Sunday, 30 June 2019

Lara Wirang - Bab 7

SETELAH Pak Akub pergi, Salim masuk ke
dalam rumah. Kepada Budin dititipkan pesan agar tidak
menerima kedatangan sesiapa pun pada hari itu. Kepada
Salwa disuruh jaga adik-adik. Dia mahu bersendirian
buat seketika.
“Budin...” Dia mendekatkan bibirnya ke telinga
Budin. Ada sesuatu yang dihajatkan.
Mata Budin membesar seketika sebelum
meredup. Dia faham dan akur. Dengan sepantas kilat
juga dia turun ke tanah. Salwa pula memerhati tanpa
menyoal.
Setelah Budin pergi, Salim terus melangkah
masuk ke dalam sebuah bilik yang terletak di sebelah
bilik tidurnya. Sebuah bilik yang berkeluasan sederhana.
Hanya mempunyai satu tingkap yang sentiasa ditutup.
Lantai pula hanya dilapisi tikar getah yang sudah lusuh.
Bilik itu dikhaskan untuk dia melakukan amalan-amalan
yang berkaitan dengan kebatinan Suci Giring ataupun
memenuhi permintaan orang yang datang berhajatkan
pertolongan.
Di dalam bilik itu ada bara yang dijaga agar
tidak pernah padam. Ada semangkuk bunga-bungaan
yang ditukar setiap 3 hari, semangkuk air kosong,
semangkuk bertih dan sebilah kerambit yang dibalut
kain putih. Keseluruhan ruang melekat bau kemenyan.
Salim duduk bersila di atas tikar. Matanya
melirik ke arah bara yang masih merah menyala
seperti hatinya yang masih bersimpul rasa tidak puas
hati terhadap Ustaz Muiz. Lantas, dia menambah
serbuk kemenyan. Asap yang berkepul-kepul naik
disedut dalam-dalam sebelum dihembus melalui mulut
sebanyak tiga kali. Dia memperlahankan rentak nafas
dan memusatkan fikiran beberapa saat.
“Bang...” Suara Budin membuatkan dia
membuka semula mata. Dilihatnya Budin sudah berada
di hadapannya bersama barang yang dibungkus dengan
daun keladi.
Bungkusan itu lantas diambil dan dibuka. Di
dalam daun keladi itu terdapat tanah yang masih basah.
“Keluar...” katanya sambil merenung tajam
wajah Budin.
Budin kelam-kabut bangun dan keluar sebelum
menutup pintu rapat-rapat.
Sebaik sahaja pintu ditutup, Salim ambil
kerambit yang dibungkus dengan kain putih. Dibuka
lilitannya. Muncung kerambit dicelup ke dalam
mangkuk yang berisi air putih sebelum ditekan ke ibu
jari kirinya.
Darah yang menitik, dilumur ke seluruh
mata kerambit sebelum kerambit itu diperasap 3 kali.
Akhirnya kerambit itu dilumur dengan tanah yang
diambil dari kebun Ustaz Muiz. Dia tidak akan beri
Ustaz Muiz jalan mudah.

CUACA YANG tiba-tiba berubah mengejutkan Ustaz
Muiz. Dia yang sedang memeriksa batu sempadan
tanah terpinga-pinga seketika apabila langit yang cerah
berubah gelap dalam masa yang begitu cepat. Dalam
masa yang sama, angin bertiup kencang. Pokok-pokok
di sekeliling bergoncang keras. Belum sempat dia dan
Karim memahamkan perkara, terdengar satu bunyi
yang kuat.
“Bunyi apa tu?” Karim terlebih dahulu bersuara.
Sedang tertanya-tanya, Said terjerit-jerit memanggil
mereka berdua.
“Kenapa Said?” tanya Ustaz Muiz sebaik sahaja
ternampak muka Said yang berpeluh dan pucat. Dia
dan Karim memang mahu meninggalkan tempat itu
sebelum hal buruk terjadi.
“Pokok tumbang!” Said melaung dari jauh
sahaja sebelum kelam-kabut berpatah balik.
“Hah!”
Itu sahaja yang meluncur keluar daripada
mulut Karim sebelum mereka berlari laju ke sebelah
kanan kebun di mana kerja-kerja pembersihan tanah
sedang dilakukan. Rasa hendak pecah dada Ustaz Muiz
apabila melihat keadaan jentolak dan pembantunya
yang masih tersepit di bawah sebatang pokok tualang.
Ribut pula semakin kuat. Hujan turun selebat-lebatnya.
Angin berputar dan berdengung.
“Macam mana ni, ustaz?” jerit Said. Dilihatnya
Radi sudah tidak sedarkan diri. Mereka pula sudah
basah kuyup.
“Cuba keluarkan dia,” cadang Ustaz Muiz.
Apa pun yang terjadi, Radi perlu dihantar ke hospital
secepat mungkin.
Said dan Karim terus bergerak ke hadapan.
Tubuh Radi cuba ditarik keluar meskipun payah. Tanpa
disangka, melayang sebatang dahan ke arah Ustaz Muiz
tetapi sempat dielak sehingga menghentam jentolak.
Karim dan Said tergamam besar. Dahan itu hampir lagi
menghentam kepala mereka berdua.
Ustaz Muiz mengucap panjang dan beristighfar.
Dipandang ke langit, kegelapan yang dilihat amat luar
biasa bagai ditutup sesuatu. Angin yang bertiup pula
terlalu kuat seperti mahu merundukkan semua pokok
yang ada di situ.
“Kepala angin...” kata Said. Wajahnya sudah
pucat lesi. Karim pula menyapu mukanya beberapa kali.
Melihatkan keadaan yang luar biasa itu, Ustaz
Muiz lantas mengalunkan azan. Said dan Karim sudah
menggigil di tepi jentolak.
Pada mulanya keadaan tidak banyak berubah
tetapi Ustaz Muiz tetap berdiri dengan yakin dan
mengalunkan azan dengan sepenuh tumpuan.
Mujurlah perlahan-lahan angin mula berubah laku.
Tidak seganas tadi dan hujan juga mula reda sedikit
demi sedikit meskipun belum berhenti. Setengah jam
kemudian barulah Radi dapat ditarik keluar. Mereka
bertiga bergegas ke hospital.
Di rumah Salim, pelita yang dipasang di tepi
pintu tiba-tiba sahaja terpadam. Angin tiba-tiba sahaja
merempuh masuk dari celah atap dan berdengung
seketika sebelum pudar dengan sendirinya.
“Huh!” Salim merengus marah. Perkhabaran
yang datang mengecewakan hati. Ustaz Muiz masih lagi
mampu menampan hantarannya.
Lalu diambil tanah dari kebun Ustaz Muiz lantas
digenggam sekuat tenaga. Dibaca mantera sebelum
dilontar ke dalam bara. Dia tidak akan berputus asa.
Masih ada banyak lagi cara untuk melihat lelaki itu
sengsara.
“Budin!” Dia memanggil dengan keras.

DI RUMAH Ustaz Muiz, Sufiya yang sedang membaca
al-Quran tergamam seketika apabila terdengar namanya
diteriak. Dia segera menyudahkan bacaan dan menutup
mushaf dengan tertib. Dengan langkah yang sehabis
tenang, dia bergegas membuka pintu hadapan. Belum
sempat bertanya, Intan sudah memberitahu hal yang
baru berlaku di tapak madrasah.
“Di mana mereka sekarang?” Tubuhnya dengan
spontan menggigil. Terbayang di matanya wajah Ustaz
Muiz dan yang lain-lain.
“Kata budak-budak tadi, mereka semua dah ke
hospital,” jawab Intan.
Sufiya terdiam. Dijeling langit yang terang
benderang. Berkecamuk hatinya apabila mendapat
berita mengenai ribut yang melanda tapak madrasah.
Dia beristighfar dan berdoa moga-moga berita yang
dibawa itu tidaklah seburuk yang terbayang dalam
fikiran.
“Siapa yang cedera?” Dia mengajak Intan duduk
di kerusi rotan yang ada tersedia di beranda rumah.
Gemuruh di dadanya membuatkan dia letih.
“Tak pula diceritakan. Saya pun tadi tak sempat
nak bertanya banyak, budak-budak tu cepat sangat
cabut lari.”
“Kalau macam tu tak apalah. Kalau tak ada
apa-apa, sekejap lagi mereka berdua baliklah tu.”
Sufiya cuba menenangkan Intan dan diri sendiri. Tanpa
cerita yang jelas, mereka merisaukan keadaan suami
masing-masing.
“Cuma pelik, kita di sini panas, di sana boleh
hujan. Padahal bukan jauh sangat.” Intan pandang
Sufiya.
“Dengan kehendak Allah semuanya mungkin,
Intan.”
Intan sekadar mengangguk. Kemudian dahinya
berkerut. Dia bingkas bangun dan terjenguk-jenguk ke
arah ampaian kain yang terletak di antara rumah Sufiya
dengan kawasan hutan.
“Tengok apa tu?” Sufiya menegur kelakuan
Intan. Darahnya bergemuruh kali kedua.
Intan duduk semula lambat-lambat.
“Tadi macam nampak ada orang dekat ampaian
kain. Kemudian hilang pula,” jawab Intan yang masih
lagi memandang ke arah yang sama.
Jawapan Intan itu membuatkan Sufiya dengan
spontan terbangun lalu melihat ke arah yang diceritakan.
Yang dilihat hanyalah ampaian dan kain baju yang
masih berjemur. Setelah memerhati sekeliling, tidak
ada sesiapa yang dilihat. Mungkin Intan salah pandang,
fikirnya.

DETIK DEMI detik berlalu, cuaca yang terang kini
semakin redup. Sufiya tidak putus-putus berdoa agar
suami dan yang lain-lainnya berada dalam keadaan
selamat. Namun selagi belum melihat wajah suaminya,
kerisauan tidak mudah diusir begitu sahaja. Mujurlah
selesai sahaja mendirikan solat maghrib, kedengaran
bunyi motosikal di halaman rumah.
Dia menerpa ke muka pintu. Belum sempat
membuka mulut, suaminya sudah memberi salam
dengan seraut wajah yang manis. Hatinya lega
bercampur pilu kerana dia tahu apa pun masalah yang
melanda, suaminya tetap akan cuba bermanis wajah
supaya dia tidak bimbang.
“Badan abang sudah berbau ni, biar abang
mandi dan bersolat dulu ya?” kata Ustaz Muiz sebaik
sahaja Sufiya menunduk menyalami tangannya.
“Sufiya sediakan nasi.” Dia rasa itulah yang
terbaik saat itu. Biarlah suaminya bertenang dan berehat
untuk seketika sebelum diterpa dengan 1001 persoalan.
Malah dia percaya, suaminya amat memerlukan waktu
bersendirian untuk melegakan segala perasaan.
Mereka lantas berpisah. Ustaz Muiz masuk ke
dalam bilik tidur, sementara Sufiya menuju ke dapur
untuk menyediakan nasi dan lauk-pauk yang ada.
Entah kenapa sewaktu mengemaskan meja
makan, kepalanya terasa pening dan perutnya senak.
Dia duduk sebentar untuk menenangkan diri sebelum
bangkit semula. Sewaktu suaminya datang, dia hanya
tersenyum.
“Ada budak-budak datang beritahu tadi?” tanya
Ustaz Muiz sewaktu menarik kerusi untuk duduk.
“Ada, bang. Mereka beritahu Intan. Intan datang
ke sini tadi. Apa yang berlaku, bang?” tanya Sufiya.
“Radi... dihempap pokok. Patah paha.” Ustaz
Muiz meneguk sedikit teh yang disediakan.
“Dengar kata tapak madrasah dilanda ribut.”
Sufiya pandang lama wajah suaminya.
Ustaz Muiz mengangguk.
“Teruk juga keadaan tadi,” katanya.
“Karim dan Said, bagaimana bang?” Sufiya
menyenduk nasi ke dalam pinggan suaminya. Kepalanya
rasa berpusing.
“Alhamdulillah. Mereka tak apa-apa...”
Buk! Sekonyong-konyong, tubuh Sufiya jatuh
ke lantai.
“Ya Allah! Ustaz Muiz menerpa.
Kepala Sufiya dipangku. Pipi Sufiya
ditepuk-tepuk namun Sufiya tetap terpejam dan terkulai
di lantai. Dibacakan Basmallah dan beberapa surah
lazim tetapi Sufiya tidak banyak berubah. Akhirnya, dia
membaringkan Sufiya lalu berlari ke rumah Karim.

No comments:

Post a Comment