Wednesday, 17 June 2020

Encik Ulat Buku - Bab 3

“YAYA, kau nak pergi mana pulak ni?” tegur Sarah yang aku sangat yakin baru sahaja balik dari kerja luarnya memandangkan kulit wajah licinnya itu sudah berpeluh-peluh. Dia berdiri menyandarkan tubuh di sisi meja kerjaku.

“Aku nak keluar kejap dengan Neo. Ada interviu untuk magazine Oppa,” jawabku dan menyimpan barang-barang yang perlu kubawa ke dalam handbag. Ada satu setengah jam lagi sebelum pukul 3.30 petang.

“Alaaa... interviu apa pulak? Jomlah temankan aku lunch. Aku kebulurlah Yaya. Shooting kat hospital tadi, tengok berdarah-darah tu semua buat aku tak lalu nak makan apa-apa pun,” balas Sarah sambil menggosok-gosokkan perutnya.

“Dah tahu yang kau tu tak boleh tengok benda berdarah-darah, tapi kau pergi jugak. Sendiri cari pasal, kan?” usikku dan bangun daripada dudukku.

“Kau ni! Kau jugak yang kata, kerja ni kena buat dengan sepenuh hati. Kena anggap kerja sebagai ibadah.” Sarah berpeluk tubuh sambil menunjukkan riak wajah tidak puas hati.

Terus aku tergelak kecil.

“Aku nak kena pergi Taylor’s Lakeside Campus dekat Bandar Sunway. Aku ada appointment dengan lecturer kat situ.” Aku menyandang handbag di bahu memandangkan Neo sudah berdiri tercegat di belakang Sarah.

So, tak dapat temankan aku lunchlah ni?” Raut wajah Sarah bertukar mendung pula.

Sorry, babe. Aku dah book appointment dengan pihak universiti. Pagi esok kita breakfast sama-sama kalau kau tak kena outstation.” Aku memaut bahu Sarah erat sebelum mengikut langkah kaki Neo.

Dear Diary,

Agak-agaknya siapalah nama gerangan Encik Ulat Buku yang sentiasa membaca novel tulisan Haruki Murakami di dalam LRT setiap pagi? Yang merupakan peminat koleksi wireless headphone berjenama mewah? Yang prihatin dengan orang di sekeliling walaupun asyik dengan buku di tangan? Jika ramai orang berpendapat yang lelaki berbadan sado itu menawan hati, tetapi rasanya Encik Ulat Buku yang sentiasa membuang masa dengan buku di tangan lebih menawan hati seorang Eliya Inara a.k.a. Yaya.

 

PEN YANG sejak tadi menari rancak di halaman kertas yang berwarna merah jambu terhenti. Aku menyelak halaman diari yang seterusnya.

Dear Diary,

Alangkah bahagianya diri ini jika aku dapat mengetahui nama Encik Ulat Buku.

Tiba-tiba telingaku menangkap bunyi orang ketawa. Terus aku menutup diari tersebut dan kusimpan cermat ke dalam handbag.

“Kenapa gelak? Ada orang tengah menyanyi lagu Bobo Di Mana ke?” soalku sambil menjeling ke arah Neo yang sedang memandu itu.

Neo merupakan junior photographer untuk majalah Oppa dan selalunya dia ditugaskan untuk mengikut aku. Bermula dari tugasan pertama aku sejak tahun pertama aku bekerja dengan Ideafly Group, memang Neo yang akan selalu ditugaskan bersama-sama dengan aku.

“Mana ada orang tulis diari zaman sekarang ni Kak Yaya. Ni zaman paperless dah. Zaman digital yang semuanya di hujung jari aje,” komen Neo dengan kepala yang digeleng-gelengkan. Sesekali dia mengetuk-ngetuk perlahan stereng kereta Proton Iriz miliknya itu.

“Sebab akak suka tulis diarilah akak boleh jadi seorang journalist yang berjaya macam sekarang ni,” balasku dan Neo sambung ketawa.

“Apa? Kenapa gelak?”

Cepat-cepat dia menggelengkan kepalanya.

“Siapa nama lecturer yang kita nak interviu ni?”

“Dr. Aydin.”

“Doktor?”

Aku pandang sekilas riak wajah Neo atau nama sebenarnya Nufail.

“Doktor yang ada PhD. Akak tahu daripada Abang Mat yang Dr. Aydin ni muda-muda dah ada PhD. So, memang sesuai sangatlah nak muncul untuk special column majalah Oppa sempena Hari Guru ni. Kalau dia nak, kita boleh jadikan dia as main cover magazine.”

Hmmm... saya doubt sikit yang tu, sebab geng-geng nerd ni selalunya tak bersosial sangat, kak. Diaorang ni selalunya ala-ala merendah diri sikit.”

Terus aku ketawa. Pandai-pandai aje si Neo ni.

“Dr. Aydin tu tahu ke kita nak datang ke universiti tempat dia mengajar tu untuk interviu dia?” soal Neo lagi.

“Tahu. Akak dah contact team public relations universiti tadi. Akak ada try contact work number dia, tapi tak dapat pulak. Maybe dia tak ada dekat ofis waktu akak call tadi.”

“Dia tak ada kelas ke kejap lagi?”

“Ada.”

Terus berkerut-kerut dahi Neo memandang aku.

“Pihak universiti kata kita boleh join class Dr. Aydin petang ni. Untung jugak untuk kita dan akak ada lagi banyak bahan untuk artikel akak. Kita observe dulu kelas dia dan lepas habis kelas, boleh interviu dia pulak.”

“Dr. Aydin tu ajar apa, kak?”

Maths.

“Huh? Matematik ke kak?”

Aku angguk. Dah kenapa pulak dengan Neo ni?

Booooosannnn!”

Terus aku ketawa.

 

KEDATANGAN AKU dan Neo disambut dengan ramah oleh Miss Nancy selaku Public Relations Executive Taylor's University Lakeside Campus ini. Sempat jugaklah wanita anggun ini bergurau supaya aku jangan lupa mempromosikan universiti mereka ini dalam majalah Oppa.

Selepas itu kami dibawa ke dewan kuliah di mana kuliah Dr. Aydin sedang berjalan. Berada di kawasan universiti seperti ini mengembalikan semula kenanganku sewaktu menuntut di Universiti Malaya dahulu. Rindu pulak rasanya.

Pintu belakang dewan kuliah kutolak dengan perlahan. Sebaik sahaja menjejakkan kaki masuk ke dalam dewan kuliah yang agak besar itu, pandangan mataku disajikan dengan dekorasi dalaman dewan kuliah yang berbentuk separa bulatan.

First time sepanjang saya hidup ni, saya tengok students ramai macam ni waktu lecture. Dahlah ini bukan subjek biasa-biasa, subjek Maths kut. Zaman saya study dulu, subjek berat macam inilah yang orang selalunya liat nak datang lecture,” bisik Neo perlahan sambil menolak kerusi beroda memandangkan tempat duduk di bahagian paling belakang sudah penuh.

“Tengoklah lecturer dia siapa. Subjek bosan macam mana pun, students akan sanggup datang,” bisikku pula sambil menolak kerusi beroda untuk diriku sendiri.

Dari jauh, aku dapat melihat susuk tubuh Dr. Aydin yang berbaju kemeja biru. Raut wajahnya tidak begitu jelas memandangkan separuh wajahnya terlindung oleh buku tebal. Whiteboard di hadapan pula sudah penuh dengan contengan nombor dan formula yang sangat menakutkan buat orang yang tidak begitu menggemari Matematik seperti aku. Di tengah-tengah whiteboard besar itu ada pulak screen projector yang memaparkan topik yang orang seperti aku tidak dapat nak hadam. Anak mataku sempat menangkap perkataan ‘Engineering Mathematics’ pada bahagian atas screen projector.

“Duduklah, Kak Yaya. Buat apa berdiri,” bisik Neo.

“Yalah, yalah. Nak duduklah ni.” Aku menolak kerusi beroda itu ke sebelah Neo. Entah di mana silapnya, kerusi beroda itu tergelincir daripada peganganku dan terus laju meluncur ke bawah sebelum berhenti tepat di hadapan Dr. Aydin yang sememangnya sedang berdiri di tengah-tengah dewan.

M-A-M-P-U-S, mampus!

Kali ini dewan kuliah yang tadinya bergema dengan suara milik Dr. Aydin bertukar sepi. Beratus-ratus kepala pelajar yang berada di dalam kuliah itu sudah berpusing ke arahku.

You at the back. Come down!” Kali ini pandangan mata Dr. Aydin sudah terarah kepadaku. Buku tebal yang sebentar tadi melindungi sebahagian wajahnya telah diletakkan di atas meja.

“Kak Yaya, Dr. Aydin panggil tu. Pergi ajelah turun. Semua orang duk pandang sini. Sejak bila akak jadi kalut semacam ni?” bisik Neo lagi.

Aku hanya berdiri pegun di tempatku.

“Kak Yaya!”

“Cik pengacau kelas saya, sila turun ke bawah ni. Right now!” Kali ini suara Dr. Aydin semakin kuat. Raut wajahnya juga semakin jelas. Saat ini aku memejam celik mataku berulang kali, mahu memastikan apa yang sedang kulihat ketika ini adalah realiti dan bukannya bayangan aku.

“Kak Eliya!” Kedengaran suara Neo pula. Kali ini nada suaranya lebih kuat berbanding tadi.

Matilanak!”

“Haaa... sebab tu nama subjek ni Mate-matik!”

“Bukan sebab tu.”

“Hah?” Kepala Neo berpusing memandang aku sementara aku sudah tidak boleh berdiri dengan tenang apabila Dr. Aydin mula mendaki anak tangga ke bahagian atas dewan kuliah. Monolog dalamanku mengarahkan supaya kakiku bergerak, tetapi sepasang kakiku masih lagi kaku.

“Kak Yaya!”

“Tu Encik Ulat Buku!”

“Ulat bulu mana pulak?” bisik Neo sambil menggaru-garu kepalanya. Dia turut nampak tidak senang duduk.

Aku ni dah mengalahkan ulat bulu apabila langkah Dr. Aydin semakin hampir. Semakin lelaki itu mendekat, semakin kuat degupan jantungku.

Dear Diary, kan bagus kalau aku boleh bersembunyi masuk ke dalam diari sekarang ini!

No comments:

Post a Comment