Tuesday, 21 July 2020

Lara Cintamu - Bab 4

SHAWN Adam duduk santai di Café De Paris sambil menghirup kopi latte kegemarannya. Sengaja dia memilih kafe ini sebagai tempat pertemuan dia dan sahabatnya. Telefon pintar dilayari tekun sementara menunggu kedatangan Shafiq. Sesekali jam tangan dilirik geram.

“Hei, bro!” tegur Shafiq ceria sebaik saja muncul di hadapan Adam. Bahu sahabatnya itu dipeluk kejap.

Hey, what took you so long? Dah berjanggut aku tunggu kau kat sini, tahu tak?” rungut Adam seraya menayangkan wajah masam. Janji hendak berjumpa jam 8 malam, tapi Shafiq tiba jam 9.30 malam!

“Alah, sorrylah bro. Macam biasalah... malam minggu ni jammed. Kau pun bijak sangat pilih kawasan Bukit Bintang ni,” tempelak Shafiq tanpa selindung.

Ceh! Karang kalau aku pilih kedai mamak, kau jugak yang kompelin nak makan sedap-sedap. Dah aku pilih kafe ni pun tak puas hati jugak? Memang tekak badaklah kau ni!” bidas Adam geram. Shafiq memang kaki makan. Pantang jika dibawa lepak ke tempat yang tak menepati cita rasanya, cepat saja mulut itu berkicau.

Shafiq hanya menayang muka selamba. “Jadi, apa plan kita malam ni?” soal dia sambil menghirup minuman yang dipesan.

Plan apanya? Lepak sinilah, makan.” Adam menjawab pantas.

“Kau ni Adam... bosanlah kalau lepak berdua macam ni je. Paling kurang pun, lepas makan nanti jomlah kita masuk kelab. Layan perempuan cantik-cantik, baru syok bro! Malam minggu macam ni tak elok dibazirkan begitu aje,” cadang Shafiq bersungguh-sungguh. Senyum gatal terpamer di wajahnya.

“Kau je yang rasa bosan. Aku okey je, rasa seronok je lepak sini.” Adam menolak lembut ajakan sahabatnya itu.

“Alah bro, come onlah! Kau tak rasa ke nak berseronok macam dulu-dulu?” cucuk Shafiq lagi, tidak kenal erti putus asa. Dia berasa sedikit bosan dengan perubahan Adam. Terasa kehilangan ‘wing man’ yang sejati.

“Zaman berseronok macam tu lama dah aku tinggalkan. Kau pun tahu kan, aku datang kelab pun sekadar untuk duduk lepak je. Bukan untuk melayan perempuan sana sini macam dulu. Aku dah bosan dengan perempuan lepas apa yang jadi,” terang Adam.

Ya, memang dia sudah jauh berubah. Dia bukan lagi Shawn Adam yang suka mengangkut perempuan ke hulu ke hilir. Bahkan, setitis arak pun tidak pernah menyentuh tubuhnya. Dia hanya suka berseronok melayan gadis-gadis, tetapi tidak pernah sampai ke katil. Setakat di atas sofa itu ada jugalah. Takat yang ringan-ringan saja. Kerana dia lelaki normal.

“Membujang sampai ke tualah nanti kau ni. Sampai tahap bosan dengan perempuan, teruk dah tu bro. Jangan cakap dengan aku yang kau dah mula sukakan lelaki?” Shafiq berserkap jarang. Jari telunjuknya dinaikkan sedikit ke wajah Adam bersama riak wajah yang gelisah.

“Apa kau merepek ni, Fiq? Jangan melalutlah! Aku cakap, aku cuma bosan dengan perempuan, bukan tak ada nafsu dekat perempuan. Ada beza tu, faham?” soal Adam tegas. Dia layangkan jelingan ke wajah Shafiq. Geram. Suka benar melatah mengalahkan perempuan.

“Yalah, aku tanya je. Risaulah kau tak kahwin, melepas aku nak merasa nasi minyak kau,” gurau Shafiq bersahaja. Meletus tawanya melihat wajah cemberut Adam.

“Siapa cakap aku takkan kahwin? Semalam aku jumpa sorang perempuan ni. Cantik bro! Zerlindah nama dia!” beritahu Adam separa teruja.

“Zerlindah? Zerlindah Jawhara?” soal Shafiq laju.

“Yalah kut. Aku tak tahu nama penuh dia. Mana kau tahu nama penuh dia?” Laju Adam menyoal. Terkebil-kebil dia memandang wajah terkejut Shafiq. Sedikit musykil dengan sahabatnya ini. Jangan pula kata Zerlindah itu merupakan stok perempuan yang pernah Shafiq jadikan tempat berseronok suatu masa dulu? Berdebar-debar hatinya saat ini.

“Kau tak kenal dia? Kejap, aku tunjuk pada kau siapa dia tu sebenarnya,” kata Shafiq. Dia pantas melayari laman sesawang di telefon pintarnya, mencari informasi yang dikehendaki. Adam yang melihat sudah tak senang duduk.

“Nah, tenung puas-puas. Betulkan dia yang kau jumpa semalam?” tanya Shafiq galak. Dia yakin tekaannya tepat. Membuntang mata Adam melihat koleksi gambar yang terdapat pada laman sesawang itu.

“Betul kan dia yang kau jumpa? Dia, Zerlindah kau tu kan?” tanya Shafiq lagi apabila melihat Adam masih memakukan mata ke skrin telefon.

“Dia... model?” Adam bertanya meminta kepastian. Hampir tak percaya dengan gambar yang dilihatnya tika ini.

“Yalah, bro! Dia memang model terkemuka kut. Kau tak tahu ke? Aku kenal dia pun sebab pernahlah jugak ternampak gambar dia dalam beberapa majalah yang kawan-kawan perempuan aku beli. Dia ni... serius cantik! Rupa mix Pakistan tu!” Shafiq beria-ia membuka cerita tentang Zerlindah.

“Aku tak tahu dia ni model. Aku ingatkan kau dengan dia pernah berseronok dulu sampaikan nama penuh dia pun kau tahu. Buat cuak aku je!” terang Adam. Dia hela nafas lega dalam diam.

“Alah, kalau pernah jadi stok aku dulu pun apa salahnya?” provoke Shafiq. Keningnya diangkat berkali-kali sambil memandang ke arah Adam.

“Kau jangan main gila, bro! Aku tak makan bekas orang tahu. Nak-nak lagi bekas kau! Tak nak aku!” bidas Adam tegas.

Dia sedia maklum, Shafiq memang seorang yang amat sosial kehidupannya. Tapi, satu yang buat dia selesa bersahabat dengan Shafiq adalah kerana lelaki itu tidak pernah mempengaruhi atau menjerumuskan dia ke dalam kancah sosial yang sama. Semua yang dia buat dulu merupakan kehendak dia sendiri.

“Yalah, aku tahu taste kau tu tinggi melangit! Tapi beragak sikit bro, takut nanti tersungkur ke tanah macam yang sebelum ni,” pesan Shafiq. Sedikit pun dia tak ambil hati dengan kata-kata Adam tadi.

Thanks for the advice Fiq, but... I’ll know what to do.” Adam ukir senyum senang.

“Kat mana kau jumpa model ni semalam?” soal Shafiq ingin tahu. Wajah tampan sahabatnya ditenung.

“Dekat majlis kahwin semalam,” beritahu Adam tanpa selindung.

“Majlis kahwin siapa pulak yang kau pergi ni?” Shafiq kerutkan dahi. Pelik. Adam mana pernah layan nak hadiri majlis perkahwinan selama ini.

“Adalah... kau tak kenal.” Adam memilih untuk berahsia. Shafiq dilihatnya hanya diam sambil menganggukkan kepala. Tidak pula sahabatnya bertanya itu ini tentang majlis kahwin yang dia hadiri. Dia lebih selesa begitu. Kalau tidak jenuh dia mahu hadap soalan Shafiq yang kadangkala lebih banyak daripada soalan wartawan.

No comments:

Post a Comment