Tuesday, 16 June 2020

Melankoli Sekeping Hati - Bab 8

LAMA Syifa’ termenung. Moodnya habis mati hari ini. Sepanjang perjalanan pulang dari tanah perkuburan, Puan Mimi hanya menyepi. Mulut becok si Hajar pun langsung tidak berbunyi. Masing-masing melayan perasaan sendiri. Dan kini, dia ditinggalkan bersendirian melayan lara di atas buaian di rumah mak longnya ini.

Jahat sangat ke dia ni? Kejam sangat ke? Kebisuan Puan Mimi tadi seolah-olah menuding sepuluh jari ke arahnya. Walaupun Puan Mimi tidak berkata apa-apa, namun itulah yang membuat dada terasa ketat sekarang ini.

Sudah penatkah mak longnya melayan dirinya, sehinggakan tiada lagi pesanan mahupun nasihat yang disuarakan kepadanya tadi? Selalunya, Puan Mimi akan menasihatinya agar membuka hati untuk memaafkan kesalahan orang lain, tapi tadi langsung tiada.

Tapi... semua yang terjadi masih segar di ingatannya, tak pernah mampu dilupakan walaupun sedetik. Sakitnya hanya Allah yang tahu! Belum ditambah lagi dengan rasa kecewa yang dipalit oleh adiknya sendiri. Kecewa kerana adik yang dididik dan ditanggung segala-galanya agar mampu berjaya pada masa depan, bertekad membuang segala impian dan harapan semata-mata untuk memenangkan cintanya. Dia kecewa! Kecewa sangat...

Seperti baru semalam Suria pulang dari kolej sempena cuti hujung minggu dan berceritakan kepadanya tentang Tamim. Tamim yang kacak, Tamim yang menawan dan Tamim yang telah berjaya menyentuh hatinya. Hanya daripada 1 pertemuan dengan Tamim, hidup Suria berubah 180 darjah... dan hidup Syifa’ sama terheret ke lembah yang penuh duka...

Sebulan lebih bercinta, Suria sibuk memujuknya agar bersetuju dengan rancangan mereka berdua untuk bernikah. Sudah semestinya rancangan adiknya itu ditentang habis-habisan oleh Syifa’. Usia Suria baru mencecah 19 tahun dan dia baru saja tamat program asasi di kolejnya. Syifa’ tidak mahu terlalu terburu-buru sedangkan kehidupannya baru saja mahu bermula. Syifa’ takut Suria akan mensia-siakan peluang yang ada di depan mata demi cinta yang baru saja berputik.

Namun kekerasan hati Suria tidak jauh berbeza daripada hatinya sendiri. Sudah penat bergaduh, sudah letih bertekak, Suria masih tegar dengan keputusannya. Baru saja mahu beralah, baru saja mahu menerima Tamim sebagai bakal adik ipar, Syifa’ dihujani pula dengan gangguan serta asakan daripada keluarga Tamim. Perjumpaan pertama antara Syifa’ dengan Thaqif takkan mampu dilupakan seumur hidupnya. Syifa’ memejamkan mata... nafas dihela perlahan dan episod yang telah memulakan perasaan benci di hatinya buat Thaqif terlayar di ruang mata...

“Suruh adik awak tinggalkan Tamim,” arah Thaqif dengan nada yang keras. Mata yang memanah ke dalam anak mata Syifa’ kelihatan begitu menggerunkan. Tegak tubuh lelaki itu yang berdiri tinggi di depannya nampak sengaja mahu menakut-nakutkannya. Aura yang terpancar dari segenap rongga Thaqif membuat dirinya rasa begitu terancam. Syifa’ sedar yang Thaqif memang sengaja mahu menggertaknya.

“Dah berbuih mulut saya suruh dia tinggalkan adik encik tu,” balas Syifa’ tegas. Tiada tanda-tanda dia takut akan Thaqif walaupun getar di hati hanya Allah yang tahu. “Tapi dia degil!”

“Kenapa susah sangat nak nasihat adik awak tu? Takde orang lain ke yang dia nak cekau? Tak padan dengan umur masih belasan tahun dah menggatal nak kahwin!” gerutu Thaqif.

Menyirap darah Syifa’ tiba-tiba mendengar orang lain mencemuh adiknya begitu. Bibir sudah mencemik.

“Eh helo! Adik encik tu apa kurangnya? Takde perempuan lain dalam dunia ni ke dia nak goda? Adik saya tu tengah belajar tau. Saya ulang ya! Adik saya tu tengah belajar! Dia tu masih mentah. Adik encik tu yang patut tinggalkan je adik saya! Boleh tak encik yang suruh adik encik untuk berhenti kacau hidup adik saya?”

“Siapa yang kacau hidup siapa ni huh? Dahlah perangkap adik saya, lepas tu kata adik saya pulak yang goda adik awak?” Percikan api semakin panas dirasakan. “Hei, awak berdua beradik ni sama je. Mulut cakap lain, hati sebenarnya nak lain kan? Dasar perempuan pisau cukur!” tempelak Thaqif penuh bisa. “Buta agaknya mata awak semua dapat lelaki kaya macam Tamim kan? Saya akan pastikan mereka berdua takkan kekal bersama. Whatever it takes!”

Pada masa itu, tuduhan daripada Thaqif terasa sangat pedih. Walaupun mereka sudah tidak punya ayah dan ibu, mereka tidak pernah mengemis demi sesuap nasi. Makan pakai mereka sentiasa cukup. Syifa’ berjaya belajar sampai ke peringkat ijazah manakala Suria pula kini sedang menyambung pengajiannya ke peringkat pendidikan tinggi. Namun, lelaki itu tidak puas menuduh mereka berdua sebagai pisau cukur dan gila duit saja. Tak henti Thaqif mengganggu hidupnya... menyerangnya di mana-mana pun jua, tak kira masa. Sehinggakan Syifa’ merasakan dirinya telah sengaja diekori oleh lelaki itu kerana lelaki itu sering muncul di ruang matanya.

Pada perjumpaan seterusnya, pelbagai tuduhan telah dilemparkan oleh Thaqif kepada Syifa’ dan Suria.

“Tinggalkan adik saya!” keras suara Thaqif. Suria memeluk kakaknya. Pucat wajahnya berhadapan dengan abang Tamim begini.

“Saya cintakan dia. Saya takkan tinggalkan dia!” Suria memberanikan diri melawan kehendak Thaqif.

Thaqif mengetap gigi. Bergerak-gerak rahangnya menahan marah.

“Cinta? Huh! Apa yang pompuan macam awak ni tahu pasal cinta? Cintakan dia atau cintakan duit dia? Awak ingat saya tak tahu apa yang awak nak daripada adik saya? Pandai awak goda adik saya ya? Awak guna bomoh mana hah?”

Astaghfirullah!

“Hei! Encik cakap baik-baik sikit ya! Adik saya bukan orang yang macam tu!” Syifa’ bersuara. “Encik berani cakap macam tu pasal adik saya? Tuduhan encik tu dah jatuh fitnah tau!” lawan Syifa’ lagi.

Thaqif tidak mengendahkan kata-kata Syifa’ itu. Ibu jarinya dinaikkan tinggi ke paras wajah Suria.

“Saya nak cakap sekali je lagi. Kalau awak masih berhubungan dengan Tamim, buruk padahnya! Faham?” gertak Thaqif dengan mata yang tajam lagi berapi. Laju dia berjalan meninggalkan Suria yang mula menangis dalam pelukan kakaknya.

“Dik, akak dah cakap banyak kali dah. Lupakan je Tamim tu. Akak dah tak sanggup nak tengok adik kena tuduh macam-macam daripada keluarga Tamim,” pesan Syifa’ sambil menepuk-nepuk bahu adiknya. “Sampai bila-bila pun diaorang takkan terima adik. Akak tak nak keluarga Tamim layan adik macam sampah kalau adik masih turutkan hati adik untuk berkahwin dengan dia. Tolonglah dik!”

Suria merenggangkan pelukan. Kepala sudah menggeleng.

“Adik tak boleh, kak. Adik tak boleh. Adik sayangkan sangat dengan Tamim dan dia berjanji nak pujuk keluarga dia untuk terima adik,” tekan Suria tidak mahu mengalah.

“Pujuk apa macam ni? Akak tak nampak Tamim tu bersungguh-sungguh nak mempertahankan adik.”

“Tak! Akak salah. Tamim selalu pertahankan adik depan keluarga dia, terutama sekali depan mama dan abang dia tadi tu. Akak percayalah kat adik. Lambat-laun, adik pasti yang keluarga Tamim akan terima adik.”

Begitulah degilnya hati seorang Suria dalam mempertahankan cintanya. Nasihat serta pandangan daripada sanak keluarga yang lain pun tidak mendatangkan sebarang perubahan. Suria masih juga begitu.

Akhirnya, Tamim telah diberikan kata dua oleh mamanya. Dia akan dibuang keluarga seandainya ingin meneruskan niatnya untuk memperisteri Suria. Pada waktu itu, Datin Zurina yakin Tamim akan beralah, kerana dia tahu betapa pentingnya wang ringgit untuk anaknya itu. Tamim sudah biasa dimanjakan dengan harta kemewahan. Apa-apa saja yang dihajati pasti akan diperolehnya. Cakap saja. Sekelip mata akan disediakan di depan matanya.

Namun, percaturannya tidak menjadi. Hati Tamim tidak mampu digertak sedemikian rupa. Tamim rela meninggalkan segala-galanya demi Suria. Ancaman daripada Datin Zurina sedikit pun tidak meresahkannya.

Atas sebab itulah, Syifa’ mula berlembut hati. Sebelum ini, disangkanya Tamim hanya mahu mempermainkan adiknya yang polos, yang kurang matang dan yang semestinya tidak mempunyai pengalaman dalam bercinta. Sangkanya lagi, Tamim tidak serius dengan adiknya kerana Suria bukanlah ciri-ciri gadis yang sering menjadi dambaannya. Tamim nak berhubungan dengan gadis bertudung? Memang taklah! Menurut Suria, bekas teman-teman wanita Tamim semuanya gadis-gadis daripada golongan yang berpangkat lagi berharta. Bukan macam dirinya!

Namun tindakan Tamim membelakangkan keluarganya sendiri telah membangkitkan amarah yang sukar dibendung dalam hati Thaqif dan juga Datin Zurina. Selewat pukul 11.30 malam, pintu rumah pangsapuri Syifa’ telah diketuk tanpa henti. Jika tidak dibuka, bising pula jiran-jiran yang tinggal di sebelah-menyebelah nanti. Dalam penuh keterpaksaan, Syifa’ membuka pintu.

Laju tangan Thaqif menolak daun pintu agar boleh terus masuk ke dalam rumah Syifa’. Tidak mahu memberi peluang kepada Syifa’ menutup kembali pintu jika gadis itu menyedari kehadirannya berserta mamanya. Tertolak tubuh Syifa’ ke belakang. Hampir terjatuh dia jika tidak sempat disambut oleh Suria.

“Apa encik ni?” dengus Syifa’ garang. Selendang yang diletak ala kadar di atas kepala sebentar tadi dirapikan semula.

Thaqif tidak membalas, apatah lagi mahu mengucapkan maaf atas kekasarannya. Wajahnya tegang. Bahang aura negatifnya memenuhi setiap inci dalam ruang tamu ini. Panas dirasakan oleh Syifa’. Thaqif membiarkan mamanya masuk dan mengambil tempat di sebelahnya.

 “Hei perempuan!” jerkah Datin Zurina. Tidak tahu panggilannya itu ditujukan kepada Syifa’ ataupun Suria. Tiada sesiapa pun yang menyahut.

“Berapa kau nak, hah? Cakap kat aku, berapa kau nak?”

Syifa’ dan Suria saling berpandangan. Tidak mengerti.

“Kau nak duit kan? Kau kemaruk sangat harta keluarga aku kan? Baik! Kalau itu yang kau nak, kau cakap sekarang berapa yang aku kena bayar untuk kau tinggalkan anak aku! Cepat! RM100,000? RM200,000?” Datin Zurina menyeluk beg tangannya lalu mengeluarkan buku cek. Sebatang pen turut dikeluarkan daripada beg tangannya.

Syifa’ mengetap bibir. Tak habis-habis mereka dituduh pisau cukur oleh keluarga Tamim. Dia sudah lelah. Sudah terlampau penat dengan Thaqif dengan mamanya. Berbuih mulut menidakkan hakikat itu, namun semuanya ternyata sia-sia. Apa-apa pun mereka katakan, takkan ada satu pun yang akan diterima oleh Thaqif mahupun mamanya.

Suria memeluk lengan kakaknya ketakutan.

“Datin, tolong jangan hina kami macam ni,” ujar Syifa’ dengan suara yang tertahan-tahan. “Kami masih boleh hidup tanpa duit dan harta Datin.”

“Huh! Dasar pompuan tak tahu malu!” bentak Datin Zurina tidak terkesan dengan kata-kata Syifa’. “Korang ni pakai je tudung, tutup aurat bukan main lagi, tapi pakai bomoh nak guna-gunakan anak aku kan?” tuduhnya lagi. “Kalau tak, takkan anak aku berkeras nak kahwin dengan pompuan macam kau ni?” Jari dituding ke arah Suria.

Astaghfirullah!

“Datin! Datin tahu tak hukum main bomoh ni? Syirik tahu tak?” lawan Syifa’. “Kami takkan buat perkara yang haram macam tu! Datin siapa nak tuduh kami buat semua tu? Datin ada bukti ke? Jangan tuduh kami sembarangan, Datin!”

Herot mulut Datin Zurina. Yalah tu! Datin Zurina mengarahkan mata ke Suria. Atas bawah, atas bawah matanya diliarkan.

“Ke kau ni sebenarnya dah mengandung hah? Tu sebenarnya kan? Kau dah perangkap anak aku, sekarang dia terpaksa bertanggungjawab. Betul kan?”

Kaku tubuh Syifa’ jadinya. Datin Zurina memang dah melampau! Pinggang ditegakkan. Bahu diluruskan. Mata memancarkan isyarat yang jelas bahawa kesabarannya sudah tidak mampu dipertahankan.

“Saya rasa Datin boleh keluar dari rumah saya sekarang!” desis Syifa’ dari celah gigi. “Jangan duga kesabaran saya, Datin. Kami mungkin tak sekaya Datin sekeluarga, tapi kami masih punya maruah dan harga diri. Datin dah tuduh kami berdua pisau cukur, guna-gunakan anak Datin, dan sekarang Datin tuduh adik saya dah melakukan zina. Saya yakin Datin tahu hukum pada semua fitnah Datin ni! Datin dah puas hati hina kami berdua? Kalau dah puas, silakan keluar, Datin. Keluar sekarang!” Kata-kata akhir itu dilaungkan dengan nada yang sedikit tinggi.

“Dan, encik!” Syifa’ menghalakan mata tajamnya ke wajah Thaqif. “Jangan munculkan diri encik depan saya lagi kalau encik tak nak saya repot polis!”

Untuk seketika, panahan mata Syifa’ berlawan dengan mata Thaqif. Berani!

Get out!” halau Syifa’ keras.

Tergamam Thaqif melihat keberanian Syifa’. Tak pernah sesiapa pun yang berani menentangnya begini. Tak pernah! Apatah lagi bertikam lidah dengan mamanya tanpa sedikit pun meromok ketakutan. Kini, seorang gadis yang baru berusia 24 tahun teguh berdiri melawan dan menepis setiap peluru yang ditembak mereka.

Thaqif memegang lengan Datin Zurina.

“Jom, ma!”

Datin Zurina tidak berganjak. Matanya masih menikam ke wajah Suria. Ingin menakut-nakutkannya agar akur dengan perintahnya. Dia menantikan Suria membuka mulut dan bersetuju memetik harga yang perlu dibayarnya bagi menjamin kebebasan Tamim daripada cengkaman gadis si pisau cukur ini.

Perlahan-lahan Suria melepaskan pegangan tangannya di lengan Syifa’.

“Datin,” serunya perlahan.

Datin Zurina menyembunyikan senyuman kemenangan.

“Saya tahu Datin dah buang Tamim daripada keluarga Datin... Datin dah halau dia keluar dari rumah sebab tak nak Tamim kahwin dengan saya. Saya nak Datin tahu yang semua tu takkan ubah keputusan kami berdua untuk bernikah. Cinta kami tak boleh dibeli dengan wang ringgit. Saya benar-benar sayang dan cintakan Tamim, Datin. Jadi saya merayu kepada Datin, tolong restui hubungan kami...” rayu Suria sepenuh hati. Perlahan nada suaranya, masih menghormati Datin Zurina sebagai mama Tamim.

Berubah riak Datin Zurina. Goyah seketika keyakinan yang tertanam di hatinya tentang kuasa wang dan harta. Wajah Suria ditatap lama. Ada cahaya keikhlasan di situ... dan rasa kasih yang diuar-uarkan buat anaknya, Tamim, memang jelas kelihatan. Takkan gadis sementah ini bisa merasakan cinta yang sebegitu mendalam terhadap anaknya, sedangkan tempoh percintaan mereka sangatlah singkat?

Tidak! Gadis itu sedang berdusta! Dia takkan sekali-kali percaya!

“Kau tunggu jelah. Kau tengok nanti sama ada cinta yang kau agung-agungkan sangat tu mampu nak bagi kau makan! Tamim tak pernah hidup susah. Dia tak pernah rasa hidup merempat. Bila dia dah rasa nanti, dia akan sedar semula dan merangkak balik ke rumah cari aku. Nanti barulah kau tahu langit tu tinggi ke rendah.” Sekali lagi Datin Zurina melaungkan amaran.

“Jom, abang!” Datin Zurina pula menarik tangan Thaqif.

Pantas Syifa’ menutup pintu sebaik Datin Zurina dan Thaqif keluar dari pangsapurinya. Syifa’ berpaling.

“Adik, betul ke adik nak teruskan jugak?” soal Syifa’. Matanya menghantar isyarat rayuan agar Suria mengubah keputusannya.

“Ya kak! Walau apa pun terjadi, adik akan tetap kahwin dengan Tamim!” tekad Suria.

“Tapi adik dah pecah belahkan keluarga Tamim. Boleh bahagia ke adik hidup dengan dia kalau adik dah pisahkan Tamim dengan keluarga dia? Dengan mama dia? Syurga Tamim kat bawah kaki mama dia, dik!”

Suria terdiam seketika.

“Akak minta maaf, tapi akak tak setuju dengan semua rancangan adik. Akak tak izinkan adik kahwin dengan Tamim!” putus Syifa’ keras.

Wajah Suria berubah merah. “Akak!”

“Akak nak adik sambung belajar. Kalau keluarga Tamim dah boleh terima adik, baru akak izinkan. Dengan semua yang mama dan abang Tamim dah tuduh kita macam-macam ni, takkan adik masih nak kahwin dengan Tamim?” soal Syifa’ lagi.

Rupa-rupanya, benarlah cinta itu buta... benarlah cinta pertama itu begitu tinggi nilainya di mata seorang gadis muda seperti Suria. Hancur hati Syifa’ tatkala menyedari Suria sanggup menolak setiap katanya, setiap nasihatnya, semata-mata untuk menurut kehendak hati. Hati yang tak sanggup kehilangan Tamim, yang telah menjadi nadi kehidupannya ketika itu. Suria meletakkan Tamim pada paras yang lebih tinggi daripada Syifa’, sedangkan selama Syifa’ menggalas tanggungjawab membesarkan adiknya itu, dia telah meletakkan kepentingan Suria melebihi apa-apa kemahuan hatinya sendiri.

Segala kasih sayang yang dicurahkan selama ini dibalas dengan tuba...

Dan segala pengorbanan yang dilakukan, dibalas dengan satu pengkhianatan...

Sampai hati Suria... sampai hati adiknya membelakangkan satu-satunya darah dagingnya sendiri. Punah segala harapan dan impian Syifa’ untuk melihat adiknya mencapai kecemerlangan dalam pelajarannya sedangkan Suria pernah bercita-cita menjadi seorang ahli farmasi.

Perlahan-lahan Syifa’ membuka kelopak mata. Kenangan pahit yang menjadi titik hitam dalam hidupnya takkan mampu dikambus mahupun dilupakan. Setiap kali kenangan itu mengetuk kotak memorinya, pastinya dadanya akan terasa sakit bagai dipulas-pulas dari dalam. Perit! Dan itu saja yang mampu dilakukan setiap kali terfikir akan Suria. Melayan melankoli di hatinya...

“Hei, Syifa’!” jerit suatu suara dari arah pagar utama, menyentakkan Syifa’ daripada lamunan.

Syifa’ memalingkan wajah. Dia mengeluh dalam hati. Dalam keadaan emosinya yang rapuh begini, dia tiada hati mahu berhadapan dengan sesiapa pun, apatah lagi si Norpipah ini, yang tak habis-habis berburuk sangka terhadapnya. Apa lagilah yang dia mahukan?

No comments:

Post a Comment