Tuesday, 16 June 2020

Melankoli Sekeping Hati - Prolog


“TIDAK bersalah!”

Syifa’ terduduk di kerusi di dalam kandang tertuduh. Matanya terpejam erat. Turun naik dadanya menghela nafas. Kata-kata seterusnya yang meniti di bibir Tuan Majistret tidak langsung diendahkan. Dua perkataan keramat itu cukup bagi dirinya.

Syifa’ mencelikkan mata. Bertembung dengan mata si lelaki yang banyak mencoret luka di hatinya. Pandangan lelaki itu dingin seperti selalu. Yang sering memandang Syifa’ dengan sorotan yang menggambarkan kebenciannya. Wajah yang pegun itu langsung tidak bereaksi.

Merekah bibir Syifa’ dengan senyuman sinis. Menghantar pandangan penuh mengejek. Menyampaikan isyarat yang jelas lagi nyata. Bukan saja namanya sudah bersih sebersih-bersihnya, tapi segala tuduhan dan tohmahan yang pernah dilemparkan oleh lelaki itu serta keluarganya juga, kini terbukti fitnah semata-mata!

Syifa’ melepaskan pandangan lelaki itu tatkala mendengar suara entah siapa mengarahkannya agar berdiri. Syifa’ akur. Langkah Tuan Majistret yang meninggalkan mahkamah diekori dengan hujung mata. Syifa’ melangkah keluar dari kandang tertuduh. Peguamnya kembali bersuara rapat ke telinganya. Syifa’ tekun mendengar. Sekali-sekala dia mengangguk kecil. Akhirnya mereka bersalaman dan berlaga-laga pipi.

“Syifa’, tahniah! Doa awak dimakbulkan Allah,” ucap Puan Rahaida.

Syifa’ mengangguk.

“Terima kasih pada puan atas semua yang puan usahakan demi membuktikan saya tidak bersalah.”

“Sama-sama, Syifa’. Kalau bukan sebab akal awak pun, kita tak tentu boleh menang kes ni.”

“Alhamdulillah...”

“Syifa’ nak buat apa sekarang?” soal Puan Rahaida.

Wajah Syifa’ berubah muram.

“Saya nak cari adik saya sampai dapat, puan. Dia seorang je yang saya ada!”

Puan Rahaida menepuk bahu Syifa’.

“Saya doakan agar Allah temukan Syifa’ dengan adik Syifa’ dengan segera.”

“Terima kasih. Saya minta diri dulu, puan. Apa-apa, puan boleh call saya macam biasa ya?”

“Okey,” ujar Puan Rahaida. “Take care, Syifa’. Jaga diri awak baik-baik ya.”

Syifa’ mengangguk. Tas tangan dicapai dari atas lantai di sebelah meja peguamnya. Tali beg disangkut ke bahu. Dia berpaling lalu melangkah dengan hati yang ringan serta dada yang lapang. Dia tidak bersalah! Tidak bersalah!

Terasa ingin saja dia menjerit kata-kata itu agar seluruh dunia bisa mendengar. Tidak sabar mahu menghubungi mak longnya. Dia telah melarang ahli keluarganya daripada datang ke mahkamah hari ini. Dia tak sanggup melihat wajah mak longnya jika keputusan mahkamah tidak berpihak kepadanya. Dia tak sanggup!

Kaki diayun menuju ke luar pekarangan mahkamah. Tangan melambai ke arah teksi yang kebetulan sedang menghampiri tempat berdirinya. Dia menunggu teksi berhenti di hadapannya. Tangan sudah memegang pemegang pintu kereta teksi.

“Syifa’,” seru suatu suara dari arah belakang. Statik tangan Syifa’ seketika sebelum kembali menarik pemegang tadi. Pintu teksi ditarik. Tidak menghiraukan suara yang berbunyi tadi.

“Syifa!” Nada yang sedikit kuat daripada tadi. Kuat, dan kedengaran semakin dekat. Syifa’ masih degil tidak ingin berpaling. “We have to talk!”

Syifa’ menggerakkan tubuh untuk masuk ke dalam perut teksi namun lengannya direnggut dari arah belakang. Darahnya menyirap secara tiba-tiba.

Get your hands off me!” dengusnya dari celah gigi.

“Syifa’...”

Syifa’ merentap tangannya daripada pegangan lelaki itu dan menoleh. Tajam matanya menikam ke mata lelaki itu.

Get the hell out of my sight! Saya dah tak nak tengok muka encik ni lagi seumur hidup saya!” muntah Syifa’ penuh bisa.

Berubah wajah lelaki itu. Berkerut dahinya. Namun ketegangan yang sentiasa menghiasi wajah seakan terpateri kekal tidak berubah.

“Syifa’,” seru lelaki itu lagi. Suaranya perlahan, seakan merayu pengertian daripada gadis itu.

Pantas Syifa’ mengangkat tangan mengarahkan agar lelaki itu tidak bersuara.

Go to hell!” desis Syifa’ sebelum pantas meloloskan diri masuk ke dalam teksi. Enjin mengaum seketika dan sekelip mata dia berlalu tanpa mengerling ke arah lelaki yang masih tidak bergerak dari tadi.

Thaqif melepaskan keluhan yang berat. Kedua belah tangan diseluk ke dalam kocek seluar. Sesungguhnya dia dilanda kekesalan yang maha hebat. Ah... andainya dia bisa mengundur masa, takkan sekali-kali dia membiarkan lidahnya bersuara tanpa usul periksa. Takkan sekali-kali dilepaskan baran yang sentiasa mengawal tindak-tanduknya. Dan takkan sekali-kali dibebankan segunung kesalahan ke atas bahu gadis itu. Tidak akan!

Namun, semuanya sudah terlambat... Semua yang pernah dimuntahkan tidak bisa ditarik balik. Dan segala kekesalan yang menekan di segenap ruang dadanya terasa begitu menyesakkan. Dia memejamkan mata seketika... dan senyuman sinis gadis itu sebentar tadi memenuhi segenap layar matanya.

No comments:

Post a Comment