Thursday, 16 April 2020

Gengster - Bab 3

BIJA pelik, sudah masuk kali ketiga dia menerima bantuan dari badan NGO yang tidak diketahui organisasinya. Dia tidak pernah memohon apa-apa dari mana-mana perbadanan kerana kesusahannya. Dia masih mampu bertahan walaupun gajinya cukup-cukup makan. Lambat-laun dia yakin dapat mengatasinya kerana gajinya akan meningkat setiap tahun. Hanya masa akan menolongnya.

“Saya dari perbadanan persendirian mendapat maklumat yang puan memerlukan pertolongan. Puan jangan risau, bantuan kami ikhlas dan boleh dipercayai. Jika puan ragu-ragu, puan boleh hubungi NGO kami.” Lelaki bertali leher dan berkemeja kemas itu menghulurkan sekeping kad nama.

Bija ragu-ragu sewaktu mencapai kad itu.

“Yayasan Cahaya?” Dia masih curiga. Dunia sekarang bukan boleh percaya, semua bersebab. Tidak mustahil perbadanan ini juga. Dia tidak ingin terjebak dengan perkara-perkara tidak betul yang mungkin melibatkan jenayah atau akidahnya.

“Puan boleh hubungi admin kami. Percayalah, kami hanya NGO biasa yang hanya nak menolong.” Lelaki itu cuba meyakinkan wanita di hadapannya.

“Baiklah, terima kasih.” Bija tidak mahu bercakap lebih lama di depan pintu rumahnya. Nanti menjadi fitnah pula. Sudahlah dia selalu menjadi buah mulut di flat itu. Dia tidak mahu menambah lagi fitnah yang sudah sedia ada.

“Puan kena terima barangan makanan yang kami bawa ni.” Beberapa plastik Giant berisi pelbagai barangan makanan dihulurkan kepada wanita itu.

“Saya tak boleh terima. Maaf.” Bija tak ingin menerima. Dia tidak tahu siapa yang memberi. Dia tidak tahu niat dan asal barangan itu. Perasaannya waswas dan dia tak akan mengambilnya.

“Maaf juga sebab saya tak boleh bawa semua barang-barang ni balik. Ini amanah NGO, saya harus sampaikan.” Lelaki itu berkeras terus meletakkan semua barangan di depan pintu Bija.

“Eh, encik...” Bija masih ingin membantah tetapi lelaki itu terus pergi. Langsung tidak menyahut panggilannya. Sudahnya, dia terpaksa juga membawa masuk segala barangan yang ada.

Selepas meletakkan semuanya di dapur, Bija melihat kembali kad yang diberikan oleh lelaki itu tadi. Kemudian, terus didail nombor yang tertera pada kad nama itu.

“Helo...” Bija dengan suara teragak-agak.

“Hah, helo!” Kasar suara yang menyambut panggilan dari sana.

Bija terkejut.

Err... helo, ini Yayasan Cahaya ke?” tanya Bija ragu-ragu. Mungkin dia tersilap dail. Lama talian dibiar sepi.

Hmm... betul. Yayasan Cahaya. Siapa yang bercakap di talian?” Suara yang menjawab kasar tadi sudah bertukar lunak. Bija semakin curiga.

“Saya Nurbijaseri, pihak tuan ada datang ke rumah saya bawa bantuan dari perbadanan tuan. Saya cuma nak cakap saya tak pernah mohon apa-apa dari mana-mana perbadanan pun. Saya rasa pihak tuan salah orang ni,” ujar Bija menyatakan ketidakpuasan hatinya.

“Begini puan, saya Haji Sani pemilik Yayasan Cahaya. Pihak kami telah menerima permohonan puan dari pihak hal ehwal pekerja di tempat kerja puan. Puan salah seorang nama yang telah diberikan untuk menerima bantuan kami. Mungkin mereka dah pilih, dah tapis dan nama puan tersenarai,” jelas Haji Sani dengan suara bersahaja.

“Ya ke?” Bija masih ragu-ragu. Tetapi, dia pernah juga dipanggil oleh pihak atasan kerana gajinya ditakat negatif suatu waktu dulu. Mungkin juga...

“Ya, puan.”

“Baiklah, tetapi selepas ini saya rasa cukuplah apa yang tuan bagi tu. Saya tak perlukannya.” Bija mengalah tetapi memberitahu itulah kali terakhir dia menerima bantuan dari perbadanan lelaki bergelar haji itu.

“Terima kasih.” Bija matikan talian. Kemudian dia ke dapur, mengemas segala barangan yang ada di dalam plastik. Sewaktu mengemas barangan, dia dikejutkan lagi dengan penemuan sampul surat berisi beberapa keping wang bernilai RM100. Apabila dikira-kira, kesemuanya berjumlah RM1000. Biar betul!

Bija bukan menjadi senang hati, tetapi bertambah susah hati!

 

“KAU NI! Terperanjat beruklah perempuan tu tiba-tiba dapat bantuan makanan. Lepas tu, kau masukkan lagi duit RM1000. Aku pasti, mesti dia terkejut gila!” Malik gelak besar dengan apa yang dilakukan oleh Sunny. Nak tolong, tolonglah... tetapi biarlah natural sikit.

“Jangan sibuklah!” Sunny merengus kerana ditertawakan. Dia hanya mahu menolong dek terlalu kasihan dan tidak sampai hati melihat wanita itu makan tidak tentu hala. Mia hari-hari makan mi segera, memang tak sihat!

“Haji Sani? Terbaik! Hahaha...” Gelak Malik makin menjadi-jadi.

“Baik kau diam! Tak pasal-pasal aku bagi makan dengan tapak kasut aku ni, kan.” Sunny berang ditertawakan lagi oleh teman seperjuangannya.

“Menangis ayahanda kalau tahu kongsinya dah jadi NGO. Apa kau temberang perempuan tu? Yayasan Cahaya? Wah... terbaik, bro!” Malik tepuk bahu Sunny berkali-kali. Menganjing!

Arghh...” Sunny membentak. Dek terlalu bengang, dia membawa diri ke dalam biliknya, malas hendak melayan Malik lagi. Tak pasal-pasal nanti, betul-betul dia bagi makan tapak kasut!

“Nurbijaseri...” Tercetus nama itu di bibirnya. Barulah dia tahu nama perempuan itu yang sebenarnya. Sunny tersenyum nipis.

 

BIJA PULANG dari bekerja petang. Selepas turun dari LRT dia menapak menuju ke rumahnya. Dia pulang agak lewat kerana urusan kerjanya belum selesai. Biasalah, sebagai jururawat bekerja di jabatan kecemasan dia sudah bersiap sedia dengan sebarang kemungkinan termasuklah pulang lambat.

“Hai, cik misi! Baru balik?”

Bija ditegur seorang lelaki. Dia menoleh, rupanya suami Midah. Tak dia endahkan lelaki itu dan terus berjalan.

“Kenapa cepat sangat jalannya. Kita jalan samalah...”

Suara suami Midah lembut semacam pada pendengaran Bija. Dia buat tak tahu dan meneruskan langkahnya. Kalau dilayan nanti semakin menjadi-jadi. Tak pasal-pasal, dia juga yang dicap menggatal. Huh!

“Bija semakin cantik sekarang selepas bercerai. Geram aje abang tengok!” Khalil cuba mengurat janda cantik itu. Matanya menjelajah penuh nafsu di belakang cik misi. Dia geram menilik tubuh badan Bija yang mengenakan seragam putih mengikut bentuk badan. Mata kurang ajar Khalil tak berkelip melihat punggung lentik cik misi. Ooo... la... la...

Bija geli-geleman mendengarnya. Langkah dilajukan lagi. Suami Midah sepertinya tidak faham bahasa menyaingi langkahnya, selepas itu suka-suka hati menyenggol bahunya beberapa kali. Eee... geli tahu!

“Hesy, ke tepilah!” Bija merengus marah. Bengang dengan sikap miang suami Midah yang sesuka hati menyentuh badannya.

“Mesti Bija dah lama gersang, kan?” Tanpa rasa segan Khalil bertanya. Bahu wanita itu dipaut tanpa izin.

“Hei!” Bija menjerit. Terkejut sangat dengan sikap kurang ajar suami Midah.

Khalil pandang sekeliling. Senyap dan sunyi. Dia tersengih. Urusannya semakin mudah dengan keadaan sekeliling sunyi sepi.

Mehlah ikut abang...” Khalil tangkap pergelangan tangan Bija. Nafsunya bergelora setiap kali melihat wanita itu sewaktu bergelar isteri orang, sementelah sudah menjadi janda seperti sekarang. Tak akan dilepaskan peluang yang sudah berada di depan mata.

“Apa ni? Janganlah!” Bija cuba merentap lengannya. Namun lelaki itu memperkemaskan pegangan tangannya malah menarik dia secara paksa ke tempat gelap.

“Ikut abang sekarang! Bija pasti suka, abang pandai melayan perempuan tau. Midah isteri abang tu hari-hari nak, cuma abang aje yang tak lalu. Badan dahlah kepam, tembam, tak selera abang.” Khalil sempat merungut tentang isterinya.

“Lepaskan! Bija ni janda, ada anak. Jangan buat Bija macam ni. Kasihankan Bija...” Bija merayu jangan diapa-apakan dirinya.

“Jandalah abang suka. Banyak pengalaman. Nanti kita sama-sama tunjuk pengalaman kita, nak? Jom, abang dah tak tahan ni.” Khalil memujuk lantas cuba memeluk. Bija sempat menendang kaki Khalil lalu melepaskan diri dengan berlari selajunya.

“Bija, jangan lari!” Khalil sempat menarik lengan Bija. Lantas dipegang kedua belah bahu Bija dengan kuat.

Bija cuba meloloskan dirinya namun pegangan lelaki itu kuat. Dia terpaksa meronta-ronta untuk melepaskan dirinya. Dicuba sedaya mungkin namun suami Midah menguatkan lagi pegangan di bahunya.

“Bija, bukan luak pun! Bukan Bija tak pernah buat sebelum ni. Sekali aje,” pujuk Khalil di telinga Bija. Seluruh badannya menggeletar menahan nafsu. Kalau diikutkan, di sini juga dia mahu merentap seragam putih janda itu tetapi tempat tidak mengizinkan. Kalaulah dapat ke rumah janda itu lagi bagus. Dia hanya perlu pandai memujuk.

“Nanti abang bagi duit. Bija perlukan duit, kan? Abang tahu Bija banyak berhutang. Kalau Bija pandai melayan, abang boleh tolong Bija langsaikan hutang. Kita pergi ke rumah Bija, ya?” pujuk Khalil dengan suara paling lembut dan menggoda.

“Lepas! Lepas!” Bija berang mendengar kata-kata lelaki itu. Sepertinya dia seorang perempuan yang sangat terdesak sehinggakan sanggup menggadai maruah. Silap besar!

“Bija sayang...” Hanya bicara yang lembut di lidah tetapi fizikal Khalil masih mengasari sehingga Bija terperosok di tepi dinding. Dihentak kuat!

“Tolong! Tolong!” Serentak itu juga Bija menjerit nyaring meminta pertolongan.

Syhh... janganlah menjerit!” Khalil tangkas menekup mulut Bija. Tetapi, Bija pantas memijak kaki bedebah itu kuat-kuat dan lari semahunya.

“Tolong saya! Tolong saya!” Bija berlari menonong sehingga tidak sedar merempuh seseorang di depan kerana kepalanya sibuk memandang ke belakang.

Arghh...” Bija berlaga dengan seseorang. Momentum perlanggaran sangat kuat. Dia hampir terjatuh tetapi tubuhnya sempat ditahan oleh orang yang merempuhnya.

Bija mendongak.

“Awak?” Terkejut.

“Kau?” Terkejut juga!

Mereka berdua saling berbalas pandang. Bija di pihak paling terkejut kerana boleh terjumpa lagi dengan lelaki yang pernah memecah masuk kereta dan mengugut dia dahulu. Ingatkan sudah arwah kena tetak, rupanya hidup lagi!

Bija bertambah takut. Dia hampir terlepas daripada mulut buaya bertembung pula dengan harimau. Kenapalah nasibnya terlalu malang hari ini? Dia tertoleh-toleh ke belakang, bimbang jika dia masih dikejar suami Midah. Sebelum lelaki jahat itu ingin berbuat jahat padanya baik dia lari cepat.

“Kau dah kenapa? Lari macam kena kejar polong?” Sunny menyoal penuh curiga. Tadi, dia sibuk memerhati rumah Bija tetapi rumah wanita itu masih gelap menandakan tiada sesiapa di rumah. Hari ini, dia tidak terfikir untuk mengekori Bija dari tempat kerja seperti kebiasaannya. Dia hanya menunggu di depan rumah itu sahaja.

Setelah berada lama di situ, dia berasa tidak sedap hati pula. Sepatutnya pada waktu begini, rumah itu sudah pasti terang dengan lampu. Disebabkan itu, Sunny bergegas ke stesen LRT, mana tahu mungkin Bija baru pulang dari bekerja. Alih-alih, orang yang dinanti berlari macam orang dikejar polong. Wajah janda yang sedang berpeluh-peluh itu ditatap dengan penuh tanda tanya.

“Jangan lari!” Khalil yang mengejar dari belakang baru sahaja sampai. Terkejut melihat Bija dengan seorang lelaki yang tidak dikenali. Diperhati lelaki itu dengan dahi berkerut, meneliti jika dia mengenali lelaki itu. Namun, Khalil tidak mengenali lelaki itu. Inilah kali pertama dia melihat wajah itu di kawasan ini.

Tatkala melihat kelibat Khalil, Bija terus memegang lengan lelaki jahat itu lalu bersembunyi di belakang lelaki yang pernah memecah masuk keretanya. Tak pasti kenapa, dengan lelaki itu dia rasa lebih selamat.

“Kau siapa?” tanya Khalil kasar. Sakit matanya melihat Bija memegang erat lengan lelaki lain. Dengan dia tak mahu tetapi dengan jantan lain boleh pula berpegang-pegangan tangan. Dia sangat cemburu kerana lelaki di hadapannya bukan sebarang lelaki, ternyata seorang lelaki yang kacak rupanya. Mengenangkan diri yang kurang dari segi rupa, Khalil rasa cukup tercabar.

“Aku?” Sunny tunjuk jari pada dirinya sendiri. Pegangan erat tangan perempuan itu pada lengannya membuatkan dia seperti orang bingung seketika.

“Oh... dengan lelaki lain boleh, dengan abang tak boleh. Lelaki macam ini yang Bija suka ke? Tak pasal-pasal kena main saja nanti!” cemuh Khalil. Bengang kerana janda itu lebih memilih lelaki lain daripadanya.

“Hei, hei... siapa cakap aku suka perempuan ni? Kau pandai-pandai aje!” Sunny menafikan. Pandang Bija dengan sebelah mata. Konon bukan cita rasanya.

“Hei, hei... saya pun tak suka awaklah!” Bija rasa sentap dengan kenyataan lelaki samseng itu. Terus dilepaskan pegangan tangannya pada lengan lelaki itu. Ingat dia suka lelaki samseng seperti itu? Huh, tak kuasa!

“Aku? Nak suka perempuan macam kau ni? Nehhh...” Sunny menggelengkan kepalanya. Sengaja meremehkan wanita di hadapannya.

Ini satu penghinaan! Bija merenung tajam lelaki samseng itu dengan gigi diketap-ketap geram.

“Hei, hei... aku ni ada lagi kat sini! Jangan buat aku macam tunggul, heh!” Khalil bengang, dia seperti halimunan pula di situ. Seperti melihat pasangan bercinta bergaduh. Huh, tak boleh jadi!

“Kau apa hal main kejar-kejar ni? Tadika dulu tak puas main lagi ke?” tanya Sunny sempat menilik lelaki di hadapannya. Macam mamat penagih! Sunny mengagak lelaki tak semenggah itu cuba berniat tidak baik dengan perempuan ‘jagaannya’. Silap besar, bro!

“Kau tak berminat dengan perempuan ni, kan? Baik kau blah!” halau Khalil setelah melihat reaksi lelaki itu yang tidak menunjukkan minat pada si janda. Khalil ingat dia masih punya harapan mendapatkan janda itu. Namun, ternyata harapannya hanya tinggal harapan.

“Aku memang tak minat! Tapi, itu aku punya pasallah! Baik kau yang blah!” Habis tutur, Sunny sengaja melarik senyuman sinis kepada Bija. Rupa cemberut wanita itu tatkala mendengar kata-katanya sangat menggelikan hatinya. Seronok pula dapat mengenakan ibu tunggal itu.

“Bukan aku tapi kau yang blah!” Bengang mendengar kata-kata lelaki yang tidak dikenali itu, Khalil terus menerkam lalu memberi sedas penumbuk di muka Sunny. Rasakan!

Terpaling muka Sunny ke tepi dengan tumbukan Khalil. Namun, kaki masih tegap berdiri biarpun ditumbuk kuat. Nafas dihela. Ibu jari dibawa ke tepi bibir terasa sedikit pedih di situ. Walau terkenal dengan ketangkasan namun Sunny terpaksa mengakui cuai kali ini. Natijahnya, kerana terleka berlawan sabung mata dengan perempuan itu. Dia suka melihat perempuan itu sakit hati dengannya. Comel betul dengan muka kemerah-merahan.

Sunny membetulkan kepalanya yang terasa seperti tergeliat sedikit akibat ditumbuk. Okey, sekarang adalah masa buku bertemu dengan ruas!

Sunny senyum bersahaja, sedang menanti gerak langkah samdol di depannya. Bibirnya herot, jenis samdol seperti ini dia boleh mengagak pasti gaya pasar lambak yang keluar. Carca marba, janji kaki tangan naik.

Khalil menyerang lagi. Kali ini setiap tumbukan hanya merasa angin kerana Sunny tangkas mengelak. Tatkala melihat samdol itu sudah kepenatan memukul angin dengan sekali libasan seperti sepak takraw, samdol itu jatuh tidak bangun-bangun. Terus knock out!

Saat dipusingkan badannya untuk melihat Bija, tidak dia sangka wanita itu betul-betul berada di belakangnya. Disebabkan itu kakinya terpijak kaki Bija dan wanita itu menjerit. Dek terkejut, Sunny hilang imbangan badan dan mereka berdua sama-sama terjatuh lalu Bija pula dihempapnya. Rezeki dapat landing tempat baik. Apa nak kata bukan dia sengaja, kan!

“Sakitlah!” Bija mengaduh sakit. Dia cuba menggerak-gerakkan dirinya supaya samseng yang menghempapnya itu cepat mengalihkan badannya. Dia terasa sukar bernafas.

Sunny cepat-cepat bingkas bangun.

“Aduh...” Bija mengaduh sakit tatkala dia membetulkan alignment badannya setelah bangkit.

“Sikit aje tu!” Sunny mencebik bibirnya. Bukan dia hempap betul-betul pun.

“Nasib saya selalu malang kalau berjumpa dengan awak. Hari tu suka hati awak karate tengkuk saya sampai saya tak sedarkan diri. Saya tak pergi kerja hari tu, sister tuduh saya absent, tahu tak!” Bija mengungkit kisah sebulan yang sudah. Sister tidak mahu terima alasannya dan terus mengklasifikasikannya sebagai tidak hadir. Apa lagi, surat tunjuk sebab perlu dihantar segera. Rosak habis reputasi pekerjaannya.

Bukan itu sahaja, disebabkan lelaki itu, dia menjadi sangat trauma. Setiap kali pulang bekerja, selagi tidak berpuas hati dia akan memeriksa keretanya sebelum masuk. Lelaki itu membuatkan dia hidup ketakutan sebulan lamanya. Selepas itu, nasibnya bertambah malang apabila diceraikan begitu sahaja oleh bekas suaminya. Bayangkan, bertimpa-timpa!

Kini, lelaki itu muncul lagi. Hairan kerana dia tidak pula merasa takut seperti sewaktu mula-mula bertemu dahulu. Wajah lelaki itu kelihatan bersih dan jernih, tidak seperti dahulu dipenuhi dengan jambang dan berlumuran dengan darah. Dalam diam, Bija baru perasan lelaki itu kacak juga orangnya.

“Aku tak buat apa-apa dengan kau! Kau yang pengsan dulu.”

Memang betul pada malam itu Sunny ada mengangkat tangan, tapi bukan niat hendak memukul, dia hanya hendak menakutkan Bija. Baru angkat tangan tinggi-tinggi, boleh pula wanita itu tiba-tiba pengsan. Puas dikejut, tetapi tidak juga bangun-bangun. Sudahnya, dia terpaksa mengangkat Bija ke atas katil.

Sunny yang sedang menahan kesakitan boleh pula menjaga Mia yang tiba-tiba terbangun daripada tidur. Disuruh tidur kembali tidak mahu. Terpaksalah dia menjadi babysitter pada malam itu dan berulang kali si kecil itu memanggilnya papa. Entah kenapa, Sunny cukup tersentuh melihat anak kecil itu.

Akhirnya, anak kecil itu tidur di pangkuannya setelah diberikan susu. Dan perkara yang paling susah hendak percaya, dia boleh pula membancuh susu. Serius, Sunny rasa bertumbuk lagi senang daripada membancuh susu budak.

“Ya ke?” Bija tidak percaya. Dia cuba mengingati semula kejadian malam itu. Seingatnya lelaki samseng itu ada mengangkat tangan dan dia tidak mengingati apa-apa lagi selepas itu. Sedar-sedar, dia sudah berada di atas katil bersama Mia.

“Samseng aku tak pukul perempuan, okey!” Sunny menafikan.

Bija garu kepala cuba mengingati lagi malam itu.

“Dah, dah! Tak payah nak diingat-ingatkan lagi malam tu. Pasal samdol tadi tu, kau nak biarkan aje ke?” tanya Sunny.

“Biarkan sajalah dia tu,” putus Bija. Sebenarnya dia malas mahu berkonfrontasi dengan isteri samdol yang dikatakan oleh lelaki samseng itu. Biarlah, Bija tidak sanggup berdepan dengan Midah. Azabnya hanya Allah yang tahu. Sangat menggerunkan!

“Kenapa pula?” Sunny tidak berpuas hati. Samdol seperti itu perlu diajar hormat dengan perempuan. Biar ke lokap baru padan dengan muka.

“Okey, beginilah... kita seri! Saya pernah tolong awak, awak pernah tolong saya. Selepas ni, buat hal masing-masing. Kalau awak kena tetak ke, apa ke, jangan masuk kereta saya lagi. Eh, jangan libatkan saya lagi!” putus Bija kepada lelaki samseng itu pula. Bija tidak mahu ada kaitan dengan lelaki samseng itu. Dia berharap mereka tak akan berjumpa lagi.

“Okey, selepas ni kalau kau kena rogol depan aku, aku tak peduli!” getus Sunny. Sakit hatinya mendengar kata-kata ibu tunggal itu. Selama ini dia selalu menjaga wanita itu dari jauh dan ini pula balasan yang diterimanya. Tak mengenang budi langsung!

Hmm, okey...” Bija angkat kedua-dua bahunya. Macamlah dia hadap sangat pertolongan daripada lelaki seperti itu. Seorang samseng. Baik dia meminta pertolongan daripada pihak polis. Itu barulah betul.

Bija terus berpusing. Dia sudah terlambat mengambil anaknya di rumah pengasuh baharu yang jauhnya dua blok dari rumahnya. Bija terpaksa kerana tiada sesiapa yang sudi menjaga anaknya lagi. Nafas ditarik dalam-dalam. Hidupnya sangat susah sekarang ini tetapi dia berusaha menghadapi dugaan Allah ini dengan setabahnya. Berharap Allah kurniakan kekuatan kepadanya.

“Hei, tunggu!” Selamba Sunny memegang tangan Bija, menahan wanita itu dari pergi.

“Apa ni?” Bija rentap tangan lelaki itu. Dia tidak suka lelaki itu sewenang-wenangnya memegang tangannya. Selepas Khalil, lelaki samseng ini pula. Dia penat tahu!

“Kau tak nak report polis pasal samdol tu dah ganggu kau?” tanya Sunny dengan wajah serius.

“Buat apa? Lebih baik saya report pasal awak yang pecah masuk kereta saya, rumah saya, mengugut, lepas tu serang saya!” Bija mengingatkan Sunny tentang perbuatannya dahulu. Perbuatan suami Midah kalau nak dibandingkan dengan samseng ini dahulu, lagi teruk samseng ini lagi.

“Weh, mulut kau boleh tahan eh! Aku kerat lidah kau karang!” Sunny bertukar menjadi bengis. Wanita itu sudah tidak takut dengannya. Sakit hati pula dengan kelancangan mulut wanita di hadapannya itu.

“Tak habis-habis, saya ni dah lambat nak ambil Mia. Apa pun, terima kasih tolong saya.” Bija tidak peduli dengan lelaki itu. Apa nak jadi, jadilah! Pasti Mia tertunggu-tunggu kedatangannya.

“Hei, hei.” Sunny menahan lagi.

“Apa lagi?” Bija pusing badannya dengan muka tidak acuh. Dia sudah lambat. Lelaki samseng ini mahunya apa lagi? Rimas pula dia.

“Tadi kau hampir kena rogol. Kau boleh buat tak tahu aje?” Sunny masih tidak berpuas hati apabila Bija tidak mengambil sebarang tindakan dan hanya biarkan saja. Esok, lusa pasti samdol itu akan mengulangi lagi perbuatan itu.

“Jadi?” Bija tidak faham kenapa samseng ini perlu sibuk tentang halnya. Mereka berdua tiada kaitan langsung.

“Kenapa, pasal kau janda? Kau takut orang sekeliling tuduh kau menggatal, menggoda jantan, macam tu?” kata Sunny seakan meremehkan Bija.

Hati Bija terasa hiba. Kata-kata lelaki samseng itu seperti menuduh dia seorang janda gatal yang suka menggoda lelaki. Stigma masyarakat kepada perempuan berstatus janda dan lelaki samseng itu juga tidak terkecuali.

“Jangan ingat awak dah tolong saya tadi, awak boleh suka-suka kata saya macam-macam! Jaga sikit mulut tu!” Bija cukup terasa. Hampir air matanya menitis. Sebelum dia memalukan dirinya menangis di hadapan lelaki samseng itu, baik dia pergi dari situ secepatnya.

“Hei, dengar sini!” Sunny tarik kasar lengan Bija yang laju sangat nak pergi dari situ. Dia pantang kalau dia sedang bercakap, orang tidak mengendahkannya.

“Hei, sakitlah!” Terjerit Bija dengan tindakan kasar lelaki jahat itu. Sempat diseka air mata yang hampir jatuh. Lelaki samseng itu tak perlu melihat air matanya. Bija palingkan wajahnya dengan riak marah. Dengan beraninya dia menentang mata lelaki samseng itu.

“Kau nampaknya dah tak takut dengan aku! Kau ni nak kena diingatkan balik!” Sunny mencekak kolar leher baju Bija dengan tiba-tiba. Tangan diangkat tinggi.

Bija pejam mata, dia dapat merasakan mukanya bakal ditumbuk. Seluruh badannya menggeletar ketakutan. Tetapi, tidak semena-mena dia merasakan lelaki samseng itu hanya menjentik dahinya. Terpinga-pinga dia sewaktu membuka mata. Sakitnya boleh tahan.

Digosok dahinya beberapa kali. Tidak sangka lelaki samseng itu hanya menjentik dahinya. Berkelip-kelip dia memandang lelaki samseng itu. Sungguh, Bija tidak faham.

“Walaupun aku macam ni, tapi aku ada maruah sebagai samseng. Aku tak pukul perempuan!” Sunny tepuk bahu Bija beberapa kali. Hatinya puas tatkala melihat muka pucat itu sebelum beredar. Tahu pun takut!

Bija pandang lelaki samseng itu sehingga tidak kelihatan lagi. Jantungnya berdebar.

No comments:

Post a Comment