Thursday, 17 October 2019

Dia…Suami Tak Dirancang - Bab 8

MERENUNG siling yang berukir cantik.
Pemandangan indah banglo mewah milik keluarga
Darwisya langsung tidak mampu menenteramkan hati.
Kalau bukan sebab nasihat Encik Fairuz dan Puan
Munirah, tak mungkin Dinzly akan tercampak di sini.
Buat sebal hati sahaja berdepan dengan Datuk Dirly.
Tak apalah, bukannya lama pun. Buat sementara
waktu sahaja sebelum dia membawa Darwisya
berpindah dengannya. Bagi sama adil. Sebelum ini
Darwisya elok saja tinggal di rumah keluarganya untuk
tempoh hampir seminggu. Tak salah kalau kali ini dia
berkompromi sedikit.
Baru sahaja dia hendak berpusing, langkahnya
kaku. Wajah seseorang menghadang penglihatannya.
Tanpa diduga, jantungnya berlari pantas. Rentak
perasaannya tiba-tiba saja tidak menentu.
Betul kata ibu. Perempuan ini nampak lebih
cantik apabila bertudung.
‘Yang kau tiba-tiba nak memuji dia ni dah
kenapa, Dinz?’ Berdeham sekali. Cepat-cepat Dinzly
menyedarkan diri sendiri. Berkerut kening apabila
melihat Darwisya laju membelakangi dirinya.
“Kau ni dah kenapa?” soal Dinzly tiada nada
kemesraan.
Tiba-tiba muncul, lepas tu jadi patung cendana.
Mahu dia tak bingung?
Darwisya tidak menjawab. Sebaliknya, dia
masih selesa membuang pandang ke arah lain. Dinzly
menoleh pandang tubuh sendiri. Seketika, dia kerut
kening. Masih tidak mengerti.
“Kau dengar ke tak aku tanya kau ni?” soal
Dinzly apabila tiada tanda-tanda Darwisya ingin
membalas.
“Tak ada apa-apa. Saya naik ni nak ajak awak
turun minum.” Mulut menjawab, tapi mata langsung
tidak memandang encik suami.
“Kau bercakap dengan aku ke kau bercakap
dengan dinding tu? Look at me when you’re talking to
me,” tegas Dinzly seraya memaut bahu Darwisya. Dagu
Darwisya dipaut memandang wajahnya.
Makin buat Dinzly geram apabila Darwisya
sedaya upaya cuba untuk melarikan anak matanya ke
arah lain. Perasan Darwisya seakan tidak selesakan
sesuatu, pantas Dinzly memandang tubuh tegapnya.
Seluar pendek paras paha dan singlet hitam. Pakaian
tidurnya seperti biasa. Takkan Darwisya malu dengan
keadaan dia kut?
Detik hatinya mula terasa jengkel. Senyuman
sinis spontan terukir megah.
“Yang kau beria-ia tak nak pandang aku ni
kenapa?”
Sepi. Hanya tingkah Darwisya masih ditangkap
seakan gelisah. Membuatkan Dinzly yakin tekaannya
sudah tidak tersasar lagi. Terletus tawa jengkel daripada
bibir Dinzly.
“Setakat aku pakai macam ni apalah sangat,
Wisya? Aiman tu kau dah teroka lebih daripada ni, tak
pula kau rasa malu waktu tu,” sembur Dinzly sinis buat
hati Darwisya terasa seperti dilapah kejam.
Perlahan-lahan Darwisya mendongak. Rasa
maruah seakan sedang diinjak-injak saat ini.
“Salah ke apa aku cakap?” provokasi Dinzly
seraya menjongketkan sebelah kening.
Menyedut nafas dalam, menghela kembali.
“Awak percaya atau tidak, saya memang tak
pernah tengok tubuh Man.”
“Dan kau rasa aku akan percaya ke?” selar
Dinzly lancar.
“Saya tak minta awak percayakan saya. Saya
hanya beritahu yang benar. Saya memang tak pernah
tengok tubuh Man. Waktu tu...” Bicara Darwisya
tergantung. “Saya tak sedar waktu Man cerobohi saya.”
Menoktahkan ayat bersama tubir mata yang bergenang.
Dada Dinzly bagaikan ditumbuk dengan
kenyataan itu.
Tak sedar? Dalam erti kata lain, dirogol? Tapi
benarkah begitu? Entah-entah Darwisya sengaja
mereka-reka cerita. Puas berseronok, pakej buntingkan
anak haram. Mulalah jemari hendak meletakkan
kesalahan sepenuhnya kepada orang lain.
“Maaflah sebab aku rasa macam tak boleh nak
percaya dengan kata-kata kau. Perempuan macam kau,
tak layak untuk aku letakkan sebarang kepercayaan,”
sindir Dinzly tidak teragak-agak.
Darwisya tunduk mengalah. Kelak, sampai
bila-bila dia tetap akan nampak hina pada mata
suaminya sendiri.
“Saya keluar dulu, Dinz. Nanti awak turun
ya? Mummy dah sediakan minum petang di bawah.”
Kedengaran tenang, sedangkan hati di dalam sedang
terluka parah. Berderai menjadi kepingan-kepingan
kecil.
Darwisya mengundurkan kaki, sudah bersedia
untuk berlalu keluar. Itu yang sebaiknya daripada
membiarkan Dinzly berterusan menghina dirinya.
Dinzly lantang berkata-kata, seolah-olah
terlupa yang Darwisya juga manusia. Manusia yang
punya sekeping hati untuk dijaga.
Saat kelibat si isteri menghilang, Dinzly
terduduk di birai katil. Mungkin bicaranya kedengaran
agak kejam. Tapi yang sejujurnya pengakuan Darwisya
buat hatinya mula terbersit perasaan bersalah. Sengaja
tidak dipamerkan mengenangkan dia masih sakit hati
dengan perkahwinan tanpa rela ini.
‘Darwisya tu mangsa keadaan, Dinz. Kalau
betul dia memang nak berseronok dengan kawan
baik Dinz semata-mata, dia ada pilihan lain untuk
gugurkan kandungan tu. Tapi sampai ke sudah dia
tetap pertahankan kandungannya. Takkan Dinz masih
tak nampak semua tu?’
Bicara itu pernah terluah dari bibir Encik
Fairuz. Membuatkan otak Dinzly mula terasa memberat.

No comments:

Post a Comment