Sunday, 18 August 2019

My Zaujah Humairah - Bab 2

DARREN masih berlingkar dalam selimut.
Walaupun alarm pada telefon bimbitnya mengeluarkan bunyi
berkali-kali, dia tetap bermalas-malasan di atas katil.
“Urmm... ngantuknya...” Dia merungut kerana tidak
cukup tidur. Untunglah dia bekerja sendiri. Kalau tidak,
jangan harap dia berpeluang mahu bersenang-senang begitu.
Sebelah tangannya keluar melalui celah-celah
selimut. Telefon bimbitnya diambil lalu selimut diturunkan
ke paras dada. Sejurus jam loceng pada telefonnya dimatikan,
Darren membuka aplikasi WhatsApp.
Keluhan panjang melantun perlahan apabila
berdesap-desup mesej masuk melalui aplikasi itu. Siapa
lagi kalau bukan Jane pengirimnya. Satu per satu mesej itu
dibaca. Tidak berminat nak dibacanya sungguh-sungguh
seperti kebiasaan.
You nekad ke putuskan hubungan
kita?
You dah benci I?
I sayang you. Baru sehari you
putuskan hubungan, I tak boleh
laa...
I nak kita sambung semula. Please
Darren...
Kedua-dua matanya dipejam apabila selesai
membaca luahan Jane. Untuk membiarkan semua pesanan
Jane tidak dibalas, Darren tidak sampai hati. Lalu, otaknya
ligat menyusun ayat supaya gadis itu jelas dan faham dengan
pendiriannya.
Bukan I dah tak sayang. Cinta I
masih ada untuk you. Bukan senang
nak buang perasaan tu. Mungkin
I perlukan masa. Tapi I tak tahu
sampai bila I sanggup bertahan
untuk buat tak peduli dengan
perasaan ni. I tak pernah bercinta
dengan perempuan lain selain you.
Dari tingkatan 5 sampai umur
kita 29 tahun, I tetap dengan you.
Parents kita pulak rakan kongsi.
Sebab tu hubungan kita boleh kekal
lama. Kalau nak cari lelaki setia
pada cinta, Ilah orangnya. Tapi, you
tak hargai.
Pintu bilik diketuk dari luar memaksa Darren
ketepikan tumpuannya terhadap mesej yang baru dibalas.
Puan Irma melangkah masuk dengan senyum dan
kepala menggeleng.
“Tak nak pergi kerja hari ni?” soalnya sambil melabuh
duduk di sisi anak terunanya.
“Sekejap lagilah...” Darren menggeleng cuma. Hari
ini semangatnya bagai direntap. Terasa hilang fokus untuk
memulakan rutinnya.
“Darren tak sihat atau masih marahkan mummy?”
Selimut diselak lalu bergerak rapat ke arah ibunya.
Tak semena kepalanya dijatuhkan ke atas bahu wanita separuh
abad itu. Sebelah tangan ibunya dicapai lalu dibawa ke bibir.
Dikucup sekali dua sebelum diletakkan di pipi kanannya.
“Saya minta maaf. Mungkin mummy tersinggung
dengan kata-kata saya semalam.” Tangan si ibu dijatuhkan ke
bawah lalu digenggam penuh erat.
“Darren dah cukup dewasa. Boleh bezakan antara
baik dan buruk. Soal Jane, buatlah pilihan yang bijak.
Mummy dan daddy dah tak nak masuk campur. Cuma, kalau
sikap Darren ada yang tak kena di mata kami, kenalah kami
nasihat dan tegur.”
“Kami dah putus. Saya harap perkara ni tak jejaskan
hubungan daddy dan Uncle Franklee.”
Puan Irma tersentak dengan penjelasan yang tidak
diminta. Perlahan menarik tangan dari genggaman Darren.
Duduknya dibetulkan sambil meneliti keseluruhan wajah
anaknya bagi mencari kebenaran.
“Mungkin putus sementara macam selalu?” Puan
Irma menebak.
Darren menggeleng.
“Kali ni putus selama-selamanya.”
“Are you serious?” Tenang Puan Irma menyoal.
Setenang anaknya memberi penjelasan secara ringkas.
“Serious, mummy.”
Kedua-dua kening Puan Irma naik. Seolah-olah
tidak percaya dengan keputusan si anak terunanya. Selama
apa yang dia tahu, Darren terlalu sukar membuat keputusan
yang betul jika ia berkaitan dengan Jane. Tahu selama ini
Darren begitu setia dengan gadis itu.
“Mummy yakin Uncle Franklee takkan komen
apa-apa pasal ni. Lagipun Darren sendiri tahu, dia pun pening
dengan perangai Jane. Sebab tulah selama ni dia harapkan
Darren untuk bimbing dan nasihatkan Jane. Tapi Jane tetap
tak berubah. Masih liar dan corak hidupnya terlalu kebaratan.
Mungkin terkena kejutan budaya lepas balik dari luar negara.”
“Dia tak seagama dengan kita. Dia buat apa pun tak
kisah,” balas Darren dengan kata-kata ibunya.
“Tapi dalam agamanya ada diajarkan tentang moral.
Setiap agama menyuruh penganutnya buat kebaikan. Tak ada
satu agama pun yang mengajar pengikutnya buat kejahatan.”
Darren mengangguk setuju. Namun, nampak tidak
berminat mahu meneruskan topik perbincangan berkaitan
kehidupan Jane.
“Dahlah tu. Jangan fikir lagi pasal kamu berdua. Jom
turun. Acik dah lama siapkan sarapan. Nanti sejuk, dah tak
sedap nak masuk tekak,” kata Puan Irma lalu bangkit dari
katil dan perlahan menapak keluar.
Darren menggeliat untuk kesekian kali. Urat
pinggang dibetulkan sehingga mengeluarkan bunyi. Dia
menguap dan membeliakkan mata supaya mengantuknya
hilang.
Buat masa ini, Darren buntu mahu meneruskan
perjalanan hidupnya. Dia gagal membuka pintu hati Jane.
Kalau dia berilmu, tentu caranya mudah. Tetapi, dia kosong
segala-galanya. Jangan kata nak bimbing orang lain, diri
sendiri pun terkontang-kanting.
Subuh tadi dia terlepas sekali lagi. Waktu solat-solat
lain juga begitu. Dibiarkan waktu solat berlalu dan tak diisi
dengan menyembah Tuhan Yang Satu. Agaknya, memang
betul apa yang Jane kata. Orang Islam sendiri yang menghina
agama mereka. Seperti dialah.
Kalau sikapnya sebagai orang Islam sudah begitu,
bagaimana dia mahu beri kepercayaan dan contoh yang baik
kepada Jane? Dalam hal tersebut, Darren tak boleh salahkan
Jane seratus peratus. Punca kesalahan daripadanya sendiri.
Dia Muslim yang bukan mukmin. Jane tidak mahu memeluk
Islam, mungkin ada hikmah yang dia tidak tahu.

KETIKA MENANDA buku latihan pelajar-pelajarnya, fokus
Umar terganggu apabila terdengar dua adiknya berdebat
dengan suara perlahan mengenai drama Korea yang ditonton
mereka. Dia menggeleng melihat telatah kedua-duanya. Dari
situ timbul keinginan mahu menegur.
“Kau orang berdua ni, tengok cerita ke atau buat
cerita?”
Sofiah berpaling dan terkebil-kebil memandang
abangnya. Aisyah pula terus beralih perhatian ke arah
televisyen. Tidak lagi berbual-bual dengan kakaknya. Kecut
perut apabila si abang bersuara. Bukan mereka tidak tahu
perangai Umar. Segarang-garang orang di sekeliling yang
mereka kenal, Umarlah orangnya.
Si abang yang sentiasa bertanya soal pelajaran
mereka. Selagi tidak berpuas hati, selagi itu akan disiasat
hingga ke akar umbi. Macam polis. Humairah juga tegas
dalam soal itu tetapi kakaknya itu tidak setegas Umar.
“Maaflah. Sofi dan Cah teruja sangat bila watak lelaki
jahat tu rancang nak bunuh heroin. Kuat sangat ke suara kita
orang?” Sofiah menyenggol lengan Aisyah. Mengharapkan
sokongan adiknya.
Aisyah perlahan-lahan berpaling dan tersengih
ke arah Umar. Renungan tajam si abang buat dia telan air
liur. Sengihnya terus mati. Hilang keterujaan mahu terus
menonton drama yang diminati.
“Kuat sangat tu, taklah. Tapi bila abang duduk
dan buat kerja kat sini, pandai-pandailah kau orang tengok
keadaan. Abang dan akak pun tengok TV jugak. Tapi tak
adalah bising macam kau orang.” Umar menutup buku
latihan terakhir yang siap diperiksa. Bersedia masuk ke bilik
dan tidur lebih awal. Tengah malam nanti dia mahu qiamullail
dengan bapanya di ruang solat.
Kedua gadis itu angkat bahu ketika menyoroti
langkah si abangnya.
“Itulah Cah, Kak Sofi dah cakap dari awal. Kalau nak
tengok TV, mulut kita janganlah bunyi. Tahu ajelah Abang
Umar tu macam mana.”
Aisyah mencebik. “Alah, abang memang macam tu.
Garang tak bertempat. Pasal drama pun nak marah. Memang
sesuailah walid bagi nama Umar kat dia. Sifat garangnya tu,
ikut keturunan Saidina Umar agaknya. Tapi abang garangnya
versi moden.”
“Eh, garang pun ada versi-versi ke?” Sofiah buat
muka pelik.
“Cah sajalah cakap macam tu...” Aisyah ketawa lepas
tetapi cepat-cepat menutup mulut apabila tersedar suaranya
melebihi had.
Spontan Sofiah mencubit pipi adiknya. “Eee, budak
ni ada-ada ajelah!”
“Ada orang tengok TV tak? Atau TV yang tengok
orang? Kalau tak nak tengok, tutuplah daripada membazir
elektrik macam tu.” Humairah yang baru melangkah ke
ruang tamu, duduk bersimpuh di belakang adik-adiknya.
Menyedari kehadiran kakak mereka, masing-masing
menggelabah dan tersenyum canggung.
“Mestilah orang tengok TV. Cerita best ni tau!”
Aisyah menyambung keterujaan apabila Humairah datang
menyertai mereka. Selama ini, dia sangat berharap Humairah
ikut serta apabila dia dan Sofiah menonton drama-drama dari
negara Korea Selatan itu.
“Macam tak best aje. Cerita apa entah.” Humairah
mencebik dan tidak menunjukkan minat.
“Akak tak tengok dari awal, memanglah cakap tak
best. Kalau tak, akak nak angkat punggung pergi dapur
minum air pun tak nak.” Sofiah tersengih memandang
Humairah yang jelas tidak sehobi dengan mereka. Kakaknya
itu cuma tahu berkurung dalam bilik dan mengaji. Hanya
sesekali kakaknya keluar berbual-bual.
Humairah cuma menggeleng mendengar kata-kata
Sofiah. Sekejap-sekejap dilayannya juga drama yang dia
tidak tahu hujung pangkal itu. Sesaat dahinya berkerut dan
matanya mengecil kerana cuba memahami jalan cerita.
“Akak tak fahamlah cerita ni. Nampak berbelit aje.
Kadang-kadang lelaki tu terbang. Kadang-kadang, turun
pulak ke bumi. Lepas tu, orang kat sekeliling dia mengeras.
Khayalan semua ni,” bebelnya.
Aisyah tergelak kecil mendengar kritikan Humairah.
Kedengaran lucu pada pendengarannya.
“Apa tajuk cerita ni?” Humairah menyoal. Sekadar
melayan adik-adiknya berhibur. Minat sangat nampaknya
mereka sehingga masing-masing tidak berpaling ketika dia
bercakap.
“My Love From The Star.” Laju Sofiah menjawab.
Tumpuan masih ke arah peti televisyen. Langsung tidak
menoleh kiri dan kanan.
“Hero dia handsome.” Aisyah menyambung dan
menopang dagu. Tidak berkelip matanya saat watak utama
muncul pada skrin TV.
Humairah berdeham keras melihat tingkah
adik-adiknya.
“Jaga mata tu. Jangan bersungguh-sungguh sangat.
Akak tutup TV tu nanti,” ugutnya.
Aisyah tarik wajah mencuka. “Akak ni tak sporting
langsung. Kalau tak tengok sungguh-sungguh, macam mana
nak baca sari kata kat bawah tu? Dahlah laju. Tak sempat kita
nak faham.”
“Tak faham pun tak apa, kan? Bukan perkara penting
pun. Ia cuma hiburan semata-mata,” terang Humairah supaya
Aisyah jelas. Tidak mahu adik-adiknya terlalu leka sehingga
melupakan perkara yang lebih dituntut agama.
“Tapi hero ni lawa, kan?” Sofiah pula mencelah
dengan soalan. Dan, ia ditujukan kepada si kakak.
Sekali lagi Humairah memberi tumpuan pada watak
utama yang sering menjadi topik buat kedua adiknya.
“Lawa sangat ke? Macam buat pembedahan plastik
aje. Tak original dan mengubah ciptaan Allah. Tengok
rambutnya tu, sebiji macam ukuran tempurung kelapa. Bulat
dan sikit lagi nak tutup mata.”
“Hah?” Masing-masing tercengang dengan penilaian
Humairah. Sedikit pun mereka tidak menjangka jawapan si
kakak begitu pedas. Kemudian, kedua-duanya tergelak lepas.
Sungguh, kritikan Humairah sangat lucu. Sesekali si kakak
buat lawak, tak terdaya mereka mahu menahan rasa geli hati.
“Anak-anak umi dah solat isyak?” Puan Hajar
tiba-tiba muncul dan terus mengambil tempat di sebelah
Humairah.
Sofiah dan Aisyah berpaling serentak lalu
mengangguk laju. Humairah pula menoleh dan tersenyum.
Dia berganjak sedikit, memberi ruang supaya duduk ibunya
lebih selesa.
“Cerita apa ni?” soal Puan Hajar kepada anak-anaknya.
Dari tadi gelagat mereka diperhatikan. Tersenyum, tergelak,
tersengih. Macam-macam aksi yang dia nampak. Cuma reaksi
anak sulungnya tidak begitu. Tak sama seperti adik-adiknya.
Wajah Humairah serius. Hanya sesekali nampak cebikan pada
bibirnya.
“Cerita Korea, umi. Best!” Aisyah memberi jawapan
yang entah berapa kali kedengaran di telinga Humairah
sehingga membuatkan kakaknya mencerlung mata.
Puan Hajar terkulat-kulat melihat Humairah
memberi pandangan begitu. Adalah tu perkara yang buat
kakaknya tidak puas hati.
“Tak habis-habis dengan ‘best’! Jangan ralit sangat.
Nanti lagha!” tegas Humairah berkata-kata dan memberi
peringatan sehingga Aisyah buat aksi menikus.
Puan Hajar tersenyum melihat cara Humairah
menegur Sofiah dan Aisyah. Teringat sewaktu dia pernah
menegur Humairah satu ketika dahulu. Situasinya sama.
Humairah juga pernah lalui apa yang adik-adiknya lalui.
Iaitu, zaman remaja.
“Apa yang menariknya cerita Korea ni? Dari dulu
jadi kegilaan remaja. Akak kamu pun tak terkecuali.” Si umi
cuba mengusik Humairah. Sengaja mengingatkan anaknya
sulungnya itu. Tak perlu Humairah terlalu berkeras dengan
adik-adik kerana Humairah juga pernah melalui fasa yang
serupa.
Mereka tiba-tiba beralih tumpuan. Tidak lagi terlalu
khusyuk menonton. Sebaliknya, fokus mereka berpindah
kepada si ibu. Apa yang Sofiah dan Aisyah dengar, buat
mereka tidak percaya.
“Akak pun suka tengok cerita Korea? Betul ke,
umi?” Sofiah bergerak rapat ke arah ibunya. Nampak
bersungguh-sungguh ingin tahu.
Humairah ketap bibir. Bersedia untuk rahsia
silamnya dibocorkan.
“Apa taknya... Balik sekolah tak sempat mandi,
tak sempat makan, terus tercongok depan TV.” Puan Hajar
tersenyum.
“Apa umi ni... Malulah Humairah...” Rengek dia
perlahan sambil menjatuhkan kepala di bahu ibunya.
“Haha... kantoi!” Aisyah dan Sofiah menyindir
serentak. Mereka gerak-gerakkan jari telunjuk di hadapan si
kakak.
Humairah angkat kepala. Gurauan adik-adik buat
bibirnya melakar senyum.
“Kalau setakat cerita yang kamu berdua tengok ni,
sebelah mata aje akak kamu boleh bagi komen. Inilah dia
legend segala legend peminat drama-drama Korea. Akak
kamu nilah...” Puan Hajar menyambung usikan.
“Umi...” Rengekannya makin keras. Hampir-hampir
menangis apabila diusik begitu.
“Tadi bukan main lagi akak tak suka. Entah-entah
nanti dapat suami pun spesies macam tu jugak. Barulah
padan muka...” Aisyah ketawa sebelum matanya membulat
apabila terdengar enjin motosikal bapa mereka.
“Alamak, walid dah balik. Sofi nak masuk bilik!”
Dia berdiri dalam keadaan panik sementara Aisyah pula
lekas-lekas mencapai alat kawalan jauh dan terus menekan
butang merah.
Puan Hajar dan Humairah masing-masing
tersenyum lucu melihat kekalutan kedua-duanya. Tahu
si bapa tidak suka mereka menghabiskan masa di hadapan
televisyen.
“Dah boleh potong Astro ni, umi. Lagha sangat
budak-budak tu.” Humairah membuat cadangan.
“Humairah jangan terlalu tegas dengan adik-adik.
Cukuplah Umar saja yang ada sifat macam tu. Umi risau
kalau diaorang memberontak. Tapi, kalau Humairah nak
potong Astro untuk kebaikan diaorang, potong sajalah. Umi
tak halang.”

No comments:

Post a Comment