Wednesday, 16 October 2019

Detik Waktu Itu - Bab 5

Thistle Hotel, JB...

MIMPI itu menyerang Jay sekali lagi. Jay atau
nama sebenarnya Jazel Bin Datuk Kamal sangat digeruni oleh
musuh-musuhnya. Seorang ketua kongsi gelap antarabangsa
yang sudah lama menetap di Kota London. Dia lahir atas
perkongsian hubungan Datuk Kamal dengan Roxy.
Jay dibesarkan tanpa bapa. Selepas Datuk Kamal
mendapat tahu Roxy mengandungkan anaknya, dia
mengambil keputusan untuk berpisah. Pada malam Krismas,
Jay selamat dilahirkan ke dunia. Setelah itu, Roxy melarikan
diri jauh daripada Datuk Kamal. Roxy tekad membesarkan Jay
dengan kudratnya sendiri selepas Datuk Kamal membuang
dia dan anaknya.
Hiduplah Jay berdua dengan Roxy atau nama
sebenarnya Siti Rohani. Akhirnya, Jay telah terikut-ikut
budaya kuning di barat sehinggakan dia menjadi terbaik
antara terbaik dalam kongsi gelap seantero dunia.
Roxy meninggal dalam pangkuan Jay. Selepas
kematian ibunya, dia semakin memberontak dan mengganas.
Konco-konco dan empayar kongsi gelapnya semakin meluas.
Kekallah Jay mengungguli carta tiga Tai Long kongsi gelap
terhandal dunia. Manakala, orang kanan Jay adalah Kay. Kay
sangat menghormati Jay kerana Jay banyak menolongnya
apabila dia dalam kesusahan.
Sudah lama Jay tidak bermimpi dia dikejar
seseorang. Rasanya, 3 bulan yang lalu dia bermimpikan motif
yang sama. Ada seseorang mengejarnya dalam mimpi itu. Dia
berseorangan di padang pasir yang luas nan kering-kontang.
Kali ini mimpi itu berulang tayang sekali lagi. Menghambat
tidurnya. Jay meraba meja lampu tidur untuk mencari cerut
mahalnya. Asap itu yang mampu menenangkannya. Pemetik
api dicari bersama. Mana pula ni?
Jay membuka kedua-dua lampu tidur di sisinya.
Terang seketika VIP suitenya.
Tok! Tok! Tok!
Tiba-tiba, pintu bilik diketuk dari luar. Tak lain tak
bukan anak buahnya, Kay. Kay membuka pintu suite itu
menggunakan kad akses duplicatenya. Dia berdiri di sebelah
katil Jay.
“Kau bangun Jay?”
Diam.
“Kau mimpi yang sama lagi?”
“Kau jangan sibuk! Sudah, tinggalkan aku! Aku tak
apa-apa. Kau pun berehatlah, Kay.” Jay seakan tidak mahu
diganggu. Tidak mahu memanjang-manjangkan mimpi
mainan tidur itu. Argh, persetankan semuanya! Cerut dan
pemetik api sudah berada dalam tangannya.
Kay yang malas mahu memanjangkan marah Jay,
segera meninggalkan Jay sendirian. Memang tugasnya
untuk menjaga keperluan Jay di Malaysia ini. Ternyata, Jay
terbawa-bawa semangat mat salihnya sehingga ke Malaysia.
Bangun hisap cerut, nak tidur pun masih hisap cerut mahal.
Dasar orang kaya!

Taman Nong Chik, JB...

“HAH YEN, tambahlah lagi. Aunty masak banyak sebab Yen
nak datang.” Puan Jasmin mempelawa Yen yang sedang
mengaut nasi beriani yang tinggal sedikit dalam pinggan.
“You tak tambah pun?” Yen tidak segera bersetuju
tetapi dia terus bertanya kepada Faiqah di hadapannya.
Faiqah tersedak apabila Yen menyoalnya secara
tiba-tiba. Yen tak payah tanya dia kerana nasi beriani
merupakan menu kegemarannya. Cuma masalahnya,
apabila Yen makan dan duduk berhadapan Faiqah sambil
pandang-pandang jeling-jeling macam ini dia tak lalu nak
makan walaupun ini makanan kesukaannya.
Puan Jasmin menyua segelas iced lemon tea kepada
Faiqah.
“Yen, tambah nasi tu. Iqa ni tak payah dipelawa. Nasi
beriani ni memang makanan kesukaan Iqa. Nah, tambah nasi!
Jangan malu-malu.” Encik Affendi menyua mangkuk besar
berisi nasi beriani kepada anak muda itu.
Yen lantas menyambutnya. Dia menyenduk sedikit
nasi itu.
“Sikit sangat tu. Kenapa tak ambil lagi? Rumah uncle
ni bukannya ada sesiapa selain kami bertiga.” Papa menyoal.
Yen hanya menggeleng kecil. “Saya segan, uncle.
Orang yang tak makan sehari pun tak bertambah, inikan
pulak saya yang makan tiga kali sehari ni.” Yen berkata. Mata
tepat memandang Faiqah yang menunduk di hadapannya.
Kini, di meja makan hanya tinggal Faiqah dan Yen
sahaja. Kedua-dua ibu bapa mereka telah lama meninggalkan
meja makan. Ada benda mahu dibincangkan kata mereka.
Tinggallah si anak sahaja di situ.
“Pandai aunty masak,” ujar Yen memecah kesunyian.
“Thanks.” Faiqah memandang pinggannya sahaja.
Segan bertandang. Mana tidaknya, tinggal mereka berdua
sahaja di ruang makan itu.
“By the way, you pandai masak tak?” Tiba-tiba, Yen
bertanya soalan cepumas itu.
Faiqah tersedak buat kali kedua. Gelas dicapai dan
terus membawa ke bibirnya. Alangkah malunya dia apabila
gelas itu kosong sebenarnya.
Yen yang perasan cepat-cepat menghulurkan gelas
iced lemon teanya yang tidak disentuh langsung. Faiqah
teragak-agak mahu menyambut.
“Ambillah. I belum guna pun.” Dengar sahaja ayat
itu, Faiqah cepat-cepat sambut gelas yang dihulur. Air itu
diteguk rakus.
“Alhamdulillah...” ucap Faiqah syukur.
“I’m sorry. Agaknya soalan I tadi tu sensitif pada
you.” Yen mencapai kendi dan mencuci tangan kanannya.
“Pandai you makan pakai tangan,” ucap Faiqah yang
sedari tadi perasaan Yen makan pakai tangan.
“I take that as a compliment. I kan pernah duduk
Kelantan. Negeri serambi Mekah.”
“Tapi ada aje kan kedai makan Cina di sana?” Faiqah
mengambil kendi yang dihulur Yen. Tindakan pantas, Yen
memilih untuk menyiramkan air di tangan kanan Faiqah.
Terkejut Faiqah tapi kalau sudah ada orang yang rajin nak
siramkan air, bagai pucuk dicita ulam mendatanglah.
“Memang ada tapi I ni seorang yang suka mencuba
sesuatu yang baru.”
“I see. Kita dah habis makan, kan? You duduk kat
ruang tamu dulu eh sebab I nak kemas meja makan ni.”
“I tolong.” Yen ikhlas ingin menolong.
“Tak perlulah, Yen.” Faiqah menolak lembut
pelawaan itu. Tanpa buang masa, dia terus menyimpan semua
lauk lebihan di dalam oven dapur. Sebelum mencuci segala
gelas, pinggan dan mangkuk yang kotor, Faiqah mencapai
apron lalu disarungkan ke tubuhnya. Setiap perbuatannya
disaksikan oleh Yen. Dia menuju ke singki dapur.
“Wait! I punya mana?” Yen buat muka
keanak-anakannya.
“Apa?” Faiqah tidak faham.
“Apron.” Yen menutur sepatah.
“Yen, you tu tetamu. Tak payah tolong I lagi. I ni
anak dara. I boleh settle kan semua ni.”
Yen menggelengkan kepalanya. Tak setuju.
“You pun kata I ni tetamu. So, you tak boleh
tinggalkan I sorang-sorang dekat depan sana. I’ll help you.
Don’t worry. I cuci, you bilas. Jadi, air tak kena pakaian I,
okey?”
Faiqah menimbang-tara kata-kata Yen itu.
“I swear I won’t get wet.” Yen mencuba memujuk
lagi sambil tangan mengangkat sumpah.
Akhirnya, Faiqah mencapai sehelai lagi apron dan
disuakan kepada Yen. Yes! Hati Yen gembira. Dia dapat
melembutkan hati Faiqah dengan kata-katanya.
Apron disarung ke tubuh tetapi Yen sengaja tidak
mengikat tali di belakangnya. Dia mahu meminta Faiqah
tolong ikatkan. Senyuman ditahan.
“Nope, Mr. Shiou Yen! You ada tangan sila ikat
sendiri.” Faiqah mengipas-ngipas mukanya yang kemerahan
kerana mula membayangkan yang bukan-bukan. Sudahnya,
Yen mengikat sendiri tali apron itu.
Mereka pun mula mencuci. Bau Calvin Klein
Euphoria sangat dekat. Apabila bahu kiri Yen tersentuh
bahu kanannya yang berlapik, Faiqah terperanjat. Tidak
semena-mena dia termelatah. Malu!
Yen tergelak sakan.
“Gelakkan orang eh? Gelaklah lagi.” Faiqah
geram lalu dia membuka pili air dan merenjis-renjis air
paip itu ke arah apron Yen. Yen yang tidak bersedia lantas
mengibas-ngibas apron yang telah basah itu. Faiqah pula
bantai gelak. Namun, dia segera tersedar.
‘Apa kau tengah buat ni Faiqah? Nak menimbulkan
kemesraan dengan jiran sendiri bukan macam ni caranya
Faiqah Asiah Affendi. Dah basah baju anak orang tu.’
“Sorry, Yen.” Faiqah cepat meminta maaf akan
keterlanjurannya.
“It’s okay. Just an involuntary action. I faham.”
Senyuman manis Yen lontarkan. Dia kembali mencuci
pinggan satu demi satu. Kemudian, Yen meletakkan pinggan
bersabun itu di dalam singki membilas yang dipenuhi air
bersih.
Faiqah yang melihat Yen tekun dengan kerjanya,
dia pun mula membilas pinggan mangkuk yang sudah dicuci
dengan sabun. Mereka fokus buat kerja. Beberapa ketika,
entah macam mana Faiqah terpegang tangan Yen sewaktu
lelaki itu meletakkan pinggan ke singki bilasan. Dek air yang
bertukar keruh, alih-alih diangkat ke atas terus ternampak
tangan kiri Yen dalam pegangannya.
“Allah! Maaf.” Tangan Yen segera dilepaskan. Merah
lagi muka Faiqah malam itu.
“Cakaplah you memang teringin nak pegang
tangan I kan.” Yen selamba sahaja berseloroh. Senyumannya
disembunyikan. Dia meneruskan kerja-kerja membasuh
pinggan mangkuk yang kotor. Faiqah terus terkedu.
‘Comelnya awak, Faiqah!’ bisik hati kecil Yen.
“You ingat I ni suka ambil kesempatan ke?” Faiqah
kembali membilas. Malu ditolak tepi dahulu. Muka Yen pun
dia tak sanggup pandang. Cepatlah habis pinggan-pinggan
kotor ni. Dapatlah dia naik atas dan terperuk dalam bilik.
Setelah semua pinggan telah mereka lap dan
keringkan, Yen dan Faiqah menapak ke ruang tamu. Ibu bapa
mereka sudah menunggu di situ.
“Hah Mary, jomlah kita balik. Budak berdua tu dah
siap kemas. Muka pun dah penat. Shiou Yen, jom kita balik,”
kata Uncle Foo sejurus kelibat Yen tiba.
“Mari Mary.” Puan Jasmin dan Encik Affendi
menghantar ibu dan bapa Yen sehingga hadapan pagar.
Tinggallah Yen dan Faiqah di belakang mereka.
“Uncle, aunty, thanks a lot for the invitation,” ucap
Yen berbahasa kepada tuan rumah.
“It’s our pleasure, young man.”
Faiqah tersenyum manakala Puan Jasmin
mengangguk sahaja. Mengiakan kata-kata suaminya.
Uncle Foo sekeluarga terus melangkah menuju
ke rumah mereka yang terletak selang beberapa buah dari
rumah Encik Affendi.

No comments:

Post a Comment