Tuesday, 19 May 2020

Rindu Yang Terpendam - Bab 7

TERGELENG kepala Faiz setelah mereka meninggalkan kawasan tadi. Nyaris-nyaris mereka bermalam di dalam lokap jika lelaki tadi ingin mendakwa mereka. Bengang juga Faiz dengan tindakan melulu Ayie tadi.

“Kau ni kenapa? Tiba-tiba pergi serang budak tu.”

Ayie mengesat luka di bibirnya dengan tisu. Terasa pedih setiap kali dia ingin membuka mulut. Kuat juga penangan lelaki tadi.

“Kau diamlah! Aku ni tengah panas hati lagi. Lain yang aku rancang, lain yang jadi!” Ayie merengus kasar. Dia langsung tidak menyangka gadis tadi boleh bertindak kasar dengannya. Kesan gigitan di lengannya masih jelas kelihatan. Tak pasal-pasal berparut juga lengannya.

“Kau pun satu, yang pergi serang dia tu kenapa?”

“Kau sendiri nampak kan yang perempuan tu tampar aku dulu.”

Faiz ketawa kuat apabila teringatkan peristiwa tadi.

Tak cukup dengan penampar, Ayie turut menerima tendangan dan gigitan di lengan. Padanlah dengan muka, mengganggu orang tanpa alasan munasabah.

“Apa tujuan kau nak usik dia? Mustahil kau ada hati dekat budak tu,” soal Faiz yang masih lagi tergelak lucu.

Ayie memandang ke arah langit yang sudah bertukar gelap. Sebentar lagi pasti azan maghrib akan berkumandang. Malu juga dia ingin berterus terang kepada Faiz.

“Aku nak kenal dengan kawan dia. Bukan dengan budak tu.”

“Sejak bila pula kau ada perasaan jatuh cinta ni?” sindir Faiz yang masih lagi dalam mood menyakat. Berkerut dahi dia apabila mendengar jawapan Ayie itu.

“Kau percaya pada jodoh tak?” soal Ayie dengan tiba-tiba.

“Maksud kau?” Pelik pula Faiz mendengar soalan luar alam si Ayie ni.

Ayie memejamkan mata. Wajah gadis yang ditemui beberapa tahun yang lepas, belayar di ingatannya. Tak sangka dia sekali lagi berjumpa dengan gadis bermata bulat itu.

“Kalau betul tu dia, masuk ni dah empat kali aku jumpa dengan orang yang sama.”

Tergamam Faiz.

“Kau biar betul. Bila kau jumpa dengan dia?”

Ayie menarik nafasnya dalam-dalam.

“Kali terakhir aku jumpa dia... tahun lepas.”

Hampir sahaja Faiz ternganga. Kepala yang tidak gatal digaru perlahan.

“Kau yakin ke itu dia? Buatnya dia orang lain...”

“Mata dia... Aku cam mata bulat dia.” Ayie tersenyum nipis. Dia sangat yakin gadis itu adalah orang yang sama.

Teringat Ayie semasa pertemuan mereka yang pertama. Mata budak pendek itu sangat bulat dan comel ketika perut berbunyi. Terus terhambur ketawanya saat teringatkan pertemuan mereka itu.

Kali kedua mereka bertemu di kedai buku. Mendengar rayuan gadis itu sambil membeliakkan biji mata, ketika itulah Ayie telah mengecam budak itu. Malah, dia tidak sampai hati untuk membuli budak perempuan itu.

Sangkaan Ayie, mungkin mereka tak akan bertemu lagi. Namun sangkaannya meleset. Tidak sangka ketika dia membeli barang di sebuah pasar raya, mereka bertemu lagi. Itu pun Ayie hampir tidak mengecam gadis itu. Gara-gara gadis itu mencerlung kepadanya, barulah dia tersedar yang gadis itu adalah gadis yang sama.

Faiz yang melihat reaksi Ayie itu sudah berasa pelik. Tiba-tiba sahaja boleh ketawa tanpa sebab. Terkebil-kebil matanya memandang Ayie.

“Ni kes berat. Kalau kau jumpa dengan dia sekali lagi, apa kau nak buat?”

Ayie tersenyum sinis. Dia bangun sambil mengibas seluarnya dari kotoran pasir.

“Aku nak dia bayar ‘hutang’ aku...”

 

DHIYA MENGELUARKAN semua wang yang disimpan ke dalam tabung. Dia mengira semua jumlah wang yang ada di dalam tabung itu. Lagi beberapa hari lagi dia perlu membawa ibunya ke hospital.

“Alhamdulillah, cukup pun duit ni nak beli ubat. Yang lebih ni, bolehlah beli barang dapur.” Dhiya menarik nafas lega.

“Dhiya, tak tidur lagi?” Mak Cik Asmah menjengah anak gadisnya di dalam bilik.

Lekas Dhiya menyimpan tabung itu di atas meja belajar. Dia duduk di katil sambil tersenyum.

“Dah nak tidurlah ni. Ibu pun tidurlah. Esok kita nak ke hospital,” kata Dhiya sambil menepuk perlahan bantal.

Mak Cik Asmah masuk ke dalam bilik itu dan duduk di hujung katil. Nafasnya yang tidak teratur, dihembus perlahan.

“Tak payahlah. Ubat ibu masih ada. Tak perlu nak membazir duit.”

Wajah Dhiya jelas berubah riak. Lekas dia mendekati si ibu.

“Janganlah macam tu, ibu. Ibu kena pergi juga esok. Dah 2 minggu sakit dada ibu tu tak hilang. Kalau pasal duit, ibu jangan risau. Dhiya dah ada duit.”

Mak Cik Asmah tersenyum kelat. Tangan anaknya digenggam kemas. Terasa hangat tubir matanya saat ini.

“Sebab itu ibu tak nak pergi. Ibu rasa sedih sangat sebab dah susahkan anak ibu ni. Ibu...” Terus mengalir air mata Mak Cik Asmah kerana tidak dapat menahan rasa sebak. Dia berasa bersalah kerana dalam usia yang masih muda, Dhiya sudah memikul tanggungjawab untuk mencari rezeki.

“Ibu, janganlah menangis. Dhiya buat semua ni ikhlas. Dah tanggungjawab Dhiya. Selagi Dhiya hidup, Dhiya takkan tinggalkan ibu.” Tubuh ibu dirangkul erat. Dia turut berasa sebak melihat tangisan si ibu.

Mak Cik Asmah tergelak kecil.

“Takkan selamanya Dhiya nak jaga ibu? Nanti, bila Dhiya dah berkahwin... mestilah ikut kata suami.”

“Hesy, ke situ pula ibu ni! Dhiya muda lagi. Tak terfikir langsung nak berkahwin. Kawan lelaki pun tak ada. Anak ibu ni sedar diri. Tak ada siapalah yang nak...”

Mak Cik Asmah menggeleng perlahan. Wajah anaknya diusap perlahan.

“Siapa kata tak ada yang nak? Anak ibu ni cantik. Mata tu, sebiji macam arwah abah Dhiya... bulat. Ibu berdoa, moga anak ibu ni dipertemukan dengan jodoh yang baik. Kalau ibu dah tak ada nanti, ibu tak rasa sedih sangat.” Sebagai ibu, dia takkan pernah berhenti untuk mendoakan kebahagiaan anak tunggalnya. Dia sangat bersyukur kerana dianugerahkan anak yang baik seperti Dhiya.

“Tak payahlah cakap pasal ni. Dhiya tak nak fikir pasal tu. Kalau betul pun Dhiya nak kahwin, biarlah lelaki tu boleh terima ibu dan yang paling penting, Dhiya takkan tinggalkan ibu.” Makin kemas Dhiya memeluk tubuh tua itu.

Mak Cik Asmah mengangguk perlahan. Biarlah masa yang menentukan perjalanan hidup anaknya.

“Tidurlah ya. Ibu masuk bilik dulu.” Pipi Dhiya dicium sekilas.

Dhiya turut mencium kedua-dua pipi ibu. Sebaik sahaja ibunya beredar dari bilik, dia tergelak kecil.

“Ibu ni, dalam sakit pun masih lagi cakap pasal kahwin. Ada ke yang nak dekat aku? Kalau ada, memang butalah lelaki tu.” Teringat pula dia dengan perbualannya bersama Kayla tempoh hari. Kayla yang angau, dia pula yang dikatakan akan berkahwin dulu.

Tidak mahu memikirkan perkara yang merepek itu, lekas Dhiya berbaring. Lebih baik dia tidur. Esok pagi dia perlu bangun awal untuk menemani ibunya ke klinik. Harap-harap keadaan ibu esok tidaklah begitu teruk.

No comments:

Post a Comment