Monday, 19 October 2020

Seikhlas Cinta Kayla - Prolog



ERAT tangan Kayla memimpin tangan Aidan. Aidan pula tidak berhenti tersenyum sebaik sahaja mereka tiba di Melaka Mall. Mereka ke sini menaiki teksi kerana Kayla kurang sihat untuk menunggang motosikal.

Kebetulan pula hari ini dia telah menerima gaji bulanan. Bolehlah dia belikan permainan buat anaknya. Hati Kayla sedikit terusik melihat wajah ceria Aidan. Sudah lama dia tidak meluangkan masa seperti ini bersama anaknya itu.

“Mama, nak tu...” Aidan menunjuk ke arah gula-gula kapas di hadapan sebuah kedai coklat.

“Aidan nak gula-gula kapas tu ke?” tanya Kayla sambil mengusap lembut kepala Aidan.

Laju Aidan mengangguk. Kayla tersenyum tawar. Wajah Aidan bukan sahaja seiras dengan Aryan tetapi mereka mempunyai kegemaran yang sama. Setiap kali memandang wajah anaknya, dia pasti akan teringatkan Aryan.

Sudah beberapa tahun dia melarikan diri daripada Aryan. Bukan melarikan diri, tetapi lebih kepada mengalah. Dia sedar kehadirannya dalam hidup lelaki itu adalah satu kesilapan. Jika dapat diputarkan masa, dia tidak akan memaksa Aryan untuk berkahwin dengannya.

“Mama...” panggil Aidan sambil menarik tangan si ibu.

Terus lenyap ingatan Kayla terhadap lelaki itu. Perlahan-lahan dia mencangkung di hadapan Aidan. Satu-satunya harta berharga dalam hidupnya selepas pemergian arwah Encik Malik.

“Okey, mama belikan. Tapi janji dengan mama, lepas ni kurangkan makan makanan manis.” Jari kelengkengnya dihulurkan kepada Aidan. Perbuatan yang sudah menjadi rutin buat mereka berdua jika mengukir janji.

“Okey mama.” Laju Aidan menjawab sambil menyatukan jari kecilnya dengan jari Kayla. Ketawa mereka saling bergabung.

Kayla berdiri kembali sambil memimpin tangan comel itu menuju ke kedai tersebut. Termati langkahnya saat ternampak kelibat lelaki yang sudah lama tidak ditemuinya itu. Hati Kayla semakin terluka saat melihat Husna tersenyum di sisi Aryan.

“Papa!” jerit Aidan tiba-tiba.

Terkejut pasangan itu apabila mendengar jeritan suara Aidan. Malah, Kayla turut tercengang kerana tidak menyangka Aidan dapat mengecam wajah Aryan. Dia dan Aryan saling bertatapan. Menggigil tubuhnya apabila Aryan mula mendekati mereka.

Tanpa membuang masa, tubuh kecil Aidan didukung dan dia berlari sekuat hati. Dia tidak mahu lelaki itu berada dekat dengan mereka, terutamanya Aidan.

“Kayla!”

Kayla semakin cemas apabila mendengar suara Aryan semakin hampir. Aidan yang masih terpinga-pinga terus memeluk leher Kayla dengan erat.

“Kayla! Tunggu abang, Kayla!”

Kayla masih lagi berlari laju. Sebaik sahaja berjaya keluar dari pusat membeli-belah itu, dia segera menuju ke arah sebuah teksi. Nasibnya baik kerana kebetulan ada teksi yang baru sahaja menurunkan seorang penumpang. Lekas dia masuk ke dalam teksi tersebut dan menutup pintu itu.

“Pak cik, tolong bawa saya pergi dari sini. Cepat pak cik!” gesa Kayla sambil memeluk Aidan dengan erat.

Err... baik puan.” Terkejut juga pemandu itu dengan kemunculan wanita bersama anak itu secara tiba-tiba.

Belum sempat teksi itu bergerak, cermin tingkap pintu di sebelah Kayla diketuk dengan kuat. Pucat wajah Kayla melihat Aryan sudah berada di situ. Mujur dia sempat mengunci pintu kereta itu.

“Buka pintu ni, Kayla! Tolong buka pintu ni, sayang.”

Sayang?

Bergenang tubir mata Kayla. Tidak percaya lelaki itu akan memanggilnya dengan panggilan sayang.

“Puan nak saya buka...”

“Jangan!” bantah Kayla.

Aryan masih lagi berusaha membuka pintu teksi itu.

“Jalan, pak cik. Saya tak kenal lelaki gila ni. Dia nak ganggu saya. Cepat jalan,” gesa Kayla bersungguh-sungguh.

Wajah pemandu itu jelas keliru. Pelik juga apabila lelaki kacak dan bergaya itu dikatakan lelaki gila. Akhirnya dia akur dengan arahan penumpang. Kereta dipandu laju meninggalkan kawasan itu.

“Sayang!”

Terpejam mata Kayla apabila masih terdengar panggilan itu. Kalaulah 5 tahun yang lalu dia mendengar perkataan itu walaupun hanya sekali sahaja, tak mungkin dia akan meninggalkan Aryan.

“Kenapa mama nangis?” Tangan kecil Aidan mengesat kedua-dua pipi Kayla yang sudah lencun itu.

“Tak ada apa, sayang. Tak ada apa.” Makin erat Kayla memeluk anaknya. Kerana Aidan, dia terus bertahan untuk meneruskan kehidupannya.

‘Maafkan mama, sayang. Mama tak patut terus bersama dengan papa sejak dulu.’

Kayla rasa berdosa kerana telah mengheret Aidan untuk hidup menderita bersama dengannya. Semuanya gara-gara sikap tamaknya untuk memiliki Aryan dulu.

No comments:

Post a Comment