Sunday, 18 August 2019

My Zaujah Humairah - Bab 9

DARREN menghempaskan tubuhnya ke atas
katil. Penat seharian berada di premis perniagaan. Melayan
pelanggan yang tidak putus-putus datang di samping
membaiki empat buah CPU dalam masa sehari.
Nampaknya, dia perlu tambah pekerja. Lebih-lebih
lagi dalam bidang hardware. Cuma dia seorang sahaja
yang ada kepandaian untuk melakukan kerja itu. Fazli dan
Iman pula lebih banyak menguruskan hal ehwal jual beli.
Selebihnya, mereka tidak ada kebolehan lain.
Darren menarik bantal. Bersedia lelapkan mata.
Tetapi, rasa mengantuknya tak ada. Tubuh dipusing secara
mengiring. Lalu, matanya dibuka semula. Tak semena-mena
ingatannya berputar kepada gadis bernama Humairah yang
dikenali tanpa sengaja atas kejadian tidak diduga.
“Sombong sangat. Orang bagi iPhone pun tak nak.”
Darren membebel seorang diri. Tiba-tiba pintu biliknya dibuka
dari luar. Si ibu menjengah masuk. Darren membetulkan
semula tubuhnya dan perlahan-lahan duduk bersila.
“Darren dah makan malam?” Puan Irma menarik
kerusi lalu duduk bertentangan dengan anaknya itu.
“Belum.” Sepatah dia menjawab.
“Acik dah siapkan nasi dan lauk. Pergilah turun.
Lambat makan nanti perut masuk angin. Asyik kerja aje tak
boleh jugak.” Lembut Puan Irma memberi nasihat. Sejak
akhir-akhir ini, kuat pula anaknya bekerja. Pergi awal pagi,
balik pula lewat malam.
“Kejap lagilah. Saya nak rehat dulu. Banyak kerja
kat kedai sehari dua ni. Penat. Seminggu saya cuti duduk kat
rumah. Bila masuk kerja, berlambak-lambak kerja tergendala
saya kena buat. Pelanggan pun dah ada yang merungut.”
Darren mengadu dengan keadaan yang dialaminya sejak
bekerja semula.
“Kalau dah tahu macam tu, baguslah. Jangan layan
sangat perasaan putus cinta. Buang masa dan merugikan.
Banyak lagi perkara berfaedah yang Darren boleh buat.” Puan
Irma pantas bertindak balas dengan kata-kata anaknya.
Suasana sepi seketika. Puan Irma kembali membuka
mulut selepas masing-masing diam tanpa kata.
“Tadi Jane datang sini.”
Mendengar saja nama itu disebut, Darren kembali
tidak bersemangat.
“Buat apa dia datang?”
“Dia minta tolong mummy, suruh pujuk Darren
terima dia balik.”
“Mummy cakap apa?” Darren menyoal bersahaja.
Tidak berapa menunjukkan minat. Juga tidak faham kenapa
Jane sanggup meminta pertolongan daripada ibunya
sedangkan gadis itu sudah punya kekasih baharu.
“Mummy tak beri dia jaminan apa-apa sebab mummy
tahu Darren dah buat keputusan.”
“Keputusan saya tu sangat tepat, mummy. Saya
takkan patah balik.” Wajahnya diraup seketika. Terimbas
kembali bagaimana dia ternampak Jane dengan seorang
lelaki dalam sebuah restoran. Cukup jelas kemesraan mereka.
Umpama sepasang kekasih yang sedang mabuk cinta.
“Pasti?” Puan Irma sekadar bertanya. Sengaja
mahu melihat sejauh mana anak tunggalnya kekal dengan
keputusannya.
“Dia dah ada lelaki lain. Alasannya tak berminat
dengan Islam dan tak nak convert, sengaja dia reka. Saya
ternampak dia dengan lelaki lain semalam. Pegang-pegang
tangan, berpelukan...” Luahannya terhenti sebentar. Dia
tunduk sesaat sebelum wajahnya diangkat memandang si ibu
yang menanti luahannya disambung.
“Hati saya sakit, mummy...”
Melihat kesedihan anaknya, Puan Irma tak sampai
hati. Dia angkat punggung lalu duduk di sebelah Darren.
Belakang anaknya itu digosok perlahan. Memujuk selagi
mampu.
“Sabarlah. Mummy yakin, Tuhan nak gantikan Jane
dengan gadis yang lebih baik.”
“Lelaki yang banyak kelemahan macam saya, takkan
jumpa dengan perempuan yang mummy cakapkan tu.
Perempuan mana yang nak kat saya ni?”
“Siapa cakap? Darren ada rupa yang menarik, ada
perniagaan sendiri, ada kereta, rajin kerja, baik hati, tak
kedekut dan suka tolong orang. Perempuan mana yang tak
nak kat anak mummy? Cuma Jane yang tak pandai menilai
dan menolak tuah.”
Darren menggeleng mendengar pujian demi pujian
ke atas dirinya.
“Bukan tu yang saya maksudkan. Ada benda lain
yang saya kurang. Sesuatu yang saya tak tahu apa bendanya.”
“Apa maksud Darren?” Puan Irma terpinga. Tidak
jelas dengan apa yang cuba disampaikan anaknya.
“Saya tak ada jawapan untuk soalan mummy. Saya
keliru... tercari-cari...” Darren bangkit dan turun dari katil.
Tuala dicapai lalu melangkah malas menuju ke bilik air.

DARREN BERSIAP-SIAP hendak ke lapangan sasar
memanah di kompleks sukan. Lokasinya tidak jauh dari
rumah. Cuti hari minggu sering dipenuhi dengan aktiviti
sukan yang diminati.
Sebelum menuju ke sana, Darren singgah di rumah
Fazli. Tidak ada orang lain yang sering dibawa keluar untuk
beriadah, hanya Fazli seorang sahaja. Pekerja kedainya itu
juga meminati sukan yang sama. Boleh dikatakan, Fazli itu
adalah kawan karibnya. Bukan sekadar pekerja biasa.
“Hai, bos. Dah sarapan ke?” Fazli menyoal sejurus
masuk ke perut kereta.
“Belum. Saya nak makan kat sana nanti.”
“Mesti bos bangun lambat. Sarapan atas meja dah
habislah tu.” Fazli tersengih. Tahu majikannya liat bangun
pagi.
“Saja nak tukar selera,” jawab Darren tanpa nada.
Sindiran Fazli tidak dihiraukan.
Pagi itu, dia sudah pasang hajat mahu bersarapan
di gerai bawah pokok besar berhadapan kompleks sukan. Tak
ada maknanya makanan di rumah kehabisan. Acik Maryam
sentiasa menyimpan sarapan untuknya. Cuma hari ini saja
dia mahu mengubah angin dan bertukar selera.
Sementara itu di madrasah, Humairah dan Umar
sedang mengira jumlah pelajar yang baru menaiki dua
buah van. Risau kalau ada yang tertinggal. Mereka akan
dibawa ke kelas memanah pada setiap hujung minggu bagi
menghilangkan sedikit tekanan.
“Cukup 25 orang, Umar?”
Umar mengangguk. Humairah tersenyum lalu
memerhati setiap wajah yang tenang duduk di kerusi dalam
kenderaan itu. Wajah-wajah suci kanak-kanak yang belum
akil baligh. Wajah-wajah bersih yang tiada sebarang dosa dan
noda.
Tiba di lokasi, kanak-kanak itu dibawa ke lapangan
sasar bagi mengikuti kelas asas memanah seperti kebiasaan.
Kelas itu diadakan bersebelahan tempat aktiviti memanah
bagi mereka yang mahir. Jaraknya tidak jauh. Hanya 30 meter
sahaja.
Fazli tersengih lucu apabila bidikkan anak panah
yang dibuat majikannya sangat jauh tersasar. Selalunya,
bidikkan Darren agak tepat dan mengenai sasaran. Tetapi hari
ini, fokus Darren seakan terganggu.
“Bos ingat apa ni? Jauh sangat perginya anak panah
tu. Orang nak memanah, kenalah fokus betul-betul.” Fazli
menyambung sengih.
Darren berdecit. Memang betul kata Fazli. Entah
kenapa, dia hilang tumpuan hari ini. Sejak perbualan dengan
ibunya malam tadi, dia banyak kali berfikir.
Entah perkara apa difikirkan, dia tidak pasti. Yang
jelas, hatinya tidak tenang. Jiwanya seakan kacau dan tidak
tenteram. Apatah lagi, dia tahu Jane berkunjung ke rumah
kerana menyuruh si ibu memujuknya supaya hubungan
mereka disambung semula.
Darren mengeluh dan menarik kerusi kecil berwarna
putih yang dikhaskan untuk pemanah-pemanah duduk
berehat.
Melihat keadaan Darren, Fazli tidak jadi memanah.
Dia menarik kerusi lalu duduk di sebelah majikannya itu.
“Bos ada masalah business ke?”
Darren menggeleng. Menidakkan pertanyaan Fazli.
“Masalah keluarga?”
Gelengan dibuat kali kedua. Keluhan ringan
dilepaskan sesaat. “Masalah cinta.”
Fazli tersenyum. “Baru hari ni saya tahu bos ada
girlfriend. Bertuah perempuan tu,” puji Fazli yang tidak tahu
perkara sebenar di sebalik kisah percintaan Darren.
“Kami dah putus.”
Fazli terkejut. “Aik? Dah putus? Alah, ruginya saya.”
“Saya putus cinta, awak pulak yang rugi?” Darren
kerutkan dahi.
“Kalau saya tahu dari dulu, banyaklah kisah cinta
bos tu ada kat dalam tangan saya ni.”
“Kenapa? Awak nak tulis novel cinta?”
“Baca novel cinta pun tak pernah, inikan pulak
nak menulis.” Fazli tergelak besar. Lucu mendengar soalan
Darren.
“Dah tu, yang awak cakap rugi kenapa?” Armguard
di lengan dibetulkan. Bersedia untuk melakukan panahan
kedua lalu menuju ke garisan putih di hadapan.
“Saya ni suka dengar pengalaman orang bercinta.
Yalah, saya tak pernah bercinta. Nak jugak saya tahu perasaan
orang bercinta ni macam mana.”
Darren ketawa halus mendengar jawapan Fazli.
Busur memanah dinaikkan hingga ke paras dada. Tangan
kanan ditarik ke belakang. Anak panah dilepaskan tanpa
menunggu masa yang lama. Bidikkan dibuat kali ini
hampir-hampir tepat mengenai sasaran.
“Awak tak payah tahulah. Bercinta ni menyusahkan.
Buat sakit kepala.”
Fazli jongket bahu. Nampak malas mahu meneruskan
topik perbualan. Sekilas dia menoleh ke sisi dan memandang
ke hadapan semula. Namun, tolehan dibuat kali kedua apabila
terpandang seseorang yang cukup dikenalinya.
“Bos, cuba tengok belah sana!” Fazli bangun dan
terus mendapatkan Darren. Bahu majikannya itu ditepuk
sedikit kuat.
Darren yang baru saja mahu melepaskan anak panah
ketiga, merengus kasar apabila tumpuannya terganggu.
“Apa dia?”
“Bos tengoklah sana kejap. Tu bukan ke Cik
Humairah?”
Pantas Darren berpaling apabila Fazli menyebut
nama itu. Satu nama yang membuatkan tidurnya malam
tadi terganggu. Pandangannya mengecil ketika melihat dan
memerhati sekumpulan kanak-kanak, seorang lelaki dewasa
dan gadis yang dimaksudkan Fazli.
Senyum sinis terukir di bibirnya saat terpandang
kelibat Humairah. Darren menarik nafas panjang dan berfikir
sesuatu.
Busur memanah diberikan pada Fazli untuk
disimpan. Armguard di lengan dibetul-betulkan sedikit.
Rambut dikemaskan entah apa tujuan. Langkah disusun
perlahan, meninggalkan Fazli yang tercengang di belakang.
“Pssttt... bos nak pergi mana tu?”
“Saya nak jumpa dia.”
“Tapi, bos... Bos!” Fazli bertingkah bimbang.
Manalah tahu kalau pergaduhan tercetus lagi.
Panggilan pekerjanya tidak dipedulikan. Entah
kenapa, Darren teringin mahu berjumpa Humairah.
Seolah-olah, gadis itu ada berhutang sesuatu dengannya.
“Cik Humairah.” Darren memanggil sejurus berdiri
di belakang Humairah dan Umar.
Kedua-duanya berpaling serentak dan sedikit
terpinga melihat pemilik kedai telefon yang berurusan
dengan mereka tempoh hari, tiba-tiba ada di situ.
Darren hulurkan tangan pada Umar.
“Encik buat apa kat sini?” Umar menyoal hairan. Dia
tersenyum lalu menyambut tangan yang dihulurkan.
Jarang sekali dapat dilihat pemuda Cina berada di
kawasan sukan memanah. Kalau ada pun, tidak ramai. Cuma
dua atau tiga orang. Selalunya, golongan itu lebih cenderung
berkumpul di kolam renang atau di dewan skuasy.
“Saja datang panaskan badan,” jawabnya pendek
seraya mengalih pandangan pada Humairah yang tidak peduli
dengan kehadirannya. Seolah-olah, dia langsung tidak wujud
di muka bumi ini. Gadis itu cuma sibuk memberi perhatian
kepada kanak-kanak yang duduk di sekeliling.
Huh, sombong! Hati kecilnya mengutuk.
“Saya nak jumpa Cik Humairah.”
Humairah yang mendengar namanya disebut,
lambat-lambat berpaling dan bertentang dengan Umar.
Sedikit pun tidak memandang ke arah lelaki yang mencari
pasal dengannya tempoh hari.
“Ada hal apa encik nak jumpa kakak saya?” Umar
menyoal apabila faham renungan kakaknya bermaksud apa.
Tentu saja dia dijadikan wakil untuk bertanya.
“Ada hal sikit pasal telefon.” Darren memberi senyum
sinis melihat reaksi kaku ditunjukkan Humairah. Tingkahnya
beku dan dingin. Seperti patung bernyawa. Sombong tak
bertempat.
Umar mendekati kakaknya. “Akak pergilah sekejap.
Umar ada kat sini. Jangan risau.”
Humairah melangkah dan cuba memberanikan diri.
Entah apa yang dimahukan lelaki itu agaknya. Kalau tidak
kerana Umar turut berada di situ, tak mungkin dia bersetuju.
“Umar tolong tengokkan budak-budak.”
Darren tersenyum kemenangan. Apabila Humairah
semakin hampir, rentak jantungnya sedikit berlainan.
Simbahan cahaya matahari pagi di wajah Humairah, buat
pandangannya terleka sebentar. Urat-urat pipi terlihat
kehijauan seolah-olah pipi gadis itu berkeadaan lut sinar.
Sungguh cantik. Umpama sang bidadari di mata
lelakinya. Belum pernah dia melihat ‘keindahan’ seperti
itu. Ini pertama kali. Sewaktu kes salah faham di kedainya
tempoh hari, tidak pula dia sedar Humairah secantik ini.
Mungkin ketika itu dia kalut memikirkan tentang ‘kecurian’
yang tidak pernah berlaku.
Humairah berdeham perlahan dan teragak-agak
mahu membuka mulut.
“Ada apa encik nak jumpa saya?” Cepat-cepat dia
menyoal. Tidak mahu membuang masa berurusan dengan
lelaki atas perkara yang tidak penting.
“Saya...” Suara Darren tersekat. Tiba-tiba gugup
dengan pertanyaan Humairah.
“Cakaplah. Jangan buang masa!” tegas Humairah
menggesa. Teringat dua nota kecil yang ditulis lelaki itu, dia
jadi geram.
Darren menaikkan kedua-dua tangan ke pinggang.
Dia sedikit bengang dengan tindak balas ditunjukkan sang
gadis. Ego.
“Kenapa awak tolak hadiah saya?”
“Hadiah apa?” Humairah pura-pura tidak tahu
sedang dia sedia maklum, lelaki itu bercakap mengenai
perkara apa.
“IPhone tu. Kenapa awak tak nak ambil?”
“Bukan hak saya.”
“Tapi, saya bagi sebab nak tebus kesalahan.”
“Saya tak minta encik buat macam tu. Encik dah
minta maaf, dahlah.”
“Panggil saya Darren. Jangan panggil encik.”
Humairah terdiam.
“Apa salahnya kalau awak terima?” Darren
menyambung rasa tidak puas hati.
“Saya tak boleh. Tak sepadan dengan apa yang Encik
Darren dah buat. Setakat tuduh saya nak mencuri, tak apalah.
Ucapan maaf dah cukup.”
Darren garu kepala. Dia tidak pernah berjumpa
spesies perempuan seperti Humairah. Amat berbeza dengan
Jane. Bekas kekasihnya itu kalau tidak meminta telefon setiap
kali ada jenama yang baru keluar, memang tidak sah. Namun,
dia tidak mahu mengaku kalah. Dia mesti lakukan sesuatu
supaya gadis itu tunduk dengan pemberiannya.
Senyum sinisnya muncul semula. Tiba-tiba
ingatannya berputar pada kejadian tempoh hari. Beg tangan
Humairah naik di kepalanya, langsung gadis itu tidak
meminta maaf.
“Awak kena terima jugak. Saya tak peduli.” Darren
masih berkeras.
Wajah Humairah berkerut. Pelik mendengar
kata-kata itu. Seolah-olah ia satu paksaan.
“Saya tak nak dan tak ada kepentingan untuk saya
guna telefon mahal macam iPhone tu. Cukuplah dengan
telefon yang saya dah beli.”
“Awak mesti ambil jugak untuk bayar hutang.”
“Hutang?”
“Ya. Hutang awak pukul kepala saya dengan beg.
Awak lupa?” Darren mengingatkan sambil tersengih jahat.
Dia sendiri tidak tahu, kenapa beria-ia Humairah dipaksa
begitu. Adakah kerana bengang atas sebab pemberiannya
ditolak, atau ada perasaan lain yang dia tidak faham?
“Saya tak hutang apa-apa dengan awak, Encik
Darren. Saya pukul kepala awak sebab memang tu yang perlu
awak dapat. Siapa suruh awak berani pegang adik saya? Awak
bukan mahram kita orang. Awak lelaki yang tak halal untuk
sentuh dia!” Suara Humairah sedikit tinggi. Nafasnya ditarik
dan dihembus perlahan-lahan. Dia tidak boleh marah. Nanti
semputnya datang.
Namun, dia tersedar sesuatu. Lelaki itu barangkali
tidak seagama dengannya. Pasti halal dan haram pun tidak
tahu.
“Mungkin awak tak faham apa yang saya cakap. Tak
apalah, saya pergi dulu.”
“Tunggu.”
Kaki Humairah terpasak di rumput apabila
langkahnya dihalang.
“Kalau awak tak nak terima, saya akan saman awak
atas tuduhan memukul.” Darren sembunyi senyum. Sengaja
membuat ancaman tanpa niat.
Humairah ketap bibir mendengar ugutan itu.
“Saman ajelah. Saya tak takut,” putusnya dan terus
beredar meninggalkan lelaki yang sibuk mahu memaksanya
itu.
Darren yang ditinggalkan, terkulat-kulat
memandang langkah Humairah yang sudah mendekati
sekumpulan kanak-kanak tadi. Gadis itu sungguh berani.
Jangan kata nak minta maaf, malah, langsung tidak gentar
apabila dia menyebut perkataan ‘saman’.

No comments:

Post a Comment