Tuesday, 21 July 2020

Lara Cintamu - Bab 10

“ZEL! Zel!” teriak Nur kuat. Pintu bilik sahabatnya itu berulang kali diketuk dengan lantang. Ikutkan hati yang penuh dengan rasa terkejut ini, mahu saja dia menendang pintu itu sehingga roboh.

Zerlindah yang masih enak dibuai mimpi merasa sedikit terganggu dengan teriakan Nur. Dengan mata yang terpisat-pisat, dia berjalan dengan lenggok malas ke arah pintu biliknya.

“Zel!” sergah Nur sebaik saja wajah sugul sahabatnya itu muncul di sebalik pintu.

“Kenapa ni, Nur? Kau kacau aku tidurlah...” rungut Zerlindah tidak puas hati. Kejap-kejap matanya sedaya upaya dikerdipkan untuk dapatkan imej wajah Nur dengan jelas.

“Kau... kau... kau kena tangkap khalwat semalam ke Zel?” tergagap Nur menyoal tanpa lengah.

Membuntang biji mata Zerlindah apabila mendengar terjahan soalan daripada mulut Nur. Kantuknya semerta terbang melayang dalam sekelip mata.

“Mana kau dengar berita ni, Nur?” soal dia pantas.

“Tu, dah keluar kat TV tu Zel! Ya Allah, apa dah jadi ni Zel? Betul ke ni?” Nur bertanya kalut.

Zerlindah pantas berlari ke arah ruang tamu, ingin melihat sendiri berita di skrin televisyen seperti yang dikhabarkan oleh Nur tadi. Tatkala melihat wajahnya di kaca televisyen bersama tajuk berita; ‘MODEL TERKENAL DITANGKAP KHALWAT’ tersiar jelas, terus dia terjelepok ke atas lantai.

Dia terasa seperti hendak meraung, tapi tiada suara yang terkeluar daripada kotak suaranya. Terasa seperti ingin menangis, tapi air matanya seakan kering kontang. Sudahnya, dia hanya duduk kaku di lantai.

“Zel, betul ke apa yang jadi tu Zel? Bila jadi ni Zel? Dengan siapa? Kenapa kau tak beritahu aku Zel?” tanya Nur bertubi-tubi. Dia terasa ingin meraung di situ juga melihatkan wajah sugul sahabatnya itu.

“Zel!!!” teriak Nur lagi seraya menggoncangkan tubuh Zerlindah berkali-kali sewaktu gadis itu kekal membisu.

“Aku... aku tak buat salah pun, Nur. Aku masuk bilik air tu nak tukar baju je. Tahu-tahu, bila aku keluar... orang jabatan agama dah sampai. Aku tak buat benda terkutuk tu, Nur!” beritahu Zerlindah bersama genangan air mata.

Apa yang paling ditakuti telah pun terjadi. Kisahnya disiarkan secara berleluasa di media massa. Kalaulah dia punya kuasa sakti, akan diputarkan waktu supaya kisah ngeri ini kekal menjadi mimpi tidurnya di malam hari.

“Kau kena tangkap dengan siapa?” tanya Nur lagi, masih keliru dengan situasi yang dihadapi.

“Dengan Adam...” jelas Zerlindah perlahan. Wajahnya ditundukkan ke lantai. Malu hendak bertentang mata dengan sahabatnya itu.

“Adam? Adam mana?” Nur bertanya bingung.

“Adik Thor tu... Kau ingat lagi kan aku cerita pasal dia?” soal Zerlindah pula.

“Dia? Macam mana kau boleh kena cekup dengan dia pulak ni, Zel? Allah... sumpah aku tak faham hujung pangkal cerita kau ni!” keluh Nur dengan nada yang lantang.

Tanpa membuang masa, Zerlindah terus menceritakan tentang kejadian yang sebenarnya kepada Nur. Berharap sahabatnya itu faham dan mengerti. Semua yang terjadi bukan salahnya, tapi salah Adam! Namun, kerana kesilapan lelaki itu, natijahnya dia pula yang merana.

“Habis, apa kau nak buat sekarang ni?” Nur memandang wajah Zerlindah dengan dahi berkerut seribu.

“Aku tak nak kahwin dengan Adam,” putus Zerlindah.

Nur yang mendengar kata putus itu hanya mampu memandang wajah Zerlindah dengan mata yang terkebil-kebil. Dia sebagai sahabat sudah kebuntuan kata memikirkan masalah yang Zerlindah hadapi. Inikan pula tuan punya badan. Walaupun Zerlindah tampak kuat di luar, namun dia pasti hati sahabatnya itu pasti sedang galau saat ini.

 

SELAMA BEBERAPA hari ini, Zerlindah tidak senang duduk. Dia melilau ke sana sini bersama portfolio peribadinya yang setia diusung melalui celah jemari runcingnya itu. Puas dia menggunakan khidmat agensi permodelan untuk mendapatkan kerja, tetapi semuanya menolak.

Dia ingatkan apabila dia sendiri turun padang, sedikit sebanyak dapatlah juga membuatkan syarikat-syarikat pencarian bakat itu berlembut hati tatkala melihat pakej yang ada pada dirinya. Namun, sangkaannya meleset sama sekali.

Bukan mereka berlembut hati dengan bakat dan penampilan dia, sebaliknya hampir-hampir dia dicaci. Semuanya gara-gara berita dia ditangkap khalwat yang kecoh beberapa hari lepas.

Zerlindah panggung kepala yang mula terasa berpinar di bawah terik mentari. Pintu kereta dibuka dan menerobos masuk ke dalam. Dia memulakan pemanduan dengan fikiran yang berkecamuk. Tidak tahu ke mana hala tujunya sehinggalah matahari terbenam di ufuk barat.

 

PINTU KELAB malam itu dipandang nekad. Sejujurnya, dia belum pernah lagi menjejakkan kaki di mana-mana kelab malam sebelum ini. Tapi, hari ini bakal mencetus sejarah buat dirinya.

Sebaik saja pintu Zouk Club dikuak, bunyi bising alunan muzik menerjah masuk ke halwa telinga. Penglihatan dia pula agak berbalam-balam dek sinaran cahaya lampu di dalam kelab malam itu amat terhad.

Zerlindah membawa diri ke tengah-tengah lantai tarian. Perlahan-lahan dia menggerakkan badan, meliuk-lentok setara dengan alunan muzik yang dimainkan. Lantai tarian itu sesak dengan pelbagai ragam manusia. Sesekali, dapat dia rasakan tubuhnya bergesel dengan individu yang lain. Tapi dibiarkan saja keadaan itu.

Rupanya, inilah keseronokan yang dapat dirasai oleh individu-individu yang datang ke sini dengan masalah hidup yang memberat di kepala. Bunyi bingit muzik yang dipasang ternyata dapat mengkhayalkan minda sekali gus membuatkan dia terlupa akan masalah yang sedang dihadapi.

Zerlindah hanyut dalam alunan muzik yang berkumandang sehinggalah dia terasa ada sepasang tangan merangkul erat pinggangnya dari arah belakang. Pantas dia berkalih, cuba meleraikan pautan kemas itu. Tapi gagal!

Sorry, could you get your hands off me?” pinta Zerlindah dengan mata yang mencerlung garang. Wajah tampan lelaki yang sedang memeluknya ini tidak langsung dipedulikan. Padanya, tingkah lelaki itu sungguh biadab. Sesuka hati menyentuh tubuhnya tanpa izin!

I can’t cause you’re mine tonight!” jawab lelaki asing itu dengan riak wajah bersahaja. Tangan pula mula menjalar naik ke paha Zerlindah.

Zerlindah yang merasa berang dengan kelakuan itu terus bertindak pantas. Dia menggigit kuat lengan sasa lelaki itu sehingga tubuhnya dilepaskan.

Dalam kesamaran cahaya lampu, dia nampak lelaki itu menjerit dan menyeringai kesakitan. Dia pula hanya memberikan senyuman mengejek, kemudian berlalu pergi ke arah bar minuman. Dalam kelab malam yang ramai orang itu, dia yakin dirinya akan selamat.

“Coke!” pesan Zerlindah kepada lelaki yang menjadi bartender di situ.

Usai minuman dihidangkan di hadapannya, cepat saja dia mengangkat gelas ingin meneguk air bikarbonat itu. Haus. Tetapi, belum sempat bibirnya bersua dengan gelas, tangannya digenggam kuat. Pantas, dia menoleh ke sisi.

“Adam!” Membuntang biji matanya saat terpandangkan seraut wajah yang amat dikenalinya itu.

“Jangan minum!” tegah Adam tegas. Gelas minuman di tangan Zerlindah dirampas ganas sebelum dihempaskan kuat ke atas meja bar itu semula. Berkocak air gas itu tumpah di atas meja.

“Kenapa?” soal Zerlindah, keliru. Wajah tampan Adam diratah sayu dengan anak matanya.

“Apa you buat dekat sini, Indah?” Adam bertanya garang. Wajahnya merah padam, seakan benar benci melihat gadis itu di kelab malam ini.

“I haus...” Entah mengapa jawapan itu pula yang muncul dari oles bibirnya.

Adam menggigit bibirnya kuat. Cuba menelan sabar yang semakin berterbangan pergi. Ketika matanya menangkap susuk tubuh Zerlindah di dalam kelab itu sebentar tadi, jantungnya seakan direntap pergi. Dia gusar akan ada lelaki gatal yang mengambil kesempatan terhadap gadis itu.

“Jangan bagi I jawapan bodoh! Haus you cakap? Kalau haus, pergi balik rumah! Minum sepuasnya air-air yang ada dalam peti sejuk you tu, bukan datang menagih air kat sini!” marah Adam lagi.

Zerlindah lihat rahang lelaki itu jelas bergerak-gerak tanda amarah yang nyata.

“Apa yang I buat, bukan urusan you!” Usai berkata, dia bangun daripada duduknya. Tidak dipedulikan wajah menyinga Adam.

“Hei, perempuan!”

Sebaik saja Zerlindah ingin berlalu pergi menjauhi Adam, dirinya diseru oleh lelaki asing tadi. Lengannya dicengkam kuat.

“Lepaslah!” ronta Zerlindah cemas. Adam yang masih berada di sisi dikerling sekilas seakan-akan memberi isyarat meminta pertolongan daripada lelaki itu.

“Lepas? Tengok ni, lebam tangan aku kau kerjakan! Kau ingat, kau boleh lepas macam tu je? Jangan harap selagi aku tak puas ratah tubuh kau yang cantik ni...” kata lelaki itu lagi seraya jemarinya naik mengusap wajah Zerlindah dengan renungan yang penuh nafsu.

“Kurang ajar!” Zerlindah mengangkat tangan ingin menampar pipi lelaki itu. Tetapi tangannya terlebih dahulu dicekup dengan kasar. Zerlindah cuak!

“Adam...” panggil Zerlindah cemas. Matanya sedikit berkaca. Risau dirinya diapa-apakan oleh lelaki asing ini. Masuk kali ini, dua kali dia meminta pertolongan secara tidak langsung kepada Adam. Namun, lelaki itu hanya memandangnya dengan pandangan beku dan kaku.

“Apa yang you buat, bukan urusan I,balas Adam bersahaja.

Zerlindah tergamam apabila kata-katanya sendiri sebentar tadi memakan dirinya semula.

“Jom!” Lelaki asing itu menarik kuat lengan si gadis. Dia memaksa Zerlindah membuntuti langkahnya keluar dari kelab malam tersebut.

Menyedari dirinya dalam bahaya, Zerlindah menjerit-jerit sambil meronta meminta pertolongan. Malangnya, jeritannya tidak didengari oleh sesiapa pun kerana muzik yang bising kecuali Adam yang galak memerhatikan setiap adegan itu dalam diam. 

“Menyusahk­­­­­­­an!” dengus Adam bersama penumbuk yang dikepal geram. 

*** BOLEH DAPATKAN DIPASARAN, KELUARAN JULAI 2020 ATAU HUBUNGI/WHATSAPP NO DI BAWAH *** 

019-3729676 (Cik Shida) 013-4888095 (Kak Peah) 

No comments:

Post a Comment