Monday, 19 October 2020

Seikhlas Cinta Kayla - Bab 8

ENCIK Malik bergegas ke rumah Dato’ Syed Arman sebaik sahaja dia menerima panggilan telefon daripada Aryan. Risau memikirkan keadaan Kayla yang mengalami demam panas. Perasaan bersalahnya semakin menebal kerana terlalu sibuk bekerja sehingga mengabaikan Kayla.

Dia tiba di rumah itu hampir waktu maghrib. Semasa tiba di sana, Dato’ Syed Arman sudah pun menunggu kedatangannya di luar rumah.

“Assalamualaikum, Man. Kayla macam mana?” tanya Encik Malik dengan perasaan gusar.

Waalaikumussalam. Dia dah okey sikit lepas makan ubat. Masuklah dulu.”

Kasihan juga Dato’ Syed Arman melihat raut wajah Encik Malik yang agak kepenatan itu. Encik Malik hanya menurut sahaja dan masuk ke dalam rumah. Mereka duduk berbual di ruang tamu.

“Aku minta maaf sebab susahkan kau sekeluarga. Pagi tadi aku langsung tak sempat jumpa Kayla sebab nak cepat ke Kedah. Dahlah phone aku habis bateri. Terkejut juga aku bila dapat tahu Kayla demam panas,” jelas Encik Malik panjang lebar.

“Tak ada susahnya, Malik. Kau ni macam tak biasa pula dengan aku. Kayla tu aku dah anggap macam anak aku sendiri. Aku tahu dia sakit pun masa aku dah sampai di rumah.”

Dato’ Syed Arman tidak mahu Encik Malik merasakan Kayla satu beban buat mereka sekeluarga. Dia tahu sahabatnya sekarang sedang sibuk menguruskan projek besar di Johor dan di Kedah. Kadangkala Encik Malik terpaksa berulang-alik ke dua buah negeri ini untuk memastikan perjalanan kerja-kerja pembinaan rumah berjalan dengan lancar.

“Kayla dah makan ke tadi? Setahu aku, Kayla kalau kena demam panas payah betul nak makan.” Tahu benar Encik Malik dengan sikap Kayla yang degil ketika jatuh sakit.

“Dia jamahlah juga. Adel kata mula-mula liat juga dia nak makan, tapi lepas Yan yang pujuk, baru Kayla tu nak makan.” Dato’ Syed Arman tergelak lucu.

Tersenyum nipis Encik Malik. Jika perkara yang berkaitan dengan Aryan, pasti anaknya akan menurut sahaja. Sayang sangat Kayla dengan Aryan.

“Kayla tu kalau dengan Aryan laju aje mendengar kata. Dengan aku, bukan main payah lagi nak mendengar.” Encik Malik mengeluh lemah.

“Kayla tu memang manja budaknya. Nak-nak lagi kalau dengan Yan. Jomlah kita solat dulu. Lepas ni baru kau pergi jenguk Kayla. Kalau boleh, biarlah Kayla tu tinggal dekat sini dulu sampai dia sihat,” cadang Dato’ Syed Arman pula.

“Tapi...”

“Tak ada tapi-tapi, Malik. Sekurang-kurangnya bila kau pergi bekerja, Yasmin boleh tolong jagakan,” celah Dato’ Syed Arman tanpa sempat Encik Malik menghabiskan ayatnya.

“Kalau macam tu, terima kasih Man.”

“Sama-sama.”

Mereka berdua beriringan berjalan menuju ke bilik solat.

 

LAMA MATA Aryan merenung wajah Kayla yang masih pucat itu. Terkilan juga dia kerana terlupa tentang tarikh yang sangat penting buat Kayla. Sejak dulu lagi Kayla tidak suka meraikan hari jadinya kerana ia akan mengingatkan Kayla tentang arwah ibunya.

“Makan juga Kayla ni. Jampi apalah yang Abang Yan guna baru boleh buat si Kayla ni makan,” perli Adel sambil menukar kain tuala basah di dahi Kayla.

Aryan hanya berdiam diri sahaja. Kayla sudah tertidur selepas menelan ubat tadi. Jika demam Kayla masih belum kebah sehingga pagi esok, dia akan membawa Kayla ke klinik untuk menerima rawatan.

“Adel nak ke dapur. Nanti Abang Yan jangan pula duduk dekat bilik Adel ni lama-lama. Takut umi dengan walid nampak, tak manis pula,” pesan Adel.

“Hesy, macamlah Abang Yan ni jahat sangat.”

“Bukannya Adel cakap Abang Yan ni jahat. Kalau lelaki dengan perempuan ni duduk dalam satu bilik, takut lain jadinya.” Adel membuka pintu biliknya dengan luas sebelum melangkah keluar dari bilik itu.

Sebaik sahaja Adel keluar, perlahan-lahan tangan Aryan menyelak rambut Kayla daripada menutup wajah pucat itu.

Kayla yang terasa kepalanya seperti disentuh oleh seseorang, perlahan-lahan membuka matanya. Tersenyum dia saat melihat Aryan masih lagi berada di sisinya.

“Abang...” Serak suara Kayla.

“Kayla nak apa-apa ke?” Laju Aryan menyoal.

Kayla menggeleng lemah. Tangannya menggenggam erat tangan Aryan. Tersentak Aryan dengan perbuatan Kayla itu.

“Terima kasih sebab temankan Kayla. Janji dengan Kayla yang abang akan sentiasa ada dengan Kayla.” Kayla masih kelihatan mamai.

Tergamam Aryan dengan permintaan Kayla. Melihat wajah Kayla yang penuh berharap, menyebabkan dia tidak sampai hati menolak.

“Insya-Allah... Abang janji akan sentiasa ada dengan Kayla. Sekarang Kayla rehat dulu ya.” Aryan membalas genggaman tangan Kayla.

Kayla memejamkan matanya kembali dan akhirnya terlena. Lama Aryan merenung wajah pucat itu sehingga tidak sedar Encik Malik sudah lama menapak masuk ke dalam bilik itu.

“Aryan,” bahu Aryan disentuh lembut.

Terkejut Aryan apabila Encik Malik sudah berada di belakangnya.

Err... daddy.” Segera dia melepaskan genggaman tangan Kayla. Segan juga dia jika dilihat oleh Encik Malik.

“Kayla dah tidur?”

“Dah daddy,” jawab Aryan.

“Ikut daddy sekejap. Ada perkara daddy nak cakap dengan Aryan,” pinta Encik Malik.

Aryan segera keluar dari bilik itu. Encik Malik sempat mencium dahi Kayla sebelum melangkah keluar dari bilik itu. Pintu bilik ditutup perlahan kerana tidak mahu anaknya terdengar perbualannya bersama Aryan.

“Macam mana persediaan Aryan untuk SPM nanti?” Mereka berdua duduk di sofa yang ada di tingkat atas.

“Alhamdulillah... semuanya baik-baik aje.”

“Baguslah. Daddy kesian juga dengan Aryan sebab terpaksa mengajar Kayla walaupun Aryan tengah struggle untuk SPM,” kata Encik Malik dengan rasa bersalah.

“Yan okey aje, daddy. Lagipun, Kayla tu sebenarnya mudah nak faham apa yang Yan ajar,” kata Aryan dengan jujur.

Tergelak Encik Malik mendengar penjelasan Aryan tentang anaknya.

Daddy risau dengan Kayla tu. Dia hanya nak dengar cakap Aryan aje dari dulu. Tengoklah tadi, nak makan pun terpaksa Aryan yang suruh. Kalau Aryan nak tahu, sejak akhir-akhir ni dia kuat belajar sebab takut dengan ugutan daddy.”

Tergamam Aryan.

“Maksud daddy?”

Encik Malik menarik nafasnya dengan agak berat. Dia tahu Kayla melakukan semua ini demi Aryan.

Daddy ugut kalau dia tak lulus untuk mana-mana subjek dalam peperiksaan PMR kali ni, daddy takkan benarkan dia jumpa dengan Aryan dan datang ke rumah ini lagi. Tak sangka kali ni Kayla betul-betul belajar dengan bersungguh-sungguh. Takut sangat tak dapat jumpa Aryan gamaknya,” jelas Encik Malik sambil tersenyum hambar.

Wajah Aryan jelas terkejut.

“Yan tak tahu pun daddy...”

Daddy harap sangat Aryan dapat bimbing Kayla ke arah kebaikan. Kalau boleh, daddy nak minta tolong Aryan supaya jaga Kayla bagi pihak daddy andai daddy tak ada di samping Kayla nanti.” Encik Malik yakin Aryan adalah lelaki yang terbaik untuk menjaga anaknya suatu hari nanti jika ditakdirkan dia sudah tiada di dunia ini.

“Insya-Allah, daddy. Yan akan jaga Kayla.”

Encik Malik tersenyum lega.

Err... daddy tahu tak hari ni hari apa?” tanya Aryan dengan perasaan bercampur baur.

“Kenapa dengan hari ni?” Berkerut dahi Encik Malik.

“Hari ni, 12 November. Hari jadi Kayla dan... err... hari arwah mummy pergi.”

Encik Malik lekas berdiri tegak kerana terlalu terkejut. Dia benar-benar terlupa tentang tarikh yang paling penting dalam hidupnya selama ini. Kali pertama dia terlupa tentang perkara ini disebabkan terlalu sibuk dengan kerja.

Wajahnya diraup perlahan. Dia lekas beredar meninggalkan Aryan dan masuk ke bilik untuk menemui Kayla.

Aryan memandang ke arah pintu bilik Adel yang tertutup rapat itu. Hatinya tiba-tiba menjadi sayu apabila teringatkan permintaan Kayla dan Encik Malik sebentar tadi. Dia sendiri tidak pasti sama ada dia mampu atau tidak menunaikan permintaan tersebut.

No comments:

Post a Comment