Monday, 28 December 2020

Umar - Bab 9


SAMBIL membebel mengadu kepada Momot tentang perangai tuan dia, siap juga hidangan untuk makan tengah hari. Itulah kelebihan Kay. Tangan dan mulutnya sama laju. Momot pula ialah kucing betina parsi milik Firaz. Firaz bawa pulang dari luar negara. Kucing itu daripada baka parsi bernilai ribuan ringgit, siap ada surat kelahiran lagi.

“Lapar tak?” tanya Kay kepada Umar sebaik saja ternampak budak itu keluar dari bilik.

“Lapar,” balas Umar sambil memegang perutnya.

“Pergi kejut pak cik kau tu. Dia tu kalau membuta, lupa dunia,” omel Kay sambil menghidangkan makanan di meja makan.

Umar akur.

Tidak lama kemudian, kelihatan Umar dan Firaz menghampiri meja makan.

“Perangai tak semenggah! Pergi basuh muka kau tu,” marah Kay kepada Firaz. Pantang dia, orang muka penuh air liur basi duduk menghadap makanan.

Dengan terkebil-kebil Firaz bangun membasuh mukanya di singki dapur.

“Macam tak tidur malam mengalahkan pengantin baru,” bebel Kay lagi.

“Memang tak tidur pun. Dan nyaris jadi pengantin,” balas Firaz lemah. Dia kembali duduk di sebelah Umar.

“Hah, biar betik! Cer cerita,” Kay jadi tidak sabar. Satu lagi pantangnya apabila dia terlepas cerita sensasi.

“Kejap lagilah aku cerita. Tengah lapar ni.” Firaz terus menyenduk ayam masak kicap masuk ke dalam pinggannya. Dilakukan sama untuk Umar juga.

Firaz hendak menyuap nasi ke mulutnya, namun dihalang oleh Umar.

“Papa, baca doa dululah,” ujar Umar. Dia kemudian menadah tangan dan membaca doa makan siap maknanya sekali dalam bahasa Inggeris.

Firaz dan Kay turut menadah tangan.

“Macam inilah bagus. Takdelah syaitan makan sekali dengan kita,” sambung Umar.

Firaz dan Kay hanya mengangguk. Baru setengah hari, mereka sudah ditazkirahkan oleh budak itu. Sabar ajelah.

Usai makan, Kay menarik Firaz ke laman. Banyak perkara dalam kepalanya perlukan penjelasan daripada Firaz.

“Budak tu duduk sekejap ke lama?” tanya Kay. Sesekali dia menjenguk ke dalam. Kelihatan Umar sedang khusyuk melayan drama.

“Selama-lamanya.”

“Kau gila apa? Siapa nak jaga?” marah Kay dengan nada perlahan.

“Alah, kau kan ada.” Bahu Kay, Firaz tepuk. Meleret senyuman Firaz.

“Aku? Memang taklah. Kau pun tahu aku kerja macam mana, kan? Lagipun kita tak habis lagi bincang pasal ni. Fir, jaga budak ni bukan semudah kau jaga Momot. Ni lengan kau berbalut apa kes? Jangan cakap kau accident?” Sempat Kay memandang motor Ninja 250ABS Firaz. Tidak ada apa-apa yang pelik. Calar pun tidak ada.

“Sebenarnya Kay, panjang ceritanya. Kalau dibuat skrip drama, sah-sah 100 episod.” Firaz ceritakan apa yang terjadi bermula saat dia keluar dari taman perumahan itu.

“Kalau kau dekat tempat aku, aku pasti kau pun akan ambil tindakan yang sama, kan?”

Kay mengangguk bersetuju dengan kata-kata sahabatnya.

“Macam manalah hidup Umar tu selama 3 tahun dia tu jaga. Kesian, kan? Nasib baik kau pergi cepat. Tak ikut cadangan aku hari tu.” Kay pernah mencadangkan Firaz supaya berkahwin dahulu sebelum mengambil Umar tinggal dengannya. Setidak-tidaknya, kebajikan Umar terjaga. Kalau harapkan Firaz yang jaga, memang tidaklah. Diri sendiri pun kena ada orang jaga.

“Apa lagi, pergilah telefon janda tu. Kalau boleh, hari ni juga kau nikah dengan dia.”

Meleret senyuman Firaz. Akhirnya Kay faham juga tujuan dia berkawan baik dengan janda anak tiga itu.

“Sebut pasal nikah, aku nyaris kena nikah awal pagi tadi.” Firaz mula bercerita. Antara dia dengan Kay tiada rahsia.

“Hah! Dengan siapa?” Sekali lagi Kay terkejut.

“Dengan mak cik budak itulah. Kau tahu, dia boleh prank kita orang kena tangkap basah. Semata-mata nak terus tinggal dengan mak cik dia. Entah-entah plan mak cik dia kut! Mereka baik punya berlakon kat depan aku.” Berkerut-kerut dahinya bercerita. Sesekali dia mengeluh. Bulu roma kembali tegak apabila teringatkan peristiwa itu.

“Baguslah macam tu. Sekurang-kurangnya kebajikan anak saudara kau terjaga. Kau happy, mak cik dia happy, budak tu lagilah happy. One sweet happy family.” Kay siap bertepuk tangan lagi.

Buk!!! Terus Firaz menendang kaki sahabatnya itu. Bukan kuat pun.

“Gila apa... kau dah lupa ke tadi aku cerita, dia tokak lengan aku? Happy apa bendanya dapat bini macam tu?”

“Betul juga, kan? Nanti habis satu badan kau dia tokak. Sekali dia tokak dekat sini... dekat sini, lepas tu terus Umar dapat adik sepupu,” usik Kay sambil menunjuk kedua-dua belah pipi Firaz. Kemudian dia berlari masuk ke dalam rumah sambil ketawa. Seronok dia mengenakan sahabatnya itu.

“Hei!” marah Firaz. Dia ingat Kay simpati, rupa-rupanya dia dibahannya pula.

Meh aku tokak kau dekat situ, baru kau tahu adik sepupu ke adik apa yang keluar!” Firaz mengejar Kay. Mereka memang selalu berlawak kasar begitu.

Umar memandang sahaja Kay dan Firaz saling berkejaran. Sesekali dia menggelengkan kepalanya.

“Macam budak-budak,” ujarnya perlahan. Dalam kepalanya masih mencari jawapan bagi teka-teki yang diberi oleh Kay.

“Umar, tolong papa tangkap Pak Cik Kay,” Firaz meminta pertolongan Umar.

“Tak mahulah. Umar tengah pening ni fikir teka-teki kawan papa tu.”

Firaz tidak jadi mengejar Kay. Dia terus duduk di sebelah Umar.

“Teka-teki apa? Mungkin papa boleh tolong,” soal Firaz.

“Teka-teki dia macam ni. Apa benda yang jilat-jilat, bila dah basah baru cucuk. Papa tahu tak apa dia?” polos soalan Umar.

Firaz terus menelan air liur. Kering tekaknya seketika.

“Kay! Teka-teki apa kau bagi ni? Weh, anak saudara aku ni baru 9 tahun tau! Kau jangan rosakkan fikiran dia,” marah Firaz.

“Otak kau tu yang rosak. Otak kuning. Itulah, lama sangat duduk negara mat salih. Banyak tengok filem b...” Kay tidak sanggup menghabiskan ayat bebelannya di depan Umar. Karang banyak soalan yang ditanya, jenuh pula dia hendak jawab.

“Jawapannya benang. Kan nak masukkan benang dalam lubang jarum kena jilat benang tu dulu,” sambungnya.

“Agak-agaklah nak bagi teka-teki pun,” ujar Firaz tidak puas hati.

Korang kalah. Nanti aku balik dari Hat Yai, korang belanja aku. Sekarang aku nak pergi kemas beg.” Kay ketawa suka hati menuju ke biliknya. Dia mengambil beberapa helai pakaian dari dalam almari lalu diletakkan ke dalam beg pakaiannya.

“Kay...” rengek Firaz lagi.

“Kay... Kay... rimaslah! Dah macam Momot, asyik nak bergesel aje. Grow up Fir! Kau tu dah jadi papa, tu anak kau.” Kay menolak Firaz ke tepi kerana menghalang laluannya untuk ke bilik air. Tidak lama kemudian, Kay keluar dengan peralatan mandi penuh di tangan.

“Tak boleh ke kau suruh staf kau yang pergi? I need you here. Please Kay?” Firaz melabuhkan punggungnya di birai katil Kay. Memang Kay banyak membuat kerja-kerja pejabat beberapa bulan ini. Tetapi disebabkan seorang gadis ini, dia sanggup bertukar kerja dengan stafnya.

“Sekali-sekala kena juga bagi staf aku cuti. Lagipun trip ni aku ada misi.” Kay mengambil pakaian dalamnya pula. Senyumannya sampai ke telinga.

“Kay! Habis aku macam mana? Kau pun tahu aku perlukan kau tika dan saat ini.” Firaz mula merayu. Dia perlukan Kay untuk tengok-tengokkan Umar sepanjang cuti sekolah ini.

“Fir, not this time. Sekarang kau dah jadi papa, jadi kau kenalah selesaikan masalah kau sendiri.”

“Jadi confirmlah kau pergi?”

Kay hanya tersenyum. Ikut hatinya mahu sahaja dia menyumpah sahabatnya itu. Tidak nampak ke sudah habis dia mengemas beg pakaian? Takkan saja-saja duduk rumah sambil main-main kemas beg pakaian begini?

“Habis, Umar macam mana?” tanya Firaz. Dia masih membuntuti Kay.

Kay mengeluh. Badannya dikalihkan menghadap Firaz. Ternyata sahabatnya itu sedang panik. Mana tidaknya, dengan kerjanya yang tidak tentu masa, ditambah dengan tanggungan terbaharu pula. Ternyata kedut di wajah Firaz semakin jelas kelihatan.

“Senang-senang kau hantar dia balik,” saran Kay spontan.

“Kau pun tahu mak cik dia tu macam mana, kan?” kata Firaz perlahan. Takut Umar tersinggung hati.

“Suruh aje janda kau tu jaga. Kalau serasi, terus kau nikah dengan dia. Habis cerita.” Senang sangat Kay berfikir.

“Janda tu ada hal keluarga. Kalau tak, tak payah kau suruh, aku sendiri pergi bawa tok kadi pergi rumah dia. Malam ni nikah terus. Kay! Janganlah pergi. Dahlah minggu ni aku sibuk. Aduh, peninglah.”

“Pening yang kau cipta sendiri. Rasakanlah.” Kay memang tidak bersetuju Firaz menuntut hak penjagaan Umar. Baginya, Firaz belum bersedia untuk memikul tanggungjawab besar itu. Sedangkan diri sendiri pun Firaz setakat lepas level lulus saja, inikan pula hendak menjaga budak berumur 9 tahun.

No comments:

Post a Comment