Monday, 20 July 2020

Mutiara Dalam Debuan Kabus - Bab 2

AKU terpaku untuk beberapa jenak, masih tidak mahu percaya bahawa aku sudah pun bersuami. Mungkin aku begitu terkejut akan kenyataan jururawat gempal itu hingga aku tidak sedar dia telah keluar dari wad ini. Kini aku seorang diri dengan hati tertanya-tanya. Terpinga-pinga.

Aku sekali lagi cuba mencari dalam benakku, yang masih berserabut daripada sebarang ingatan masa lampau, untuk semacam pengesahan bahawa aku telah pun berkahwin. Lebih-lebih lagi aku ingin tahu, berapa lamakah kami sudah berumah tangga? Sudahkah kami dikurniakan cahaya mata?

Tetapi malang sekali, aku tidak mendapat sebarang jawapan. Aku terpaksa akur dengan penjelasan Doktor Rahul bahawa sekarang ini, dan mungkin untuk beberapa hari, aku sedang mengalami hilang daya ingatan. Lagipun, aku tidak mampu untuk berfikir panjang demi cuba mencari huraian segera akan apa yang telah terjadi kepada diriku ini, kerana itu hanya membuatkan kepalaku sakit sahaja.

Aku pun melepaskan keluh panjang dan berbaring semula. Tiba-tiba sahaja tubuhku terasa lemah sekali setelah mendapat tahu tentang hal yang satu itu. Bahkan aku masih dalam keraguan tentang diriku ini yang sudah pun berkahwin dengan lelaki bernama Uzzam itu.

Mungkinkah aku sedang bermimpi buruk ketika ini?

Memikirkan sahaja tentang itu, aku pun pejamkan mata, ingin tidur lagi. Tiba-tiba sahaja aku rasa mengantuk semula. Mungkin kesan ubat yang telah diberikan tadi. Aku harap apabila aku terjaga kelak, aku sebenarnya sedang mengalami sebuah mimpi yang buruk sahaja. Aku tidak cedera atau terbaring di mana-mana hospital pun.

Namun, apabila aku terjaga lagi tidak lama kemudian, kali ini tanpa sebarang pening di kepala melainkan sengal-sengal pada otot-otot tubuhku sahaja, aku mendapati aku masih terbaring di katil yang sama. Bermakna aku tidak bermimpi buruk seperti yang aku sangka, melainkan kecederaan yang telah aku alami ini satu kenyataan.

Cuma aku masih tidak dapat ingat, bagaimana aku boleh berada di hospital ini dan di hospital mana? Aku pun lupa hendak bertanya kepada jururawat gempal bernama Sharifah itu dek telah begitu terkejut apabila dia memberitahuku yang lelaki bernama Uzzam itu ialah suamiku.

Mengerang kecil, aku pun bingkas dan duduk. Mataku meninjau wad ini untuk mencari kelibat lelaki yang diberitahu, iaitu suamiku yang bernama Uzzam itu. Tetapi tiada siapa pun di dalam wad ini. Aku seorang diri.

Melepaskan keluh, aku pandang waktu pada jam berbentuk bulat di dinding yang bertentangan dengan katil. Ia menunjukkan jam 9.15. Pagi atau malam aku tidak pasti. Sesungguhnya, tabir pada jendela itu telah ditutup rapat lantas tidak beri aku peluang untuk mengetahui keadaan suasana di luar sana.

Pun begitu, kali ini aku merasa lebih bertenaga. Tidak lemah dan lesu lagi. Mungkin tidur sejenak tadi memberi semacam manfaat terhadap tubuhku ini.

Tiba-tiba aku rasa kurang selesa, mahu ke tandas. Sedar bahawa aku masih lemah untuk turun daripada katil itu dan pergi ke bilik kecil itu sendirian, aku pun meninjau panel yang terdapat di kepala katil. Justeru menemui butang untuk memanggil jururawat yang bertugas, aku pun segera menekannya beberapa kali. Selepas itu aku sandarkan diri di kepala katil dan menunggu.

Lebih kurang 5 minit kemudian, seorang jururawat masuk ke wad ini dengan wajah yang ceria. Dialah jururawat kecil dan molek itu, yang mengendalikan aku pada hari aku akhirnya sedar daripada koma. Pada mulanya aku jangkakan jururawat berkenaan berbangsa Melayu. Tetapi silap dugaanku sebaik sahaja dia bersuara. Pertuturan bahasa Inggerisnya dengan loghat yang agak tebal membuktikan jururawat itu warga asing, bangsa Filipina. Namanya Magdalena seperti yang tertera pada tanda nama di baju seragamnya.

Apabila aku beritahu akan hajatku, dia dengan senang hati menolong. Jururawat Pinoy itu keluar sebentar dan kembali dengan sebuah kerusi roda. Aku lantas dibantu duduk di kerusi itu kemudian disorong ke tandas yang terdapat di dalam wad ini. Jururawat Filipina itu terus membantuku duduk di mangkuk tandas sebelum meninggalkan aku sendirian. Tetapi dia berpesan agar aku memanggilnya setelah aku selesai.

Sebaik sahaja aku menunaikan hajatku, aku pun gontai tetapi penuh hati-hati cuba berdiri dengan memegang pautan daripada besi pada dinding di tepi mangkuk tandas ini. Aku berdiri untuk beberapa waktu demi melihat sekiranya kakiku cukup kuat. Dan aku bersyukur apabila aku mampu berdiri tanpa rasa goyah. Rasa bersyukur maka secara perlahan-lahan serta hati-hati aku bergerak menuju singki yang hanya beberapa meter sahaja. Setapak demi setapak seperti bayi yang baru belajar berjalan sahaja. Aku berjaya juga mendekati singki itu tanpa sebarang musibah.

Aku pun merenung diriku sendiri di dada cermin yang melekat di dinding di atas singki. Aku setengah terkejut juga. Wajah yang memandang kembali itu wajah yang bujur dan cantik manis. Berkening tipis – yang sengaja ditipiskan – atas mata yang berbentuk seperti buah badam, hidung yang kecil tetapi mancung di atas bibir yang agak tebal dan comel. Memang benar terdapat lebam di sebelah kiri bibirku ini. Selain itu wajahku bersih dan kelihatan sembap serta pucat dek baru bangun daripada tidur... atau koma.

Dengan perkataan lain, aku merupakan seorang wanita yang cantik. Mungkin kalau wajahku ketika ini memakai alat solek dengan solekan yang rapi, aku tentu kelihatan jelita serta menawan, meskipun kepalaku berbalut rapi seperti perempuan dakwah sahaja. Malahan di balik pakaian gaun hospital ini, tubuhku kelihatan langsing dengan dada yang bidang, berpinggang ramping. Pun begitu, aku tidaklah begitu tinggi seperti seorang model, tetapi tubuhku bolehlah dikatakan seksi. Juga, kalau ketika ini aku dalam pakaian lengkap, serta agak ketat, dan sedang berjalan lalu di khalayak ramai, sudah tentu aku akan menjadi perhatian para lelaki.

Tetapi aku segera menghalau pemikiran demikian dari benakku. Entah mengapa aku boleh membayangkan tentang itu, aku agak hairan juga. Atau mungkinkah aku seorang wanita yang berperwatakan begitu sebelum aku hilang daya ingatanku ini? Iaitu seorang wanita yang sedar dirinya cantik menawan, lantaran itu suka mendapatkan perhatian.

Adakah aku seorang wanita yang angkuh? Namun berbisik juga satu sudut di hatiku ini sambil mataku menyorot bayangan wajahku di dada cermin itu. Seolah-olah mencari ciri-ciri demikian yang mungkin terserlah pada air mukaku. Bagaimanapun, tiada sebarang jawapan yang aku terima. Aku setakat memandang kosong pada bayangan diriku sendiri. Untuk beberapa ketika, aku berdiri sahaja seperti patung seraya cuba sekali lagi mendapatkan sesuatu tentang diriku yang sebenar dalam kotak fikiranku yang seperti dihijab kabus tebal.

Ternyata sia-sia sahaja. Apa yang aku dapat hanya kepala yang berdenyut-denyut lagi. Oleh itu aku pun berhenti daripada cuba memaksa diriku ingat semula tentang masa lampauku. Aku bimbang aku akan pitam lantas jatuh pengsan di lantai tandas ini.

Maka aku pun melepaskan keluh panjang sambil membuka paip air dan mencuci wajahku yang sembap itu. Selesai sahaja, aku rasa agak segar juga. Setelah aku keringkan wajahku dengan tuala kecil yang telah disediakan, aku memandang semula wajahku di cermin. Kini aku tidak lagi kelihatan pucat. Sudah kelihatan warna kemerah-merahan pada pipiku. Merasa senang hati, bibirku pun tersungging senyum.

Sesungguhnya, aku memiliki senyuman yang cukup manis sekali. Aku lantas perasan bahawa aku bukan sahaja memiliki bibir yang comel dan agak tebal, bahkan boleh dikatakan bibir yang minta dicumbu.

Aku mengeluh lagi. Terutama apabila teringatkan tentang lelaki yang telah kukenali sebagai suamiku itu, Uzzam. Yalah, aku tidak dapat hendak melupakan cara dia merenung aku dengan penuh kebencian. Bahkan kata-katanya bahawa aku sudah ‘melampau’ masih terngiang-ngiang dalam lubuk telingaku ini.

Sebenarnya apakah yang telah aku lakukan sebelum aku dimasukkan ke hospital ini? Adakah aku seorang isteri yang telah berlaku curang? Dan kemalangan apakah yang telah aku alami sehingga dimasukkan ke hospital ini dengan kepala berbalut begini? Hatiku terus ingin tahu.

Aku terus merenung diriku di cermin itu sambil kedua-dua belah tapak tanganku membelai pipi. Tapi adakah aku perempuan seperti itu? Liar dan tidak bermoral? Tidak percaya sama sekali aku memiliki tabiat yang buruk dan kurang elok begitu. Namun aku tahu kepastian dan kebenaran akan sikapku yang sebenar hanya boleh aku sahkan apabila ingatanku ini kembali pulih.

Tiba-tiba air mata bergenangan di bawah mataku. Aku seolah-olah sudah merasa kesal dan berdosa andainya memang benar bahawa aku adalah seorang perempuan dan isteri yang tidak patuh terhadap suami. Maka apabila aku ingatkan semula cara dia merenungku begitu rupa membuatkan aku seram sejuk juga. Dia benar-benar marah terhadap diriku ini. Begitu meluap-luap sinar bencinya terpancar di matanya itu.

Sesungguhnya, tentang itulah yang membuat aku seperti terkilan dan hatiku ini terus terpinga-pinga; mengapa? Jahat sangatkah aku ini sehingga suami sendiri merenungku seperti mahu membunuh? Aku pun menyeka air mata yang bergenangan itu dengan jejariku sambil menarik nafas panjang dengan esakan kecil. Selepas itu aku cuci mukaku semula demi melenyapkan perasaan sedih yang ketika ini melanda sukmaku.

Aku lantas terkejut apabila daun pintu bilik tandas itu diketuk oleh jururawat Pinoy itu, bertanyakan sekiranya aku tidak apa-apa atau perlukan bantuan.

Sebelum aku disorong keluar dari tandas itu, aku cuba bersuara. Alangkah gembiranya aku apabila aku akhirnya dapat menyebut perkataan ‘ahhhh... ooohhhh... uuhhhh...’ Aku lantas berkata sesuatu seorang diri dan suaraku terlontar keluar meskipun dalam keadaan parau. Namun begitu, aku rasa senang hati kerana dapat suaraku kembali meskipun agak serak.

Setelah aku kembali ke katil dan dalam keadaan selesa, aku pun bertanya kepada jururawat Pinoy itu tentang bagaimanakah aku dibawa ke hospital itu dan kemalangan apakah yang telah aku alami?

Jururawat bernama Magdalena itu mengeluh.

“Saya pun kurang pasti, puan. Ketika puan dikejarkan ke hospital ini, saya bekerja syif pagi. Puan dimasukkan ke sini pada awal dinihari. Dari rekod yang saya baca... sekitar 3 pagi. Kemalangan... dikatakan langgar lari. Seorang pemandu teksi menemui puan tak sedarkan diri di tepi jalan raya. Tapi kalau puan ingin lebih kepastian, ada baiknya puan bertanya saja kepada Jururawat Sharifah. Sebenarnya dialah yang merawat puan sebaik saja puan dimasukkan ke sini.”

Aku mengangguk. Namun fikiranku berpusaran juga dengan tanda tanya. Aku mangsa langgar lari?

“Oh ya, saya berada di hospital mana, misi?”

“National University Hospital (NUH), Puan Aslin.” Jururawat itu tersenyum.

“Dan sekarang ini malam ke siang?” tanyaku lagi sambil menjeling waktu pada jam dinding.

“Malam. Sekarang berehatlah. Kalau ada apa-apa panggil saja,” senyum jururawat Pinoy itu sambil menuju ke pintu.

Sendirian lagi dan berasa sunyi, aku duduk di atas katil termenung dan termangu, tidak tahu apa hendak dilakukan. Ternampak alat kawalan jauh di atas meja kecil di tepi katil, aku pun capai dan menghidupkan televisyen yang digantung pada siling. Saluran demi saluran aku picit melalui alat kawalan jauh itu tetapi tiada pun rancangan yang membuatkan aku mahu menontonnya. Aku mengeluh dan akhirnya padamkan sahaja TV itu.

Justeru, demi mahu terus mengelakkan rasa bosan hanya duduk di atas katil hospital, aku pun cuba cari sesuatu untuk dilakukan. Aku pun sorot almari di tepi katil untuk senaskhah majalah atau mungkin surat akhbar yang boleh aku baca. Sementelah aku ingin melihat sejauh manakah lupa daya ingatanku ini. Andainya aku tidak dapat membaca, menunjukkan keadaanku tentu agak berat daripada apa yang Doktor Rahul telah jelaskan tadi. Apatah lagi, dia dan suamiku telah berbincang di luar wad itu tanpa mahu aku dengar dan tahu tentang keadaan diriku yang sebenarnya.

Hendakkan kepastian, aku pun memanggil jururawat. Kurang lebih 5 minit kemudian, jururawat Pinoy tadi masuk dan aku pun memberitahu akan kemahuanku. Seolah-olah mengerti dilemaku, jururawat itu mengangguk, senyum dan keluar semula.

Dia masuk semula dengan beberapa naskhah majalah dan akhbar. Semua adalah majalah fesyen dan sudah 2 tahun usianya. Sementara akhbar-akhbar itu ada empat naskhah, dua Berita Harian dan dua Inggeris, Today dan Straits Times, iaitu bertarikh, tidak salah lagi, beberapa hari yang lalu.

Aku capai dulu salah satu naskhah majalah fesyen dan segera membeleknya. Secara rambang aku selak muka suratnya dan lantas cuba membaca apa yang tertulis. Aku mampu membacanya dengan lancar dan memahaminya. Berasa puas dan senang hati bahawa daya hilang ingatanku tidak menjejas otak aku sepenuhnya, aku pun meletakkan majalah itu ke tepi. Kemudian aku capai pula salah satu naskhah akhbar Berita Harian. Dan perasaanku cukup lega kerana aku boleh membaca dalam bahasa Melayu dengan lancar juga.

Pada ketika itu jugalah aku lantas sedar bahawa aku telah bertutur dalam bahasa Inggeris secara spontan dengan jururawat Pinoy itu tadi. Sebaik sahaja perkara itu terlintas, aku terpaku dan termangu sejenak. Kalau demikian halnya menunjukkan bahawa aku seorang yang berpelajaran. Maka terfikir juga, apakah pekerjaan aku agaknya? Atau aku setakat suri rumah yang bosan dan lantas memberontak dengan suka keluar rumah dan bersosial bebas?

Aku termenung sejenak sambil menggigit bibir bawah, teringatkan kata-kata Uzzam bahawa aku sudah ‘melampau’. Kalau diukur dari renungan sengit bercampur benci yang dia lemparkan kepadaku, tidak dapat dinafikan tentulah perbuatan aku cukup buruk sekali. Bagaimanapun, aku segera menggelengkan kepala demi tidak mahu memikirkan perkara itu lebih dalam. Bimbang kalau-kalau pening di kepalaku menyerang kembali.

Aku melepaskan keluh lagi dan agak panjang.

Aku lantas meletakkan akhbar itu ke tepi dan mencapai senaskhah lain majalah fesyen. Kali ini aku setakat membelek-belek sahaja. Yang anehnya, hatiku tidak terpengaruh pun dengan apa yang tertera dalam majalah itu walaupun ada beberapa pakaian itu cukup indah, unik dan seksi. Memang sesuai untuk aku kenakan demi mempamerkan kecantikanku ini. Sedikit pun aku tidak teruja untuk memilikinya. Malahan, aku tutup sahaja majalah itu dan letakkan bersama-sama yang lain sekali gus melupakannya.

Kemudian aku termenung sejenak sambil menyelam ke dalam hatiku tentang diriku ini. Terutama sekali dalam memikirkan, mengapakah aku tidak terpengaruh sama sekali setelah menatap pakaian-pakaian cantik di dalam majalah fesyen itu tadi? Bahkan di satu sudut hatiku seperti dapat merasakan aku bukan jenis yang suka melaram dan berlagak seperti perempuan yang sofistikated atau ingin setanding dengan model.

Bukan itu sahaja, aku masih lagi ragu-ragu bahawa namaku yang sebenar ialah Aslin. Atau mungkinkah hilang daya ingatan yang dialamiku kini tiba-tiba sahaja merubah perwatakanku yang sebenar? Dengan perkataan lain, aku sudah berubah, atau menjadi orang baharu? Orang lain?

Terfikirkan sahaja tentang itu, aku mula kebingungan. Bagaimana kalau ingatanku kembali pulih dan aku sememangnya seorang perempuan ‘telah melampau’ seperti yang dihamburkan oleh suamiku, si Uzzam itu? Oleh itu dengan mengalami hilang daya ingatan, yang aku diberitahu mungkin sementara sahaja, aku pun jadi ‘baik’. Bukankah itu sikap yang berpura-pura?

Bertubi-tubi fikiranku ini tiba-tiba sahaja disogok dengan berbagai pertanyaan hingga kepalaku yang berbalut ini merasa sakit dan bengang sekali lagi. Aku cuba tenangkan hati dan fikiranku ini. Maklumlah, tidak mungkin aku akan dapat sebarang jawapan serta huraian tentang diriku ini dalam sehari dua sahaja.

Demi membuat sakit di kepalaku reda, aku pun baring sambil menarik nafas panjang beberapa kali. Aku pejamkan mata. Apa yang aku lakukan nampaknya berkesan kerana sakit dan bengang di kepalaku perlahan-lahan hilang. Tanpa aku duga, aku tertidur juga akhirnya. Namun tidurku tidaklah tenang, sebaliknya aku bermimpi.

Sebuah mimpi yang agak aneh... dan mengelirukan...

No comments:

Post a Comment