CAWAN moka dibawa ke mulut, dicecap lembut.
Menikmati moka buatan Q yang memang terkenal di kafenya.
Sedap dan tidak terlalu manis. Rasa kopi dan susu yang
seimbang. Tidak terlalu pahit bagi mereka yang menggemari
kopi, tetapi tidak suka rasa kopi yang kuat.
Bibirnya melakar senyum. Q? Gadis itu memang
sesuatu. Apa yang disuruh tidak pernah dibantah walaupun
dalam diam memprotes. Ah, gadis itu memang suka
memprotes dalam diam. Sejak kehadiran gadis itu, hidupnya
sedikit berwarna.
“Hai,” sapa satu suara.
Luth angkat wajah memandang pemilik suara
yang menyapanya. Keningnya berkerut. Wajah yang sedang
tersenyum manis kepadanya ini seperti pernah dilihat. Tapi
di mana ya?
“Hei, Luth! Tak ingat I ke?” soal si gadis.
Luth menggaru cuping telinga. Kepalanya tunduk
cuba mengingati sesuatu. Sesaat kemudian, diangkat kembali
kepalanya dan memandang tepat ke arah mata bundar milik
si gadis. Eh, takkanlah!
“Anggun!” ujar Luth sepatah dengan riak tidak
percaya. Tidak sangka, selepas 3 tahun berpisah, mereka akan
berjumpa lagi. Penampilan gadis ini pun sudah berbeza kali
ini. Pakaian lebih sopan dan rambut warna-warninya sudah
tidak ada. Patutlah dia sukar hendak mengecam gadis ini.
“You ingat juga I. Kalau tak ingat juga tadi, memang
I merajuk dengan you,” ujar Anggun lembut.
Luth sengih. Anggun itu bekas teman wanitanya.
Mudahnya dia terlupa. Nampak sangat cinta mereka hanyalah
‘cinta monyet’.
“You pula buat apa kat sini, Anggun?” tanya Luth.
Buntang mata Anggun memandang Luth. Soalan
lelaki itu tersangatlah tidak munasabah.
“Mmm... rasanya kat kafe ni kita boleh buat apa ek?”
Anggun angkat kening bersama senyum nipis.
Okey! Luth rasa nak ketuk kepalanya kerana
bertanyakan soalan yang sudah terang jawapannya. ‘Aduh!
Kut ya pun kau bingung Luth, janganlah tunjuk sangat.’
“Sorry. Sorang ke?” Luth tukar soalan.
“Taklah. Tu... dengan kawan sekerja I. I baru pindah
tempat kerja dekat-dekat sini, diaorang yang suggest tempat
ni. Katanya kopi kat sini sedap,” jujur Anggun mengatakan.
Dia seorang penggemar kopi. Apabila rakan-rakan sekerjanya
bercerita tentang tempat ini, dia terus putuskan untuk ke
sini.
“Ooo, kopi kat sini memang sedap. Barangkali sebab
pembuat kopinya cantik kut,” puji Luth dalam senyum manis.
Dia teringatkan Q yang sedang memuncung. Dalam protes
pun, moka Q tetap juga sedap.
“Really?” soal Anggun bersungguh-sungguh.
Luth tersenyum penuh makna.
“Nak tahu betul ke tak, you kena cubalah. Sekejap
ek,” Luth bangun ke kaunter bar, manakala Anggun kembali
menyertai kawan-kawannya.
“Anggun, you kenal ke mamat tu?” soal Mila.
“Ya. My ex. Kenapa?” pelik pula Anggun dengan riak
teman-temannya itu.
“What?” bersatu suara teman-temannya. Terkejut
mereka dengan kenyataan Anggun.
Anggun memandang pelik ke arah Mila dan Suraya.
“Hei, yang you guys terkejut sangat ni kenapa? Ex
kut.” Anggun menjongketkan bahu. Macam-macam saja.
“Anggun, you tahu tak yang ex you tu pemilik kafe
ni?” soal Suraya pula.
“Hah?” Bulat mata Anggun memandang Mila
dan Suraya. Setahunya, Luth bukan yang jenis menyukai
perniagaan. Lelaki itu hanya ada satu minat saja dalam
hidupnya. Dan Luth sanggup melakukan apa saja untuk
minatnya itu. Takkanlah jangka masa 3 tahun ini telah
merubah seorang Luth Haqiem? Cuma satu yang dia tahu,
Luth memang daripada kalangan orang berada, tidak terlalu
kaya dan tidak juga miskin. Cukup senanglah perempuan
yang bakal menjadi isteri lelaki itu nanti.
“Tapi you memang takkan ada peluang dah,” tambah
Mila.
“Kenapa?” laju Anggun menyoal. Itu tidak bermakna
yang dia masih berharap kepada Luth. Cuma dia mahu tahu
apa yang dimaksudkan oleh Mila dan Suraya. Ataukah Luth
sudah berkahwin?
“Tu... you nampak that girl yang pakai topi tu...”
Anggun ikut pandang arah yang ditunjuk oleh
Suraya. Dia nampak gadis yang dimaksudkan oleh temannya
itu. Matanya juga jelas melihat aksi Luth bersama si gadis
yang sedang memeluk tubuh dengan muncung panjang. Dari
jauh, kelihatan Luth seperti sedang memujuk si gadis.
“Gadis tu... Luth’s girl,” ujar Suraya.
“Maksudnya?” tanya Anggun teragak-agak. Sukar
untuk dia percaya dengan apa yang didengarinya ini.
“Maksudnya, diaorang berdua ada sesuatu. Semua
pelanggan kat sini dah tahu. Kalau pelanggan tetap kafe
ni, memang mereka akan gunakan gelaran tu untuk gadis
tu. Dan memang takkan ada yang berani kacau,” jelas Mila
bersungguh-sungguh.
“You tahu Anggun, sebelum ni ada budak kolej mana
entah, datang minum kat kafe ni. Tiap-tiap hari dia datang
tak pernah culas. Rupanya dia sukakan gadis tu. You tahu apa
yang ex you buat?” celah Suraya.
“Apa?” soal Anggun tidak sabar.
“Dia cakap, siapa yang nak rapat dengan gadis tu
kena lalui dia dulu. Sebab gadis tu dah tandatangan perjanjian
bekerja dengan dia seumur hidup. Yang paling gempak,
you tahu dia cakap apa? Jangan datang kafe dia kalau nak
menggatal dengan pekerja dia,” cerita Suraya.
Mila mengangguk mengiakan apa yang disampaikan
oleh Suraya.
Anggun tutup mulutnya dengan tapak tangan.
Dia tidak silap dengar, kan? Cerita yang dia baru dengar
ini, sesuatu yang baru tentang Luth Haqiem. Kemudian
dikalihkan pandangan ke kaunter bar sekali lagi. Dia nampak
Luth yang sedang menongkat dagu memandang si gadis
sedang membuat kopi. Dari jauh, dia nampak bibir Luth yang
menyengih. Walaupun dari belakang, dia boleh nampak aura
yang terpancar dari susuk Luth; lelaki itu sedang bahagia.
Luth hendak bersama siapa, dia tidak kisah. Kerana
kisah cinta mereka telah lama tamat. Dia sendiri pun sudah
memulakan hidup baharu. Yang menghairankannya, Luth
bukan jenis yang suka melabelkan haknya dan gadis itu
bukan cita rasa Luth. Sesuatu yang sangat mengejutkan
bahawa Luth telah berubah kerana seorang gadis. Pasti ada
sesuatu pada gadis itu yang mampu menarik Luth.
Q meletakkan cawan dengan kasar sehingga
menghasilkan bunyi berdenting. Menunjukkan protes kerana
memaksanya membuatkan kopi untuk... ex-girlfriend Luth.
Ex-girlfriend tau!!! Lagi menyakitkan hatinya apabila melihat
bibir Luth yang tersengih-sengih. Entah mana yang lucu pun
dia tidak tahu. Barangkali gembira kerana berjumpa kembali
si bekas kekasih.
“Janganlah kasar sangat. Pecah cawan tu nanti, satu
hal pula kena beli lain,” lembut Luth menegur. Ulas bibirnya
masih menayangkan senyum.
“Hesy!” Q mendecit. “Pergilah sana! Dah siap saya
panggillah,” halau Q.
“Kut ya pun cemburu, simpanlah dulu. Buat kopi
tu sedap-sedap. Nanti aura cemburu tu masuk dalam tu,
tak sedap pula kopinya. Pahit, masam...” mendatar nada
Luth mengomen. Langsung tidak terkesan dengan apa yang
dikatakan oleh Q tadi. Hatinya tercuit dengan riak Q. Baru
cakap bekas teman wanita, muncung dah sedepa.
‘Grr... kita pula dikatakan cemburu! Kita tak
cemburulah! Kita...’ Kata-kata itu mati di situ. Q telan liur.
Kalau tak cemburu, kenapa dia rasa begini? Kenapa dia rasa
nak marah? ‘Eh, aku marah bukan sebab ex dia, tapi sebab dia
paksa aku buat kopi sedangkan dia tahu aku tengah protes
dengan dia.’
“Nah, siap.” Tiga cawan kopi terletak elok di atas
dulang bersama dengan tiga ketul donat dan dua set nasi
lemak. Itu yang Luth suruh dia letakkan.
“Jom!” ajak Luth.
“Eh, ke mana pulak?” Berkerut kening Q.
“Hantar nilah,” Luth menjuihkan bibir ke arah
dulang yang penuh itu.
“Hah?”
“Come darling,” panggil Luth lagi.
Dengan perasaan berbuku, Q ikut juga.
‘Kenapa aku? Bukannya si Aqil tu ada kerja pun!’
Dijeling Aqil yang sedang leka dengan telefonnya. Tidak ada
lain, main gamelah tu.
“Hai girls. Sorry, lambat,” sapa Luth ramah.
“It’s okay Luth,” jawab Anggun mewakili Mila dan
Suraya.
“My girl merajuk sikit. Itu yang lambat. Okey,
espreso untuk you and you.” Luth meletakkan cawan kopi
espreso di hadapan dua orang teman Anggun yang dia tidak
tahu namanya apa.
Pandangan mata Anggun, Mila dan Suraya berlaga.
Anggun dapat membaca isyarat mata yang diberikan oleh si
teman saat perkataan ‘my girl’ meluncur laju daripada ulas
bibir Luth. Tanpa nada kekok langsung, bagaikan itu yang
Luth mahukan. Mungkin betul yang Luth sudah berubah.
Q menelan liur tidak puas hati. Kenapalah lidah
Luth sekarang petah sangat? Sikit-sikit ‘my girl’. Sikit-sikit
Q darling. Huh! Lebih menyakitkan, yang dia sedang dengar
sekarang ini.
“Latte for Anggun. Your favourite coffee.”
‘Amboi, siap ingat lagi minuman kegemaran bekas
teman wanita dia! Patutlah beria-ia suruh aku buat latte ni
sedap-sedap. Isy!’
“Thanks Luth. Tak sangka you masih ingat favourite
coffee I,” ujar Anggun lunak. Matanya mengerling reaksi si
gadis di sebelah Luth yang sedari tadi hanya berdiam diri.
Sengaja mahu menduga sebenarnya.
“Mestilah I ingat. You yang paling lama bertahan
dengan I,” ujar Luth selamba, tidak perasan perubahan pada
wajah Q. Pipinya mengembang dek senyuman yang lebar.
Bangga mengingatkan zaman kegemilangannya menjadi
kegilaan perempuan. Namun satu pun tidak pernah kekal
lama di sisinya. Paling lama bertahan 2 atau 3 bulan sahaja.
Anggunlah satu-satunya wanita yang lama bertahan
dengannya. Hampir setahun juga mereka berpasangan
sebagai kekasih. Namun akhirnya mereka berpisah setelah
masing-masing merasakan terlalu banyak komitmen yang
perlu diutamakan.
Anggun ketawa halus mendengar kata-kata Luth. Ya,
dia tahu Luth merupakan pujaan gadis-gadis di luar sana. Dan
dia bertuah dapat bertahan di sisi Luth. Jodoh mereka tidak
kuat. Persetujuan untuk berpisah bukan daripada Luth saja,
tapi atas persetujuan bersama. Kata Luth, andai ada jodoh,
pasti mereka akan bertemu kembali. Rasanya kata-kata itu
sudah tidak relevan lagi memandangkan Luth sudah punya
pengganti dirinya.
“Ehem,” Q berdeham. Dulang diletakkan di atas
meja. Kemudian dia memandang Luth sebelum mengalih
pandangan ke arah tiga orang pelanggan di hadapannya.
Senyum dilemparkan walaupun hambar.
“Bos nak buat jejak kasih, silakan. Kaki saya dah
lenguh berdiri. Jadi... izinkan saya berlalu dulu, tuanku.” Q
menjunjung tangan seperti menyembah raja sebelum berlalu
pergi.
Luth terpinga-pinga. Erkk, bila pula dia buat jejak
kasih? Dipandang belakang tubuh Q yang kian menjauh.
Meletus tawa Anggun.
“Dia cemburu tu,” ulasnya.
Luth menarik sengih. Cuping telinga digaru lagi.
“You ni tak pernah berubah. Asal blur aje garu
telinga,” omel Anggun.
“Tabiat. Jemputlah makan. Harap suka pilihan I ni.
Kalau ada sebarang komen, you all boleh beritahu I,” pelawa
Luth sebelum meninggalkan Anggun dan teman-temannya.
Dia mahu menjejaki Q.
“Kau kenapa ni? Muka masam macam asam keping
aje,” tegur Khairul.
“Tu, bos korang itulah. Sibuk nak buat sesi jejak
kasih dengan bekas kekasih dia. Huh! Elok sangatlah tu.
Macamlah takde hari lain. Ajaklah jumpa tempat lain. Jauh
sikit dari mata aku ni,” bebel Q. Pinggan di dalam singki
diambil lalu dibasuh.
Azrai dan Khairul bertukar pandangan sebelum
kedua-duanya tersengih penuh makna.
“Korang jangan nak cakap aku cemburu pulak!” ujar
Q bersama jelingan tajam. Bukan dia tak tahu perangai dua
beradik itu. Sama saja dengan Aqil dan Luqman.
Khairul dan Azrai buat isyarat tutup mulut. Tubuh
mereka sudah bergegar menahan tawa apatah lagi setelah
mendengar ocehan yang bersambung daripada Q. Tidak puas
hati lagi rupanya!
Luth yang mendengar di sebalik dinding tertawa
kecil. Comel kalau Q marah. Sebab itulah dia sengaja
suka mencari pasal dengan gadis itu. Gadis itu, walaupun
sebanyak mana marahnya, pasti akan mendiamkan diri atau
menghindarkan diri daripadanya. Bukan sejenis yang suka
membebel tidak sudah. Paling tidak, Q akan memprotes saja.
Luth kembali ke ruang kafe. Dia mahu lihat sejauh
mana gadis itu akan melancarkan protesnya kali ini.
No comments:
Post a Comment