Sunday, 20 September 2020

Khilaf Seorang Suami - Bab 9

SEPANJANG malam semalam Hazriq tidak dapat melelapkan mata. Jiwanya kacau-bilau membayangkan apa yang bakal berlaku pada hari ini. Kenapa dia seolah-olah sengaja membuka peluang kepada Fayzal untuk mendekati isterinya kembali?

Mundar-mandir kakinya di ruang tamu menunggu kehadiran tetamu yang tak diundang itu. Mata sesekali mengintai kelibat Aiza yang sedang mempersiapkan hidangan di dapur. Terdetik perasaan cemburu di hatinya melihat si isteri beria-ia ingin menyambut kedatangan Fayzal.

“Assalamualaikum,” sapa satu suara dari luar rumah.

Tergesa-gesa Hazriq bangun dan melangkah ke arah pintu utama.

Waalaikumussalam,” jawabnya bersama senyuman nipis di bibir. Hanya Tuhan sahaja yang tahu betapa dirinya sedang berusaha untuk menjadi tenang. Sedangkan perasaan dalam hati sudah berperang sesama sendiri.

“Apa khabar, Hazriq? Kau sihat?” Tangan yang dihulur bersambut baik.

“Baik, alhamdulillah. Kau?”

“Aku macam yang kau nampak nilah. Sihat. Lepas datang sini lagi sihat aku rasa. Aiza mana?” Fayzal menjawab selamba. Tidak mahu menunggu lama, dia sudah mula mencucuk jarum. Sengaja ingin mendera perasaan Hazriq.

Taraa... I ada kat sini!” Aiza yang tiba-tiba muncul di sebelah suaminya bersuara riang. Tertawa Fayzal melihat keletahnya yang sedikit keanak-anakan itu.

Hazriq yang melihatkan situasi itu tergamam seketika. Aiza masih boleh ketawa rupanya. Sudah berapa lama dia tidak nampak si isteri ketawa dengan gembira. Ada rasa sakit yang menjerut hati. Tak dapat dia bayangkan kehilangan Aiza daripada hidupnya. Tidak! Dia tak akan sesekali membiarkan Fayzal merampas Aiza daripadanya!

“Eh, jomlah masuk. Semua dah siap, kita boleh terus makan. Perut dah lapar pulak.” Hazriq mencelah pantas. Tangan Aiza digenggam erat dan ditarik isterinya itu masuk ke dalam rumah.

“Haah, jomlah masuk Fayzal. I masak makanan favourite you tau. You mesti suka.” Mulut berkata, kaki tetap melangkah seiring langkah si suami di sebelah.

Wow! You ingat lagi eh? Terharu I.” Fayzal sedar Hazriq sudah mula menunjukkan rasa insecure.

‘Kau yang minta semua ni, Hazriq. I’m so sorry. Aku cuma nak tolong Aiza.’

Hazriq telan liur yang terasa kesat. Jika ikutkan hati, mahu saja dia menghadiahkan sebiji penumbuk di wajah Fayzal. Biar lelaki itu sedar Aiza ialah isterinya yang sah. Bisikan-bisikan syaitan yang berlalu di tepi telinga cuba diusir jauh. Dia tidak mahu memburukkan lagi keadaan.

Terpandangkan balutan di kaki Aiza, automatik kerutan tergaris di dahi Fayzal. Tanpa lengah, dia terus mengajukan soalan.

“Kaki you kenapa?”

Nothing serious. Semalam pinggan pecah kena kaki I,” jawab Aiza sambil mengisi nasi ke dalam pinggan sebelum dihulurkan kepada Hazriq. Pinggan kedua barulah diberi kepada Fayzal. Biarpun sedang dalam usaha untuk membuatkan suaminya cemburu, dia tak lupa yang dia harus mendahulukan Hazriq dalam semua hal.

“You dah pergi klinik? Bahaya tu. Takut kena infection pulak nanti.” Riak kerisauan jelas terpampang pada wajah Fayzal. Kali ini bukan lakonan semata-mata. Apa yang dizahirkan adalah rasa hatinya yang sebenar. Dia risau melihat kecederaan yang dialami oleh Aiza.

It’s okay...” Ayat Aiza terhenti di situ apabila Hazriq dengan pantas mencelah.

Don’t worry, Fayzal. Aku ada. Tak payah pergi klinik. Doktor cinta ni dah merawat luka di kaki Aiza dengan penuh kasih sayang. Kan, sayang?” pintas Hazriq. Cukup menjadi pemerhati sejak tadi. Dia bukannya tunggul di sini. Fayzal seolah-olah sengaja ingin menaikkan kemarahan dirinya.

Aiza hanya tersenyum dan mengangguk sedikit. Sedar yang Hazriq mula rasa terancam. Disembunyikan senyum yang mula kelihatan di bibir.

“Wah... tak sangka pulak kau ni sweet jugak orangnya. Aku cuma risaukan Aiza. Tak ada maksud lain. Kau jangan salah faham,” jelas Fayzal cuba menerangkan duduk perkara yang sebenar. Tidak mahu terlalu ketara rancangan yang sedang direncanakan untuk membantu Aiza.

Never mind. Jemput makan.” Hazriq membalas ringkas. Malas mahu memanjangkan isu yang akan membuahkan pergaduhan. Itu yang sedaya upaya cuba dielakkan.

Sepanjang makan tengah hari itu, Aiza dan Fayzal tidak berhenti ketawa. Kelakar apabila cerita zaman belajar mereka dahulu diungkit kembali.

Hazriq pula lebih banyak mendiamkan diri. Lebih selesa mendengar dan memerhati. Pedih rasa hatinya melihat Aiza ketawa mesra dengan lelaki lain. Bukan tidak cuba untuk berbual sama, tetapi dia tidak mampu menipu diri sendiri. Dia rasa tercabar dengan kehadiran Fayzal di situ.

 

“SERONOK BERGELAK tawa dengan Fayzal?” soal Hazriq sejurus menutup pintu rumah. Lama sudah ditahan amarah yang menggunung dalam diri. Dia rasa tidak sabar-sabar untuk menyembur si isteri usai menghantar kepulangan Fayzal.

“Apa masalah abang ni?” Aiza menjerit keriangan dalam hati. Memang ini yang dia mahukan. Kiranya dia dan Fayzal berjaya membuatkan Hazriq berasa cemburu.

“Aiza sengaja nak buat abang sakit hati, kan?” Mata Aiza ditenung dalam-dalam. Dia cuba untuk meluahkan rasa tidak puas hatinya melalui panahan mata itu.

“Kenapa abang cakap macam tu? Cuba beritahu Aiza.” Bibirnya tersenyum sinis. Wajah Hazriq yang kelihatan tegang ditentang berani. Dia tak takut lagi. Jika dulu dia pasti menikus melihat wajah tegang itu. Sekarang dia langsung tidak gentar. Jiwanya sudah kebal.

“Sekarang ni bila dengan abang, nak senyum pun susah. Dengan Fayzal boleh pulak ketawa sakan. Kenapa Aiza berubah? Sedar tak Aiza dah banyak berubah sekarang ni?” luah Hazriq dengan nada kesal. Dia terlalu rindukan Aiza yang dulu. Yang selalu berlembut dalam berkata. Yang kerap bermanja dengannya. Ke manakah hilangnya semua sifat itu?

“Aiza berubah?” Soalan dipulangkan semula kepada suaminya. Jari telunjuk menekan kuat dadanya.

Hazriq mengangguk setuju.

“Bukan abang ke yang dah berubah? Kalau abang boleh berubah, kenapa tak Aiza?” Kening dijongket sedikit. Pakej cebikan di bibirnya.

“Hah?” Termangu Hazriq mendengarkan ayat yang ditutur Aiza. Apakah maksud Aiza sebenarnya?

Don’t ask me. Don’t ever. Just ask yourself. You’ll find the answer. The perfect answer. I’m done. Aiza nak kemas pinggan mangkuk.” Kedua-dua belah tangan diangkat ke sisi bersama jongketan bahu. Usai berkata, Aiza terus berlalu tanpa mendengar balasan daripada Hazriq. Sekali lagi lelaki itu dibiarkan terpinga-pinga.

Hazriq memegang kepalanya. Rambut diramas kuat sehingga kusut-masai. Andai saja semua masalahnya dapat diselesaikan dengan cara ini, alangkah mudahnya. Telefon bimbit yang berbunyi dicapai segera. Melihatkan nama Syasya yang tertera, butang off ditekan tanpa lengah.

Semak! Semak! Semak!

Aiza yang melihat gelagat suaminya dari dapur hanya menggeleng perlahan. Belum beristeri dua sudah begini. Lagi ada hati nak tambah cawangan konon!

‘Maafkan Aiza sekali lagi, abang. Ni je cara untuk sedarkan abang tentang cinta kita. Aiza pun tak rela nak sakitkan hati abang. Namun apakan daya...’

No comments:

Post a Comment