Tuesday, 16 June 2020

Melankoli Sekeping Hati - Bab 6

“YOU set me up!” tuduh Syifa’ garang. Mata mencerlung memandang ke arah Syamel yang enak menjamu nasi kerabu di kafeteria dalam bangunan yang menempatkan pejabat pak longnya ini.

Tersedak Syamel jadinya. Terbatuk-batuk dia. Serangan hendap yang tidak dijangka-jangka. Tangan kiri menggagau mencari gelas. Mata sudah berair. Rakus dia meneguk. Perit terasa tekaknya.

Selamba Syifa’ mengambil tempat di hadapan Syamel tanpa sedikit pun rasa bersalah. Dia melipat kedua belah tangan ke dada. Padan muka!

“Lain kali minum dengan tangan kanan. Bukan tangan kiri. Orang yang minum dengan tangan kiri ni pengikut syaitan!” Sempat Syifa’ mengenakan abang sepupunya..

“Aduh! Syukurlah abang tak mati kat sini tercekik solok lada. Kalau tak, mesti viral nanti cerita abang tau!” Serak suara Syamel. Masih kepedihan. Tidak terasa hati langsung dengan kata-kata Syifa’.

Tajam jelingan mata Syifa’. Jelas tidak terkesan dengan jenaka tak jadi abang sepupunya itu.

“Kenapa marah-marah ni, hmmm?” soal Syamel pura-pura tak tahu.

“Abang jangan nak buat-buat bodoh. Abang tahu apa yang Ifa cakap ni kan?”

Syamel tunduk menekur pinggan. Nasi berwarna biru digaul-gaul sebelum disuap ke dalam mulut. “Abang tak boleh nak cover Ifa tadi, abang dah ada klien lain,” gumam Syamel antara mengunyah.

“Kenapa abang tak cakap kat Ifa dulu? Abang tahu kan yang klien pagi tadi tu Encik Thaqif?” tuduh Syifa’.

“Abang tak sempat nak cakap kat Ifa.”

“Tak sempat?” sindir Syifa’. “Huh! Alasan je abang ni!”

Syamel menyuap gumpalan nasi yang terakhir. Dia menyudahkan suapan dengan seteguk air.

“Kejap, abang nak basuh tangan.”

Sabar Syifa’ menunggu Syamel kembali ke tempatnya. Wajah masih cemberut.

“Tak salah kan? Apa yang abang buat ni, salah ke?” Syamel mengelap tangan yang basah dengan sapu tangan. Wajah Syifa’ ditatap. “Dia nak cari rumah. Rumah yang dia minat tu dalam portfolio kita. Abang ada hal pagi tadi, agen lain pun semua dah ada appointment. Jadi salah ke abang minta Ifa yang pergi tadi?” Lembut suara Syamel.

“Kalau ya pun, takkan masa abang mesej Ifa pagi tadi abang tak terus terang dengan Ifa siapa klien tu? Abang cakap nama dia Syed. Abang sengaja kan nak lindungi identiti sebenar dia daripada Ifa, kan?” Syamel mengeluh kecil.

“Kalau abang cakap yang klien kita tu Thaqif, Ifa akan pergi tak jumpa dia tadi?”

“Memang taklah!” dengus Syifa’ laju.

“Habis tu? Takkan abang nak cakap kat Ifa? Kalau Ifa tak pergi tadi, syarikat boleh hilang 1 potential client.”

Syifa’ mencemik. Masih beranggapan Syamel sekadar beralasan.

“Salah ke abang nak baikkan sesama saudara yang bermusuhan? Mendamaikan perbalahan? Salah ke Ifa?” Masih lembut. Masih dalam nada memujuk.

“Dia call abang?” Masih kasar. Masih dalam nada menuduh.

Syamel mengangguk.

“Bila?”

“Semalam.”

“Lagi?”

“Dia minta tolong abang untuk jumpakan dia dengan Ifa. Dia kata, dia cuma nak cari peluang untuk minta maaf dengan Ifa, tu je! Pada masa yang sama, dia kata memang dia tengah nak cari rumah.”

“Ifa benci dia!” lafaz Syifa’ untuk kali yang entah ke berapa.

“Abang tahu.”

“Ingat senang-senang Ifa nak maafkan dia? Maafkan mak datin tu?”

“Abang tahu memang tak senang. Kalau senang, Ifa takkan masih mengungkit kisah yang sama selama lebih 3 tahun ni. Betul tak?”

Semakin tajam mata yang membelah ke mata Syamel. Terasa diri disindir. Syamel tidak berundur. Mata tetap melawan pandangan tajam Syifa’.

“Ifa nak tunggu 3 tahun lagi ke atau nak tunggu 30 tahun lagi ke, itu hak Ifa, abang tak boleh nak cakap apa-apa, tapi akhirannya nanti, Ifa akan dapat apa, ek?”

Diam.

“Kalau kemenangan yang Ifa inginkan, dah lama Ifa menang. Kalau kepuasan yang Ifa harapkan, abang rasa Ifa takkan rasa puas sampai bila-bila.” Dalam renungan mata Syamel. Cuba menyentuh kekerasan hati adik sepupunya.

“Ifa tak nak semua tu. Ifa nak Su balik. Tu je. Ifa tak nak apa-apa lagi!”

“Astaghfirullah, Ifa! Su dah takde. Dah t-a-k-d-e!” Nada suara Syamel berubah keras sedikit.

Syifa’ melarikan mata. Hakikat yang begitu sukar untuk diterima.

Keluhan dilepaskan perlahan.

“Abang tak tahu nak cakap apa lagi kat Ifa ni.”

“Abang tak rasa apa yang Ifa rasa...” bisik Syifa’ perlahan. Hampir tidak dapat dicapai oleh telinga Syamel.

Syamel mengangguk.

“Betul. Abang tak sangkal tu.”

“Lepas ni kalau dia nak tengok rumah lain, Ifa tak nak jadi agen dia. Cari orang lain. Muktamad!” putus Syifa’. “Ifa tak nak nanti dia...”

“Abang Syamel...” rengek satu suara tiba-tiba memotong kata-kata Syifa’. Spontan kepala Syamel serta Syifa’ menoleh.

Syifa’ menelan keluhan. Aduh! Dia dah datang! Syifa’ tahu saja apa yang bakal menyusul.

“Eh Pipa! Pipa dari mana ni? Tiba-tiba je ada kat sini? Tak kerja ke?” soal Syamel kehairanan.

Mata yang memandang ke wajah Syamel tadi kini mencari wajah Syifa’. Wajah yang tadinya lembut kini berubah tegang. Dia mengambil tempat di sebelah Syamel.

“Pipa kerja pagi tadi, tapi Pipa minta cuti separuh hari. Pipa nak jumpa abang. Tak tahu kenapa dari tadi, hati Pipa rasa tak sedap je. Memang betul pun apa yang Pipa rasa tu. Datang sini je tengok abang tengah dating dengan Ifa,” rengeknya lagi.

Berkerut wajah Syifa’. ‘Gediknya alahai pompuan ni! Mengada-ada!’

“Mana ada abang dating dengan Ifa? Ofis kita orang kan kat sini?”

“Kerja 1 ofis pun wajib ke kena makan sama-sama?”

“Eh mana ada saya makan apa-apa pun? Saya saja je duduk sini nak temankan Abang Syamel makan. Kesian abang makan sorang-sorang.” Syifa’ sudah mula lancarkan peluru. Tidak betah dia mendengar rengekan teman wanita si Syamel ni.

Syamel mengulum senyum. Sedar motif di sebalik kata-kata Syifa’ itu. Sedikit pun dia tidak membantah. Kadang-kadang, rimas juga dia dengan si Norpipah ni. Asyik nak mengawal gerak-geri dia saja.

“Kenapa awak kena teman abang makan pulak?” cabar Norpipah.

“Saja, takde sebab apa-apa,” balas Syifa’ malas-malas. Muka selamba ditayang. “Karang, kalau saya tak teman, ada perempuan lain datang mengurat Abang Syamel ni, lagi haru! Abang Syamel ni ramai peminat tau kat dalam bangunan ni. Abang Syamel kan handsome!”

Norpipah menjeling tajam. Sedikit pun tak berbekas di hati Syifa’.

“Saya dah ada ni, jadi boleh tak awak tinggalkan kita orang berdua kejap? Saya ada benda nak bincang dengan Abang Syamel.”

Syifa’ menjongket bahu.

“Tadi saya tak rasa nak makan, tapi sekarang baru terasa nak makan pulak. Kalau awak nak bincang dengan Abang Syamel, apa kata awak je pergi ke tempat lain?” Syifa’ mengangkat tangan memanggil pekerja gerai yang paling berhampiran dengan meja mereka.

“Bob, nasi goreng Thai 1 ya.” Syifa’ membuat pesanan.

Norpipah mengetap bibir. Hangat hatinya dengan tingkah Syifa’ yang dirasakan sengaja mahu memancing amarahnya. Dia yakin Syifa’ ada hati pada teman lelakinya. Kalau tak, takkan dia selalu saja menempel dengan Syamel? Alasan sepupu yang sering digunakan oleh Syifa’ memang langsung tak boleh pakai. Dia takkan percaya pada Syifa’. Tahu yang Syifa’ hanya menunggu peluang untuk merampas Syamel daripada tangannya.

“Pipa nak bincang apa? Kejap lagi abang ada appointment lain. Zuhur pun belum solat lagi ni,” ujar Syamel cuba mengalihkan perhatian Norpipah daripada Syifa’.

Norpipah berfikir sejenak. Mungkin ada baiknya juga dia berbincang di hadapan Syifa’. Supaya Syifa’ dapat dengar semua inti pati perbincangan mereka dengan harapan Syifa’ akan sedar diri!

“Bincang pasal kita la. Pasal apa lagi?” Norpipah melirik manja.

“Apa hal pasal kita?”

“Abang ni! Saja je tau. Minggu depan cukup 6 bulan kita couple tau. Takkan tak nak buat apa-apa?” Syifa’ menjuling mata ke atas. Hek eleh! Kecohnya pompuan ni! Baru 6 bulan kut!

“Nak sembelih kambing 2 ekor untuk buat kenduri ke?” sindir Syifa’.

Hampir tersedak Syamel cuba menahan tawa. Bersinar matanya memandang ke arah Syifa’. Tahu perasaan sebenar yang tersimpan dalam hati Syifa’ buat Norpipah.

“Eh, awak boleh diam tak?” jerkah Norpipah. “Sibuk je!”

Norpipah kembali membawa mata ke wajah Syamel. “Abang takde buat plan apa-apa ke?” soalnya penuh mengharap.

Plan apa?” Syamel benar-benar bingung.

“Yalah... takkan kita asyik macam ni je? Takkan tak nak bertunang atau apa-apa lagi?” soal Norpipah.

Kali ini Syamel betul-betul tersedak. Bertunang? Dia mengerling ke arah Syifa’. Ternyata Syifa’ turut terkejut dengan pertanyaan Norpipah tadi. Ternganga mulutnya.

Errr... masih terlalu awal untuk kita bertunang, Pipa. Abang belum bersedia lagi.” Syamel cuba mengawal suara.

Wajah Norpipah berubah mendung.

“Tak bersedia dari segi apa?”

“Dari segi macam-macam perkara, Pipa. Kita baru kenal 6 bulan. Masih terlalu awal untuk kita berdua.”

“Kalau tak bertunang pun, tak boleh ke abang datang merisik ke apa ke dulu?” desak Norpipah.

“Pipa, kita tak pernah berbincang pun pasal semua ni. Kenapa tiba-tiba?” soal Syamel masih bersabar.

Norpipah menarik muncung.

“Adik Pipa dah nak bertunang. Umur dia baru 24 tau. Takkan dia nak langkah bendul Pipa? Malulah Pipa!”

“Tak perlu malu, Pipa. Adik langkah bendul kakak ni dah terlalu biasa dalam masyarakat kita,” balas Syamel.

Norpipah nampak sangat tidak berpuas hati. Biasa? Memanglah biasa, tapi nanti yang kena sindir, yang kena cop tak laku, yang kena gelar andartu, bukan orang lain. Tapi diri dia juga!

“Abang tak nak kahwin dengan Pipa ke? Habis tu, hubungan kita ni nanti akan ke mana?”

“Pipa, kita baru je berhubungan 6 bulan. Tak ke masih awal untuk buat apa-apa keputusan?” dalih Syamel.

Sebenarnya, Syifa’ tidak bersetuju dengan pendapat Syamel. Tipikal bagi seorang lelaki untuk menggunakan alasan itu seandainya dia masih belum bersedia untuk mengambil langkah yang seterusnya. 6 bulan ke, 3 bulan ke, kalau hati sudah berdetik rasa, mengapa perlu bertangguh? Nampak sangat Syamel masih belum serius dalam hubungannya dengan Norpipah. Sama saja dengan kes teman lelaki kepada sepupunya, Suhana, yakni adik kepada Syamel. Asyik beralasan saja setiap kali Suhana membangkitkan isu mahu berkahwin.

Bob menghampiri meja mereka lalu meletakkan pinggan berisi nasi goreng di hadapan Syifa’. Memberikan masa untuk Norpipah menggali lagi akalnya.

“Kalau dah 6 bulan pun abang masih belum boleh anggap Pipa ni sebagai calon isteri, Pipa rasa kita ni buang masa je.” Pipa melayangkan amaran secara tersirat. Dia yakin amarannya kali ini bakal menyedarkan Syamel agar tidak bersikap sambil lewa dalam hubungan mereka.

Syamel mengeluh.

“Pipa, kita bincang lain kalilah ya. Abang dah betul-betul lambat ni. Petang karang abang call okey?”

Norpipah menyembunyikan senyuman kemenangan. Dia yakin Syamel tidak mahu berkata sesuatu di hadapan Syifa’ kini. Mungkin Syamel sudah tergugat dengan kata-katanya tadi. Dia pasti Syamel akan membuat pusingan-U tidak lama lagi. Takkanlah Syamel sanggup kehilangannya?

“Okey. Pipa tunggu.” Sempat dia mengerling ke arah Syifa’. Syifa’ hanya tekun menghadap pinggan. ‘Huh! Padan muka kau! Tak lama lagi, Syamel akan jadi milik aku!’

No comments:

Post a Comment