Sunday, 27 December 2020

My Bibik My Darling - Bab 1



“TUAN putera tu tak bangun lagi Mak Ton?” Najah mengemas meja makan. Sudah pukul 10 pagi. Bayang-bayang cucu Nyonya Mansur belum kelihatan lagi. Sarapan yang disediakan terbuang begitu sahaja. Sakit hatinya melihat mi goreng tidak berusik.

“Biasalah.”

“Seronok jadi cucu orang kaya ni.” Sambil membebel laju tangan Najah mengelap meja.

Najah Sofea binti Tajul. Baru 2 bulan dia bekerja di Vila Indah milik Puan Sri Rokiah a.k.a. Nyonya Mansur. Dia dan Mak Ton menggelar begitu kerana gaya wanita itu tidak ubah seperti watak Nyonya Mansur dalam cerita Kasim Selamat. Tapi Nyonya Mansur yang ini versi baik. Selama bekerja di sini, Puan Sri Rokiah melayan dia dengan baik.

“Haris tak bangun lagi?”

“Belum, Puan Sri.” Najah menunduk hormat. Baru sahaja dia menyebut tentang wanita itu dalam hati, sudah muncul pula.

“Apa nak jadilah dia tu. Najah, tolong kejutkan dia.” Puan Sri Rokiah melabuhkan duduk.

Err...” Najah jadi serba salah. Takkanlah dia hendak kejut cucu Nyonya Mansur itu. Tak manis kut!

“Pergilah Najah. Puan Sri nak saya buatkan air ke?” Mak Ton laju saja menolak tubuh Najah sambil mulut bertanya kepada Puan Sri Rokiah.

“Kopi O.”

Najah melangkah lambat-lambat. Kenapa mesti dia? Sempat lagi dia menoleh ke arah dua wanita itu. Mak Ton memberi isyarat agar dia cepat-cepat naik ke atas. Dan matanya bertembung dengan mata Puan Sri Rokiah pula. Pandangan galak itu membuatkan langkahnya menjadi laju. Perlahan dia meniti anak tangga untuk naik ke tingkat atas.

Sampai sahaja di depan pintu bilik Haris, Najah membaca doa terlebih dahulu. Kejutkan beruang bangun tidur lebih senang daripada kejutkan cucu Nyonya Mansur bangun. Kena siapkan diri, siapkan mental. Pokoknya, siapkan sahaja semuanya. Dah nama perangai cucu orang kaya memang tidak pernah menyenangkan.

“Tuan Haris.” Najah mengetuk pintu perlahan. Tiada jawapan sebagaimana yang dia jangka.

“Tuan Haris.” Nada suaranya naik satu oktaf. Ketukan di pintu juga bertambah kuat. Namun masih tiada jawapan daripada Haris.

Irfan Haris Khairul Azlan, cucu tunggal Puan Sri Rokiah. Kalau dah nama cucu tunggal sudah tentulah ditatang bagai minyak yang penuh. Puan Sri Rokiah tidak pernah memarahi Haris walaupun hampir setiap hari pulang lewat malam sehingga mabuk-mabuk. Hanya ditegur sahaja si cucunya itu.

“Tuan Haris!” Kali ini dia separa menjerit. Tangan mengetuk pintu sekuat hati dengan harapan cucu Nyonya Mansur akan terjaga. Malangnya tetap tiada jawapan.

“Tuan Haris!!!” Terpaksa Najah keluarkan senjatanya. Semasa di sekolah dahulu dia adalah ketua pasukan kawad kaki. Setakat melontar suara sehingga kedengaran oleh seratus orang pelajar, dia sudah biasa.

Pintu bilik itu diketuk sekuat hati. Tiba-tiba terasa tangannya mengetuk sesuatu yang keras.

Auww... Sakitlah!” Haris meraba hidungnya. Pedih.

“Maaf, Tuan Haris.” Tangan Najah selamba sahaja mengusap hidung Haris. Habislah dia kalau kemik hidung mancung lelaki itu. Bukannya dia sengaja.

“Jangan sentuh aku.”

Najah menarik tangannya. Sungguh dia merasa bersalah. Sangkanya Haris masih lagi tidur. Sebab itu dia ketuk pintu bagai hendak roboh.

“Kau nak apa ketuk pintu bilik aku macam nak roboh ni?” Sengaja Haris bertanya walaupun sudah tahu. Pasti nenda menyuruh orang gaji ini kejutkan dia bangun tidur.

“Puan Sri suruh kejutkan tuan,” jawab Najah takut-takut. Setahunya, Haris agak garang juga orangnya. Pernah sekali dia nampak lelaki itu menengking tukang kebun yang datang untuk membersihkan taman bunga mini.

“Kejap lagi aku turun.”

“Baik.” Najah berpusing dan mahu beredar. Tetapi langkah dia terhenti dek tudungnya ditarik dari belakang. Tidak jadi dia hendak melangkah. Tubuhnya dipusingkan menghadap Haris.

“Kau kena tukar cadar bilik aku sekarang. Tadi aku muntah.”

“Kejap lagi. Bila Tuan Haris turun, baru saya tukar cadar.” Takkanlah dia hendak berdua-duaan dengan lelaki itu dalam satu bilik. Boleh mengundang fitnah.

“Sekarang. Bilik aku dah bau busuk tu.”

“Tapi...” Najah masih berat hati.

“Kenapa? Kau takut?” Haris senyum mengejek.

Najah mengangguk.

“Kau cuma orang gaji. Bibik. Tengok muka kau pun aku tak ada selera apa lagi nak usik kau.” Haris meluruskan telunjuknya seolah-olah mahu mencucuk pipi Najah.

Najah mengundur. Tidak rela dirinya disentuh oleh lelaki itu.

“Lagak alim. Tadi kau sentuh hidung aku boleh pula. Tak haram.”

“Saya tukar sekarang.” Najah sedar keterlanjurannya tadi. Tapi itu semua tindakan spontan. Risau jika Haris cedera. Selamba sahaja ditolak tubuh lelaki itu ke tepi.

“Kurang ajar punya bibik!” Haris berang. Dia mendekati Najah.

“Pergi mandi. Lepas tu turun bawah jumpa Puan Sri. Dah lama dia tunggu.” Najah mengambil tuala Haris yang terdampar di atas katil lalu dicampak ke arah lelaki itu.

“Kau...” Haris menangkap tualanya.

“Jangan kacau kerja saya. Nanti saya tak tukar cadar ni.”

Haris mengalah. Terus dia mengayun langkah masuk ke bilik mandi. Entah kenapa orang gajinya yang ini agak berani sedikit berbanding yang sebelum ini. Kalau dengan orang gaji terdahulu, dia jegilkan mata sahaja sudah mencicit lari.

“Mabuk teruk lagilah tu.” Najah kepit hidungnya. Bau muntah Haris membuatkan dia loya. Selalu sangat minum air kencing syaitan. Cadar yang kotor itu dimasukkan ke dalam bakul. Seterusnya dia mengambil cadar baharu dari bilik sebelah.

Haris keluar dari bilik mandi dengan tuala berlilit di pinggang. Matanya lantas terlihat Najah yang sedang terbongkok-bongkok di sisi katil. Terpaku seketika dia melihat susuk tubuh itu. Matanya tidak berkelip melihat keindahan aset seorang wanita.

Dia sengaja menipu dirinya tadi. Dia mengakui Najah mempunyai susuk tubuh yang amat menggiurkan pada pandangan matanya. Walaupun berbaju kurung dan menutup aurat. Jelas kelihatan lekuk tubuh gadis itu. Fikiran jahatnya muncul. Dia harus memiliki gadis itu.

Seketika dia tersedar. Tidak mungkin dia akan membuat onar di hadapan nenda. Terus dia masuk ke bilik pakaian untuk menukar baju.

Najah menoleh ke belakang. Tiada sesiapa. Tapi kenapa terasa seperti ada orang memerhatikannya? Haris ke?

“Perasaan kau saja, Najah.” Dia menyambung kerjanya. Bantal ditepuk dan disusun kemas. Dia dengan Mak Ton bergilir-gilir mengemas bilik Haris. Hari ini sepatutnya giliran Mak Ton tetapi dia pula yang disuruh. Sebab itu agaknya Mak Ton menolak dia tadi. Tidak perlulah menghadap kerenah cucu Nyonya Mansur itu.

“Dah siap ke?”

Secara spontan, Najah memusingkan tubuhnya menghadap Haris. Lelaki itu sudah lengkap berpakaian. Dia mengangguk.

“Jom turun.”

Najah mengangkat bakul kain kotor. Haris sudah sedia membuka pintu untuk dia keluar. Curiga pula kenapa lelaki itu tiba-tiba baik hati dengannya.

“Aku cuma nak senangkan kau. Susah kan nak buka pintu dengan bakul kat tangan kau.”

Najah tidak berkata apa-apa. Dia meluru keluar dari bilik. Entah kenapa alasan Haris langsung dia tidak boleh terima. Seakan ada udang di sebalik batu pula. Dengan berhati-hati dia berjalan sambil memeluk bakul. Sesekali dia mengintai Haris dengan ekor matanya.

Haris tersenyum nakal. Sengaja dia memberi ruang agar Najah keluar dahulu. Matanya begitu asyik melihat punggung gadis itu berayun ke kiri dan ke kanan. Memang dia suka perempuan punggung montok begitu.

“Dah kenapa kau berhenti?” Hampir saja dia terpeluk Najah yang tiba-tiba berhenti.

“Tuan Haris turun dulu.”

“Kenapa?”

“Turun ajelah.” Najah mendesak. Banyak pula tanya lelaki itu.

No. Tak nak.”

Please...” rayu Najah.

“Okey.” Haris mengalah. Suara Najah merayu membuat naluri lelakinya terasa lain. Dia turun ke bawah terlebih dahulu. Sempat lagi dia menoleh ke belakang sekilas. Barulah dia faham kenapa Najah suruh dia turun dahulu.

Najah mengangkat sedikit kain baju kurungnya. Risau pula hendak turun dari tangga dengan membawa barang. Takut terpijak kain sendiri. Lagipun dia tak akan izinkan Haris menjamu mata!

No comments:

Post a Comment