Sunday, 18 August 2019

Veenea - Bab 5

“HAI, Eril. Saya Wana, dari majalah Manggis.
Boleh saya interviu Eril sekejap?”
Eril meletakkan iPadnya di atas paha. Dia yang
tadinya khusyuk melayan Rules of Survival dalam iPadnya itu
hanya mengangkat kening sekilas seraya tersengih.
“Akak nak tanya apa? Apa persediaan saya untuk
PT3? Gitu?” soalnya bersahaja.
Wartawan yang elok bertudung rambu-rambu gaya
terkini langsung tersengih sendiri.
“Eh... bukan, tentang Erik.”
Spontan Eril menjuih bibir. Nak tahu pasal Erik,
tanya dia kenapa? Tanyalah orangnya sendiri. Urghhhhh!
Dunia hiburan sekarang ini makin menyakitkan hati. Yang
beria-ia buat segala IG story, tik tok tu dia. Tetap juga pasal
Erik yang mereka nak tahu. Atau, perlukah dia tukar strategi?
Jadi macam Erik yang sejenis hard to get, hard to know!
“Erik pergi solat. Kejap lagi dia sampai tanyalah dia
sendiri,” balasnya acuh tak acuh. Kalau nak tanya pasal mama
atau papa, boleh lagi diterima akal sementelah majlis kecil
tadi pun berkisar tentang kerjasama papa dan mama dalam
filem aksi baharu mereka. Erik? Itu jauh sangat perginya.
Lari topik!
“Ala Eril, simple question aje. Boleh ya? Satu je...”
Eril menjeling sekilas seraya membuang keluhan.
Nasib baik kakak wartawan ini lawa. Cakap pun lembut aje.
Kalau kerek, memang dah lama dia blah.
“Hmmmm... apa? Nak tanya dia dah ada awek ke
belum? Tak ada.”
“Bukan. Soalan lain. Simple aje. Soalannya, boleh
beritahu saya siapa Erik pada awak dalam satu ayat?”
Spontan Eril tergelak lepas. Alahai, soalan... klise
amat!
“Erik? Dia abang saya yang kononnya Zayn Malik
Malaysia. Sayangnya, dia ni tua sebelum usia, poyo... macam
bagus tapi dia seorang abang yang cool,” balas Eril dengan
yakin.
“Eril! Naughty boy!” marah Puan Lorena yang
tiba-tiba sahaja berdiri sama di sisi sofanya sambil
tersengih-sengih menahan rasa dengan jawapan bersahaja
Eril yang langsung tidak sesuai dimuatkan dalam mana-mana
temu bual. Jawapan tidak ada etika betul!
“Eh, Sofea Lorena. Wah, saya rasa teruja sangat
dapat bercakap face to face dengan Sofea. Saya Wana, dari
majalah...”
“Ya Wana. I minta maaflah ya. Actually kami ni nak
kejar flight. Maybe you boleh tinggalkan business card, so
that kita boleh set time untuk interviu lepas I balik sini.
Okey?”
Eril menjeling sekilas wajah mama yang
bersungguh-sungguh menabur janji manis. Begitulah mama.
Entah ya entahkan tidak dia hendak call balik. Bukankah
selepas balik bercuti ini mama hendak terus ke China?
“Eh, boleh... boleh. Ini kad...”
“Ma...”
Ketiga-tiganya menoleh serentak.
“Anas? Anas anak mama?”
Eril menceber. Daripada berdiri, dia langsung duduk,
pasang balik headphone dan layan YouTube sekuat mungkin.
Ya, anak kesayangan mama dah balik. Tepat pada masanya.
Depan wartawan pula tu.
“Anak? Sofea ada anak lelaki lain selain Erik dengan
Eril?”
“Yup. Ini anak I. Anas Hafiy Hamazaki.”

“DAH SAMPAI dik.”
Vee yang ternganga melihat kawasan sekeliling
hanya memandang tepat ke wajah pemandu teksi sambil
mengangguk beria-ia.
“Betul ke dah sampai ni pak cik?”
“Eh, yalah. Banyan Close, kan?”
“Banyan ke Bayam?” soal Vee semula.
Pemandu teksi memberi senyuman senget pakej
lengkap kening double jerk.
Laju saja mata Vee terarah pada buku kecilnya
sebelum dia mengangguk laju. Banyan Close, Bandar Bukit
Mahkota. Rasanya macam ya seperti yang tertera pada pintu
gerbang depan tadi. Masalahnya, betul ke mak duduk sini?
“Ha... inilah tempatnya dik. Lawa rumah ni. Rumah
siapa?”
“Mak saya,” balas Vee perlahan sambil mata ralit
memerhati kawasan sekitar. Belum ada tanda lagi seperti
bersedia hendak turun.
“Aik, rumah mak sendiri pun takkan tak tahu?
Berapa tahun dah tak balik rumah?” soal pemandu teksi
separa sarkastik.
Vee menjuih bibir.
“Pak cik, saya rasa lebih baik saya jelaskan tambang
saya sampai ke sini daripada saya jelaskan jawapan untuk
soalan pak cik tu.”
Pemandu teksi tersengih.
“Amboi... tanya sikit pun nak sentap. Tengak gaya
macam sempoi.”
“Gaya sempoi tak ada kaitannya pak cik. Air yang
tenang jangan disangka tak ada habuk jatuh, pak cik,” tegas
Vee lagi sambil menghulurkan not 100 ringgit.
Pemandu teksi tersengih lagi sambil menyambut
huluran bayaran tambang yang diserahkan oleh Vee.
Memang betullah bak kata Anas yang baik hati di
KLIA tadi. Punyalah murah tambang ke sini, 70 ringgit
biarpun kawasan itu tidaklah jauh mana pun. Nak kata kena
tempuh kesesakan lalu lintas pun jauh sekali. Dan harga 70
ringgit itu pun setakat hantar di depan rumah saja. Beg di
bonet Vee kena bawa keluar sendiri. Makanya, beria-ialah dia
mengheret dua bagasi sebesar alam sampai ke pintu pagar.
Berkali-kali loceng dibunyikan, barulah muncul
penghuninya. Masalahnya, bukan dari pintu depan. Tapi dari
tepi. Konsep baru ke apa ni?
“Veenea?”
“Mak?”
“Dah besar dah dia!” jerit mak sambil berlari-lari
anak ke arahnya. Vee pula dengan gigihnya berlari juga
sambil menyeret bagasi.
“Mak ni, mestilah orang makin besar. Takkan ketot
aje macam dulu,” balas Vee sebaik saja pelukan dilepaskan.
Ekor mata masih meliar ke sekeliling rumah itu. Kereta pun
tak ada. Agak-agak, suami baharu mak tak balik kerja lagi
mungkin.
“Yalah. Memanglah selalu jumpa dalam gambar. Tapi
bukannya mak boleh tahu tinggi mana anak dara mak ni.
Kan? Lawanya dia!”
“Mak pun makin lawa. Pakai produk apa ni?
Sharelah... sharelah...” usik Vee mengada-ada.
“Air wuduk. Free of charge! Eh, ni mana orangnya
ni?” tanya mak tiba-tiba sambil terjenguk-jenguk mencari
seseorang.
Kening Vee berkerut panjang.
“Orang apa? Vee balik sorang aje mak. Tak ada bawa
balik lelaki Jepun ke apa. Orang Jepun pun tak mahu kat Vee.
Jenuh orang mengurat dah. Gigih orang sewa kimono bagai.
Tak adanya dia pandang kita,” balas Vee bersahaja. Tergelak
besar mak dibuatnya.
“Mak tanyakan orang yang Vee pinjam telefon tu.
Manalah tahu kalau sampai ke sini dia hantar. Bukannya
calon suami ke apa. Apa yang Vee merepek sampai orang
Jepun semua ni?” balas mak dengan tawa bersisa.
Vee tayang sengih. Opsss... terlebih sudah rupanya!
Nampak sangat apa yang berlegar dalam kepalanya. Daripada
naik flight dia berdebar-debar memikirkan desas-desus mak
kahwin lain dan dia bakal berjumpa ayah baharu. Seram
okey! Mana tahu, pokok yang digoyang tu memang dari
tangan-tangan manusia. Bukan dek sebab ribut ke apa.
“Pinjam telefon? Oooo... haaa... mamat tu.”
“Mamat tu?”
“Err, nantilah Vee cerita. Panjang sangat. Vee lapar
ni. Mak masak apa?”
Mak tersengih sambil menayang wajah teruja.
“Mak masak makanan kegemaran Vee...”
Vee menjongket kening berkali-kali. Makanan
kegemarannya? Mak ingat lagi ke?
“Telur... masak... kicap!!! Yeay... Vee mesti suka, kan?
Mak masak tiga biji.”
Vee menepuk dahi. Punya jauh dia datang dari
Jepun, telur masak kicap aje? Dalam banyak-banyak menu
kegemaran, kenapalah yang itu paling lekat dalam memori
mak? Adoi!
“Mak, itu makanan kegemaran Vee masa kecik. Vee
dah besarlah mak. Rendang ke, pulut kuning ke... tak ada ke?
Orang dah berangan nak makan...” balas Vee, nada merajuk
tapi mood rajuknya tergendala seketika apabila riak wajah
mak berubah muram.
“Mak minta maaf ya, Vee. Yang mak ingat, Vee suka
makan kalau mak masak telur kicap tu. Manalah mak tahu
makanan kegemaran Vee bila dah besar. Kita kan...”
“Mak... Vee minta maaf. Mak jangan kecik hati ya.
Vee lupa,” pujuk Vee serba salah. Apabila lambat-lambat
senyum di bibir mak mula terbit, Vee rasa lega.
“Tak apa. Mak pun silap juga, patutnya mak call mak
usu, tanya nak masak apa. Kan? Vee makan dulu ya lauk yang
ada. Nanti malam mak masak rendang,” pujuk mak sambil
memeluk mesra bahu Vee.
“Yeay! Sebab itu orang sayang mak. Jomlah masuk.
Orang tak sabar nak tengok rumah mak ni. Besar gila kut!
Pak cik ada?” soal Vee sambil mereka berjalan menyusuri
rumput karpet di hadapan rumah itu.
“Pak cik? Pak cik mana ni? Mak duduk sorang aje
Vee.”
“Duduk sorang? Dalam rumah sebesar ni?” soal Vee
kagum. Tapi kekagumannya meleset terus apabila dengan
muka yakin mak menggeleng.
“Tu... rumah mak dekat belakang tu. Jom!”
Vee blur. Depan macam istana dah, belakang ada
rumah lagi?

No comments:

Post a Comment