Monday, 13 April 2020

Maalik Hughes - Bab 4

MAALIK tegak di hadapan dinding kaca bilik pejabatnya. Memandang bangunan pencakar langit serta awan yang bergumpal tinggi di atas sana. Muk di tangan dibawa ke bibir dan kopi dicecap lagi. Terasa pahit kopi yang melalui rengkung. Sedang dia leka menikmati kopi yang masih berasap itu, telefon di atas meja berbunyi.

“Ya, mummy.” Riak wajah Maalik berubah serius.

“Maalik apa khabar? Sihat?”

“Sihat.”

“Kenapa dah lama tak call mummy?”

Kopi dicecap dan buat beberapa ketika dia diam menikmati. Membiarkan mummy menunggu jawapan daripadanya.

“Sibuk.” Hanya sepatah itu jawapan yang dia berikan.

“Sibuk sampai lupa mummy?” Kedengaran Puan Zarith ketawa di sebelah sana.

Seperti tadi, Maalik diam menghabiskan minumannya sebelum kembali bersuara.

“Ada apa mummy call?”

“Maalik tak nak balik sini, jenguk mummy?”

Nafas ditarik dalam.

“Maalik sibuk, mummy.”

“Itu sajalah alasan kamu setiap kali mummy bangkitkan soal ini. Memang kamu sudah lupakan kami agaknya.”

Pandangan Maalik beralih ke arah bingkai gambar yang berada di hujung meja kerjanya. Gambar dia bersama Lady Maisha dan satu lagi bingkai gambar dia bersama kedua ibu bapanya yang diambil ketika dia berusia 18 tahun. Gambar itulah yang sentiasa menjadi peneman ketika dia kelelahan menguruskan syarikat serta menjadi pengubat rindu apabila terlalu merindui keluarganya di London.

“Tak pernah lupa, mummy.”

Kedengaran Puan Zarith menghembus nafas keras di hujung talian.

Mummy nak kamu balik bulan depan, Maalik. Ada perkara yang mummy nak bincang dengan kamu,” putus Puan Zarith. Entah kenapa anaknya ini susah benar untuk pulang ke UK. Entah apa yang telah mengikat Maalik di sana.

“Tak boleh, mummy...”

“Balik, Maalik.”

Maalik turut menghela nafas keras apabila mummy mula memaksa.

“Kenapa tak mummy je yang datang ke sini? Dekat sini pun kita boleh bincang.”

“Jangan mula, Maalik.”

“Kalau macam tu, mummy juga tak perlu paksa Maalik...”

Nanna suruh Maalik kahwin.” Belum sempat Maalik menghabiskan kata-katanya Puan Zarith terlebih dahulu memotong.

“Kahwin dengan siapa?” soal Maalik tenang. Akhirnya isu yang paling dia cuba elak dibangkitkan juga.

“Dia tengok gambar kamu bersama seorang gadis yang bernama... Tasha?”

Maalik diam. Pasti gambar dia dengan Tasha sewaktu menghadiri majlis makan malam Tan Sri Zakuan.

Puan Zarith mendengus geram.

Mummy tak setuju dengan keputusan nanna. Jadi mummy nak kamu balik sini dan berkenalan dengan calon yang mummy telah pilih untuk kamu.”

“Keputusan mummy lebih mengarut daripada nanna. Maalik ada kerja, kita sambung lain kali.” Talian terus dimatikan dan tanpa rasa bersalah Maalik mencampakkan telefonnya ke atas meja. Butang ditekan dan Meen dipanggil masuk.

“Ya, bos.”

“Buatkan I kopi.”

Mata Meen mula membuntang.

“Cepat Meen.” Suara Maalik mula kuat apabila Meen masih tercegat dengan mata yang membulat. Bergegas pembantu peribadinya itu mendapatkan muk yang dihulurnya. Setelah huluran bersambut, Maalik menyambung semula kerja yang ditinggalkan seketika tadi.

 

FAIL DIPELUK kemas ke dada sambil mengatur langkah keluar dari bilik kuliah. Memandangkan subjek yang diambil tidak sama dengan Rai, dia hanya bersendirian sahaja ke kuliah hari ini. Tanpa memandang kiri dan kanan Elena terus menuruni anak tangga untuk ke kafeteria.

Hey girl.”

Pantas Elena berpaling kerana terkejut dengan teguran yang tiba-tiba dari arah belakangnya. Kerana pergerakannya yang pantas dia hampir terjatuh pada anak tangga yang paling bawah dan sepasang tangan bergerak menghalang badannya dari tersungkur.

“Amar!” Bulat mata Elena memandang wajah Amar yang begitu hampir dengan wajahnya.

“Hai, El.” Bibir mula melebar dengan sengihan gatal. Tangannya semakin kemas merangkul badan Elena tetapi seketika cuma apabila si gadis menolak keras badannya setelah menstabilkan kedudukan.

“Kau ni sombong betul bila dengan aku, kan?” Masih dengan sengihan gatal, Amar bergerak merapati Elena. Serentak itu juga Elena berundur ke belakang, semakin terperosok ke bawah tangga.

“Kau nak apa, Amar?” Pandangan mata Amar ditentang dengan berani. Sememangnya dia harus berani apabila berhadapan dengan lelaki itu. Jika tidak semakin galaklah Amar mengganggunya nanti.

“Aku nak kau.”

“Gila! Kau dah ada Salina kan.” Mata Elena melilau memandang belakang Amar. Tiada sesiapa. Tiba-tiba sahaja kawasan fakulti kosong tanpa pelajar.

“Jadi, kalau tak ada Salina, kau akan jadi milik aku?”

“Tak mungkin!” Bahu Amar ditolak kuat dan Elena terus cuba melepaskan diri dari kepungan lelaki itu. Terlepas saja dari kepungan Amar, langkahnya dihalang oleh Ikhwan yang entah datang dari mana. Akhirnya, ada juga manusia di fakulti ini rupanya.

Korang berdua buat apa dekat sini?” soal Ikhwan dengan penuh curiga. Memandang wajah Elena dan Amar silih berganti.

Bibir bawah dijilat gaya samseng lalu Amar merapati belakang Elena dan dengan selamba meletakkan tangan di bahu gadis itu. Tetapi dengan pantas ditolak oleh Elena. Semakin kuat rasa curiga di hati Ikhwan apabila melihat adegan di hadapan matanya itu.

“Kau sibuk kenapa? Kerja kau susun buku dekat perpustakaan tu je, tak payah nak sibuk pasal aku dengan El.”

“Kau tak payah nak kurang ajar dengan aku. Ingat sikit yang kau tu pelajar. Nak aku lapor kepada orang atasan tentang kelakuan kau orang berdua?” Ikhwan turut mencerun ke arah Elena seperti memberi peringatan kepada gadis itu.

“Laporlah kalau kau berani,” cabar Amar.

“Diamlah!” jerit Elena. Keadaan semakin buruk apabila Ikhwan mula campur tangan dan ini semakin menambahkan serabut di kepalanya.

“Kami berdua tak buat apa-apa pun encik. Lain kali siasat dulu sebelum nak mengadu domba.” Elena terus berlalu dari situ dengan hati yang panas. Kenapa dua manusia itu perlu wujud di hadapan dia. Kenapa?

Amar tersenyum sinis memandang Ikhwan yang masih tercegat di situ. Jelas riak cemburu pada wajah staf perpustakaan itu. Dalam hati sudah berbakul dia mentertawakan pustakawan itu.

Elena terus berjalan laju menuju ke tandas. Paip dibuka dan air terus menderu keluar seperti air terjun. Disimbahkan air yang menderu itu ke wajahnya. Rambut yang basah dek percikan air tidak dipedulikan. Yang penting sekarang hati yang sedang hangat perlu disejukkan.

Beberapa orang pelajar yang kebetulan turut berada di ruang yang sama memandang pelik kelakuan Elena dan berbisik sesama sendiri sebelum berlalu dari situ.

Sedang Elena membongkok di hadapan singki, bahunya ditarik dengan kuat dari arah belakang dan terus badannya ditekan rapat ke dinding. Segalanya berlaku dengan pantas membuatkan Elena sedikit kebingungan. Lebih-lebih lagi saat belakang badannya dihentak dengan kuat ke dinding.

“Perempuan murahan! Perampas!”

Terkebil-kebil Elena memandang Salina yang berwajah garang di hadapannya itu. Basah pada wajah menyukarkan dia untuk melihat lalu diraup perlahan bagi menjelaskan pandangan. Rambut yang terkena percikan air juga ditolak ke belakang begitu sahaja.

“Apa yang kau tak puas hati sangat dengan aku ha, El?” Salina mula berpeluk tubuh. Memandang Elena dengan wajah bengis. Sakit sungguh hatinya mendengar cerita tentang Amar dan Elena tadi. Sudah diserang kekasih hatinya itu tadi dan sekarang giliran Elena pula. Dua-dua perlu menerima habuan daripada dia hari ini kerana telah menyakiti hatinya.

“Sejak dulu kau memang cemburu dengan aku, kan? Sebab tu kau sombong dengan aku, berlagak!”

Berkerut kening Elena mendengar herdikan Salina. Entah bila masa dia berlagak dan sombong dengan gadis itu. Seingat dia tidak pernah. Cuma Salina yang sentiasa berburuk sangka dengannya.

“Tak ada masa aku nak cemburu dengan kau.”

Salina tersenyum sinis.

“Mengaku sajalah yang kau tu cemburu tengok life aku.” Bahu kiri Elena ditunjal dengan jari telunjuknya beberapa kali.

Your life is so pathetic. Dahlah tak ada mak bapak, lepas tu tak mampu nak hidup bergaya macam aku. Sedih sangat hidup kau ni, El.” Bahu kanan Elena pula ditepis. “Dan sekarang kau nak rampas Amar dari aku pula!” Saat ingin Salina terkam Elena pantas gadis itu mengelak.

Back off, Salina!”

Terdiam Salina melihat wajah Elena yang sudah berubah merah.

“Yang menyedihkan tu hidup kau. Bukan aku. Hidup pun cukup makan, tapi berlagak belajar dekat universiti macam ni. Ada mak bapak pun buat apa kalau hidup menyusahkan mereka.”

“Kau!”

“Apa?” Elena menentang mata Salina dengan berani. Memang Salina berasal dari keluarga yang sederhana, bukan susah dan tak cukup makan seperti yang dia katakan. Tapi dia geram.

“Hidup aku bukan macam tulah!” jerit Salina sekuat hati.

“Ingat aku kisah hidup kau macam mana? Mulut kau ni memang tahap longkang kotor berkerak dah. Sama berkerak macam muka si Amar tu.” Elena flip hair dan dia terus berlalu. Malas mahu berlama di situ.

Dum! Dihempas kuat pintu tandas membuatkan bahu Salina terangkat kerana terkejut.

Arghhh! Elena!”

 

SEPERTI SELALU, tiba saja di rumah dia terus menghempaskan badannya ke katil. Terkelip-kelip mata merenung siling bilik. Air mata setitis pun tidak keluar atas apa yang terjadi hari ini.

Kata-kata nista yang Salina hamburkan kepadanya juga langsung tidak membuatkan dia lemah, sebaliknya membuatkan dia mulai marah dengan gadis itu. Sudah lama dia bertahan dengan kerenah Salina tetapi hari ini dia tidak mampu untuk terus berdiam lagi.

Kemudian Elena bergerak mengiring ke kanan. Melemparkan pandangan menembusi tingkap kaca. Terlalu banyak perkara yang terjadi dalam hidupnya dalam masa setahun ini dan kepala dia sudah mula sarat dengan pelbagai masalah. Kehadiran Amar dan Ikhwan yang tiba-tiba mula menyemak dalam hidup dia juga sudah mula membebankan.

Nafas dihela perlahan. Mungkin sudah tiba masanya untuk dia mengundurkan diri dan menjauh daripada semua ini. Daripada terus membiarkan hidup diganggu oleh Salina dan Amar, lebih baik dia pergi dari situ.

Bibir bawah dikemam. Keputusan yang bukan senang untuk dia buat kerana sepertinya dia cuba lari dari masalah. Tapi pilihan apakah lagi yang dia ada sekarang? Mata dipejam.

Tiada.

Mata dibuka kembali. Dia harus keluar dari semua permasalahan ini dan bina hidup baharu. Walaupun perit untuk dia melangkah tetapi dia tetap harus mulakan langkah baharu.

Sebelum dia ditendang dari tempat pengajiannya; sebelum Salina semakin galak mencaci dan menghina; sebelum Amar dan Ikhwan bertindak lebih jauh dalam mengganggu kehidupannya, lebih baik dia jauhkan diri daripada semua ini.

No comments:

Post a Comment