Wednesday, 16 October 2019

Mocha Girl - Bab 1

BEKERJA di kafe merupakan salah satu daripada
impiannya. Menjadi seorang barista juga impiannya. Sebagai
seorang yang gilakan kopi, tempat yang paling menjadi
syurga buatnya ialah kafe. Tahap kegilaannya terhadap kopi
boleh dikatakan tahap maksima obsess, sehingga dia sanggup
menolak tawaran kerja lain semata-mata mahu menimba
lebih banyak ilmu tentang kopi.
Berada bersama kopi hanya dengan menghirup
baunya saja membuatkan dia khayal; perasaan
diawang-awangan. Gila bukan? Namun itulah dia, Nur Qasy
Imani atau lebih dikenali sebagai Q.
Tetapi menjadi satu-satunya barista di Luth's Cafe
bukanlah salah satu daripada impiannya, malah ia merupakan
satu tekanan yang amat tinggi. Waima berhadapan dengan
tekanan, menjadi satu-satunya bunga adalah satu perkara
yang menyeronokkan di kafe ini. Seorang gadis berada dalam
kalangan jejaka-jejaka kacak bagaikan Cinderella bersama
tujuh orang kerdil. Hendak pula dirinya digelar mocha girl.
Kenapa dia mendapat gelaran itu? Minuman
kegemarannya moka. Dan dia tersangat mahir dalam buat
moka. Tak terlalu manis, smooth dan sedap semestinya.
Disebabkan itulah minuman yang paling popular di kafe ini
ialah moka! Bangga dia dengan pencapaian itu.
Di Luth's Cafe ini, Q satu-satunya perempuan.
Manakala yang lain semua lelaki. Namun layanan mereka
terhadap Q tiada yang berbeza. Keluar makan atau melepak,
mereka pasti akan ajak Q untuk turut serta. Perhubungan
mereka semua sudah seperti adik-beradik.
Jam di dinding di belakang kaunter dikerling.
Keluhan dilepaskan perlahan. Lagi 5 minit ketenangannya
akan diragut dengan kejam. Sejujurnya, dia tidak tahu
kenapalah lelaki itu suka sangat menyusahkannya. Di dalam
kafe ini masih ada pekerja lain, tetapi namanya juga yang
lelaki itu panggil; tenaga dia juga yang lelaki itu kerah.
Kadangkala dia rasa mahu putus asa sahaja. Namun apabila
ingatkan pengalaman yang telah dikutip selama bekerja di
sini, terasa sayang pula.
Luth's Cafe bukan sahaja menjadi tumpuan
penggemar kopi, tetapi pelancong luar negara juga ada yang
singgah ke sini. Semuanya atas jasa promosi mulut ke mulut
mereka yang pernah datang ke kafe ini. Satu yang amat
dia suka apabila ada pelancong yang singgah di Luth's Cafe
ini, dia dapat bertanyakan tentang perbezaan kopi Malaysia
dengan kopi di tempat mereka. Malah ia memberi banyak
pengetahuan kepada Q.
Dentingan jam di belakang bar melemahkan
semangatnya pagi ini. Bukan hanya pagi ini, malah hampir
setiap pagi. Inilah yang dia maksudkan satu-satunya kecacatan
yang merosakkan keseronokannya di kafe ini.
Tubuh dipusing berdiri tegak dengan tangan
menyilang di dada. Mata tunak memerhati jam bulat di
dinding sambil mulut bergerak mengira.

Satu...
Dua...
Tiga...
“Q!” laung satu suara dari tingkat atas.
Q senyum senget. Rutin seharian seorang Luth
Haqiem! Apa yang susah sangat bos dia tu nak faham pun dia
tidak tahu. Sudah diberitahu jangan menjerit, Luth menjerit
juga. Barangkali hendak satu bangunan ini tahu yang dia itu
kaki dera pekerja. Kadang-kadang bukan untuk hal yang besar
pun, benda yang boleh dibuat sendiri, tapi dirinya juga yang
diseru Luth. Sampaikan kakitangan di sini menggelarkannya
‘Luth’s girl.’
Kalau ikut logik akal, memang sesuai sangat gelaran
itu dengannya. Dalam satu hari hampir sepuluh kali dia akan
dipanggil menghadap Luth. Hanya hari yang ramai pelanggan
saja lelaki itu takkan mengganggunya sekerap hari biasa.
Naik bingung kepala memikirkannya. Bila dia usulkan supaya
mengambil pekerja lain, Luth tak nak. Pekerja lelaki sudah
ramai katanya. Disuruh ambil pekerja perempuan, jawapan
Luth membuatkan Q naik bingung pula.
“Kau tak cemburu ke aku ambil pekerja perempuan?
Kalau aku lebihkan dia daripada kau, kau okey? Tak sakit
hati?”
Soalan-soalan begitulah membuat otaknya hampir
pecah. Apa kaitan dia dengan soalan itu semua? Lelaki itu bos,
ikut sukalah mahu beri layanan yang macam mana. Jangan
sampai diajak ke tempat tidur, sudahlah. Memang dia bakar
dalam oven si Khairul itu.
“Q, darling!” Mendatar tapi tegas. Malah terselit
nada sinis di situ.
Terbang segala ingatan masa mula-mula hendak
‘mesra’ dengan lelaki itu. Suara itu kedengaran dekat,
bermakna Luth sudah turun mencarinya di bawah. Kalau
begitu, pasti apa yang dimahukan itu sesuatu yang penting.
Bersama senyum yang diukirkan, dia pusing tubuh
ke belakang. Serta-merta bibir yang merekah senyum jadi
kaku. Terkerdip-kerdip matanya memandang makhluk di
hadapannya. Atas bawah dia memandang Luth. Kemudian
matanya terhenti pada bahagian perut lelaki itu.
1, 2, 3, 4, 5, 6! Wow! Ada enam ketulan roti. Alangkah
indah jika ini milik bakal suaminya. Aman dia dalam pelukan
yang gagah begini.
Isy! Matanya dipejam celik berkali-kali.
“Ehem, dah habis tenung?” tegur Luth dengan suara
dalamnya. Tangan naik mencekak pinggang menampakkan
bahagian lengannya yang berotot.
Q menggigit bibir. Matanya derhaka lagi! Bos dia
ni, kut ya pun nak turun kafe, pakailah baju dulu. Ini tidak,
bertuala saja. Mujurlah kafe belum beroperasi lagi.
“Q!” deram Luth. Geram dengan Q yang terpesona
sedangkan dia sedang dalam kesejukan. Nak sangat tengok
tubuhnya, boleh saja dengan rela hati dia tayang, tapi lepas
jadi isteri dialah. Luth senyum jahat dalam hati.
“Hah?” terpinga Q memandang Luth. “Kenapa tak
pakai baju, bos? Aurat ni.” Q tunjuk bahagian pusat yang
tidak tertutup.
Luth senyum senget. ‘Aurat? Amboi, habis satu badan
aku dia jelajah, sekarang dia sekolahkan aku pasal aurat pula.’
“Wei, bos! Kenapa buat tayangan percuma ni? Saya
tahulah body bos cantik. Aumm, tapi janganlah buat free
show bos. Cemburu saya yang keding ni,” ujar Luqman.
Luth jegilkan mata. Loyar buruk pula Luqman. Dia
dahlah kesejukan. Baju bersih satu pun tidak ada.
Q ketawa mengekek. Luqman sengih.
“Ha, yang awak ketawa tu kenapa, Q? Ni semua salah
awak. Mana baju saya nak pakai? Semalam saya suruh awak
ambil kat dobi, awak ambil tak?” soal Luth geram. Dua tiga
hari ini dia sibuk, terpaksa bermalam di kafe. Pakaian yang
dibawanya semua sudah kotor, lalu dia hantar ke dobi dan
memesan gadis itu mengambilnya semalam. Sangkanya
semua sudah selesai, tapi pagi ni bila cari baju nak pakai, satu
pun tidak ada.
‘Alamak!’ Q tepuk dahi. Aduh, macam mana dia
boleh lupa! Rambut yang diikat tocang turut bergerak apabila
dia menggeleng kepala. Sudah! Patutlah si bos mengaum
pagi ini. Siap dengan tayangan percuma lagi dengan...
Digigit lidah menahan diri daripada terus
bermonolog tentang keseksian Luth.
“Woo... aumm, kenapa seksi sangat ni bos? Bertuala
saja. Haaa... bos buat apa ek semalam kat sini?” aju Aqil
dengan sengih nakal.
Luth kacip gigi. Ini lagi seorang otak tak pernah nak
fikir elok. Kuning saja otaknya.
“Korang macam-macam, aku potong gaji korang,”
ugut Luth.
Serta-merta Luqman dan Aqil tutup mulut. Tegak
memerhati Q dan Luth. Dalam hati masing-masing gusar
andai benar, pokailah mereka bulan ini.
Q hendak ketawa melihat wajah Luth yang merah
padam. Sedang menahan marahlah tu. Tapi disimpan saja
tawanya, nanti ada juga yang kena denda cuci satu kafe pula.
Bukan boleh diagak si bujang terlajak seorang ini.
“Ampun bos. Saya terlupa.” Dua tapak tangan
digosok antara satu sama lain. Mata mengerdip beberapa kali
kononnya comel.
Tangan yang elok mencekak pinggang disilangkan ke
dada. Menampakkan lagi lengan kekarnya. Hati yang hendak
marah pun cair melihat aksi Q, namun wajahnya tetap begitu.
Biar nampak garang di luar, tapi dalam hati penuh taman.
“Dah tu aku nak pakai apa ni? Aku tak bawa baju
lebih, sebab harapkan kau ambil. Dahlah tengah hari ni aku
ada mesyuarat. Kau ni kan...” Luth mendesis geram.
“Bos bagi saya banyak kerja, mana saya nak ingat.
Saya ni bukan robot tau. Suruh ambil pekerja lagi, tak nak.
Banyak alasan bos,” bebel Q. Dalam ramai-ramai pekerja
Luth, hanya dia yang berani merungut.
“Sibuk nak suruh aku ambil pekerja baharu. Karang
aku ambil nanti, ada juga yang makan hati,” bebel Luth.
Q juihkan bibir menyampah. Itu sajalah alasan Luth.
Cakap sajalah kedekut nak bayar gaji!
“Bos pinjam baju Aqil atau Luq dululah. Kedai dobi
pukul 9 pagi baru buka,” usul Q.
Mendengar usul Q itu, tangan Luth naik menyilang
dada. Jelas otot-otot lengan kekarnya terbentuk. Dipandang
Aqil dan Luqman. Nak dia pakai baju budak berdua tu?
Masing-masing tubuh saiz XXL.
Q telan liur. Fuh, godaan! Mujurlah Luqman dan
Aqil ada sekali. Kalau tidak, mahu dia jadi zombie, hendak
digigit-gigit saja lengan Luth itu.
“Tak nak! Saya nak awak pergi ambil baju saya
sekarang. Saya tunggu kat atas,” ujar Luth tegas.
“Tapi bos, dobi buka pukul 9 pagi. Sekarang baru 8
pagi,” sampuk Luqman.
“Isy!” dengus Luth. Dengan wajah tegang, dia naik
ke tingkat atas. Mujurlah dia buat tangga ke tingkat atas di
bahagian dalam kafe. Kalau bahagian luar, naya!
Q menahan tawa yang mahu meletus. Lucu dia
melihat wajah garang Luth. Aqil dan Luqman sudah mengekek
ketawa. Bila lagi nak kenakan si bos. Masa ada peluang inilah!
“Sekarang, Q!” laung Luth dari sebalik pintu.
Bibirnya mengukir senyum.
Tergeleng kepala Q dengan tingkah Luth.
“Q,” panggil Luqman.
“Mmm,” gumam Q. Tangan terus mengemas meja
dan mesin kopi. Dia perlu pastikan semua peralatan tersedia,
tidaklah dia kalut nanti.
“Aku tengoklah kan, bos tu memang tak boleh hidup
tanpa kau, Q...” omel Luqman.
“Betul, betul. Aku sokong!’ sampuk Aqil.
Q tepuk dahi. Tidak habis-habis lagi rupanya.
Gelaran Luth’s girl pun mereka berdua yang beri. Katanya
senang, tidak ada orang akan usik Q nanti. Barulah bos senget
mereka itu tidak keseorangan.
Alahai... masalahnya dialah! Macam mana orang
nak dekat kalau sudah digelar begitu? Takkanlah dia mahu
membujang sampai ke tua? Gila ke apa!
“Mengarut apa ni? Tak habis lagi dengan teori korang
tu.” Acuh tak acuh Q melayan. Apron di tubuh dibuka lalu
diletakkan ke atas kaunter bar. Dia sudah sedia mahu pergi.
Lambat-lambat, mahu ada yang meroyan nanti.
“Betullah apa kita orang cakap, mana ada mengarut.
Bukan aku dan Luq aje perasan tau. Khairul dan Azrai pun
sama,” tambah Aqil.
“Korang takde kerja ke?” soal Q.
Aqil dan Luqman menyengih. Mereka banyak kerja,
tetapi gosip tentang Q dan bos besar, mana boleh diabaikan!
“Q!” kuat suara Luth melantun bergema.
Dijulingkan mata ke atas. Geram dengan bos yang
tak reti nak sabar, geram lagi dengan Aqil dan Luqman yang
banyak songeh. Masa inilah mereka sibuk hendak bergosip.
“Nanti korang mop lantai dan kemas meja. Aku nak
pergi ambil baju encik singa tu kat dobi. Mujur dia tak hantar
dobi layan diri. Kalau tak, mahu dibahamnya aku kalau
baju ratus-ratus dia tu hilang. Grr...” Q melangkah pergi
dengan perasaan yang sebal. Yang salahnya sekarang Luth,
tapi kenapa dia yang rasa bersalah? Betullah si sewel Luth ni
pandai psiko dia. Hesy!
Aqil menjegil ke arah Luqman.
“Kau punya pasallah ni. Dah kena mop lantai pulak,”
marah Aqil.
“Aku pulak? Kau pun sama.” Luqman mengelap meja
dan membetulkan kerusi. Manakala Aqil pula mengemop
lantai.
Hari ini memang lambat buka kafe. Semalam bos
besar mengarahkan semua datang mengecat kedai serta
menukar beberapa aksesori kedai yang kelihatan pudar dan
lusuh. Boleh dikatakan hampir seluruh kafe berubah. Lebih
segar dan menyamankan. Pemandangan baru yang pasti akan
membuat mereka yang datang tercengang. Lukisan-lukisan
baru tergantung cantik di setiap sudut kafe.
Kali ini cat yang digunakan lebih ceria, gabungan
hijau dan pink. Di dinding belakang kaunter bar, terdapat
mural beberapa orang lelaki dan wanita sedang menikmati
kopi. Itu pun semalam baru buat. Kawan Luth yang melukis
mural tersebut.
Manakala di bahagian luar kafe, ada beberapa pasu
bunga yang menempatkan beberapa jenis bunga yang diolah
cantik dan kemas seperti bonsai. Di tengah meja diletakkan
bekas empat segi yang di dalamnya diletakkan bola kristal.
Malahan di bahagian dinding bercermin terdapat tulisan
quote yang dicipta Luth sendiri.
Cinta itu dengan adanya dirimu
Bahagia itu dengan wujudnya kasihmu
Tersingkap pertemuan hati di Luth's Cafe...
Mereka nak baca pun geli! Puas mereka mengusik
Luth semalam.

No comments:

Post a Comment