Thursday, 17 October 2019

Dia…Suami Tak Dirancang - Bab 3

DINZLY menarik nafas panjang. Kalau
diikutkan rasa amuk yang menguasai diri, memang
tidak hidup perempuan di hadapannya ini. Dinzly
rapatkan mata untuk seketika. Cuba mencari sedikit
ketenangan. Sungguh hati terasa panas meruap.
Bila-bila masa boleh meledakkan lahar amarah.
Otak Dinzly benar-benar masih tidak mampu
menghadam. Baru 2 minggu lepas dia ditangkap
khalwat dengan Darwisya, dan kali ini status mereka
sudah pun bertukar seratus peratus.
Suami isteri? Kerja gila!
Malangnya, kerja gila itu juga yang Dinzly harus
dan wajib hadap. Dinzly rasa macam nak hantuk kepala
laju-laju ke lantai. Biar pecah kepala. Sebab beban yang
sedang menanggung kala ini lebih perit terasa.
Bunyi pintu dikuak. Terjengul sekujur tubuh.
Mengangkat pandangan, bersabung tepat. Bezanya,
pandangan Darwisya penuh ketakutan. Sedangkan
Dinzly, penuh kebencian.
“Yang kau tercegat dekat situ kenapa? Nak aku
kena ceramah dengan ibu dan ayah aku pula ke?” Dia
berjalan laju lalu merentap lengan Darwisya hingga
terdorong masuk ke dalam kamar. Pintu terus ditutup
dengan sebelah tangan.
Wajah Darwisya berubah pucat. Melihat riak
Darwisya, terus senyum sinis terukir pada bibir Dinzly.
“Takut?” provoke Dinzly seraya menekan
sebelah bahu Darwisya rapat ke dinding.
Kalau tak kenang didikan agama yang dah
Encik Fairuz dan Puan Munirah berikan, memang dah
lama diayun penampar bertubi-tubi ke wajah Darwisya.
Mujur Dinzly masih sempat ingat Allah. Jika tersasar,
boleh jadi dayus dia nanti.
Nampak Darwisya menelan liur beberapa kali.
“Kalau kau takut dengan aku, kau tak
patut setuju untuk libatkan hidup kau dengan aku,
perempuan.” Suara celah gigi.
“Saya...” Peti suara Darwisya masih menghilang.
Sungguh hati terasa kecil seperti semut berhadapan
dengan si suami. Suami yang langsung tidak dirancang.
“I have a question for you.” Deras dipintas oleh
Dinzly.
Darwisya mendongak. Cuba memusatkan
pandangan walaupun hati sudah sedia dilanda garuda
di dalam. Cemas. Resah. Takut. Perasaan yang cukup
sebati menyebabkan dahi Darwisya mula berpeluh nipis.
“Why did you do it? And what were you thinking
when you did such things to me? What have I done
to you, lady?” soal Dinzly seraya menjauhkan sedikit
tubuhnya daripada Darwisya. Sebab saat ini tangan
dah mula terasa menggeletar pabila teringat semula
kejadian 2 minggu lepas. Sebelum sabarnya hilang,
baiklah dia sendiri yang menjarakkan tubuh mereka.
“Saya tak rancang semua ni, Dinzly.”
“Memang kau tak rancang. Tapi kau ada pilihan
untuk katakan ‘tidak’!” Naik satu oktaf.
Darwisya diam menggigit hujung bibir.
Bagaikan terngiang-ngiang suara amaran Datuk Dirly
di telinganya. Buat hati mula terasa dihurung sebak.
Kalaulah semua ini tidak pernah berlaku...
Kalaulah Aiman tidak hidup berajakan nafsu... Sudah
tentu dia tidak perlu mengheret orang lain ke dalam
masalahnya.
‘Kalau Wisya tak kahwin dengan lelaki tu,
daddy nak Wisya gugurkan anak dalam perut tu!’
Permintaan yang takkan mungkin sanggup
Darwisya lakukan. Mencambahkan benih itu secara
haram pun sudah cukup berdosa. Menggugurkan nyawa
yang langsung tidak bersalah, itu kejam namanya. Dan
Darwisya, masih lagi ingin menjadi seorang manusia
walaupun khilaf yang sudah dia lakukan ternyata bukan
sekuman.
“Kau pekak ke? Aku cakap dengan kau ni!” soal
Dinzly kasar. Berkertap bunyi gigi atas bawah Dinzly
berlaga.
“Jawapan macam mana yang awak nak dengar
supaya saya tak tambahkan sakit di hati awak lagi,
Dinzly?” Meluncur lancar mengetuk deria telinga Dinzy.
Dinzly terkelu untuk seketika. Menarik nafas,
menghembus kembali.
“Betul kau nak tahu apa jawapan yang aku
harapkan keluar dari mulut kau?” Soalan berganti
soalan. Wajah Dinzly kejung tanpa senyuman. Beku
semata-mata.
Darwisya sepi tanpa bicara. Menunduk menekur
hujung jemari kaki. Luntur semangat kerana dia tahu
dalam hal ini dia yang bersalah. Kalau dia yang berada di
tempat Dinzly, dia sendiri tidak menjamin dia mampu
menjadi sesabar lelaki itu.
“Minta cerai dengan aku. Hanya itu jawapan
yang mampu hilangkan sakit hati aku. Boleh kau
buat tu untuk aku?” Dinzly menoktahkan ayat dan
berpaling. Dah tak betah untuk berlama di dalam bilik
ini. Walaupun punya penyaman udara, bahangnya
masih tidak mampu diusir pergi.
Jantung terasa seperti disentap kuat. Tercarik
rabak sekeping hati milik Darwisya.
‘Baru 2 jam, Wisya. Kau nampak tak dia terseksa
jadi suami kau? Benar-benar terseksa!’ Ada suara yang
berbisik.
Tetap tidak mampu Darwisya ukirkan pilihan
kedua buat dirinya. Lantas hanya sebaris ayat saja yang
mampu diberikan kepada Dinzly. Dengan harapan,
sakit di hati itu meskipun tidak hilang sepenuhnya,
mudah-mudahan akan berkurangan sedikit.
“Kandungan saya dah 6 minggu.”
Terhenti kaki Dinzly pada lantai bumi. Tidak
mengerti. Apa kaitan ayatnya tadi dengan kenyataan
yang baru Darwisya kemukakan?
“Kau rasa aku hadap ke nak tahu semua tu?”
Berpaling dan memberikan ayat pedas.
Darwisya menahan pedih di hulu hati. Menapak
mendekati encik suami, gigilan pada jemari cuba
disembunyikan.
“Saya tahu saya tak layak untuk membuat
sebarang permintaan. Tapi...”
Jeda. Sebak di dada Darwisya semakin
menghunjam. Hinggakan getaran semakin jelas pada
pendengaran Dinzly.
Simpati? Menipulah kalau simpati itu tidak
terbersit untuk Darwisya. Demi memikirkan apa yang
Darwisya dan keluarganya sudah lakukan terhadapnya,
jauh-jauh Dinzly campak perasaan itu menghilang.
“Tapi, boleh tak awak tunggu sehingga anak
ni lahir ke dunia? Waktu tu, apa sekalipun permintaan
awak akan saya tunaikan,” Darwisya menggantung
sebuah harapan.
“Satu yang kau perlu tahu. Aku tak suka
dipergunakan. Anak tu anak Aiman, kawan baik aku.
Jadi kenapa aku yang perlu tunggu hingga kau lahirkan
anak tu?”
“Sebab saya tak nak gugurkan dia, awak. Sebab
saya nak lahirkan dia. Awak boleh hukum dan benci
saya, saya janji takkan tuntut apa-apa. Tapi saya rayu,
tolong simpan saya sebagai isteri awak selagi dia ada
dalam rahim saya.” Dicantumkan kedua-dua belah
tangan. Persis seorang pengemis. Pengemis yang
mengharapkan secebis ihsan. Ihsan supaya Dinzly sudi
melindungi.
“Kau minta tolong dengan orang yang salah,
Darwisya. Hakikatnya aku belum cukup baik untuk kutip
sisa buangan orang.” Ditolak secara terang-terangan.
Longlai tangan Darwisya jatuh ke sisi. Tiada
daya untuk berbicara lagi. Yang mampu dia lakukan,
hanyalah memandang belakang tubuh yang semakin
menjauh daripadanya.
Berlalunya Dinzly, tubuh Darwisya melorot
jatuh ke lantai. Tersenyum dalam tangisan. Sepatutnya
dari awal lagi dia patut sedar diri. Mana ada lelaki yang
sanggup mengutip barang terpakai seperti dirinya? Jika
ada sekalipun, ia mungkin satu dalam sejuta.

No comments:

Post a Comment