tepi jalan
setelah memberi isyarat ke kiri.
“Abang Qimie ni kenapa? Semua yang Yana buat tak
betul. Malaslah nak drive kalau macam ni!” Separuh menjerit
Yana bersuara akibat terlalu geram.
“Bukan macam tu Yana. Abang sebenarnya... err...”
Haqimie cuak melihat wajah Yana yang sudah kemerahan
menahan marah.
“Sebenarnya apa? Tak yakin dengan Yana, kan? Kalau
tak yakin kenapa bagi Yana drive kereta mahal ni?” Nah, tu dia
serkap jarang Yana mengena. Namun begitu, suaranya telah
kembali ke volume biasa. Tiada lagi marah-marah seperti tadi.
“Okey, okey. I’m sorry. Yana drivelah. Abang zip
mulut.” Haqimie beralah. Dia yang minta gadis itu memandu
tadi, jadi cuba ditanamkan keyakinan dengan cara pemanduan
gadis itu.
Yana membatukan diri.
Haqimie rasa nak tampar mulut sendiri. Bising
sangat.
Ting! Idea!
“Ehem, ehem. Wahai cik adik jangan marah sangat...
Sedangkan nabi ampunkan umat... Kalau cik adik mukanya
kelat... Ke lubang jendela abang nak lompat... Nandung
nandung dayang senandung... Wahai Cik Yana maafkan
abang... Maafkan abang.. jeng jeng jeng jeng... Maafkan
abang...” Haqimie menyanyikan lagu dari filem Pendekar
Bujang Lapok sambil tersengih.
“Dah-dah, cukuplah tu. Hei, berapa banyak maaf
daaa?” Yana tidak dapat menahan rasa lucunya dan terus
tergelak terbahak-bahak. Haqimie juga turut tertawa sama.
“Dah maafkan abang kan? Kalau belum, abang
nyanyi lagi. Wahai...” Tak sempat nyanyiannya disambung
Yana sudah pun memotong.
“Yalah, Yana maafkan. Abang tu, Yana ni bukannya
baru first time drive. Sebelum ni dah selalu, even sebelum
dapat lesen lagi. Tak payah sampai nak zip mulut tu, cukup
kalau abang tak kompelin macam-macam.”
“Geraklah, apa lagi? Abang dah lapar ni. Handbrake
jangan lupa turunkan.”
“Abang Qimie!”
“Okey, okey. Sorry...” Tawa Haqimie di hujung bicara.

TIBA DI Dataran Pahlawan, Yana dan Haqimie terus ke
tingkat atas untuk membeli tiket wayang. Sesudah itu,
mereka menuju pula ke restoran makanan segera di tingkat
bawah bagi mengisi perut yang kosong memandangkan
waktu tayangan akan bermula sejam lagi.
Selesai menonton wayang, mereka menunaikan solat
asar di surau yang tersedia. Kemudian menghabiskan pula
masa dengan bermain games di tingkat bawah. Pertemuan
ini semakin merapatkan hubungan antara mereka berdua.
“Nak pergi mana lagi?” tanya Haqimie.
“Entah, Yana pun dah tak ada idea. Kita jalan-jalan
cuci mata jelah,” putus Yana.
“Okey, boleh je.” Haqimie mengangguk setuju.
Sepanjang perjalanan, gelak tawa tidak lepas dari
bibir keduanya. Ada sahaja celoteh yang menghiburkan hati.
“Qimie!” tegur satu suara dari arah kanan.
Serentak Yana menoleh ke arah suara tersebut.
Kelihatan dua orang perempuan sedang tersenyum. Seorang
dalam lingkungan umur 40-an dan seorang lagi lebih kurang
20-an mungkin sebaya dengannya. Itu kesimpulan yang dapat
dibuat oleh Yana melalui pemerhatiannya. Anggun dan cantik
kedua-duanya. Dalam tak sedar, Yana memuji.
Haqimie yang tidak mendengar namanya diseru,
terus jalan ke hadapan meninggalkan Yana yang sudah diam
tidak berganjak.
“Abang Qimie!” laung Yana kuat.
“Kenapa Yana?” Haqimie yang baru menyedari Yana
telah ketinggalan jauh di belakang, berpusing ke belakang
semula.
“Ada orang panggil abang.” Mata Yana mengarah
kepada dua insan yang asyik melihat gelagatnya dengan
Haqimie.
“Eh, ibu? Fiza pun ada sekali?” Haqimie berjalan
mendekati mereka berdua diikuti Yana.
“Haah, Qimie. Ibu minta Fiza teman window
shopping. Kebetulan tak ada buat apa, tu yang on je,” terang
Hafizah.
Ibu? Haqimie pernah cakap dia tak ada adik
perempuan. Habis tu ni siapa? Yana jadi tak sedap hati.
“Oh, ibu tak ada cakap dengan Qimie pun yang ibu
nak datang sini?” soal Qimie.
Jadi, ni rupanya Aunty Zahirah. Cantik! Patutlah
anak pun handsome. Eh, apa dia melalut ni? Yana mengukir
senyum.
“Sejak bila pulak ibu nak kena repot semua benda
dengan Qimie? Pandailah kamu tu ya. Tak nak kenalkan ibu
dengan kawan perempuan tu ke?” Aunty Zahirah tersenyum
penuh makna.
“Lah, lupa pulak. Ni Sara Aryana, adik Shahrul.
Yana, ni ibu abang. Yang tu Fiza, anak angkat ibu.”
Mendengarkan perkataan anak angkat itu, Yana
melepaskan rasa lega. Entah kenapa dia berperasaan sebegini.
Dia sendiri pun tidak pasti. Yana kemudiannya tunduk
menyalami tangan Aunty Zahirah dan Hafizah.
“Cantik rupanya Yana ni. Patutlah ada orang sampai
angau. Hari tu aunty datang rumah tak dapat jumpa Yana.
Yana tak balik dari kelas lagi kan?”
“Terima kasih, aunty. Yana biasa je. Haah, hari tu
tak sempat jumpa.” Tersenyum simpul Yana dipuji sebegitu.
Aiseh, poyo betul Sara Aryana Binti Ahmad Syukri ni.
“Ibu nak pergi mana lagi lepas ni? Jomlah join kami
sekali,” pelawa Haqimie.
Hampir tercekik Yana mendengarkan pelawaan itu.
Tolonglah jangan setuju. Jangan setuju. Please... Dia berdoa
dalam hati.
“Ibu, Fiza tak boleh lama. Nak kena balik cepat. Tadi
ada beritahu ibu. Ingat tak?” Hafizah mencelah.
Fuh, lega! Yana sembunyi senyum. Terima kasih
wahai Hafizah kerana mengeluarkan Yana daripada situasi
janggal yang akan wujud jika mereka berempat berjalan
bersama.
“Kami nak terus balik ni. Qimie pun jangan lambat
sangat hantar Yana balik ya. Anak dara orang tu, ingat.” Aunty
Zahirah berpesan kepada Haqimie.
“Baiklah ibu.”
Mereka berempat berpamitan sebelum berpecah.
“Girlfriend Abang Qimie ke tu?”
“Siapa? Fiza?” Haqimie ketawa besar.
Pap!
Satu tamparan hinggap di lengan Haqimie. Padu
juga penampar si Yana ni. Boleh lebam lengannya kalau
selalu macam ni. Bisik Qimie dalam hati.
“Sakitlah, mak cik oi!”
“Tahu pun. Orang tanya betul-betul, dia boleh
ketawa. Tu makan dia!”
“Kali ni orang mana pulak? Orang utan ke?”
“Eee... bencinya!” jerit Yana.
“Jangan benci-benci, nanti tersayang susah.”
Haqimie masih giat mengusik.
“Kalau tersayang kahwin jelah. Tak susah pun,” balas
Yana tidak mahu mengalah.
“Betul ni nak kahwin dengan abang?”
“Tak nak! Tak hingin!” Yana jelir lidah.
Haqimie menarik lengan Yana. Hai, dah macam babak
dalam cerita Hindustan pula. Bila ditanya masing-masing tak
nak mengaku dah jatuh sayang. Kalau tak sayang, ini apa?
Inilah susahnya apabila keduanya tak pernah bercinta.
“Fiza tu abang anggap macam adik abang je. Tak
lebih daripada tu pun,” jelas Haqimie.
Yana mencari idea, masih mahu bermain tarik tali.
“Habis Yana ni? Sama jugak macam Fiza tu ke?”
“Yana lain.”
“Lain macam mana?”
“Lainlah.” Haqimie tak tahu nak jawab apa. Tiba-tiba
otak jadi blank.
“Ya, Yana tahu lain tapi lain yang macam mana tu?”
“Lain sikit,” jawab Haqimie.
“Aik, lain sikit je? Kenapa sikit je? Kenapa tak
banyak?” Bukan Sara Aryanalah kalau senang berpuas hati
menerima jawapan orang lain.
“Yana lain sikit. Spesial sikit. Nak tukar sikit tu jadi
banyak, kita tunggu je. Abang pun tak tahu bila. Bergantung
pada masa dan keadaan. Puas hati tak dengan jawapan abang?”
“Superb!” jawab Yana sambil mengenyitkan mata.
“Dah, jom abang hantar Yana balik.”
“Jom.”

No comments:

Post a Comment