Saturday, 18 January 2020

Kau Antara Bintang - Bab 2

“BYE!!!”

Kedua-dua anak kecil itu melambai-lambaikan tangan. Mereka ketawa riang tika menghantar tetamu yang hadir sehingga hilang daripada pandangan. Apabila pasti bahawa kereta Lexus RX200t berwarna jingga itu sudah tiada, barulah kedua-duanya berlari masuk ke dalam rumah. Berlumba ingin melihat siapa yang terlebih dahulu menjejakkan kaki ke dalam rumah. Riuh-rendah apabila masing-masing tidak mahu mengalah. Bunyi suara dua orang ini saja sudah boleh mengalahkan suara berpuluh yang lain.

“Yaya main tipu! Mimi belum kira, Yaya dah lari,” kata Aimee apabila kakaknya meraikan kemenangan.

“Mimi lembap! Mimi tembel! Mimi terkedek-kedek!” ejek Auliya kepada adiknya. Tak cukup dengan suara mengejek, ditambah pula dengan mimik muka yang sengaja hendak menyakitkan hati.

Berasa berang apabila diejek, terus saja Aimee menunjal kepala kakaknya. Dia berlari apabila Aulia mengangkat tangan hendak memukul sebagai tindak balas. Mereka saling berkejaran dengan mulut masing-masing tak henti-henti mengejek antara satu sama lain.

“Diamlah! Bisingnya!” Anum menjerit kuat apabila tidak tahan dengan suara bingit kedua-duanya. “Memekak ajelah korang ni!”

Terkejut apabila disergah begitu, terus terdiam dua beradik tersebut. Mereka kemudiannya berlari mendapatkan ayah dan ibu mereka yang sedang duduk di ruang makan. Sekejap kemudian, muncul kedua-dua mereka sambil diiringi ayah dan ibu tersayang. Tak lupa juga anak kecil yang masih berada dalam dukungan si ibu.

“Danny dah balik ke?” soal Fazliana, kakak ipar Anum, merangkap ibu kepada tiga anak kecil tadi.

Anum mengangguk. Sambil-sambil itu dia curi-curi memandang pada perut Fazliana yang sedang membuncit. Entah kenapa dia berasa jelik pula melihatnya. Jelik bukan kerana tidak suka hendak menerima kelahiran anak saudara baharu, cuma baginya, masanya terlalu cepat. Si kembar dua orang itu baru saja mencecah angka 4 tahun, Fateh yang berada dalam dukungan pula baru saja pandai berjalan sendiri. Itu pun masih lagi lesen L. Gerak dua tiga langkah, jatuh. Belum berada dalam kategori lesen penuh untuk berjalan, abang dan kakak iparnya akan menimang cahaya mata lagi.

“Ibu, tadi Ti Sha marah. Dia jerit kuat sangat macam hantu!” adu Auliya kepada ibunya sambil memandang Anum dengan wajah yang mencebik. Mulutnya sengaja dibentukkan panjang.

Ti Sha, gelaran yang dipanggil oleh kedua-dua anak saudara Anum kepadanya. Ti, mewakili aunty, manakala Sha singkatan bagi Danisha.

“Suara Yaya dengan Mimi lagi kuat. Lebih kuat daripada suara puntianak!” Anum membalas kata-kata Auliya sebentar tadi. Sambil itu dia turut menjelir lidah apabila Auliya dan Aimee berbuat begitu kepadanya.

Fazliana hanya tersenyum melihat Anum yang seolah-olah tidak mahu mengalah walaupun hanya dengan budak yang baru berusia 4 tahun. Umur sudah masuk 28, tapi perangai tak macam orang yang seusia dengannya. Tak boleh nak mengalah, kuat merajuk, sensitif dan paling utama, panas baran. Walaupun baru 5 tahun dia menjadi kakak ipar Anum, namun dia sudah memahami dan masak benar dengan segala perangai adik iparnya itu.

“Anum, duduk dulu, eh... Abang nak keluar pergi kedai kejap.” Iqram Dzaify, abang sulung dan satu-satunya abang yang Anum ada, mengambil dompet dari meja kopi lalu dimasukkan ke dalam poket. Dia mendukung Aimee dan kemudian tangan kanannya memimpin pula Auliya. Langkahnya kemudian diikuti oleh Fazliana di belakang.

“Kak Ana pun ikut sekali ke?” soal Anum apabila melihat Fazliana menuruti buntut abangnya.

Fazliana mengangguk.

“Kalau macam tu, Anum tak payah tunggu sinilah. Anum balik terus.”

“Eh, tak tidur sini ke?” soal Iqram kehairanan. “Tadi kan Anum dah setuju nak tidur sini malam ni?”

Anum menggeleng. Terus saja dia bangun daripada sofa lalu mencapai tas tangan. Nak tidur sini? Tak mungkin! Tadi dia setuju sebab dah tak boleh menolak apabila semua orang asyik mendesak. Sekarang apabila semua orang nak keluar dan tinggalkan dia seorang di dalam rumah, kirim salamlah dia nak duduk lama lagi.

“La, duduklah dulu. Kita orang keluar sekejap aje. Dah lama Anum tak balik sini. Akak pun rindu nak borak-borak panjang,” sampuk Fazliana pula.

Sekali lagi Anum menggeleng.

“Lain kali Anum datang kita boleh borak lagi. Anum nak balik cepat, ada kerja. Anum pinjam kereta Kak Ana dulu, boleh? Nanti esok Anum ajak Mel datang sini dan hantar kereta akak semula.”

“Alah, janganlah balik lagi. Tidur sini, eh?” tambah Fazliana lagi, cuba untuk memujuk Anum untuk bermalam di situ.

“Tak naklah.” Anum masih lagi menggeleng.

“Kita orang nak keluar beli susu kejap aje. 10 minit pun tak sampai. Tunggulah sekejap,” tambah Fazliana. Masih tidak berputus asa untuk memujuk Anum supaya duduk dengan lebih lama di situ.

“Kalau dia tak nak, tak payah dipaksa-paksa!” Satu suara muncul dari tengah rumah.

Semua mata terhala ke arah kelibat lelaki yang sedang turun menuruni tangga dengan perlahan. Kedengaran batuk-batuk kecil yang mengganggu pergerakannya.

“Nak balik rumah bukan main payah, bila dah duduk sekejap, langsung panas punggung!” kata lelaki itu lagi sambil mengurut sedikit dadanya. Sampai di bawah, terus saja lelaki berusia awal 60-an tersebut duduk di sofa. Tangannya mencapai alat kawalan jauh, lalu dia menekan punat berwarna merah di situ. Beberapa saat saja, sudah kedengaran suara televisyen berbunyi.

“Orang kalau tak sudi nak balik rumah, dipaksa macam mana sekalipun tetap tak nak jugak. Aku pun tak paksa orang datang melawat aku kalau orang tu tak ingin!” Tanpa melihat batang tubuh orang-orang yang sedang berdiri memandang, lelaki tua itu terus saja tekun melihat siaran  televisyen yang sedang memainkan Berita Awani jam 9. Anum mengetap bibir. Tahu siapa orang yang dimaksudkan oleh ayahnya itu. Anum kemudian berkalih memandang Iqram dan Fazliana. Kedua-duanya turut memandang ke arahnya. Diam tidak bersuara apa-apa.

“Belajar tinggi-tinggi, kerja pangkat besar, tapi dengan bapak sendiri pun tak tahu nak jaga hati!” Kedengaran suara bebelan tidak putus-putus lagi. “Tak guna belajar pandai kalau tak reti nak hormat orang tua!”

“Abang Iqram, Kak Ana, Anum balik dululah...” Anum berkata sedikit perlahan. Diketap bibirnya kuat. Bimbang sekiranya akan terus mendengar bebelan serta rungutan yang akan menambahkan rasa sakit hati sekiranya terus berlamaan di situ.

“Nantilah dulu, Num...” Iqram cuba untuk bersuara.

“Tak apalah, Anum nak balik! Thanks for dinner,” Anum bersuara dengan suara yang semakin mendatar. Cepat-cepat dia mencapai kunci kereta yang tersangkut di dinding lalu terus mengatur langkah keluar. Tak sempat-sempat nak bersalam dengan semua orang. Pasangan kembar yang menghulurkan tangan tanda mahu bersalaman juga langsung tidak dihiraukan. Tidak seperti selalu di mana lazimnya dia akan bersalaman dengan mereka, memeluk serta mengucup pipi kedua-duanya.

Kali ini, Anum tidak sempat melakukan itu semua. Yang dia tahu, dia hanya mahu cepat-cepat beredar dan keluar dari rumah tersebut. Dadanya berombak kuat. Panggilan Fazliana langsung tidak diendahkan. Terus saja dia melompat masuk ke dalam perut kereta dan dalam beberapa saat saja kereta Myvi kelabu milik Fazliana mengaum meninggalkan pekarangan rumah teres dua tingkat tersebut.

Anum menekan punat radio lalu dikuatkan agar suara muzik dapat memenuhi segenap ruang. Mengharapkan agar suara radio yang berkumandang dapat menenangkan sedikit hatinya. Dia menjerit-jerit sekuat hati mengikut lirik lagu yang sedang dimainkan. Namun, cara itu tidak juga dapat menahan air mata daripada terus mengalir. Sedu-sedan sudah mulai kedengaran. Matanya berkaca-kaca hinggakan mengganggu penglihatan untuk melihat ke arah jalan raya. Akhirnya kereta terpaksa dihentikan di tepi jalan.

Anum menangis semahu-mahunya. Ditekap muka ke stereng kereta lalu dia menjerit kuat.

‘Itulah! Aku dah cakap tak nak balik rumah tu. Kenapa balik jugak? Aku dah cakap tak payah sibuk-sibuk nak makan malam dekat situ. Pergi juga! Kan dah sakit hati! Ini semua Danny punya pasal!’

Bukan main lagi lelaki itu mengajak dia keluar makan malam, katanya dah siap buat tempahan, rupa-rupanya makan malam di rumah ayah! Kalau dia tahu, memang mati-mati dia takkan setuju. Nak meraikan berita gembira kenaikan pangkat dia konon. Boleh jalanlah! Itu semua alasan. Siapa yang gembira? Ayah? Tolonglah, ayah sikit pun tak hairan walaupun dia jadi Perdana Menteri Malaysia sekalipun!

Danny memang nak kena. Pandai-pandai mengatur janji dengan abangnya. Tak pasal-pasal dia terpaksa mengikut. Apatah lagi apabila sudah ditambah dengan panggilan daripada Auliya dan Aimee yang menelefon bertanyakan kehadirannya tadi. Terpaksalah dia mengalah. Dia terasa rindu juga nak berjumpa dengan si kecil dua orang itu. Mereka sajalah keluarga yang dia ada. Segarang-garang dia, si kenit dua orang itu tetap juga anak buah kesayangannya. Jadi, akhirnya dia setuju dan sanggup untuk pulang makan malam bersama.

Anum mengesat pipinya. Bukan dia sengaja tidak mahu balik. Dan bukannya dia tak ingin hendak menjejakkan kaki ke rumah tersebut. Di rumah itulah dia dibesarkan. Di rumah itulah terletak segala kenangan zaman kecilnya. Tetapi, apabila mengenangkan ayah, termati langsung niatnya hendak balik menjenguk. Berat sungguh kakinya hendak melangkah masuk ke dalam rumah tersebut.

Kenapa abangnya tidak pindah saja dari situ? Bukannya dia tak ada duit. Gaji besar, takkanlah tidak mampu nak beli rumah sendiri? Kata dah jadi doktor pakar bedah, takkan tak boleh nak hidup berdikari dengan keluarga sendiri? Kalau abangnya duduk di luar, kan bagus? Tak adalah susah dia hendak pergi melawat Auliya dan Aimee. Tiap-tiap minggu pun dia sanggup datang bertandang.

Agaknya kalau suruh pilih antara isterinya dan ayah, belum pasti Kak Fazliana akan menang. Belum pasti lagi Iqram akan pilih dia dan membelakangkan ayah. Iqram itu memang anak ayah! Anak emas ayah! Bukan macam dia. Abangnya anak manja ayah dan dia pula anak yang tidak disukai ayah. Memang dari kecil sampailah dewasa, ayah memang tak pernah sayangkan dia sepertimana ayah sayangkan abangnya itu. Jangan kata sayang, entah-entah ayah sendiri malu nak mengaku yang dia ni anak ayah.

Argh! Kalau macam tu, lain kali dia tak payah balik langsung. Ayah bukannya kisah pun. Abangnya ada, ayah peduli apa dia balik ataupun tidak. Lepas ni jangan harap dia nak balik lagi! Tak mungkin! Never!

No comments:

Post a Comment