“YES!!!” jerit Jean sambil melompat gembira
mendengar berita yang disampai Dean sebentar tadi. Kalau
memeluk Dean tidak salah, tentu tubuh tegap Dean sudah
dibawa ke dalam pelukan agaknya. Gembira dia bukannya
kerana dia ada bahagian untuk projek tersebut tetapi kerana
usaha dan penat lelahnya terbayar.
“So, sekarang kita dah tak perlu balik lambat lagi
kan?” tanyanya.
Dean menggeleng.
“Tak,” balasnya sepatah.
“Bestnya. Bolehlah aku tidur awal malam ni. Yes!”
Jean bersuara ceria.
Dean tergelak kecil. Geli hati melihat reaksi gadis
itu.
“Oh ya Dean, our holiday is on right?” soal Jean
apabila teringat apa yang pernah Dean janjikan sebelum itu.
Tidak sabar rasanya dia hendak menikmati keindahan pantai.
Dean buang senyum dan mengangguk.
“Jadi. Nanti kita bincang dengan yang lain-lain,”
jawab Dean juga dengan nada ceria. Sungguh, hilang
rasa lelahnya sebaik perjanjian dengan Dato’ Sri Hani
selesai ditandatangani satu jam tadi. Sebelum perjanjian
ditandatangani, memang tak tidur lena dia dibuatnya.
Maklumlah, dalam dunia perniagaan yang penuh
dengan permainan politik, macam-macam boleh berlaku.
Sedangkan nasi yang hampir tersuap ke dalam mulut pun
boleh jatuh, inikan pula kontrak yang belum pasti lagi.
“Great!” Jean angguk bersetuju dan duduk semula.
Melihat Jean yang sudah duduk di tempatnya,
Dean berdeham. Teringatkan hadiah yang dia belikan untuk
Jean dua minggu lepas, spontan itu beg sandangnya yang
diletakkan di atas meja Azie dicapai. Baru sahaja kotak
berwarna putih yang disimpan di dalam beg itu ingin diambil,
hati rasa ragu-ragu dan Jean dikerling sekilas.
Haih! Kalau Jean tanya hadiah itu untuk apa, jawapan
apakah yang perlu dia beri? Mengenali Jean, Dean tahu gadis
itu bukannya jenis senang berpuas hati dengan jawapan yang
ala kadar. Beri hadiah hari jadi pun bermacam-macam soalan
yang Jean tanya. Jadi, patutkah dia beri hadiah itu kepada
Jean sekarang? Tapi, sampai bilakah hadiah tersebut perlu
diusung ke hulu ke hilir begitu? Hati berbisik resah.
‘Beri saja Dean. Kalau Jean tolak pun
sekurang-kurangnya kau dah bagi.’ Hati berbisik lagi.
Dengan helaan nafas panjang, kotak putih itu segera
dicapai lalu dikeluarkan dari dalam beg.
“Untuk kau,” ucap Dean selamba dan kotak tersebut
diletakkan di atas meja Jean.
Jean tercengang. Bulat matanya memandang Dean
sebelum pandangannya beralih ke arah kotak putih yang
tertulis PANDORA di atas meja.
“Apa ni?” Dia buat-buat tanya padahal di luar kotak
sudah jelas ditulis PANDORA. Dengan riak bersahaja, kotak
tersebut dicapai dan diperhati.
“Entah. Aku jumpa dekat bawah tadi. Rasanya
ada orang buang. Dari dibiarkan macam tu, lebih baik aku
ambil dan bagi kau,” jawab Dean semakin selamba dan terus
buka langkah menuju ke biliknya. Berdiri di hadapan Jean
lama-lama nanti semakin banyak pula soalan dari mulut
bertih jagung Jean.
Jean mencemik. Dean dikerling. Kalau nak menipu
pun agak-agaklah. Tak ada orang yang akan buang barang
berharga macam ini. Tidak terus duduk di tempatnya, Jean
bingkas bangun dan terus berjalan menuju ke bilik Dean.
“Thank you,” ucapnya sambil menggoyang-goyang
kotak di tangan. Dengan sengih lebar di bibir, kotak itu terus
dibuka. Sebaik terpandangkan seutas gelang dengan tiga biji
charm berbentuk hati, Dean dipandang semula. Terkebil-kebil
matanya memandang lelaki itu.
Dean berdeham.
“Kenapa?” soalnya cuak.
“Kau yang pilih ke ni?”
“Tak. Ada sorang ah soh yang tolong pilihkan.” Tipu
Dean. Nafasnya dihela dan pandangan dikalihkan ke arah
lain. Tiba-tiba pula dadanya berdebar-debar dan dia jadi malu
untuk membalas renungan dari sepasang mata cantik Jean.
Senyum di bibir Jean melebar. Kalau itu yang dijawab
sudah pastilah maksudnya adalah sebaliknya.
“Cantik dan aku suka,” puji Jean. Gelang tersebut
diambil lalu kotak tersebut diletakkan di atas meja Dean. Jean
terus berjalan menghampiri tempat duduk Dean.
Melihat Jean yang semakin menghampiri, degupan
di dada Dean semakin kencang. Cuba menenangkan diri
sendiri, tubuhnya terus disandarkan ke kerusi dan nafasnya
dihela.
“Tolong aku pakaikan gelang ni,” pintu Jean dan
gelang itu diberikan kepada Dean. Sebelah tangan lagi
dihulurkan.
“Huh?” Dean tercengang. Kerusinya dipusingkan
sehingga dia duduk betul-betul menghadap Jean dan gadis
itu dipandang tidak percaya.
Jean mengangguk.
“Sebab kau yang belikan jadi aku nak kau yang
pakaikan untuk aku,” ucapnya lalu keningnya dijongketkan.
Dean telan liur sedang mata langsung tidak
berkalih memandang wajah yang sedang tersenyum manis
di hadapannya itu. Melihat wajah bersungguh-sungguh Jean,
dia terus berdiri. Sambil berdeham, gelang yang dihulurkan
Jean dicapai lalu dipakaikan ke pergelangan tangan kiri Jean.
“Dah,” ucapnya sepatah dan dia duduk semula.
Kerusinya dipusingkan dan dadanya yang terasa berdebar
diusap.
“Thank you!” Jean bersuara ceria. Pergelangan
tangannya yang sudah tersarung gelang pemberian Dean
itu diperhati dengan penuh minat kemudian dia menoleh
memandang Dean semula.
“Sebenarnya hadiah ni untuk apa ya Dean?” tanyanya.
Sekali lagi Dean berdeham. Lehernya digosok. Dia
sendiri pun tidak tahu hadiah itu untuk apa. Tapi apa yang
pasti ketika dia melihat gelang tersebut, dia benar-benar ingin
Jean memakainya. Sehinggakan dia dapat membayangkan
betapa cantiknya Jean apabila memakai gelang itu.
“Hari jadi aku dah lepas. Tapi hadiah hari jadi aku
yang dah lepas tu kau dah bagi.” Dean dikerling. Jean buka
langkah dan berdiri di hadapan meja Dean semula. Gelang di
pergelangan tangannya disentuh.
“Atau ini hadiah untuk Valentine’s Day? Tapi
Valentine’s Day pun dah lepas,” usik Jean.
“Kalau betul untuk Valentine, macam mana?” duga
Dean. Dia terbatuk kecil. Jean memanglah sengaja menguji
perasaannya.
Jean senyum.
“Tak baik sambut Valentine, but anyway, thank
you for the gift. I really love it,” ucapnya sedikit manja dan
matanya dikenyitkan. Kemudian dia terus berlalu keluar.
Dean hela nafas panjang. Jean yang sedang
berlenggok keluar dari biliknya dipandang sambil dadanya
diusap. Argh! Jean... kenapalah suka sangat menduga hati
lelakinya?
“Amboi, Jean! Ralit sangat kau tengok tangan kau tu,
kenapa?” giat Zul lalu meja kerja Jean dihampiri.
“Patutlah beria-ia tengok tangan rupanya pakai
gelang baru,” selorohnya pula.
Terdengar apa yang Zul katakan, Azie yang baru
melangkah masuk ke pejabat terkocoh-kocoh menghampiri
Jean. Komputer ribanya terus diletakkan di atas meja Jean
dan tangan rakan sekerjanya itu terus diraih.
“Oit! Apa hal ni?” Terkejut Jean diserang secara
tiba-tiba begitu.
“Gelang mahal wei!” Azie buang pandang ke arah Zul
di sebelahnya. Tangan Jean diangkat dan digerak-gerakkan.
“Haruslah boyfriend yang bagi,” giatnya pula.
“Amboi, kau Jean... ada boyfriend senyap-senyap aje eh.”
“Jean bukan macam kau, Azie. Baru ada boyfriend
dah riuh satu ofis,” ejek Zul. Dia tergelak kecil dan kepalanya
digeleng.
“Kalau aku tak beritahu nanti kau dengan Iwan
mengurat aku pulak,” balas Azie selamba. Mukanya
mencemik. Tangan Jean yang masih dalam pegangannya
dilepaskan.
“Uisyh, confidentnya menjawab! Kalau kau tu
macam Jean, yalah juga,” ejek Zul lagi.
“Mulut kau... Aku tahulah Jean cantik tapi tolong
sedar diri ya sebab Jean pun tak akan terpikat punya dengan
orang macam kau atau Iwan.” Azie membalas pula.
“Pedihnya ayat kau, Azie. Bisa berbisa hingga
menusuk dalam hati.” Zul sentuh dadanya sambil
menyeringai.
Dean yang sedari tadi hanya melihat dan mendengar
riuh mulut Zul dan Azie berbalas kata, bingkas bangun. Meja
Jean dihampiri dan dia berdeham.
“Bos,” sapa Zul dan Azie serentak.
“Apa yang riuh sangat tadi tu?” Sengaja dia
buat-buat tanya padahal dia dengar dengan jelas butir bicara
kedua-duanya. Jean yang sedang tersengih di tempatnya
dikerling. Sukalah tu agaknya orang asyik puji dia cantik.
“Saja gurau-gurau aje bos.” Azie tersengih macam
kerang busuk dan menoleh pandang ke arah Zul.
“Hurm... Iwan mana?”
“Iwan jumpa photographer, bos. Petang sikit dia
masuk,” beritahu Zul.
Dean mengangguk.
“Okey, since dia tak ada jadi aku tanya korang
ajelah.” Dia memulakan bicara.
Zul dan Azie berpandangan dengan dahi berkerut.
“Tanya apa bos?” Sekali lagi mereka bersuara
serentak.
Dean tersenyum melihat riak kedua-duanya.
“Aku nak beritahu yang kontrak kita dengan Nutra
Beauty dah selamat ditandatangani dan penggambaran untuk
iklan tu akan dimulakan awal bulan depan.”
“Yes!” jerit Zul dan Azie serentak.
“Tahniah bos. Tak sia-sia kita bersengkang mata
siapkan proposal tu.” Zul menyambung bicara.
Dean mengangguk sambil tersenyum.
“Ya, terima kasih pada korang juga yang sama-sama
bersusah payah dengan aku sepanjang dua minggu ni. Jadi
sebagai reward, aku cadang nak bawak korang pergi bercuti
sebelum kita start shooting. So, aku nak tanyalah mana
tempat yang korang nak pergi.” Jean dikerling.
Zul dan Azie saling berpandangan dan tersenyum
lebar.
“Sabah, bos!” Azie memberi cadangan.
“Camping bos,” cadang Zul pula.
Sekali lagi Jean dikerling dan tangan dipeluk ke
tubuh.
“Ermm... pilih antara dua tempat ni aje.” Keningnya
digaru. “Melaka atau Port Dickson,” ujar Dean serba salah.
Zul dan Azie mencemik. Tadi minta mereka beri
cadangan tapi rupa-rupanya Dean sudah ada pilihan sendiri.
“Okey, okey. Aku tahu korang biasa pergi
tempat-tempat tu tapi buat masa ni kita pergilah situ dulu.
Tapi aku janji lepas urusan dengan Nutra Beauty selesai, kita
akan buat trip ke tempat lain pulak,” ucapnya berjanji.
“Kita pergi jalan-jalan cari makan dekat Melakalah
bos.”
Walaupun Dean suka dengan cadangan Zul tapi
dia tetap kena tanya Jean dulu. Manalah tahu gadis itu ada
cadangan lain pula. Lagipun Jean kan mahu bercuti di tepi
pantai.
“What do you think, Jean?” soal Dean kepada Jean
yang masih leka merenung gelang di tangan dipandang.
Senyap.
“Jean...” panggil Dean lagi sedikit kuat daripada tadi.
Tersentak, Jean mendongak.
“Huh?” soalnya sambil terpinga-pinga. Dean, Zul
dan Azie dipandang silih berganti.
“Adoi, Jean! Tahulah gelang tu boyfriend kau yang
beri tapi janganlah over sangat sukanya tu.” Azie menggeleng.
“Isy, kau ni!” marah Jean lalu bingkas bangun.
Geram, bahu Azie ditepuk kuat. Berani betul Azie bergurau
begitu depan Dean. Kalaulah kawannya itu tahu Dean yang
beri gelang itu tentu tak berani Azie hendak mengusiknya.
Dean hanya ketawa sahaja melihat reaksi Jean
tetapi dalam hatinya suka mendengar gurauan Azie. Gelaran
boyfriend yang Azie berikan itu membuatkan hatinya
kembang setaman.
“Zul beri cadangan kita jalan-jalan cari makan di
Melaka. So, kau okey tak dengan cadangan tu?” tanya Dean
lagi.
Kepala digeleng.
“Aku nak bercuti dekat tepi pantai!” tegas Jean.
Dean pandang Zul dan Azie semula seolah-olah
meminta jawapan mereka.
“Kalau macam tu, apa kata kita singgah Melaka
untuk cari makan lepas tu kita gerak ke Port Dickson dan
camping dekat tepi pantai,” cadang Zul lagi.
“Kita makan asam pedas dekat Melaka bos,” celah
Azie pula.
Dean menoleh memandang Jean semula dan
keningnya dijongketkan.
“Aku setuju,” jawab Jean sambil tersengih.
“Okey, since semua dah sepakat, awal bulan depan
kita pergi.”
Jean terdiam dan kalendar di atas mejanya diperhati.
Awal bulan maknanya lagi dua minggu. Lewatnya.
“Kenapa kita tak pergi hujung minggu ni aje?” tanya
Jean selamba.
“Hujung minggu ni tak boleh sebab aku balik
kampung.”
“Balik kampung?” Jean kerutkan dahi. Dean tak
pernah beritahu dia pun Dean hendak bercuti balik ke
kampungnya.
Dean mengangguk.
“Adik bongsu aku bertunang,” beritahu Dean lagi.
“Oh!” balas Jean sepatah dan tubuh disandarkan ke
kerusi semula.
“Adik bos nak bertunang, bos bila lagi?” Azie
mengusik. Nasib baiklah Dean jenis bos yang sporting.
Setakat gurau begitu biasanya tak jadi hal langsung kepada
lelaki itu.
Dean tersenyum dan Jean dikerling.
“Kena tanya soalan tu pada Jean. Kalau dia setuju
bila-bila masa kami boleh bertunang,” balasnya selamba.
Jean tercengang.
“Aku? Kenapa libatkan aku?” soalnya terpinga-pinga.
Sengaja malas hendak menjawab soalan Jean, Dean
buang tawa dan terus beredar masuk ke biliknya semula.
“Aku ingat bos serius tapi main-main rupanya.” Azie
mencemik. Dia bukan main terkejut lagi mendengar jawapan
Dean tadi. Tapi apabila Dean ketawa, tahulah dia bosnya itu
bukannya serius. Hampeh betul!
“Tapi kan, aku rasa bos dengan Jean sesuai aje.
Lagipun kau dah kenal lama dengan bos, kan Jean?” Zul
kalihkan pandangan ke arah Jean.
“Korang jangan merepek eh. Aku dengan dia tu
cuma kawan baik aje.” Jean buat sibuk. Dokumen di atas
mejanya dibuka. Malas dia hendak melayan Zul dengan Azie
membawang. Nanti meleret-leret entah ke mana-mana.
Azie menggeleng.
“Orang macam bos tu kau cuma anggap kawan aje
Jean? Rugilah kau. Jangan nanti bila bos suka dekat orang
lain, kau ternganga ya.” Dia mengingatkan.
Tersentap mendengar kata-kata Azie, lekas-lekas
pandangan dibuangkan ke arah bilik Dean. Lelaki itu yang
sedang bercakap di telefon bimbitnya dipandang.
Ya juga kan. Apa agaknya perasaan dia apabila
suatu hari nanti Dean kenalkan kepada dia gadis pujaannya?
Tentu dia sedih sebab seorang lelaki yang dianggap abang
dan juga kawan paling baik sudah ada pilihan hati. Sudah
tentu-tentulah Dean akan lebihkan kekasih hatinya daripada
dia.
“Apa yang kau tengok tu? Baru perasan yang bos kita
tu handsome?” Azie buang tawa. Geli hati dia melihat cara
Jean memandang Dean.
Jean mencemik.
“Mana ada. Aku cuma fikir macam mana agaknya
nanti bakal isteri Dean. Lelaki macam dia tu aku rasa cerewet
sikit pasal perempuan. Tentu dia nak perempuan yang
bertudung, pandai masak, pandai buat kerja rumah dan yang
ayu-ayu gitu,” balasnya sedang mata masih tidak berkalih
memandang Dean.
“Kau lebih kenal bos dan aku rasa ciri-ciri tu memang
menjadi pilihan bos.” Azie mengiakan dan Dean dipandang
sekilas sebelum dia memandang Jean semula.
“Hurm... Kalau ikut ciri-ciri yang kau sebutkan
tadi, kau memang langsung terkeluar dari senarai. Yalah,
kau bukannya reti memasak. Buat kerja rumah pun aku rasa
memang kau failed. Bertudung tu memang jauh sekalilah,”
ejeknya.
Jean mencemik dan Zul ketawa kecil.
“Tapi hati orang kita tak tahu, Azie. Mana tahu calon
pilihan bos berlawanan daripada ciri-ciri yang Jean sebutkan
tadi. Siapa tahu?” celah Zul dan keningnya dijongketkan.
Sebagai lelaki dia seolah-olah dapat meneka perasaan Dean
terhadap Jean. Lihat sahajalah bagaimana layanan Dean
terhadap Jean. Layanannya bukan biasa-biasa.
Azie mengangguk mengiakan. “Betul juga cakap kau
tu kan? Tapi memang mustahillah bos akan syok kat Jean.”
“Dah, dah! Korang berdua tak payahlah nak
sibuk-sibuk pasal jodoh Dean. Yang pasti kalau dia nak
kahwin, akulah orang pertama yang akan tahu,” ucap Jean
membangga diri sambil kening dijongketkan.
Menyampah mendengar bicara Jean, Zul dan Azie
mencemik dan terus berjalan menuju ke meja masing-masing.
Jean hanya memerhati sahaja sambil tergelak kecil.
Dokumen yang dibukanya tadi diselak dan sesekali gelang
yang diberikan Dean dikerling bersama senyuman.
No comments:
Post a Comment