“MEMANG betullah you ni, Mel.” Anum mendengus. Dipandang tajam kepada Melinda, lalu diraup mukanya sekali. Dia membetulkan duduk dan menyisir rambut dengan jari-jemari. Mulutnya tak habis-habis dibentukkan bagi menunjukkan rasa protes.
Melinda tayang gigi. Matanya yang sudah sememangnya sepet kelihatan semakin kecil apabila dia senyum lebar. Langsung tidak tergugat dengan pandangan tajam Anum serta omelan-omelan berupa rungutan daripada mulut gadis itu.
“Kalau I tahu, I tak datang tadi!” Sekali lagi Anum bersuara. Kali ini disertai dengan wajah yang masam mencuka. Buat penat saja dia cepat-cepat siapkan kerja tadi. Tahu-tahu apabila sampai, Melinda sudah rancangkan agenda untuknya. Kalau tahulah tadi, biar sampai pagi dia duduk menghadap kerja di ofis lagi bagus. Tak adalah dia sakit hati begini.
“Relax, Ad... You're acting like you never met him before. Just calm down, okay?” Melinda masih lagi tersengih-sengih.
Anum mendengus. Memanglah ini bukan kali pertama dia berjumpa dengan lelaki itu. Dah banyak kali. Dah berpuluh-puluh kali, beratus-ratus kali dan dah beribu-ribu kali. Tapi masalahnya, kalau boleh dia tak nak jumpa atau tengok muka lelaki itu sekarang. Kalau dia nak jumpa, dah tentulah dia takkan mengelak daripada orang tersebut sepanjang hari ini. Malah, panggilan telefon dan pesanan yang dihantar ke telefon bimbitnya pun dia tak layan. Sekarang ini, Melinda pula yang pandai-pandai ajak orang itu join sekali. Bikin panas betullah!
“I tak tahu perang apa yang dah meletus antara you dengan dia dekat rumah Hatta malam kelmarin. Apa yang I tahu, I cuma nak baikkan korang berdua aje. Tak elok bergaduh lama-lama.” Melinda ketawa mengekek. Dia tayang muka selamba apabila Anum tak berkelip memandangnya.
“Sorry ladies, lama sikit pergi toilet tadi.”
Anum mengangkat muka. Tinggi sedikit melihat paras orang yang terus duduk di kerusi kosong bersebelahan dengannya. Dia menjeling apabila batang tubuh tersebut menarik kerusi supaya rapat dengannya seraya membariskan senyuman.
“Baby, sampai bila nak merajuk lagi ni? Dengan I pun you nak tarik muka masam lama-lama ke?” Danny mula mengeluarkan suara untuk memujuk.
Sejak mula sampai di restoran, sampailah mereka dah habis melantak beef steak sepinggan seorang, Anum hanya membisu. Diam tanpa suara walaupun berkali-kali Danny cuba hendak berbual. Pelbagai lawak-lawak bodoh sengaja direka. Tapi Anum, tetap juga diam macam tugu negara. Susah betul kalau nak memujuk. Nak mengurat sepuluh awek pun tak sesusah nak memujuk gadis yang seorang itu.
“Baby, come on... I telefon, you tak angkat, mesej tak jawab, nak jumpa dekat ofis pun you tak layan. Janganlah macam ni. Senyum sikit, boleh tak? Dah dua hari you tak senyum kat I tau. I rindulah nak tengok lesung pipit dekat pipi you tu,” pujuk Danny lagi.
Anum menjeling. Tambah tajam apabila mendengarkan suara Melinda ketawa mengekek. Huh! Apalah yang amoi sorang ni seronok sangat nak ketawa?
“Baby, please...”
“Danny...” Anum berpaling sedikit. Memandang betul-betul ke arah muka Danny yang tersenyum manis menayangkan gigi kepadanya.
“First of all, please don’t call me baby becouse I’m not your baby. And secondly, don’t try to persuade me because you know... I tak makan dipujuk.”
“Tapi baby... I tak suruh you makan pujuk, I suruh you makan beef steak tadi.”
Sekali lagi ketawa Melinda meledak. Sementara Anum tambah rasa menyampah. Tak kelakar langsung!
“Okeylah, okeylah...” Danny mengangkat kedua-dua belah tangannya apabila Anum kembali berpaling memandangnya sambil membawa satu jelingan yang maha tajam.
Anum menarik kerusi yang didudukinya supaya jauh dari kedudukan Danny sekarang.
“Maaflah kalau masa parti dekat rumah Hatta tu I ada buat you marah. I tahu you pergi sana nak enjoy, nak hilangkan tension, tapi I pulak membebel pasal Nash dengan Nani. I’m sorry...” Danny menarik kerusinya supaya kembali rapat. Lebih rapat daripada tadi. Hinggakan paha mereka saling bersentuhan.
“Pasal ayah you pun I minta maaf jugak. You tengah marah, I sibuk-sibuk nak jadi kaunselor tak berbayar pulak. Lain kali I takkan membebel-bebel macam atuk tua lagi. Okay baby? Ops! Sorry, you tak kasi panggil baby. Okay, honey?”
Anum diam. Tidak bereaksi. Matanya meliar memandang sekeliling restoran.
“Come on, please forgive me my sweetheart, my darling, my honey, my intan payung, my...” Kata-kata Danny terbantut sedikit apabila Anum menoleh. Hampir-hampir berlaga hidung mereka lantaran kedudukan badan mereka yang terlalu rapat.
“Kalau I maafkan you, you akan berhenti daripada cakap perkataan-perkataan yang mengarut macam ni tak?” Anum menjegilkan mata. Menolak sedikit muka Danny dengan hujung jari telunjuk agar wajah itu jauh daripadanya. Naik juling matanya nak tengok dekat-dekat macam tu.
Danny ketawa. Laju saja dia mencapai jari Anum yang menunjal dahinya tadi.
“Jadi, sekarang ni you maafkan I atau tak? Baik cakap ya. Kalau tak, I gigit-gigit jari you ni...” katanya dengan sedikit nakal. Diangkat jari-jemari Anum tinggi separas mulutnya lalu dia menganga seolah-olah hendak menggigit jari-jemari halus tersebut.
Anum cuba menarik semula tangannya, namun masih lagi kejap dipegang oleh Danny. Berkali-kali dia cuba, tak juga berjaya. Yalah, dengan badan kurus melidi macam dia ni, manalah mampu melawan tenaga lelaki berbadan sasa seperti Ahmad Dhani Dato’ Mazlan ini. Sudahnya, kena mengalah sajalah!
“Yalah, yalah... I maafkan you, Encik Danny yang suka mendesak!” Anum mengalah. Ditarik kasar tangannya apabila Danny sudah mula melonggarkan genggaman tangannya.
Melinda turut ketawa. Dia sendiri tak tahu kenapa dia rasa geli hati dan seronok sangat melihat gelagat pasangan di hadapannya ketika ini. Adegan rajuk-merajuk, adegan pujuk-memujuk dan juga adegan usik-mengusik. Baginya, adegan-adegan sebegitu sudah biasa dilihat antara Danny dengan Anum. Bila Anum merajuk, Danny akan berusaha memujuk. Bila Danny pula yang merajuk, Anum pula yang sibuk nak mengambil hati. Cuma yang itu jaranglah. Jarang sangat-sangat! Yang selalunya, Dannylah yang tak putus-putus jadi tukang pujuk. Anum mana pandai pujuk orang.
Melihatkan mereka begini, kelihatannya memang tak ubah seperti pasangan kekasih merpati dua sejoli. Sepadan sangat. Kalau memang betul-betul mereka sedang bercinta, alangkah bagusnya. Yang lelakinya kacak, perempuannya pula comel. Yang lelakinya penuh bergaya, yang perempuannya pula cantik menawan. Memang dah elok sangatlah.
Tapi, sayangnya... sampai hari ini Anum masih lagi tidak mahu dan tak ingin mengiktiraf mahupun membawa hubungan persahabatan antara dia dengan Danny ke satu frasa yang lain. Daripada sahabat kepada kekasih. Berkali-kali Danny meluahkan rasa cintanya, namun tetap juga ditolak mentah-mentah oleh Anum. Biar berbuih-buih mulut Danny menyatakan rasa sayang, namun mulut Anum tetap dengan pendiriannya. Tetap tidak mahu hubungan itu berubah.
“Amoi, lain kali you jangan pandai-pandai nak komplot dengan mamat specky ni belakang I, okey? Suka-suka hati aje pakat nak jumpakan I dengan dia dekat sini. Lain kali biar dia cari jalan sendiri macam mana nak pujuk perempuan.”
Melinda tersengih-sengih. Sempat juga berbalas jongket-jongket kening dengan Danny. Tanda sama-sama mengejek Anum.
“Baiklah, ma'am.” Melinda menjawab dengan nada sinis.
Anum senyum lebar. Memang puas hati dengan jawapan Melinda sebentar tadi. Dicapai gelas berisi air tembikai lalu diminum perlahan. Matanya meliar melihat sekeliling. Memerhati pada setiap pengunjung yang ada. Ramai juga pelanggan restoran walaupun pada tengah malam begini. Suasana juga meriah dengan persembahan tiga anak gadis yang sedang menyanyi di atas pentas utama.
Mata Anum yang semakin meliar tiba-tiba mati apabila pandangannya tertancap pada satu kelibat. Diperhatikan dengan tekun batang tubuh tersebut. Lelaki yang berbaju-T kelabu sambil duduk dikelilingi teman-teman lelaki seramai empat orang. Entah apa yang menarik perhatiannya untuk terus melihat lelaki itu pun dia tidak tahu. Seperti ada magnet pula yang menarik bebola matanya untuk terus melihat, merenung dan menilik.
Lelaki berbaju kelabu itu nampak tenang berbanding rakan-rakan semejanya yang begitu galak sekali bercerita. Dia hanya menjadi pendengar yang setia tanpa sekali pun menyampuk. Sesekali tersenyum dan ketawa kecil. Mungkin ada antara bicara temannya yang mencuit hati. Apabila lelaki itu tersenyum, entah kenapa bibir Anum turut menguntum senyuman. Macamlah dia turut mendengar apa yang sedang dibualkan oleh mereka.
Anum memerhati dengan tekun. Agak lama juga dia menjadi pemerhati hinggakan lelaki itu bagai mengetahui bahawa dirinya sedang diperhatikan. Serta-merta mata lelaki itu dihalakan kepadanya. Tepat dan tajam. Hinggakan Anum tak sempat hendak mengalihkan pandangan dan juga tidak mampu lagi hendak menyembunyikan matanya. Alamak, kantoi!
Walaupun dah kantoi, mata Anum tetap juga tak nak beralih pandang. Dia teruskan lagi sesi menilik tajam wajah jejaka itu. ‘Eh, dia senyum dekat akulah...’ Entah kenapa Anum berasa ceria apabila melihat ada sebaris senyuman yang ditujukan kepadanya. Dia membalas senyuman tersebut. Lebar dan sehabis manis. Tapi, tak sempat nak senyum lama-lama kerana ada saja yang mengganggu. Panggilan Danny betul-betul membuatkan dia terpaksa berpaling. Melepaskan pandangan matanya sebentar tadi.
“Esok I outstation dengan Big sebulan tau. Sepanjang kita orang dekat Belanda nanti, you jaga company elok-elok, eh?”
“Tahulah! Macamlah baru first time you nak pergi outstation.” Anum membalas lantas terus kembali pada pandangannya sebentar tadi. Tetapi, kali ini dia tersentak. ‘Aik, tak ada pula mamat baju kelabu tadi. Mana pulak dia pergi?’
Mata Anum melilau-lilau. Mencari-cari kelibat batang tubuh lelaki tadi sedangkan teman-temannya masih lagi rancak berbual di meja yang sama.
‘Pergi mana pulak dia ni? Berapa saat aje dah ghaib. Laju betul dia hilang!’
“Tengok apa? Tak tentu arah, macam nampak hantu aje,” Danny menegur apabila melihat Anum yang tertinjau-tinjau memandang kiri dan kanan.
“Tak ada apa-apalah. I macam nampak kawan lama I tadi. Tapi, dah hilang pulak,” balas Anum sambil menyandarkan badan apabila dia pasti bahawa lelaki berbaju kelabu itu benar-benar sudah tiada di situ.
Anum menarik nafas lalu dihela perlahan. Sekali lagi dia melepaskan pandangan ke arah kumpulan lelaki yang masih rancak berbual. Dia mengeluh apabila ternyata lelaki berbaju kelabu benar-benar sudah tidak kelihatan lagi di situ. Entah kenapa, dia berasa kecewa pula. Tak sempat nak tengok senyuman jejaka itu lama-lama, dah hilang pula! Ke mana lelaki itu pergi? Dah balik? Atau pergi ke tandas sahaja?
Betulkah senyuman tadi diberikan kepadanya atau dia hanya perasan sendiri? Dan yang lebih penting sekali, kenapa dia berasa kecewa pula tidak dapat lihat muka lelaki itu dengan lebih lama lagi? Dah kenapa, tak pernah-pernah!
“Ad, you khayal apa lagi tu? Danny tanya you nak pesan bawa balik apa dari Belanda nanti?”
Suara Melinda terus saja menusuk ke dalam gegendang telinga Anum. Terus saja dia beralih menumpukan perhatian ke arah Melinda dan Danny lalu meninggalkan persoalan yang bermain di mindanya sebentar tadi.
‘Ah, itu semua tak penting. Dah kenapa nak fikir pasal lelaki berbaju kelabu pula? Buang masa saja!’
No comments:
Post a Comment