Sunday, 27 December 2020

My Bibik My Darling - Bab 9


“NAJAH! Haris! Apa kamu berdua buat ni???”

Najah menggosok matanya. Siapa pula yang memetir pagi-pagi ini? Perlahan dibuka matanya. Nyonya Mansur berdiri sambil bercekak pinggang. Oh mimpi rupanya. Ditarik selimut menutup tubuhnya yang terdedah.

Terdedah? Najah tidak berkutik di bawah selimut. Sejak bila pula dia tidur tanpa memakai apa-apa? Tidak pernah dia tidur dalam keadaan tidak berpakaian. Selimut diselak hingga ke leher. Dia terpinga-pinga. Kepala dipusingkan ke kiri dan ke kanan. Otak sedang memproses maklumat tentang lokasi dia berada sekarang.

“Apa ni nenda... pagi-pagi dah bising.”

Membulat besar mata Najah. Suara lelaki. Tubuhnya digerakkan sedikit. Tangan meraba sebelah. Hendak terkeluar matanya saat tangannya tersentuh kulit orang. Pantas dia bergolek turun dari katil dengan tangannya menarik selimut.

“Hei, apa ni?”

Najah membalut tubuhnya dengan selimut. Perlahan diangkat kepalanya melihat siapakah pemilik suara tadi. Irfan Haris! Cucu Puan Sri Rokiah. Jadi Nyonya Mansur tadi bukan dalam mimpi, sebaliknya Puan Sri Rokiah sebenar. Dan di belakang majikannya ialah Mak Ton.

“Kau? Kenapa boleh ada dalam bilik aku ni?” Nyaring suara Haris bertanya. Mujur sempat dia mengambil bantal untuk menutup bahagian bawahnya.

Najah kelu. Dia pun tidak tahu bagaimana dia boleh berada di situ. Seingatnya, malam tadi dia membantu Haris yang sedang mabuk masuk ke bilik.

“Kau perangkap aku eh?” Terus Haris melemparkan tuduhan dengan mata dijegilkan.

“Tak... Saya... saya pun tak tahu macam mana saya boleh ada kat sini.” Najah menjawab takut-takut. Melihat wajah bengis Puan Sri Rokiah, dia hendak menangis. Sekarang cucu wanita itu menuduhnya.

“Dasar orang gaji nak kaya cepat! Perangkap cucu orang kaya sebab duit!” Haris terus melemparkan tuduhan. Bagaimana dia boleh tidur sekatil dengan orang gajinya? Bukannya dia suka perempuan itu atau perempuan itu kekasihnya. Perkara terakhir yang dia ingat semalam, dia meneguk bertin-tin minuman keras di rumah Leon.

“Melebih nampak. Saya tahu saya miskin, tapi saya ada harga diri tau! Lagipun saya masih waras lagi nak jadikan calon penghuni neraka jadi suami saya. Saya nak calon suami saya lelaki berbau syurga.”

“Apa kau cakap?” Haris bangun. Bantal yang menutupi badannya terjatuh.

Pantas Najah menutup matanya.

“Apa ni? Sengaja mencemar kesucian mata saya.”

“Habis, kau tu tak pakai baju. Bangun-bangun kat atas katil aku. Macam tu nak mengaku perempuan baik-baik!”

Najah menutup kepala dan bahunya dengan selimut. Mata mencari-cari pakaiannya. Dia masih lagi tertanya-tanya bagaimana dia boleh terbangun di situ dalam keadaan tidak berpakaian. Malah lelaki itu juga tidak berpakaian. Apakah...???

“Kau... rogol aku!” tempik Najah.

“Gila apa aku nak rogol kau. Kau masuk bilik aku. Dah tentu kau yang rela hati masuk. Kalau perempuan masuk bilik lelaki, maknanya dia yang serahkan diri, kan?” Sinis Haris menyindir.

“Eee...” Najah mencampak bantal ke arah Haris. Namun lontarannya lemah. Tidak kena pun tubuh lelaki itu.

Haris tersengih mengejek.

“Sudah!!! Nenda tahu kamu berdua kena kahwin.” Puan Sri Rokiah meninggikan suara.

“Nenda, Haris tak mahu kahwin dengan bibik ni.”

“Puan Sri, saya lagi tak hingin kahwin dengan dia.”

Mereka berdua bersuara serentak.

“Okey. Kamu Najah, kalau tak mahu kahwin dengan Haris, tolong tinggalkan rumah ni sekarang juga. Dan Haris... nenda hantar kamu ke Pulau Mabul sana.”

Najah dan Haris saling berpandangan dan berkata serentak.

“Okey nenda, kami kahwin.” Pergi ke Pulau Mabul? Memang dia akan mati kutu. Lebih baik dia berkahwin dengan Najah.

“Kami kahwin, Puan Sri.” Najah memang tidak mahu berhenti kerja. Ke mana dia hendak pergi kalau terpaksa keluar dari rumah ini?

“Bagus. Secepat mungkin kamu berdua harus bernikah.”

Najah tertunduk. Kenapa dia harus diuji sebegini? Apakah tiada pengakhiran lain untuk ujian ini. Matanya tertancap ke arah Haris. Lelaki itu juga tampak bingung.

“Apa pandang-pandang! Ni semua kau punya pasal,” tengking Haris.

“Kamu berdua pakai baju. Nenda tunggu di luar.” Puan Sri Rokiah beredar keluar dengan Mak Ton.

Najah mencapai pakaiannya lalu meluru masuk ke dalam bilik mandi.

 

“MAK TON, saya tak tahu macam mana saya boleh ada dalam bilik Tuan Haris. Semalam saya tolong papah dia masuk bilik aje.” Najah mengekori Mak Ton yang sedang sibuk menyediakan sarapan. Tadi wanita itu menggoreng bihun. Sekarang sedang membancuh minuman pula.

Mak Ton langsung tidak bersuara. Seakan tidak mahu menerima alasan Najah. Sedikit pun dia tidak menoleh ke arah gadis itu.

“Mak Ton.” Najah menggoncang tubuh wanita separuh umur itu.

“Cik Najah boleh duduk depan dulu. Mak Ton sediakan minuman.”

“Saya tolong, Mak Ton.” Najah mahu membuka kabinet untuk mengambil cawan tetapi tangannya ditepis perlahan.

“Cik Najah bakal cucu menantu Puan Sri. Tak perlu dah buat kerja orang gaji lagi.”

Hampir menitis air mata Najah. Kata-kata Mak Ton menghiris hatinya. Dia datang ke sini kerana mahu bekerja, bukan untuk memikat cucu majikannya.

“Mak Ton, selagi cucu Nyonya Mansur tu tak berjabat tangan dengan jurunikah, selagi itu saya masih orang gaji dalam rumah ni.” Najah mengambil dulang dan cawan. Teko berisi air teh diletakkan di atas dulang dan terus dibawa ke meja makan.

“Najah, duduk.”

“Puan Sri... saya ada kerja nak buat.” Najah menolak. Mata memaku ke arah Haris yang duduk berhadapan dengan Puan Sri Rokiah. Lelaki itu berlagak biasa sahaja.

“Duduk. Ada benda nenda nak bincang,” arah Puan Sri Rokiah tegas.

Selesai menuangkan minuman, Najah duduk di sebelah Haris. Mata hanya memandang meja.

Jeda.

Sementara menanti apa yang Puan Sri Rokiah mahu katakan, dia mahu bangun menolong Mak Ton di dapur, namun tidak jadi apabila majikannya berdeham.

“Lepas sarapan nanti kita bincang. Makan dulu.”

Najah mengeluh. Melihat makanan saja buat dia lesu, apatah lagi hendak makan. Saat ini makanan bagaikan tidak penting berbanding masa depannya. Kenapa dia berjodoh dengan lelaki yang memang dia mahu elak?

“Najah tak makan?”

“Tak ada selera, Puan Sri.”

“Buat dosa ada selera. Makan tak ada selera!” selar Haris tiba-tiba.

Najah selamba sahaja menendang kaki Haris di bawah meja. Terjerit lelaki itu. Tersungging sengihnya.

Padan muka! Baru Haris tahu siapa Najah Sofea binti Tajul.

“Kenapa terjerit ni?” Puan Sri Rokiah angkat muka.

“Tak ada apa-apa, nenda.” Haris menjeling Najah. Bihun goreng dikunyah laju-laju. Geram dengan gadis itu.

Najah buat muka selamba. Itu baru sedikit. Tunggulah lepas kahwin nanti, memang dia akan kenakan Haris cukup-cukup sampai insaf. Dia menjeling Haris dan secara kebetulan lelaki itu juga memandangnya.

“Apa pandang-pandang? Cucuk mata tu nanti!”

Haris terus pandang ke tempat lain.

Puan Sri Rokiah hanya memerhatikan perilaku Haris dan Najah. Bagaimana agaknya kehidupan rumah tangga cucunya nanti? Mampukah Haris menjadi suami terbaik untuk Najah yang mengimpikan suami bau-bau syurga?

No comments:

Post a Comment