Tuesday, 14 January 2020

Akhir Sebuah Cinta - Bab 7

“ALI mana, mak cik?”

“Dia ke laut, kakak.”

“Musim-musim tengkujuh macam ni?”

“Bukan ke laut yang menangkap ikan tu. Ni dia ke tepi laut, nak cari ketenangan katanya.”

“Wah! Sejak bila dia reti buang masa ni, mak cik? Selalunya ada saja kerja dia buat.”

“Kerjalah juga tu. Kerja buang masa.”

“Hahaha... mak cik dah pandai buat lawak.”

“Mana aci kakak je pandai melawak.”

“Pitam Ali kalau dia dengar mak cik cakap macam ni.”

Mak Cik Siha ketawa. Bahu Peah ditepuk manja.

“Seriuslah mak cik, Ali pergi cari ketenangan? Sejak bila pula dia jadi manusia jiwa-jiwa ni?”

Mak Cik Siha tersenyum.

“Kakak rasa kenapa?”

“Saya tak ada jawapan, mak cik. Saya bukan faham jiwa Ali tu.” Terkebil-kebil mata perempuannya memandang wanita yang berusia 50-an itu.

“Cuba kakak ingat balik, semalam apa dah jadi?”

“Semalam, err...” Terbayang semula insiden Ali bertumbuk dengan pemuda kampung.

“Adalah yang dia terkesan tu. Sebab tu pagi-pagi lagi dia dah bawa diri.”

“Bawa diri ke tepi laut? Bunyi macam orang nak terjun bunuh diri.”

“Ali tu suka laut, kakak. Sejak kecil lagi macam tu. Laut tu dah jadi kawan baik dia.”

“Oh...”

“Kakak pergilah tengok dia.”

“Hesy, tak mahulah mak cik. Tak pasal-pasal saya kena tempik nanti. Dia tak nak diganggu tu.”

“Pergilah. Ajak dia balik makan. Dia tak sarapan pun lagi tu.”

“Laa, ya ke?” Jam dinding dikerling. Dah pukul 10 pagi. Tak lapar ke si lanun tu?

“Nanti kakak suruh Ali balik sarapan, cakap mak cik masak makanan kegemaran dia.”

“Okey.”

“Elok-elok jalan tu.”

“Baik, mak cik.”

 

 “ASSALAMUALAIKUM.”

Ali menoleh ke arah suara yang menegur. Peah tengah tayang gigi.

“Kacau boleh?”

“Sejak bila pula kau pandai minta izin? Selalu main redah je.”

Peah letak punggung atas pasir. Jarak 2 kaki dari tempat Ali duduk.

“Buat apa sorang-sorang kat sini?”

“Kau buat apa datang sini?”

Peah julingkan mata.

“Aku soal kau, kau soal aku balik. Eloklah tu. Sampai pagi besok pun tak habis kalau macam ni.”

Ali tidak membalas. Tunak merenung laut di depan mata.

“Mak cik suruh kau balik, sarapan. Dia masak makanan kegemaran kau.”

“Nanti aku baliklah.”

“Nanti tu bila? Sekarang dah pukul 10 lebih.”

Ali buat tak peduli. Tangan terus membelek cengkerang siput dalam pegangan.

“Besarnya cangkerang... Cantik!”

“Nah, ambillah.” Ali senyum. Cangkerang siput tersebut dihulurkan kepada Peah.

Peah terkejut.

“Kau bagi aku?”

“Ya, aku bagi kau.”

“Sebab?”

“Tak ada sebab. Saja nak bagi.”

“Terima kasih.” Teragak-agak Peah mengambil cangkerang tersebut.

Ali kerdipkan mata dan mengangguk.

“Tak dengar apa-apa pun?” Peah tekap cangkerang yang sudah bersih itu ke telinganya.

Dahi Ali berkerut berfikir.

“Nak dengar apa?”

“Kan ada orang cakap, dalam cangkerang ni boleh dengar lagu.”

“Merepek. Dalam cangkerang ada siput, bukan ada lagu.”

So, ni ada siputlah dalam ni? Euww... yaks!” Tercampak cangkerang tersebut ke atas pasir. Peah dah tunjuk reaksi geli-geleman.

“Yang ni mana ada dah. Siputnya dah lari. Kan dah bersih ni. Aku dah bersihkan tadi.”

“Oh...” Peah kutip semula cangkerang tersebut. Dibelek-belek setiap inci kulit luar cangkerang yang keras.

“Tapi rajinnya kau kutip benda alah ni Ali? Siap bersihkan bagai.”

“Sebab aku jual sikit-sikit.”

Peah angkat wajah.

“Jual? Habis tu kenapa kau bagi aku? Rugilah.”

“Tak apa, yang tu aku memang nak hadiahkan kat kau.”

Peah terdiam. Nada Ali yang berbicara lembut menghantar satu rasa aneh dalam hatinya.

“Maksud aku, aku tengok kau macam teruja sangat bila nampak cangkerang siput tu, sebab itu aku bagi. Tak bagi karang, kau menangis pula.” Suara Ali kembali ke nada asal. Hilang sudah kelembutan nada itu.

“Jaga elok-elok cangkerang tu. Kalau hilang atau pecah, siap kau!”

Peah senyum lalu mengangguk.

“Aku janji. Thanks.”

Welcome.”

“Kenapa kau suka laut ya?”

Ali betulkan duduk. Wajah Peah dipandang sekilas sebelum menebar pandang ke tengah laut.

“Dunia ni umpama lautan yang luas. Kita manusia ibarat kapal yang belayar di tengah-tengahnya. Andai muatan kita ialah iman, dan layarnya takwa, barulah kita akan terselamat daripada karam di lautan hidup yang luas ni,” ucap Ali bersama pandangan yang masih menghala ke lautan luas.

“Jadi aku simpulkan angin yang mengubah haluan kapal ialah ujian-ujian yang Allah turunkan untuk hamba-hamba-Nya,” simpul Peah.

“Betul. Bijak pun kau!” Ali angguk.

Peah sengih.

“Tengok kakilah.”

“Kaki kau pendek. Macam itik.”

“Jahat!” Peah kaut pasir dan baling ke arah insan yang mengutuknya.

“Wei, pasir ni! Masuk mata boleh buta, tahu tak!” kalut Ali mengelak.

“Padan muka kau!” Peah terus mengaut pasir dan membaling. Namun disasarkan ke bahagian dada dan ke bawah, tidak ditujukan ke muka sang jejaka.

“Abang!”

Pergerakan kedua-duanya terhenti.

Fiq muncul dengan nafas yang termengah-mengah.

“Ada panggilan telefon untuk abang kat kedai," ucapnya kepada Ali.

“Siapa?”

“Tak tahu. Katanya pasal iklan.”

Ali bingkas berdiri. Iklan? Dipandang Peah yang masih duduk di atas batu.

 

“SIKIT JE makan?”

“Dah kenyang, mak.”

Mak Cik Siha memandang pelik si teruna. Tak pernah-pernah Ali makan sedikit pada waktu tengah hari. Sudahlah pagi tadi tidak bersarapan.

“Peah, nanti lepas makan kemas barang-barang kau.” Pinggan kotor dibawa ke singki. Dicuci bersih sebelum kembali ke ruang tengah rumah.

“Suruh kakak berkemas kenapa Lah?” Mak Cik Siha merisik tanya. Dia tahu, Peah terkejut dengan arahan yang tiba-tiba itu. Dia juga sama.

“Esok pagi-pagi nak hantar Peah balik, mak. Dah jumpa keluarga dia.”

 

 “KENAPA SEDIH ni? Patutnya gembira sebab esok dapat balik ke pangkuan keluarga.”

“Mak cik...”

“Ya, sayang.”

“Betul ke mereka tu keluarga saya?”

“Insya-Allah, kakak. Kita doa yang baik-baik.”

“Macam mana diaorang boleh jejak saya kat sini? Mak cik tak rasa pelik ke? Tiba-tiba je boleh jumpa.”

Mak Cik Siha tertawa kecil.

“Tiba-tiba apa pula? Ali usaha cari sikit-sikit dengan bantuan kawan-kawan dia.”

“Kawan dia yang mana?”

“Ali tu kawan dia merata, kakak.”

“Tak pernah pun nampak dia keluar lama-lama. Bila masa dia jumpa kawan-kawan dia dan mencari?”

“Kakak, zaman sekarang ni semua dah canggih. Tak payah jumpa depan-depan pun masih boleh buat kerja. Guna handphone je.”

Kening Peah bercantum.

“Dia ada handphone ke mak cik?”

“Kakak, zaman sekarang budak tadika pun ada handphone, apatah lagi orang dewasa.”

“Tapi tak pernah nampak dia guna pun?”

Mak Cik Siha senyum.

“Ali tu lain sikit perangainya. Handphone tu dia hanya guna bila ada perkara penting. Mak cik suruh dia beli masa dia belajar kat U dulu.”

“Oh...” Peah tergamam. Masuk U rupa-rupanya Ali tu.

 “U mana ya mak cik?”

Cambridge.”

“Hah???”

 

***  JUALAN ONLINE SAHAJA, BOLEH HUBUNG/WAHTSAPP NO DI BAWAH  ***

019-3729676 (Cik Shida)

013-4888095 (Kak Peah)

 

No comments:

Post a Comment