Monday, 19 October 2020

Seikhlas Cinta Kayla - Bab 5

ARYAN melangkah keluar dari kelas selepas tamat masa persekolahan. Petang ini dia mempunyai kelas tambahan pula.

“Abang...”

Aryan menoleh ke arah suara itu. Berkerut dahinya melihat Kayla muncul di bangunan pelajar tingkatan 5.

“Lambatnya abang turun. Lama Kayla tunggu abang.”

“Tunggu abang? Kenapa tak naik aje dekat atas?” soal Aryan. Dia sengaja keluar agak lewat dari kelas kerana ingin menyiapkan kerja rumah terlebih dahulu.

“Malaslah naik atas. Nanti terserempak pula dengan kawan abang yang tak reti bahasa tu.” Kata-kata itu ditujukan kepada Irwan.

Aryan ketawa lucu dengan rungutan Kayla. Kasihan Irwan menerima cemuhan daripada Kayla.

“Tak baik cakap macam tu. Mana tahu kawan abang tu ikhlas nak berkawan dengan Kayla.”

“Tak ingin Kayla.” Kayla tayang wajah meluat.

Tiba-tiba Aryan teringat tentang hadiah yang diberi oleh Kayla beberapa hari yang lepas. Baru hari ini dia berkesempatan berjumpa dengan Kayla kerana terlalu sibuk dengan aktiviti sekolah.

“Terima kasih sebab hadiahkan jam ni pada abang. Abang suka...” ucap Aryan dengan ikhlas. Dia menunjukkan jam tangan yang berada di pergelangan tangan kirinya.

“Kayla dah agak, abang mesti suka.” Kayla memegang tangan Aryan untuk melihat jam tangan itu.

“Mestilah abang suka.” Tersenyum Aryan dengan gelagat Kayla.

“Janji dengan Kayla, abang akan jaga baik-baik jam ni. Kalau boleh, Kayla tak nak tengok abang pakai jam yang lain,” pesan Kayla bersungguh-sungguh.

“Ya, abang janji. Kenapa tunggu abang dekat sini?”

Kayla tersenyum lebar. Tidak sabar untuk memberitahu hal itu kepada Aryan. Lebih-lebih lagi saat dia teringatkan ugutan bapanya.

“Abang ingat lagi tak dengan janji abang?” soal Kayla.

“Janji? Janji apa pula ni?” Kepala yang tidak gatal digaru perlahan.

“Cepat betul abang lupa. Abang dah janji nak tunaikan permintaan Kayla kalau Kayla boleh main gitar. Ingat tak?” tekan Kayla.

Aryan menepuk dahi kerana terlupa tentang hal itu.

Sorry, abang terlupa. Kayla nak minta apa?”

Tersengih-sengih Kayla memandang Aryan.

“Jadi guru peribadi Kayla selama 2 bulan.”

Ternganga Aryan mendengar permintaan Kayla.

 

TERSEDAK ADEL setelah mendengar berita yang baru disampaikan oleh abangnya. Ketika ini mereka sekeluarga sedang menikmati makan malam. Aryan memberitahu tentang rancangannya untuk mengajar Kayla setiap hujung minggu selama 2 bulan.

“Kenapa Kayla tak pergi belajar dekat tuisyen aje?” soal Adel dengan nada curiga.

“Kayla tak suka. Daddy nak upah guru tuisyen datang rumah, tapi Kayla yang tolak,” kata Aryan sambil menyuap nasi ke mulut.

Dato’ Syed Arman dan Datin Yasmin hanya mendengar saja perbualan antara anak-anak mereka.

“Yan okey ke? Tak lama lagi Yan nak exam SPM juga.” Prihatin Dato’ Syed Arman menyoal. Baginya, dia tidak kisah jika Aryan sanggup mengajar Kayla. Dia juga sudah menganggap Kayla seperti anaknya sendiri.

“Insya-Allah, boleh walid. Yan ajar Kayla hujung minggu aje. Itu pun 2 jam dalam sehari. Sambil tu, Aryan boleh study sekali,” jawab Aryan.

Pada awalnya dia tak mahu menjadi guru tak bergaji kepada Kayla. Namun disebabkan janjinya, terpaksalah dia menunaikan permintaan Kayla.

“Baguslah macam tu. Nanti Adel pun boleh belajar sekali dengan Kayla,” celah Datin Yasmin tanda menyokong rancangan itu.

Laju Adel menggeleng. “Tak naklah. Kalau belajar dengan Abang Yan, macam belajar dengan singa. Lebih baik Adel belajar sendiri.” Bersungguh-sungguh dia menolak.

Adel kenal sangat dengan sikap Aryan. Jika dia belajar dengan abangnya, sudah pasti dia akan ditegur dengan keras. Berbeza pula dengan Kayla. Aryan selalu saja berlembut ketika bersama Kayla. Pening dia memikirkan hubungan antara Aryan dengan Kayla.

“Tak apalah kalau Adel tak nak. Yang penting, walid tak nak pelajaran Aryan terganggu pula.”

“Insya-Allah walid. Perkara ni takkan ganggu pelajaran Yan. Yan janji.”

Adel masih lagi terfikirkan tentang permintaan Kayla. Pasti ada sesuatu yang terjadi sehingga abangnya sanggup menjadi guru peribadi Kayla.

 

LAMA KAYLA menunggu reaksi bapanya selepas memberitahu tentang rancangannya itu. Encik Malik masih berdiam diri sambil menghirup kopi panas di bilik kerja.

“Aryan setuju ke?” soalnya dengan nada yang serius.

“Setuju. Minggu ni kami dah mula kelas.”

Encik Malik masih lagi memikirkan tentang permintaan Kayla. Terkejut juga dia apabila Kayla meminta izin daripadanya untuk belajar dengan Aryan.

Daddy, boleh tak?” rengek Kayla kerana Encik Malik masih tidak memberikan jawapan.

Encik Malik menarik nafasnya dalam-dalam. Cawan di tangannya diletak di atas meja kerja. Dia cuba mencari alasan terbaik untuk menolak permintaan itu. Tidak mahu Kayla berkecil hati.

Daddy cuma risau akan ganggu tumpuan Aryan nanti. Tahun ni Aryan pun ada exam SPM. Kenapa Kayla tak setuju daddy upah guru untuk ajar Kayla di rumah?” Kali ini dia cuba memujuk anaknya.

Dia sebenarnya tidak mahu menyusahkan Aryan. Pada masa yang sama, Encik Malik mahu anaknya menjaga batas pergaulannya dengan Aryan.

“Tak naklah. Kayla paling tak suka belajar dengan orang luar. Ni pun kira bernasib baik Abang Yan sudi ajar Kayla,” Kayla membantah dengan keras.

Mengeluh Encik Malik dibuatnya melihat sikap Kayla yang langsung tidak boleh diajak berbincang. Asyik dengan keras kepalanya sahaja.

“Bolehlah daddy...”

Melihat kesungguhan Kayla, tidak tergamak pula Encik Malik menolak permintaan anaknya.

“Baiklah, daddy setuju. Tapi Kayla kena jaga batas pergaulan setiap kali bersama dengan Aryan,” pesan Encik Malik tegas.

Sudah beberapa kali dia ternampak Kayla memeluk lengan Aryan tanpa rasa segan silu. Malu juga dia jika dilabel tidak pandai mengajar anak.

Daddy merepek apa ni? Selama ni Kayla mana pernah buat perkara yang memalukan daddy.” Bengang Kayla kerana tiba-tiba saja dia ditegur begitu.

Daddy cuma ingatkan aje. Kayla dan Aryan dah besar. Bukan macam dulu lagi nak berkepit 24 jam. Tak manis kalau orang lain nampak.”

Sikap Kayla yang semakin keras kepala itu kadangkala membuatkan Encik Malik mula hilang sabar. Dia sedaya upaya cuba bersabar dalam mendidik tingkah laku puterinya.

Kayla semakin tidak senang dengan teguran itu. Dia tidak suka jika hubungannya dengan Aryan dihalang oleh sesiapa termasuklah ayahnya sendiri.

Daddy tak suka ke Kayla rapat dengan Abang Yan?”

Encik Malik bersandar lemah di kerusi kerja. Ternyata Kayla masih enggan menerima nasihat yang diberi. Ada saja yang ingin dibantah.

“Bukan tak suka, tapi biarlah berpada-pada. Daddy tak nak umi dan walid mengata yang daddy ni tak tegur Kayla selama ni.”

Terdiam Kayla. Takut pula dia mendengar alasan Encik Malik. Ada benarnya juga kata-kata itu.

“Yalah, Kayla dengar cakap daddy. Kayla masuk bilik dulu. Good night daddy.” Kayla mendekati Encik Malik dan mencium kedua-dua pipi itu.

Sebaik sahaja Kayla beredar dari bilik itu, Encik Malik memicit dahinya dengan perlahan. Dia sebenarnya sangat risaukan perasaan Kayla terhadap Aryan. Bukan dia tidak sedar, hanya anaknya sahaja yang terlalu sukakan Aryan.

No comments:

Post a Comment